Feb 14, 2013

Pengajaran : Terpulang bagaimana kita melihatnya.

Bismillah.

Hari ini rupanya 14-2-2013 ya? Hari Valentine. Ohh saya tak menyambutnya pun. Tak ada kena mengena langsung. Cuma tiba-tiba teringat. Memandangkan hari ini hari terakhir saya di ofis, dan dah pun siap kemas barang semua. Tengok ni.
Bantal pun masuk dalam kotak. Ada 2 kotak besar dan 1 kotak kecil dan 2 beg plastik bantal semuanya. Heheh. Staff saya siap perli, karpet ni nak gulung jugak ke puan? Cet!!!

 Belakang sana tu dah kosong. Tapi ada yang saya tinggalkan, macam buku pejabat, circular pejabat, tempat letak paper tu, bunga yang buruk tu... Aish, bunga tu kenangan sejak dari zaman saya masuk kerja tau. Dah dekat 10 thn. Tapi takpelah tak nak bawak sebab dah berhabuk. Lagipun saya bukan pandai jaga bunga....

 Ini yang bakal dibuang. Kertas-kertas terpakai. Kalau ada orang yg rajin nak jualkan, dapatlah dalam sepuluh ke lima puluh hinggit kot? Tapi staff kata, tak rajin. Amboi, sekarang menjawab la dengan saya ye sebab dah bukan bos dia lagi. Takpe nanti suruh dia jugak panggilkan cleaner kasi clean ini mess.

 Kasut dan selipar yang dah guna sejak dulu. Selipar tu berat yang amat. Selipar zaman mengandung dulu. Konon nak protect tapak kaki. Sekarang lagi melenguhkan kaki nak angkatnya. Kasut tu terlalu kewanitaan. Sampai sempit dan sakit kuku kaki ni. Alasan kaki gemok dah tak muat nak masuk ler.

Kotak yang ternganga tu isikan dengan barang-barang bukan pejabat. Macam souvenir lama-lama yang terperap dalam almari. Nak bagi kat orang, rasa segan pulak. Yela bila dah tak nak baru nak bagi? Yang buang pun dah banyak. Suami kata, takpe bawak je balik. Mana yang boleh pakai, kita pakai lah. Mana yang  tak nak, sumbat ke dalam store. Ok lah.

Balang kaca tu mulanya nak bagi orang juga. Dulu saya rajin letak jeli atau batu sungai dalamnya, letak air, letak pokok hijau yang menjalar, boleh kutip dari bawah jambatan macam jambatan yang kat Jln Tun Razak ke, MRR2 ke. Sampai minta tolong suami ambilkan daun tu. Letak dalam bilik, konon boleh la tambahkan oksigen. Jadi kuranglah stressful nya kan?

Tapi hampeh. Semua daun hanya boleh bertahan seminggu je dalam bilik ni sebab bilik ni hangat. Tak ada aircond. Tak tahu kenapa tak ada. Tempat lain semua sejuk macam dalam peti ais. Bilik ni, saluran aircondnya macam tersumbat. Jadi sejuk aircond tu dapat daripada pintu yang terbuka. Dah memang wajib kena buka pintu atau bidai untuk mengelakkan syak wasangka pegawai tidur masa pejabat, haha. Baiklah buka pintu. Itupun masih memerlukan kipas. Jadi, kipas buka seharian, pintu pun sama. Kalau tak, dengan saya-saya boleh pengsan kehangatan. Bukan hangat hot. Tapi too warm :-)

Tapi, balang tu boleh buat letak mini akuarium kat rumah. Lupa pulak ada anak yang sukakan nature and wildlife, dan asyik minta nak tengok ikan kalau kat petshop. Boleh la letak ikan nanti. Jangan dia pi ambik ikan tu letak kat tempat makanan kucing kat luar sudahlah.

Esok, maka bermulalah cuti rehat saya sebelum memulakan penggal pertama pengajian. Hihi, rasa macam tak percaya, how time flies. Eleh, takyahlah tak percaya, nanti pejam celik pejam celik, eh dah habis belaja? Nak kena report duty balik?

Bermula esok saya akan kehilangan bilik pejabat yang saya dah guna 4 tahun ini. Tak sangka dah 4 tahun. Rasa macam kejap sangatlah.

