Jun 19, 2015

Puasa pertama.

Bismillah...

Semalam ialah kenangan pertama Ica berpuasa, penuh satu hari. Lengkap dengan sahur, berhenti makan sebelum imsak, solat subuh macam biasa dan pergi sekolah. Petangnya, Ica keluar sekolah pukul 5, tapi ibu sampai 5.35, menunggu sekejap je, tapi bila Ica tengok je muka ibu, Ica terus nangis.

"Ibuuuu... boleh tak Ica nak minum sekarang...? Ica haus sangat ni....". Sambil berjalan ke arah kereta yang ibu parking agak jauh sebab parking penuh. Jenuh la ibu memujuk Ica. Dah tinggal tak lama lagi nak berbuka. Takkanlah yang 10 jam boleh tahan, yang lagi 2 jam tak boleh tahan pulak? Sayang lah... Rugi tau....

"Tapi Ica baru darjah 1... Cikgu kata, budak darjah 1 boleh puasa separuh hari je.... Boleh buka awal...", sambung Ica lagi dengan harapan ibu benarkan minum.

Masuk je dalam kereta, Ica terus cari botol air mineral. Selalunya memang akan ada air mineral dalam kereta, terutamanya bila ibu nak ambil Ica, ibu sediakan siap-siap sebab nanti Ica bising haus. Tapi kali ni sebab ibu ingat Ica puasa, tak perlulah ibu bawa air mineral lagi.

"Ibuuuuu...mana airnye.....?", Ica hampa. "Ica haus sangat niiii....", sambungnya sambil menangis keluar air mata. Masya Allah...

Untuk memujuk Ica yang kehausan, ibu pun terus menuju ke KFC pandu lalu di Wangsa Maju. Ibu belanja Ica KFC untuk berbuka nanti ya?

"Nak! Nak! Yeay!!!", Ica berhenti menangis sekejap. Elok pula KFC tu tengah lengang. Mungkin rata-rata orang puasa suka nak beli makanan di bazar ramadhan yang bersetentang dengan KFC tu. Order barrel 9 ketul dengan mashed potato dan coleslaw, ada fries dengan air pepsi sebotol. Lepas masuk je KFC dalam kereta, baunya semerbak harum, orang tak lapar pun boleh tergoda. Apatahlagi yang dah sepuluh jam menahan lapar ni.

"Ica nak makan sekarang ya????" Eiiii! mana boleh! Tak boleh tak boleh! Ibu marah dengan Ica. Terus Ica menangis lagi sambil menyedut bau KFC yang sedap. Ibu kata, Ica, puasa ni kita nak tahu apa perasaan orang-orang miskin dan tak berkemampuan nak beli makanan. Diorang lapar sepanjang masa. Kita cuma lapar di siang hari je. Nabi Muhammad pun puasa. Nanti petang, boleh berbuka. Kalau orang miskin, siang malam dia lapar, takde berbuka pun.

Ibu pun cerita, sepupu Ica yang Wafiy tu, dia mula puasa masa umurnya 4 atau 5 tahun. Puasa penuh 30 hari! Dahlah dia sekolah pagi dan petang. Takde transit-transit yang ada aircond. Berpeluh-peluh dan berpanas sepanjang hari. Ica pergi transit yang ada aircond, sejuk. Lepas tu datang ke sekolah, padangnya ada bumbung. Tak kena panas pun. Kenapa Wafiy tu boleh puasa, Ica yang dah 7 tahun tak boleh puasa pula?

Ica terdiam. "Wah hebatnya dia budak kecik puasa 30 hari..."

"Kalau ambik bau pun boleh batal ke?" :-D
Setakat cium bau takde lah batal. Tapi sabarlah. Sikit lagi sampai rumah, boleh tidur dulu sementara tunggu waktu Maghrib.

Elok pula jalan jem (macam biasa) dari Al-Amin ke KFC dah 20 minit, dari KFC nak balik rumah dah 20 minit lagi. Sampai rumah dah 6.40. Kita terus mandi, tukar baju, dan ibu terus baring. Ica tak boleh tidur sebab lapar dan haus.

