Bismillah.
Pagi ini banyak pula dramanya. Ayah dah berlepas ke Batam malam tadi untuk 2 hari kerja luarnya. Di rumah, ibu dan anak saja lah yang tinggal. Ibu selewat jam 4 pagi belum tidur. Biasa begitu bila ditinggal suami. Mata tak mahu lena. Jadi, jam 8 pagi, anak dah bangun, Noneng pun dah mengacau, akhirnya ibu kena juga tinggalkan katil. Mandi. Mandikan anak. Beri susunya dan buka tv utk hiburan. Jam 10 hantarnya ke tadika. Tapi pintu tadika masih bermangga. Telefon pun tak berangkat. Lampu luar pun masih bernyala menunjukkan apa? Belum bangun lah agaknya. Aduh... Patah balik. Sarapan dulu nasi lemak. Sambil bermesej dengan tuan punya tadika. Itu ini begitu begini, akhirnya tuan punya kata, maaf tadi cikgu termangga pintu masa nak naik ke atas. Boleh? Cikgu datang pukul berapa? Masa matahari masih belum naik? Padahal cikgu yang ada, memang tinggal di tadika. Huh. Pukul 11, hantar semula Ica ke tadika. 3 buku dibekalkan untuk latihan. Sekurang-kurangnya ada la juga aktiviti Ica daripada mengadap TV sepanjang hari di rumah.
Balik dan mengadap laptop semula. Duhhh... Kucing nak main dengan kita. Si Noneng memang tak boleh dibiarkan keluar. Dia kucing domestik yang alpa dan bodoh. Dia bakal dilenyek kereta kalau main melepasi pagar garaj. Dia tak sama dengan Si Puteh, Bebel dan Boboi yang waspada 24jam sebab mereka kucing liar. Kami tahan terkepam dalam rumah tak buka pintu sliding sebab tak mahu si Noneng berlari keluar. Tapi tadi, masa kita terleka sekejap, si Noneng dah pun menyeludup keluar. Adoi. Lantaklah kamu. Mainlah dengan 3 bersaudara yang lasak tu. Nampaknya dia senang "mingle around" dengan mereka walaupun tubuhnya paling kecil.
Ke peti surat menjenguk hantaran si posmen, oh... ada bil utility rupanya. Terpempan lagi. Memang tiap kali menerima serahan bil, kami akan terkaku sebentar. Bil-bil untuk hiburan macam Astro, Unifi, Maxis, Digi, Tunetalk dan sebagainya, kalau mahal pun, kita akan pasrah sebab itu memang pilihan kita. Walaupun dalam rantau ASEAN ini bil kita paling mahal, tapi kita kan yang mahu perkhidmatannya. Jadi, kena akur. Oklah nak buat camna... Tapi bil letrik dan air memang di luar kawalan kita. Bukan kita yang mahu badan penting itu diswastakan menjadi suatu badan yang memonopoli perkhidmatan utama. Tapi begitulah hakikatnya, walaupun bukan pilihan kita, tapi menjadi bebanan kita. Pasrah sekali lagi...
Sebelum ini hanya melihat saja rakan-rakan FB menguplod bil masing-masing dengan keluhan tarif dah naik, tapi kita hanya diam membisu. Bil kita pun ratus-ratus juga tapi kita tak komplen apa pun. Mungkin sebab kita gunakan semaksimanya? Asal panas sikit, buka aircond. Tengok tv selama yang boleh. Di dapur, urusan dimudahkan dengan rice cooker, blender, microwave, oven, hood dapur dan termos letrik. Pakaian dicuci mesin setiap hari dan seterika menjadi teman paling disayangi sebelum kerja. Hujung minggu wajib menggunakan vakum cleaner untuk mempercepatkan kerja. Amboi... senangnya. Itu belum kira tenaga pasif seperti peti sejuk, lampu dan kipas yang katanya tidak menyedut banyak eletrik. Jadi, bila bil yang sampai begitu tinggi, kita pun menjustifikasikannya dengan penggunaan yang melampau.
Tapi sebulan ini saya telah mencuba sendiri. Saya bereksperimen sendiri dengan mengurangkan kadar penggunaan tenaga. Samakah hasilnya? Siang hari tidak buka aircond walaupun panas begitu menggigit. Hanya bertahan dengan kipas meja. Lampu dibuka hanya bila perlu. Memasak di minimumkan. Hanya makan diluar saja. Menggosok pakaian memang terus dilupakan sebab tak perlu berkurung pun untuk ke kelas. Segala peralatan moden yang menggunakan tenaga letrik yang banyak, terus dilupakan, atau dikurangkan penggunaannya. TV pun hanya buka bila betul-betul nak berhiburan saja. Sampai macam itukah? Tapi hasilnya? Tetap melebihi RM150 juga. Jadi, kesimpulannya, memang tarif sudah naik. Pada tahun 2010 ketika kita baru pindah ke rumah ini, bil hanya RM50. Kemudian menjadi RM80 pada 2011. Kini RM160 pada 2013. Takut untuk membayangkan bil letrik pada 2020 nanti.
Bil air pula jarang diteliti. Tapi masa di rumah flet dulu, tak lebih RM25. Bila ke rumah teres, ia menjadi lebih dari RM30. Sekarang, menghampiri RM50, kerana bil bulan lepas melebihi RM40. Tak tahu di mana silap penggunaannya sebab dari dulu sampai sekarang kami masih 3 orang. Membasuh masih banyak itu juga. Sama saja. Tapi mungkin kenaikan yang kita tak sedari atau tak peduli pun.
Untuk utiliti saja, kami sekeluarga yang kecil ini membelanjakan lebih RM700 sebulan. Skybox RM50, Unifi RM150, Tunetalk RM150 (3 hp), belum dikira dengan tanggungan insuran, ansuran rumah dan kereta, sekolah anak, dan keperluan lain. Bayangkan kalau gaji kita hanya RM3000 atau bawah RM5000. Boleh, tapi mungkin kita hanya boleh menikmati perkhidmatan pada kadar paling rendah dan tak boleh komplen apa-apa pun. Betul ke?
Something to ponder.
Till then.

No comments:
Post a Comment