Lagi 2 hari masuklah tahun 2012. Insyaallah...
Entah bila, semalam atau kelmarin, hati diusik sayu bila mengenangkan banyak yang tidak tercapai tahun 2011 ini. Dengan umur bakal menginjak 34, aku masih belum dikurniakan rezeki anak kedua dan Anugerah Khidmat Cemerlang di Jabatan. Perasaan sedih tak dapat dielakkan. Perasaan cemburu pada yang murah rezeki mesti ada. Aku kan orang biasa.
Tak.
Aku sebenarnya tak perlu bersedih tentang semua ini. Ustaz Azhar Idrus kata, selagi kita beriman dan percaya pada qada' dan qadar Allah, Insyaalllah ada bahagian kita. Kalau tak dapat di dunia ini, disediakanNya di akhirat kelak. Kalau yang dah dapat di dunia, syukur Alhamdulillah. Kalau yang belum dapat, sabarlah, akan dapat di akhirat kelak yang kekal abadi. Ameen...
Tahun 2011 menyaksikan lebih banyak sejarah pahit terukir berbanding kenangan manis. Tapi bukan itu alasan untuk tidak bersyukur kepada limpahan rahmatNya. Apalah sangat nikmat yang tidak diperolehi dan sentiasa di kejar itu jika nak dibandingkan dengan segala nikmat yang telah diberikanNya seperti kesihatan tubuh badan dan kelapangan dalam kehidupan. Syukran Lillah.
Tahun 2011 ada 2 perancangan besar yang musnah di tengah jalan. Nak dapat anak kedua dan permohonan sambung belajar di bawah tajaan yang ditolak mentah-mentah. Juga diuji Tuhan dengan rintangan kecil-kecilan di pihak suami. Suami kemalangan motosikal. Suami terlantar sakit dek batu karang. Kami sekeluarga kemalangan kereta semasa dalam perjalanan bercuti. Macam-macam...
Tapi tahun 2011 tahun cemerlang kesihatan Arissa kerana ibu tak perlu tidur di wad temankan anak ibu yang demam. Alhamdulillah. Arissa semakin cerdik. Cuma bertambah nakal. Biasalah kanak-kanak...
Ayah paling selalu tinggalkan ibu. Ayah kerap outstation. Apa yang membuatkan ibu jadi sebak bila ayah beritahu, walaupun ayah kerap outstation, ayah bukanlah 'masyuk' pun...
Takpelah... rezeki kita masih ada. Sejak awal tahun kita kerap jalan-jalan melancong. Bulan Mac ke Langkawi. April ke Jakarta. Mei ke Melaka. September ke Cameron Hughlands. Disember ke Port Dickson. Okeylah tu.
Di KL pun bukan tak gerak ke mana-mana. Asyik 'mengukur jalan' ke Wangsa Walk Mall, kalau tak membeli barangan rumah di Carrefour Wangsa Maju. Ada masa lepak di Jusco Wangsa Maju atau AEON Setiawangsa. Kadangkala kita menonton wayang di Times Square. Kita juga pernah ke Pavilion dan tak tahu apa yang berbaloi untuk dibeli di sana. Sudahnya, KLFC adalah yang paling dekat dan boleh tahan untuk melepak yang lama. Tahun depan siaplah Tesco Setapak. Bertambah sesaklah Genting-Klang dan uptown nanti. Kehidupan kita taklah bosan sangat sebenarnya.
Aku bukanlah seorang yang membuat cita-cita baru dikala terbitnya tahun baru. Kita nak buat resolusi tak perlu tunggu tahun baru. Tahun baru bagi umat Islam pun dah berlalu dan aku masih begitu. Cuma, seiring dengan peningkatan usia dan kerjaya, aku berharap tahun hadapan bakal memberikan aku rezeki yang lebih murah...
1) Diberikan kami sekeluarga kekuatan iman Islam, sihat tubuh badan, waras akal fikiran, dikurniakan kebahagiaan...menjadi anak, isteri dan ibu yang lebih baik...ameeen...
2) Dikurniakan rezeki dan mampu berikan Arissa adik...
3) Dikurniakan rezeki sambung belajar bawah tajaan HLP
4) Dikurniakan kenaikan pangkat dan gaji
5) Diberikan Allah kemudahan dalam kerjaya
6) Jika sampai ajalku tahun ini, maka mudah-mudahan aku dimatikanNya dalam iman...
Mungkin aku yang tak cukup berdoa.
Ya Allah, kupohon Kau dekatkan hatiku padaMu agar sering mengingatiMu...ameen...
No comments:
Post a Comment