Pukul 7.25 Ica kejut ibu untuk berbuka. Ica ingat, bila dah duduk di meja makan tu boleh terus makan. Rupanya, tak boleh. Kena tunggu azan dulu. Lambat la pulak azan ni, sebab masuk waktu Maghrib 7.29. Selama beberapa minit tu Ica menangis tak henti sebab tak boleh nak berbuka dulu. Yelah, kalau yang 12 jam boleh tahan, takkanlah lagi 2-3 minit pun tak mahu tahan?

Akhirnya, berbuka lah Ica dengan sebotol solivite, secawan air soya selasih, nasi beberapa suap dan seketul ayam KFC. Geli hati ibu tengok Ica makan. Suap nasi dua kali baru kunyah. Sebijik macam ayah. Mesti kes nak cepat sangat. Tengah-tengah makan tu, tetiba sakit perut pulak. Mana taknya, perut terkejutlah, asalnya kosong, tiba-tiba dapat rezeki sekali banyak! Tapi Ica pandai, Ica berhenti sekejap, dan lepas tu sambung makan. Itupun, nasi tak habis. Ayam KFC je yang habis. Minumanla yang banyak. Bertambah-tambah lepas secawan, secawan lagi.

Dah makan berbuka, terus melepak depan tv pulak. Pukul 8 lebih baru Ica solat maghrib. Ibu pun sama. Ketat betul rasa kat perut. Tapi ibu paksa juga Ica solat Isyak dan terawih dengan ibu. Punya seksa nak habiskan 8 rakaat tu, sebab perut penuh. Tapi Alhamdulillah berjaya kita! Siap Ica belajar mengaji dan ibu baca yasin malam Jumaat.

"Kenapa kita kena baca yasin untuk arwah?" Ica tanya ibu. Sebab Ica suka nak baca yasin je daripada mengaji AlQuran. Yasin tu Ica hafal sikit-sikit.

Sebenarnya tak kisahlah bacaan yasin ke atau surah lain, kalau diniatkan untuk hadiah pada arwah, Insyaallah sampai pahalanya pada diorang. Kita yang hidup ni kenalah bersedekah pahala pada yang mati, mana tahu, boleh tolong dia sikit sebanyak. Kesian diorang dah takde peluang buat pahala untuk bekalan di kubur dan di akhirat.

"Ohhh kesiannya..." kata Ica :)
Sebab tu, ibu nak Ica belajar mengaji pandai-pandai, nanti bila ibu dah mati, Ica kena selalu sedekahkan bacaan AlQuran pada ibu. Kasi lapang sikit kubur ibu nanti ya :)
Noneng pun tunggu kita selesai solat terawih. Setia kat belakang ibu. Nak manja-manja le tu...

 Sebelum ayah pergi terawih kat surau, ayah ajak makan durian dulu. Wah suka lah Ica... Dan noneng... Ibu tengah kenyang sangat, takde lah nak join sekali.
Noneng adalah sejenis kucing pencinta durian. Haritu dia makan dengan bijinya sekali. Kalau tak bagi, dia nangis sambil minta. Kalau bagi sikit, dia minta lagi dan lagi. Kalau bagi banyak ha macam ni lah, terkeluar lidahnya. Suka sangat!

Ibu teringat, ibu mula berpuasa masa ibu darjah 1. Itupun cuma 2 hari terakhir sebelum raya. Tak ada kesedaran nak berpuasa awal sebab embah kata, yang penting solat dulu. Lepas tu baru puasa. Ibu mula solat masa darjah 1, jadi embah pun tanya sama ada ibu nak mula puasa. Akhirnya ibu berjaya juga puasa penuh dalam 2 hari tu. Tapi embah kena masak ayam masak merah kegemaran ibu lah. Sedap sangat. Bila bersahur, ibu makan nasi dengan ayam masak merah, jejari ibu yang pendek-pendek ni, tenggelam dalam nasi. Haha! Mesti comel sangat... :) kalau boleh nak setiap hari ayam masak merah! Kalau boleh kuah masak merah kena lebih. Baru ngam!

Ironinya, sekarang ni ibu tak pernah pun teringin nak makan nasi dengan lauk ayam masak merah. Kalau nasi beriyani bolehlah. Citarasa dah tukar. Kalau Ica pula, aih takkanlah ibu nak kena beli KFC setiap hari?


No comments: