Jun 13, 2013

Doa yang dimakbulkan

Bismillah...
Beberapa minggu lepas, hati ni rasa sensitif aje dengan sikap anak dan suami pada kita. Biasalah, mungkin sebab kita yang stress kan. 

Kalau si anak tu, dipanggil tak menyahut, apatah lagi nak datang. Kalau diminta tolong apa2 memang susah sangat nak gerak, selalunya memang takkan dibuatnya, walaupun untuk kebaikan dia sendiri contohnya ambil air untuk dia minum, datang dekat ibu nak ambik gas, tukar baju, minum susu dan sebagainya. Kadang tu siap mengata lagi kita ni itu ini. Contohnya, ibu ni busuk lah, gemuklah, tak nak kawan dengan ibu lah. etc. Memang la dia tu masih kecil, tak boleh diprasangka. Tapi sebagai ibu, tentu kita pun tertanya, kenapa dia jadi begitu. Apa yang tak kena dengan pengajaran yang kita beri pada dia.

Kalau si suami pula, asyik sangat dengan hp. Balik saja dari luar (kerja/apa-apa) pasti tempatnya ialah melepak di depan tv sambil merenung hp. 10 yang kita cakapkan, kalau ada 1 yang dia dengar pun dah cukup baik. Selalunya dia tak endah pun. Kalau minta tolong, jawabnya nanti, nanti, kejap, jap. Sudahnya kita juga yang kena buat sendiri. Terfikir juga, kenapa si suami bersikap begitu. Apa yang tak kena dengan kita.

Sehinggalah pada suatu malam, saya bersungguh-sungguh berdoa padaNya. Minta petunjuk dan mohon supaya diberikan kelapangan. 

Yelah. Kita ni bukan sesiapa. Bukan alim ulamak, bukan ahli ibadat, juga bukan setiap masa dekat dan ingat padaNya. Solat pun selalunya lewat. Temujanji dengan manusia lagi didulukan berbanding dengan Ilahi. Tapi, itulah kelebihan Allah yang Maha Mendengar dan Memakbul permintaan. Kasih sayangnya tidak terhad pada yang tertentu saja. Syukur alhamdulillah.

Beberapa hari ini, saya perasan, Ica sangat obedient dengan saya. Bila disuruh, lekas membuatnya. Bila dipanggil laju mendekat. Bila dinasihati tekun mendengar. Mengaji pun cepat tangkap. Ibu mana yang tak gembira kan. Bila kita balik dari kelas, dia datang memeluk, macam dah lama sangat tak jumpa. Hati ibu pun berbunga-bunga :-D

Suami pula. Dikurniakan Allah dengan kelapangan hati menerima teguran saya. Apa yang saya tak berkenan, saya tuliskan dalam mesej. Memang dari dulu, kami berinteraksi jiwa-ke-jiwa dengan tulisan, bukan dengan perkataan. Tak selalunya dia akan menerima. Kerapnya dia akan menolak. Biasalah, lelaki kan egonya menggunung. Tapi kali ni, eh senang pula dia menerima. Kalau bukan kerana hidayah Allah, apa lagi justifikasinya? Alhamdulillah... semoga segalanya dipermudahkan.
 Ica mengaji dengan ibu dengan begitu bersungguh. Berkerut dahinya :-D
Oh ya. Rehal yang menjadi pujaanku sejak kecil dulu tp tak dapat :-( dah tua-tua gini, baru dapat, itupun kat anak :-)
Secara fitrahnya, walau sekuat manapun kita sebagai wanita, ada keadaannya kita memerlukan sokongan suami/anak. Nak jadi istiqamah dalam apa yang kita usahakan, pun memerlukan kerjasama. Kita ni nak jadikan keluarga kita ni uswatun hasanah. Keluarga muslim yang mukmin. Kita nak didik anak kita supaya taat pada Allah dan rasul, solehah, dan bijak. Itu takkan datang bergolek kalau tak ada usaha yang serius dan konsisten. 

Kita dah terbiasa, bila maghrib, azan pun kita masih leka layan tv. Anak tak mandi. Kita solat lewat-lewat. Anak tak belajar mengaji. Ini langsung tak menuju kearah kebaikan, sedangkan suami adalah pemimpin dalam keluarga yang menentukan hala tujunya, walaupun isteri tu warak dan ahli ibadah. Jadi, suami pun kena beri kerja sama. Bukan semuanya dibahu isteri. Dia hanya nak berehat saja depan tv. Amboi. 

Mungkin ada sesetengah tanggungjawab yang boleh dibahagikan/dikongsi dengan isteri. Tapi tanggungjawab menjadi kapten dalam keluarga tetap di bahu suami yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Tanggungjawab memastikan isteri dan anak menjadi solehah, menunaikan ibadah, mengaji, tahu hukum hakam dan sejuta ilmu lain, untuk kebaikan dunia dan akhirat, adalah ditangan suami. Ingat senang ke jadi suami? Susah la tu maka kena ambil serius.

Kalau kat kampung, masa saya kecil dulu, waktu maghrib macam waktu 'pantang' yang tak boleh dilanggar. Semua orang kena dah siap-siap mandi dan nak solat. Lepas solat belajar mengaji. Ada ketikanya, kita ni kan budak-budak, balik dari main di rumah jiran dah senja. Bila sampai di depan rumah, dengar pula bapak sedang iqamah, menunjukkan dah nak start solat jemaah. Memang cuak seribu kali. Sanggup tak payah mandi di kolam depan, tapi mandi di pelantar dapur. Pakai secuik air saja. Satunya, dah gelap. Tak ada elektrik. Hanya pelita. Jadi, takutlah nak mandi sorangan di kolam bila semua orang lain dah dalam rumah. Mak kata, senja-senja ada hantu kolam. Nanti dia tarik kaki kita ke dalam. Eee takut. Jadi, kalau berani pun, hanya mandi 'celup' saja. Buka baju, masuk dalam kolam, secelup, lepas tu naik, dan lap. Takde sabun-bilas semua. Sebab nak cepat naik rumah. Takut hantu air. 

Bila dah jadi jemaah paling last, tentulah segan dengan bapak. Senyap-senyap naik rumah, duduk kat dalam bilik, solat sendiri. Kononnya, dah selamat la bila bapak tak nampak kita. Bapak pun satu, ada anak yang belum naik rumah pun dia tak kisah. Tapi, lepas doa solat saja, kena mengaji. Masa ni, kau solat ke tak, kena juga take turn mengaji. Kalau tak pandai, siaplah. Sapa suruh main banyak sangat siang tu? Kena la sepak kat kepala. Hehehehehe.

Pada mak pula, kalau balik rumah senja, ha jangan masuk dapur nak makan nasi. Tak payah makan. Tidur la terus. Kalau tak mengaji, lagi mak akan perhati, sampai tidur. Nasiblah kalau kena tidur perut kosong. Pernah mengalaminya. Balik senja la tu. Tak ikut solat jemaah. Takut punya pasal, terus masuk bilik, naik katil, buat-buat tidur macam penat gila. Bila turn mengaji dah sampai, bapak panggil tak menyahut. Mak akan provoke, dah tidur lah tu. Biar dia, tak mengaji, tak payah makan. Kita yang pura-pura ni pun, tertelan air liur sampai tercekik di tekak. Mengenangkan malam yang panjang tanpa nasi. Huhuhu. 

Bila tidur lapar, mestilah tak lena. Perut berbunyi-bunyi. Jadi, bila dah lewat malam, mak bapak pun dah masuk tidur, semua orang dah masuk kelambu masing-masing, kita pun merangkak keluar, bawa pelita ke dapur senyap-senyap. Konon nak minum. Padahal kelambu mak dengan dapur tempat simpan gerobok lauk hanya beberapa langkah. Kalau dah mak, takkan la dia tidur mati kan. Langsung la kena tegur. "Nak makan ke? Lapar ke?" Eh mahunya tak terkejut, punye perlahan menapak atas lantai kayu dapur yang dah buruk. Berkerekot. Errr... dalam malu segan terpaksa mengakui. Mak kata lauk dah habis. Tapi, bila tengok dalam gobok, ha, nasi dengan ikan goreng pun dah syukur :-) Mak pun sambil suara serak-serak orang dah separa tidur, boleh membebel, kenapa balik lambat, main teruk sangat, tak mengaji, bla bla bla sambil kita macam nak tercekik makan nasi sejuk dengan ikan goreng sejuk tu kan. Hiks.

Disebabkan pengalaman itulah, kita jadi orang sekarang ni kan. Tahu tanggungjawab pada Tuhan, ibu bapa dan orang sekeliling. Paling penting, saya tahu mengaji daripada bapak saya yang tak sekolah tinggi. Bila dah ada anak sendiri, saya bercita-cita mahu anak saya belajar mengaji daripada suami dan saya, sebab saya rasa itu lebih berkat. Kan saya dan suami, berpelajaran lebih tinggi daripada arwah bapak saya. Kalau bapak saya boleh menjadikan 6 anaknya dan ramai lagi anak jiran-jiran boleh mengaji dan khatam quran, mengapa saya dan suami tak boleh? Cuma sekarang ni cabaran yang ada sangat besar berbanding dulu. Cabaran macam inilah yang menyebabkan kita kena bekerjasama. Tak boleh satu pihak saja yang beriya. Isteri saja yang beriya. Suami kena bantu. Kerana suami yang akan ditanya Allah tentang tanggungjawan ini di akhirat nanti.

Ia harus bermula dengan perkara yang kecil untuk dapatkan kejayaan yang besar, iaitu dengan disiplin.
Atas, mengaji dengan ayah. Bawah mengaji dengan ibu. Disiplinnya : pakai tudung.
 Kat rumah. Tengok tu tudungnya, macam mak datin sekarang. Pakai tapi macam tak pakai.
 Pakai tudung tapi sejuta rambut keluar. Ini ayah yg ajar Ica, kat mesjid, sementara tunggu ibu kat kelas.
Tengok ni, dah mcm mak lampir baca iqra'. Dengan tak bertudungnya, dengan rambut menutup matanya. Selesa ke?

 Mengaji dengan ayah, masa ni ibu ada untuk pakaikan tudung elok.
Ibu yang pakaikan tudung elok.

Padahal nak pakaikan tudung elok-elok, bukan susah sangat. Tudung pula melambak. Tudung ibu pun Ica dah boleh pakai. Tapi disiplin untuk pakaikan tudung kat anak elok-elok tu takde kat ayah. Mungkin bagi dia tak penting? Tapi bagi ibu penting, sebab kalau bukan kita yang mengajarnya, Ica takkan automatik tahu sendiri. 

Pakai tudung, satu perkara. Pakai elok-elok, satu perkara lagi. Dua-dua penting. Kadangkala kita susah nak ambil berat benda ini. Sebab itu ianya bermula dengan disiplin. Macam kami, masa kecik dah biasa, lepas solat terus mengaji, masih pakai telekung. Jadi bila dah besar panjang, asal nak mengaji mesti nak kena tutup kepala walaupun bukan dengan tudung. Tuala, selendang, selimut etc, asalkan ada tutup kepala, sebab dah biasa. Lagipun, hukum menutup aurat semasa membaca kalimah Allah tu kan wajib. Menjadi adab dalam ibadah.

Mungkin selepas biasa dengan tudung yang elok + mengaji setiap hari ni, kita boleh tambahkan aktiviti maghrib dengan solat jemaah setiap hari, dan mengaji bersama-sama? Mungkin boleh, kalau ada kerjasama.

Apa yang penting, kerja...sama!
Till then.



No comments: