May 31, 2012

Kewajaran memarahi anak

Ibu rasa, bukan ibu seorang saja yang perasan bahawa ibu bapa sekarang tidak lagi memarahi anak-anak mereka sepertimana mereka dimarahi ibu bapa zaman dahulu. 

Masa ibu kecik dulu, ibu ingat yang mak dan bapak bukanlah garang, tapi kalau marahkan anak, memang tak tahan-tahan punya. Terutamanya kalau masa mengaji dan solat. Cuma, ibu tak ada masalah bab ini. Bukan sebab alim ke apa. Tapi solat ibu masa kecil, rasanya lebih terjaga daripada solat ibu sekarang (astagfirullah...). Ibu mengaji tak perlukan kena marah atau kerdik baru boleh tangkap. Pendek kata, kedua2nya ok. Berbeza dengan kakak-kakak dan abang. Bapak akan menyinga semasa mengajar kakak mengaji terutama kakak no. 3 sebab agak lambat dapat tangkap. Selalu bapak akan libas dengan kain. Ada satu kali tu, mak terletak pin baby kat hujung kain. Jadi bila bapak libas kain tu, pinnya tajam kena ke muka. Aduhh tentu perit tu.

Tapi disebabkan herdikan itu, semua adik beradik boleh mengaji dan alhamdulillah masih mengaji hingga kini. Bab solat, alhamdulillah tak perlu paksaan lagi. Cuma ingatan bab masanya saja.

Ibu pula, walau bukan kena marah pasal 2 perkara tu, tapi ibu teruk di marah untuk bab di dapur. Arahan mak yang ultimatum ialah, kalau nak makan, kena masak, atau tolong masak. Kalau malas, jangan makan. Tengok sajalah orang lain makan. Kalau lebih suka membongkang tidur sebab nak puaskan mata, ha, bagilah mata tu tidur kenyang-kenyang, jangan bagi perut makan. Biar lapar asal puas tidur kan.

Ibu cukup takut kalau nak curi-curi makan bila tak tolong masak. Sanggup berlapar. Ala bukan mak nak pukul ke apa. Tapi tetap takut dan malu...

Budak sekarang, ada di herannya? Mengaji kat rumah orang. Mustahil orang tu nak marah begitu teruk. Sebab dia ajar mengaji pun dibayar. Kan.

Masak di dapur. Budak sekarang ada kisah ke? Anak saudara ibu yang dah besar panjang, yang dah kawin dan beranak pinak pun, kalau balik rumah ibu bapa masing-masing, tak kuasa nak jengah dapur untuk memasak. Apatah lagi yang masih dara, teruna ni. Masuk dapur untuk makan saja lah jawabnya. Ibu bapa pun tak marah. Lagi marah kalau sepahkan dapur. Begitu kaedahnya sekarang.

Bila ibu nak jadi garang masa mengajar Ica mengaji, Ica jadi blur dan terus tak mahu mengaji. Jadi, ibu yang serba salah balik, kalau tak, tak mengajilah jawabnya. Kerap kali mengaji tertangguh sebab ibu marah, dan Ica jadi blur. Itu belum masuk pasal nak kena membebel kalau dia tak letak botol susu kotor dalam singki, sepahkan mainan depan tv, sepahkan pensil warna atas meja, tak kemaskan buku masuk dalam beg, tak tutup tv bila nak main dengan kucing di luar, dah main kucing tak basuh tangan terus nak pegang makanan, atau buka pakaian dan tinggalkan atas lantai tak reti nak masukkan dalam bakul pakaian kotor. Banyak kan alasan untuk marah sebab nak mendidik?

Zaman sekarang lebih kepada pendekatan psikologi. Kena cakap elok-elok. Kena pujuk memujuk. Kena beri penjelasan panjang lebar siap dengan nas hadis ayat quran semua. Serious.


Contohnya. Lepas main kucing, kena basih tangan walaupun bukan nak terus makan.
"Ica, kena basuh tangan. Sebab bulu kucing kotor. Sebab dia kencing berak tak basuh. Dia tak pakai kasut. Dia tak mandi setiap pagi dan petang. Tengok air liurnya buat basuh bulu tu. Geli tak?"

Atau, bagi Ica yang suka garu lehernya yang debab tu sebab berpeluh dan gatal, sampai merah dan kadangkala luka, tapi tetap nak garu sampai puas, kena pulak cakap, "Ica... jangan garu kuat-kuat, nanti luka. Kalau luka nanti sakit... Kalau dibiarkan sakit, nanti keluarlah ulat-ulat macam ni (tunjukkan jejari kita merenyam-renyam depan mukanya) ha, nanti Ica dah takde leher. Sian Ica."

Kalau malas mengaji atau mengaji tak pandai-pandai, ibu selalu tak kasi dia tengok tv sebab nak balas balik kekurangan dia tadi. Tapi, dia tahu dan faham. Dia sendiri yang mengingatkan dirinya supaya tak mendesak nak jugak tengok tv sebab katanya, "Ica tak pandai mengaji, jadi tak boleh tengok kartun kan ibu..."

Tapi, ada sesetengah penjelasan yang dia tak nak terima pun. Contohnya main kuda-kuda atau mainan yang kena masukkan coins lepas tu dia bergoyang tu. Pujuklah walau se ekstrim mana, dia tetap akan minta main.

Semalam, ada sesuatu yang mengejutkan ayah, dan dikongsikan dengan ibu. Kejutan yang tak best lah. 

Ica bangun pagi, dalam keadaan masih baring menelentang, dia menggoyang-goyangkan pinggulnya sambil berbunyi-bunyi persis seseorang dalam kedudukan berjimak. Ayah pun tegur. Ica buat apa? 

Dengan selamba dia menjawab. Malam tadi ayah dengan ibu buat macam ini kan? Ayah terjegil mata. Sudah tentu kami sangat menjaga hal-hal sulit begini dan oleh sebab terlalu menjagalah maka kami masih belum berjaya mendapatkan anak kedua buat masa ini. 

Dengan lebih selamba dia menjawab Ica tengah main lah. Ayah tanya lagi, main apa? 
Main lah!  katanya selamba.

Ayah pun apa lagi, teruslah membuka khutbahnya. Menjelaskan kanak-kanak tak sepatutnya main permainan seperti ini. Begitupun, Arissa tidak begitu ambil berat bebelan ayah. Degil. Sehinggalah ayah jadi berang. Ada lah yang kena cubit ke tampar tu. Kita tak perlu tengok anak kita kena cubit atau tampar, tapi dengan mendengarnya saja kita dah terasa sakit dan rasa eh tak patutlah pukul anak mcm tu. Sakit tahu. Inilah mentaliti ibu bapa sekarang. Tapi hakikatnya, ada sebab yang munasabah untuk itu.

Kadang-kadang, kita cukup menjaga tatasusila di rumah. Sanggup bersabar dan istiqamah. Tapi ada ibu bapa lain yang tidak. Anak-anak mereka lah yang membawakan influence tidak baik ini ke sekolah dan menyebarkan pada yang lain tentang perkara yang sulit dan tidak sepatutnya diketahui pada usia ini. 

Ibu faham, dalam kelas 4 mawar saja (Tadika 4 tahun) ada 17 orang murid. Yang umur 3 tahun, 5 tahun dan 6 tahun pun ada ramai. Berpuluh-puluh lagi. Ia menjadi mustahil bagi beberapa orang guru yang ada ini untuk memantau apakah perbualan setiap murid. Alah, kadang-kadang anak kita nak terberak terkencing pun siap dah terlepas dalam seluar baru teacher tersedar dia nak ke toilet. Menunjukkan betapa sibuknya kerjaya cikgu tadika. Jadi, kita tak boleh salahkan guru semata. Jadi, semua orang mesti mengambil berat dan tahu peranan masing-masing.

Ibu masih tak tahu dari mana nak mulakannya. Ibu tak mahu Ica matang sebelum waktu. Ayah lagi risau sebab dia anak perempuan dan sekarang macam-macam jenayah seksual berlaku pada anak perempuan. Ibu dah lama risau. Sejak Ica dalam perut lagi. Ibu berdoa semoga Allah pelihara Ica daripada anasir tidak baik. Ibu berdoa supaya Ica jadi anak yang solehah, tahu jaga diri dan takutkan Allah.

Ye. Kita boleh hantar anak kita belajar ilmu pertahan diri. Tapi kalau benteng iman tak cukup kuat nak pertahan nafsu, sesiapa pun boleh kecundang.  Ya Allah bantulah kami.

Kepada ibu bapa yang ada anak kecil, waspadalah. Marahilah jika ada kewajaran. Tindakan kita di rumah, tanpa kita sangka, rupanya boleh mempengaruhi keseluruhan masyarakat di luar.

No comments: