Hari Ahad yang aman dan damai. Langsung tak menggambarkan memori Sept 11.
Alhamdulillah... suamiku sudah selamat pulang. Anakku pun gembira melihat ayahnya ada di depan mata.
Usai solat subuh yang agak terlewat, aku melihat Arissa sudah bangun mengejutkan ayahnya.
"Ayah! Ayah! bangunlah! Tukar pampers Ica ni. Dah bocor ni..." Bijak dia memancing ayahnya bangun. Sementelah ayahnya belum solat subuh lagi. Apabila ayahnya buat tidak endah, dia menjerit kuat "Ayah! Bangun! Solat subuh!!!!" maka ayah pun kelam kabut bangun ke bilik air.
Oleh kerana bangun agak lewat untuk subuh, nak tidur semula pun dah rasa tak senang. Tambahan pula si kecik sudah celik mata. Membebel komplen sana sini. Memanglah tak boleh tidur dibuatnya. "Jom yang, siap2 kita pergi sarapan," Cadang ayah. Aku mengikut saja. Arissa pun minta dimandikan. Nak main buih sabun. Nak gosok gigi sendiri.
Apabila siap semuanya, sementara aku berdandan ringkas, aku kata pada suami, kita tak pernah lagi jejak ke Bukit Frasier walaupun jaraknya tidaklah jauh dari KL. Suamiku terus mengajakku ke sana. Frasiers bukan besar mana. Tak perlu nak bercuti berhari2 di sana. Seharian cukup. Pergi awal pagi, petang atau malam boleh bertolak balik. Apa yang menarik di sana? Udara yang dingin dan air terjun bukit agaknya. Tempat shopping? KL dah banyak. Buat apa pergi sana dan nak shopping lagi? Aku pun setuju dengan cadangan suami.
Aku siapkan barangan Arissa yang penting2 saja. Lebih kurang jam 9.30 kami keluar rumah. Mendung berarak menandakan bakal hujan. Kami keluar ke kedai mamak terlebih dahulu untuk mengisi perut yang lapar. Benarlah tekaanku, hujan turun dengan lebatnya. Lebih berseleralah kami menikmati sarapan walaupun kedai mamak sendat dengan pelanggannya.
Selesai sarapan dengan roti telur, nasi lemak dan teh tarik, hujan pun semakin sidang. Kami bergerak ke MRR2, berhenti di Shell dan mengisi minyak. Arissa ambil kesempatan 'membuang' dan suamiku membersihkannya di tandas Shell. Bapa mithali. Alhamdulillah. Selepas selesai urusan, kami bertolak menuju ke Frasier melalui MRR2 Gombak, susur ke Batu Caves, tembus di Selayang. Kami sempat melalui laluan ke rumah Cik A dan ketika itu baru jam 10.30 pagi tapi kereta Toyota Avanza suami Cik A sudah tiada. Amboi, kataku, pagi2 dah 'mengukur' jalan. Kemana lah agaknya. Pasti open house.
Selepas itu kami menyusuri jalan yang agak sempit di sepanjang laluan KL - Ulu Yam. Jalannya berbukit dan berlengkok tajam. Hanya ada 1 lorong dilaluan kami dan 2 lorong di laluan bertentangan. Arissa yang kekenyangan minta ditidurkan dipangkuanku. Dia tak mahu tidur seorang dibelakang sebagaimana biasa.
Cuaca pagi yang nyaman selepas hujan amat mendamaikan. Suamiku memandu dengan kadar sederhana dan berhati2 memandangkan jalan yang sempit dan berselekoh. Kenderaan juga tidak terlalu banyak. Kereta-kereta di sebelah sana dipandu laju mungkin kerana kedudukan jalan yang menjunam.
Tiba di satu selekoh, kami lihat ada sekumpulan kereta-kereta di laluan bertentangan yang sedang meluncur laju. Salah satunya adalah kereta MPV yang agak besar berwarna hitam. Tiba2 kereta ini terhuyung hayang dan terus memasuki laluan kami. Aku menjerit "Yanggg!!! Kenapa kereta tu???" Suami tidak berkata apa2 sebaliknya terus menekan minyak yang agak kuat dan memegang stereng dengan kemas. Aku terus menjerit sambil memegang kuat Arissa dipangkuan. Dan sekonyong2 itu juga bunyi "bammmm!!!!" yang kuat mengenai bahagian kanan tempat duduk belakang. Kereta itu terus menjunam ke dalam longkang. Kereta Myvi kesayangan suamiku terus tertolak ke tepi tetapi masih mampu dikawal supaya tidak mengenai pembahagi jalan. Kami berhenti. Suamiku tergesa-gesa keluar untuk melihat kesan hentakan yang kuat tadi. Aku berdebar yang amat.
"Allah....!" Katanya dengan nada kesal, terkejut dan marah. Arissa tidak habis2 dengan mulut becoknya.
"Kereta tu langgar kereta myvi ayah ke? Kereta myvi ayah rosak ke? Ayah tengok kereta myvi dia ke?". Selepas beberapa detik, barulah aku mendapat kekuatan untuk turun dan melihat myvi. Hentakan yang kuat menyebabkan pintu pemandu dan tempat duduk belakang habis kemik. Bumper sebelah kanan pula pecah dan terkopak besar. Sebahagian dinding bumper yang berkecai tadi mengenai tayar belakang.