Kehilangan boss Judge saya yang baik tu. Dengan dialah saya merasa naik kereta Hakim pergi makan sama-sama dekat restoren mahal hari tu, dan dapat cenderamata sempena perpisahan. 8 tahun menghamba diri pada sekurang-kurangnya 5 boss Judge di 3 tempat berlainan, ini kali pertama merasainya. Mestilah terharu.

Saya juga akan kehilangan kakitangan yang dah lama saya kenal walaupun saya bukan bos mereka. 4 tahun di Civil kan...

Kehilangan kawan-kawan sejawatan.... Mungkin tak ramai lah. Sebab ramai yang dah pindah terlebih dahulu daripada saya. Yang tinggal hanya beberapa kerat saja. Ini menjadikan kita sangat rapat pada suatu ketika.

Dulu saya rapat dengan orang bilik sebelah ni. Cik A. Kan banyak gambar saya dengan dia dalam blog ni. Tak tahulah dia baca atau tak blog saya ni sebab saya dah banyak kali tukar address. Konon selebriti ke? Eh taklah. Malu la orang baca blog kita. Bukan ada apa pun.
Dulu saya ni seorang yang perasa. Sensitif. Suka pendam dan luahkan di blog. Tiba-tiba apa yang diluahkan tu menyebabkan ada orang yang berkecil hati. Terus saya pun tukar address. Itu satu.
Bila saya baca semula entry lama-lama, saya rasa saya ni pemarah dalam hati. Suka rasa kecewa. Senang bersedih. Dan jarang menghargai kehidupan. Sedangkan, hidup ni bukanlah mengenai kesedihan semata.

 Duit tak cukup, sedih. Suami tak ada kerja tetap, sedih. Tak dapat beli kereta idaman, sedih. Tengok orang lain berjaya, down. Tak dapat pergi jalan-jalan, sedih. Entah apa-apa.
Padahal bukan susah nak menjadi gembira. Bukan duit yang banyak yang boleh menggembirakan. Iya, iya... Memanglah duit tu penting ye. Orang sekarang kalau tak ada duit mana boleh hidup. Kentut jer yang free kan?

Tapi dengan duit yang sedikit tu kita boleh menikmati kehidupan dengan lebih baik. Caranya?

1) Lihat pada yang kurang mampu, kurangkan lihat pada yang kaya.

Ukur baju di badan sendiri. Kalau sedikit yang kita ada, maka janganlah banyak yang kita minta-minta. Kalau tak dapat nak jalan-jalan ke New Zealand menghirup udara dingin di sana, apa salahnya ke Cameron Highland. Pun sejuk juga kan. Kalau tak dapat nak ke Zoo Negara yang tiketnya mahal, mungkin boleh mulakan ke Petshop dulu?

2) Hargai diri dan keluarga.

Menghargai diri ialah dengan menjaga kesihatan. Tak payah berkira kalau bab kesihatan diri kan? Kasut mahal untuk kaki yang sihat? Apa salahnya. Bukan semestinya yang mahal hanya utk dipertontonkan pada umum. Mahal untuk kepuasan diri. Jangan berkira dengan diri dan keluarga. Selagi mampu, Insyaallah rezeki Tuhan tu Maha Luas.

3) Sedekah.

Tak cukup kalau mulut katanya mengucap syukur, tapi tidak memberi apa-apa faedah pada yang disekeliling kita. Yang membuatkan hidup lebih bermakna ialah berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Caranya? Tentulah dengan bersedekah. Bukan bagi barang yang kita dah taknak saja pada orang. Sedekah ni boleh dimulakan dengan sekecil-kecil perkara. Macam beli makanan untuk staff. Belanja kawan makan di tempat istimewa. Beri makan pada kucing jalanan. Eh banyak lagilah.

4) Jaga ibadah dan istiqamah.

Ibadah wajib mesti dijaga. Insyaallah akan meringankan ibadah umum. Bab ni tak payah ulas panjang lah. Semua orang pun dah tahu kan. Yang penting kena disiplin dan jangan culas walau sekali. Orang yang menjaga ibadahnya, Insyaallah akan menjaga hubungannya dengan Allah. Kalau hubungan dengan Allah baik, maka hubungan dengan alam dan manusia pun Insyaallah baik.

5) Berlapang dada dan take it easy.

Orang kata, sabar tu akar. Eh, saya yang kata lah. Sebab saya rasa, saya ni seorang yang penyabar. Heheh masuk bakul. Saya tak marah-marah orang depan-depan. Saya tak pandai jerit-jerit dengan orang. Ye, saya marah dan jerit kat anak saya kalau dia super-nakal. Saya marah membebel kat suami saya kalau dia degil. Hihi.

Tapi saya rasa disebabkan sabar, banyak perkara yang boleh diselesaikan dengan aman.
Lagi bagus kalau dapat melihat semua sisi yang positif saja. Takyah nak jump to conclusion atau sengaja buat havoc. Bertenang. Tarik nafas dalam-dalam. Start to think wisely.

Kita memang kadang tu cepat terasa. Emosi. Bengang on the spot. Nak buat macam mana, nama pun manusia kan. Tapi tak perlu marah-marah dulu. Tak perlu potong explanation orang. Dengan kata lain, cuba memahami. Tapi kalau kita dah cuba memahami, keadaan masih begitu, just leave it. It has become out of control.

Tahun-tahun saya di Civil (yang 4 tahun) ni banyak mematangkan saya dan mengajar saya melihat sisi positif pada hampir setiap perkara, walaupun pada mulanya memang hidup bertemankan tangis dan rasa tak puas hati saja. At last, saya melihat rezeki Allah itu sebenarnya adil dan akan tiba pada kita pada masa yang sesuai. Kita hanya merancang, tapi Dia sebaik-baik perancang.

Berbalik pada persahabatan saya dan Cik A, ianya sudah pun terkandas di tengah jalan. Kedua-dua kita tak sependapat dan sekeras batu. Saya melihat kegagalan di pihak saya dalam mengekalkan hubungan baik ini. Saya sedih sebab selepas 4 tahun, kami terpaksa membawa haluan masing-masing hanya kerana satu perkara bodoh. Tapi terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata, badan binasa. Saya yang salah kerana tak habis-habis memprovokasi semata-mata mahu mendapatkan respon. Dia pula menganggap cara paling baik bagi mengelakkan hati kita terluka ialah dengan berdiam diri.

Bila dia terus diam, saya terus memprovokasi, tiada respon dan pelbagai andaian yang timbul, akhirnya ia mati di situ. Saya menangis sedih pada mulanya. Saya tak sangka. Eh betul ke tak sangka. Atau sebenarnya ada bunga-bunga kelahi yang telah mencambah sebelum ini?

Saya ingat, saya akan sedih kerana meninggalkan dia. Tapi rupanya saya telah terlebih dahulu 'ditinggalkannya' semasa saya masih berharap ada sinar dihujung lorong gelap. Kehilangankah saya?
Selepas beberapa lama, saya melihat ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Selepas kami tidak lagi berkawan, saya menjadi lebih terbuka. Saya mendapat lebih ramai kawan. Hairannya, saya menjadi lebih gembira. Pelik kan? Jadi, selama ini, walaupun saya dengan dia, saya tetap kurang gembira, kerana apa?

Kesimpulannya, semua yang berlaku bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. Jika kesedihan yang kita cari, maka sedihlah yang kita perolehi. Jika kehilangan yang saya cuba rasakan, memang akan terasalah kehilangannya.

Saya takmahu bersedih lagi. Kerana musim itu telah dibawa pergi oleh masa yang telah banyak mematangkan saya. Ia bukan kehilangan. Tapi, saya telah diberikan satu tangga menuju ke aras yang lebih baik oleh Allah. Pengalaman yang saya pelajari sangat mahal nilainya. Titik yang saya akan pergi juga amat tidak ternilai dah sangat saya dambakan.

Kemungkinan yang besar, saya tidak akan kembali ke sini. Tapi, rezeki kita, rahsia Tuhan. Apa yang penting saya yang perlu yakin diri. Insyaallah.

Saya tak pun kehilangan. Tapi saya sedang berhijrah menjadi saya yang lebih baik. Insyallah.

No comments: