Mar 20, 2013

When the time's come...

Bismillah...

DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali.
Malam tadi, kira-kira 2 pagi, arwah Tuk Rahmat, abang pada Nenek Ica, meninggal dunia. Beliau tidak sakit. Sebelum tidur masih elok berbual-bual. Siangnya masih kuat memandu ke sana sini seperti biasa. Siapa tahu, ketika tidur dia dijemput Ilahi. Semoga Allah melimpahi rahmat dan keampunan buat Tuk Rahmat.

Tuk Rahmat adalah bapa saudara ayah Ica yang mewakili rombongan ayah meminang ibu kira-kira 6 tahun dulu. Adik beradik nenek ada 6 orang, Tuk Rahmat anak kedua. Yang sulung Nek Jahura' masih sihat dan tinggal di rumah anaknya di Kajang. Tuk Jahura' berumur menjangkau 90an, manakala Tuk Rahmat pula berumur 85 tahun. Beberapa bulan kebelakangan ini memang Tuk Rahmat asyik keluar masuk hospital dengan pelbagai penyakit tuanya, seperti sakit perut, dada, etc. Tapi minggu terakhir ini beliau sihat-sihat saja. Tentulah naluri manusia biasa macam kita ini tidak akan sama sekali menyangka yang beliau akan dijemput Ilahi sebegini cepat walaupun umurnya yang sudah banyak. Inilah yang dikatakan jika sudah tibanya ajal, tiada apa yang dapat mencepatkan atau melambatkannya.

Kali terakhir kita berjumpa arwah dan seisi keluarga yang lain ialah semasa hari raya kedua tahun lepas,  di rumah isteri Tuk Rahmat di Kuala Selangor. Tuk Rahmat tinggal dengan isteri kedua yang dikahwininya ini dan meninggalkan rumahnya di Damansara Damai sejak 3-4 tahun lalu. Sejak itu kalau beraya, kita akan ke sana. Tuk Rahmat pernah datang ke rumah kita sekali dua, bila dia sesekali bercuti atau jalan-jalan ke rumah nenek di Air Panas. Kiranya, kita dengan Tuk Rahmat dan isterinya agak rapat. 
Gambar trio ini diambil secara auto oleh tablet ibu yang diletakkan di atas tv di rumah isteri Tuk Rahmat ketika raya kedua tahun lepas. Rupanya inilah kali terakhir kita menziarahi Tuk di rumah ni ketika dia masih bernyawa.

Ayah diberitahu tentang kematian Tuk Rahmat oleh nenek pada pukul 6 pagi. Tapi kami tak terus bersiap ke sana kerana ayah dengar nenek kata jenazahnya akan dikebumikan selepas zohor. Lagipun, sedara-mara yang lain kebanyakannya dari KL, Kajang dan Johor, tentulah mereka lebih jauh untuk tiba. Kami bersiap biasa-biasa, hantar Ica ke Tadika, bersarapan terlebih dahulu dan kira-kira pukul 9 kami bertolak ke Kuala Selangor. Tiba di sana pukul 10 pagi, kami agak terkejut kerana van jenazah baru saja berlalu ke kubur membawa Tuk Rahmat. Kami pun mengekori dibelakang tetapi tersilap laluan masuk. Bila betul-betul tiba, jenazah sudah siap ditanam dan jentolak sedang meratakan tanah. Sungguh luar biasa cepat!

Nenek kata, bukan lepas zohor, tapi sebelum zohor. Mereka pun terkejut juga dengan proses yang begitu cepat. Ada yang beritahu, kalau boleh sebenarnya qariyah nak selesaikan malam tu juga. Allahuakbar. Sungguh komited ye. Memang betul, urusan mayat perlu dipercepatkan. Lebih lama mayat dibiarkan tidak disempurnakan, lebih tersiksa dia. Kalau hanya dilambatkan sebab menunggu kaum kerabat tiba, ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada si mati, hanyalah kemudahan pada yang masih hidup. Cuma ibu agak terkilan tak dapat melihat arwah kali terakhir. Bukan ibu saja, kakak, adik, anak-anak sedara, dan jiran tetangga arwah yang tiba dari KL semuanya tak dapat melihat beliau kali akhir. Walau bagaimanapun syukur semuanya selamat. Alhamdulillah. Mudah-mudahan beliau dimudahkan urusan di alam sana. Ameen.