Aku mendukung Arissa sementara menunggu suamiku mengambil gambar kereta dengan telefon bimbitnya. Kemudian dia berbincang sesuatu dengan pemandu Toyota Unser yang melanggar kami tadi. Pakcik itu kelihatan bersalah. Tak lama selepas itu polis peronda tiba mengawal lalu lintas, diikuti oleh pemunya perniagaan tow truck yang menawarkan perkhidmatan menarik kereta dari longkang. Tak lama juga sebuah kereta proton saga FLX tiba dengan 2 orang perempuan yang tergesa2 mendapatkan kereta yang masih 'terjungkang' itu dan memanggil keluar seorang wanita tua, mungkin isteri pemandu kereta yang kelihatan terkejut dan menangis. Dia keluar perlahan2 dan mencangkung di tepi longkang sambil menangis terkejut.
Dalam hatiku berkata, bukankah kami yang sepatutnya menangis? Kami yang tidak bersalah. Kami berada di lorong yang betul. Bukan kami yang lambat menyebabkan bontot dilanggar. Bukan kami yang berhenti secara tiba2. Bukan kami yang mencuri lorong kalian. Kamu yang salah. Mengapa tak diingatkan suami di sebelah supaya memandu dengan cermat? Maklumlah kereta besar, jadi tak terasa kelajuannya? Kami pula yang jadi mangsa.
Mujurnya suamiku tadi sempat menekan minyak dan melajukan kereta ke depan. Cuma tak melepasi bahagian belakang. Kalau tidak, habis bahagian hadapan myvi kami kena langgar secara berdepan. Sudahlah kami ni alergy dengan tali pinggang keledar. Wa na'udzubillahi mindzalik. Mungkin belum ajal, maka Allah mengurangkan kesusahan ini.
Suamiku lah kasihan. Dulu, sewaktu dengan kereta Satria, kemalangannya juga begini. Dua kali pula tu. Tak pasal2 pemandu di laluan bertentangan melompat ke lorong ketiga laluan sebelah sini dan kereta yang terkena terus menghentam kereta suamiku. Di Jalan Mahameru. Modus yang sama. Cuma kerosakan kereta yang lebih teruk. Mujur dia tak apa2. Alhamdulillah.
Tapi suami sangat sedih kali ini sebab kereta myvi ini belum pun berusia 3 bulan. Buka air-cond masih bau kedai katanya. Tapi nak buat macam mana, perkara dah jadi. Tentu Allah sudah menuliskannya Kun Fayakun. Kalau bukan di bukit Ulu Yam dengan kereta Unser pun, tentu akan berlaku juga entah di mana dengan siapa. Mujur Pakcik Unser ini tidak banyak kata. Mengaku salah saja. Dah memang salah dia pun. Kalau tak mengaku, nak reka cerita macam mana pula.
Sudahnya, kami ke Balai Polis Selayang membuat aduan. Lama juga Arissa dan aku bermain panas di situ sementara suami menyelesaikan aduannya. Kemudian kami balik ke rumah menghantar aku dan Arissa sebelum suami membawa Myvi ke Produa Service untuk proses pembaikan. Harap tak lama sangatlah Myvi itu akan tersadai di sana. Suami perlu tunggu 14 hari untuk dapatkan salinan aduan polis, kemudian hantar ke syarikat insuran Pakcik Unser, panggil insurance adjuster untuk mengetahui kos yang bakal ditanggung, sudah dapat anggaran baru syarikat insurance keluarkan harga bayaran dan bengkel pun boleh mulakan kerja. Uh sangat panjang. Patutlah ada kereta yang tersadai hingga 4 bulan. Kami berdoa semoga proses ini boleh dipendekkan. Eh cukup ke dengan doa saja?
Suami mengeluh dan nampak sangat sedih. Macam orang mati kutu. Dipujuk pun begitu juga. Dibiarkan apatah lagi. Tapi dia menerima dengan redha. Ujian Tuhan hanya bagi orang beriman yang disayangiNya. Ini mungkin kaffarah bagi dosa2 silam yang akan mengurangkan bebanan di akhirat kelak. Insyaallah.
Petangnya, selesai menonton nona, perut terasa lapar. Nak masak, seperti biasa, malas. Kebetulan ada jemputan open house di rumah kawan suami yang tidak jauh dari rumah kami. Apa lagi. Bagai mengantuk yang disorongkan bantal. Bergegas kami 'menyerbu' rumahnya di Flat bumbung biru Setapak. Kenyang betul menikmati lemang yang seenak rasa, dengan rendang daging yang fresh. Nasi himpit kuah kacangnya pun boleh tahan. Maklumlah, kami kan lapar dan tertekan tadinya.
Usai makan2, kami beransur. Hujan turun dengan agak lebat. Alhamdulillah rezeki selepas celaka.
Arissa : Ibu, hujan tu Tuhan yang buat
Ibu : yer...
Arissa : kenapa dia buat hujan?
Ibu : supaya kita ada air
Arissa : Tuhan tu mana ibu? Itu ke? (sambil ditunjuk kepada sesiapa pun yang ada disitu)
Ibu : eh bukan
Arissa : itu ke?
Ibu : bukan...
Arissa : Tuhan kat mana ibu?
Ibu : ....
Bolehkah beritahu pada anak kecil yang belum pun 3 tahun ini mengenai kepercayaan dan tauhid? Fahamkah dia?
Ibu : Tuhan ada di atas. Kita tak nampak Dia, tapi Dia nampak kita. Jadi, Ica jangan nakal2. Kalau tak nanti Tuhan bagi dosa. Kalau berdosa nanti masuk mana?
Arissa : Nehaka (neraka)
No comments:
Post a Comment