Mesyuarat semalam dengan MJ dan semua J dan J baru yang akan report duty 1/4/2011 ini berakhir tepat jam 7 (bayangkannnn....luar dah gelap, dalam perut ada lagu rock kelaparan) Sejurus semua orang berkejaran meninggalkan bilik mesyuarat, aku, cik A dan beberapa orang lagi masih tinggal di situ 'mengutip' berpinggan-pinggan kecil roti sandwich. Sempat pulak memilih, tak nak sandwich sardine, nak yang inti telur saja (what the...) dan langsung mengenyangkan perut dengan beberapa kepingan yang sedap, alhamdulillah. Bila perut lapar, isilah apa saja (selain cuma air kosong) nescaya terasa sungguh lazat hidangan di tekak.
Apabila azan maghrib berkumandang di masjid biru depan simpang, barulah aku dan cik A berlalu keluar dari tapak kompleks mahkamah. Sungguh 'bekerja' aku hari ini. Sampai pejabat pagi tadi sebelum jam 8am, dan tiba dirumah selepas jam 8pm. Excellent! kata orang jawanya.
Menghabiskan sisa masa malam yang ada dengan Arissa dan ayah, banyak yang dikongsikan sempena hari pertama secara resminya Arissa menjadi 'budak tadika'. Pagi-pagi tadi, ayah hantar Arissa jam 8am. Cikgu terus mandikan dan pakaikan uniform tadika berupa baju t putih dan seluar panjang hijau pucuk pisang. Arissa sempat main-main di playground dengan ayah sebelum kawan-kawannya semua beratur nak masuk ke kelas dan Arissa pun terus terburu-buru nak masuk kelas juga, bezanya, dia tak masuk baris, tapi berdiri di sebelah cikgu, ala-ala pengawas gitu. Ibu membayangkan situasi itu dan rasa kelakar lah Arissa ni.
Sebelah petangnya ayah lewat ambil Arissa. Jam 6 lebih baru ayah tiba di depan Tadika. Tapi Arissa khusyuk main di playground dan jerit-jerit suka hati. Bila tiba masa nak balik, Arissa salam semua kawan-kawannya (cium tangan lagi, sampai ada yang terhantuk dahi sebab berebut cium tangan) dan semua cikgu-cikgunya sebelum naik motor ayah. Sempat kawan-kawannya berpesan "Arissa, esok datang lagi ya!!" sambil Arissa menjawab "Okey, esok datang lagi... bye!!".
Sekurang-kurangnya, ibu tahu, Arissa 'enjoy' di Tadika Comelku. Takdelah macam dulu semasa di Taska Ummi. Datang Taska menangis, balik Taska muka monyok. Lepas tu demam berpanjangan. Alhamdulillah Arissa sesuai dengan Tadika Comelku.
Tapi, dek kerana gembira ria di waktu siang, bila tidur malam, Arissa asyik mimpi dan mengigau. Menangis sayu dan kuat, sampai batuk-batuk, dan muntah. Aduhai.... sampai jam 3 pagi ibu tak lena. Ayah yang mulanya sabar melayan pun, terus hilang sabar. Arissa pantang pejamkan mata, mesti tak lama kemudiannya, mengigau menangis dan kata "Tak nak! Tak nak! Tak nak!" sambil kakinya menyepak ke kiri dan kanan... Aduhai..
Arissa memang macam tu. Bila siang terlebih aktif, nanti malam hidungnya berdarah. Bila siang terlebih jerit dan gelak, nescaya waktu malamnya dia kerap mengigau. Jenuh ibu wiridkan dengan 3 qul dan ayat kursi tiupkan di ubun-ubun, tapi Arissa tetap mengigau dan menangis, katanya "takut...takut...tak nak...tak nak!".
Ibu dah tak cukup tidur malam tadi. Pagi ni terasa pening-pening lalat sikit. Malam ni, kena masuk tidur awal daripada semalam lah. Kalau dia mengigau pun, sekurang-kurangnya kita dah tidur sikit. Patutkah pergi dapatkan air penawar dari Wak Saleh si doktor tradisional?
No comments:
Post a Comment