Melihat kematian dan melawat kubur, kemudian mendengar bacaan talqin dan doa yang dibaca si imam, membuatkan ibu sebak sendiri. Merasa kerdil dan takut. Bagaimana rasanya berada jauh di dalam kubur yang gelap, rapat ke tanah, seorang diri. Mungkin sejuk, mungkin panas, mungkin menyesakkan. Tapi yang pasti, kita ditemani binatang dalam tanah yang menggelikan. Kita bakal didatangi Malaikat utusan Allah. Cukup tak bekalan kita? Allahuakbar. 

Talqin bukan dibaca untuk faedah simati. Tapi untuk kita yang hidup ini memahami keadaan selepas mati dan merasa takut pada Allah. Ya Allah permudahkanlah urusan kita semua di alam kubur nanti. Mudah-mudahan Allah menerima amal kebaikan kita di dunia untuk bekalan di sana. Ameen.

Ibu teringat bulan 5 tahun lalu, Makcik ibu meninggal dunia sehari sebelum harijadi ibu. Beliau pun meninggal dunia dalam keadaan sihat. Tidak semasa sakit. Beliau memang sakit yang agak lama. Dua tahun agaknya. Sakit usus. Pembedahan dibuat beberapa kali. Tebuk sana sini. Kami dah ingat yang dia takkan lepas. Kami sangka nyawanya akan berakhir di katil hospital. Tapi dengan izin Allah yang Maha Penyayang, beliau masih diberikan ruang masa agak lama lagi. Daripada beliau berisi, jadi kurus, jadi kurus melidi, jadi kurus tinggal tulang dan kulit, hinggalah berisi sedikit dan kurus semula. Beliau memang kuat dan mahu terus hidup. Hinggalah pada hari Allah menjemputnya, ibu rasa beliau pasrah. Beliau pergi dengan mudah.

Sekurang-kurangnya mereka berdua ini meninggal pada usia emas. Sudah puas (mungkin) dengan segala pengalaman hidup yang dilalui, susah senang. Suka duka. Ibu berdoa, agar Allah memanjangkan usia ayah dan ibu, sehingga boleh melihat kejayaan Ica di dunia ini, dan kejayaan dengan kehidupan baru yang Insyaallah baik dan sempurna. Ibu berdoa supaya ayah dan ibu dapat peluang mengerjakan haji di usia muda, kemudian dapat ke Tanah Suci lebih daripada sekali. 

Walau bagaimanapun, jika Allah menjemput ibu lebih awal, sebagai hambaNya, ibu harus pasrah. Hidup hanya persinggahan. Ibu harap ayah dan Ica redha jika ini berlaku. Baik sesiapa pun antara kita yang pergi dulu, yang tinggal harus menerima ketentuan Ilahi dengan hati terbuka. Talian kita akan terus utuh sehingga dipertemukan semula di akhirat nanti Insyaallah. Hanya kematian yang memisahkan. Ia mungkin satu titik atau garisan yang halus saja. 

Bersediakah kita menghadapi mati? Semua orang akan kata belum bersedia. Kalau yang jahat akan kata belum puas dengan nikmat dunia. Belum sampai seru untuk tutup aurat, solat 5 waktu, berzakat, bersedekah dan amalan yang lain. Kalau yang baik akan kata, belum cukup amal. Belum buat itu ini. Pendek kata segalanya ada halangan duniawi. Padahal siapa kita untuk kata semua tu, sedangkan hak memberi hidup dan mati adalah di tangan Allah. Wajib bagi kita mempersiapkan diri ke arah itu. Wajib solat penuh. Tampung dengan amalan sunat. Wajib tutup aurat. Tak perlu tunggu usia tua. Tiada siapa yang boleh berikan jaminan yang mati itu hanya datang ketika kita sudah tua. Apabila janjiNya telah tiba, mati tetap akan datang. 

Hidup itu Insyaallah. Mati itu pasti.
Wallahua'lam.




No comments: