Alhamdulillah... dapat pun menunaikan ibadah puasa hingga hari yang ke 9 ini. Insyaallah esok ke 10 pula. Walaupun sempat demam, lelah sikit, batuk masih kuat, kepala pening-pening lalat sebab cuaca tak menentu dan habuk sana sini, tapi Allah Yang Maha Kaya lagi Maha Mengasihani tetap memberikan kita sedikit tenaga yang mampu mendorong kita menjalani ibadah dengan baik. Takde lah sampai pengsan ke, kena buka separuh jalan ke, kena ambik nebulizer ke, kena baring 24 jam aje ke.
Pendek kata, kekuatan ini, tidak akan ada kalau bukan dengan kudrat yang dikurniakanNya. Alhamdulillah.
Kalau ada pun kekurangannya, tak berapa upaya nak mengaji lebih banyak sebab suara terganggu dengan tekak gatal, dan mata pun berpinar sebab asyik sakit kepala. Solat fardhu pun terpaksa dengan duduk. Tapi, tak pulak solat terawih dengan baring. Hehe. Jadi, kalau siang hari, tidur saja yang mampu. Hikmahnya, tidur di bulan Ramadhan ni dikira pahala. Syukur. Alhamdulillah juga diberikan kekuatan untuk ke dapur setiap petang untuk menyediakan juadah berbuka yang ringkas, walaupun macam rasa nak pengsan berdiri lama di dapur tu :-)
Kebetulan mak dah ada di sini sejak Isnin, kesempatan yang ada ni saya gunakan sepenuhnya untuk memenuhi tuntutan seorang anak. Iaitu menyediakan makanan yang dia suka dan keselesaan semampunya, walaupun mak saya tu kaki komplen :-D kalau ikutkan dia, ada saja yang tak kena. Bilik yang saya sediakan untuk mak tu agak kecik, dibelakang. Tak ada tingkap yang boleh nampak luar. Kalau tak buka lampu, dan pintu dapur tak dibuka, memang gelap gelita macam dalam gua. Tapi, bilik tu ada attach bathroom.
Masa mula renovate rumah dulu, memang bilik yang itu paling sesuai untuk mak. Jadi saya pindahkan bilik air yang asalnya di tengah rumah, ke belakang. Jadi bilik air private mak. Senang dia nak lari kencing bila dah tak tahan. Mak tu dah tua, kerap terkucil di tengah jalan. Kena rajin pantau lap kaki di pintu bilik air. Kadang tu dia tak perasan dah kena air kencingnya, bau hancing. Tapi dia tak bau. Bilik tu dah siap ada air-cond dan lengkap set bilik tidur. Tapi agak sempit sikit lah. Alah rumah teres setingkat 20x70, manalah besar sangat kan. Tapi okeylah ini yang saya mampu, Alhamdulillah.
Dulu, mak selalu mengutuk bilik dia tu gelap. Mak cakap dengan adik beradik yang lain. Dahla gelap. Kalau siang panas sangat. Takde pengudaraan. Bila air-cond tu saya set 24, dia kata air-cond dah rosak, tak sejuk. Takde tv dalam bilik. Dalam bilik air susah nak ambil wudhuk sebab takde kepala paip yang tak bergetah paip. Susah nak pegang getah paip sambil ambik wudhuk. Singki kecik dan tinggi. Buat basah baju. Ha. Banyakkan komplennya. Tapi saya diamkan saja. Kali ni saya suruh suami buatkan kepala paip khas untuk wudhuk. Katil saya ubah sikit supaya boleh naik ke atasnya dari 2 side. Sebelum ni, saya rapatkan katil ke dinding. Jadi sebelah dinding tu berkumpul habuk sebab tak tersapu. Kali ni, senang sikit nak sapu. Cuma, bilik yang kecik menjadi lebih sempit lah.
Tapi, mak komplen pun saya diamkan aje. Saya masak makanan yang dia suka. Tapi, apa yang dia suka? Sebenarnya, susah nak teka kesukaan dia sebab kesukaan kami ni tak sama. Cuma, saya berharap selepas 5 bulan di rumah abang sulung ni, dia ada mood nak tukar angin. Jadi, kalau saya suakan apa-apa pun, dia mesti boleh terima. :-D
Lauk sahur malam Selasa. telur goreng mata, letak bawang dan cili, pastu letak kicap. Banyak gila bawang sampai tak nampak telurnya. Mak memang suka lauk macam ni, tapi tak boleh selalu. Suami goreng ikan masin, yang dalam mangkuk plastik kecik tu, dan ikan pekasam hancur dalam pinggan sebelah telur. Saya gorengkan mak udang jugak. Dia memang suka sangat udang goreng tepung macam ini. Dia yang makan sorang sampai habis. Ok tipu. Saya pun makan. Kuah kari ikan tongkol tu balance lauk nasi dagang hari Ahad yang tak habis. Panaskan balik. Suami habiskan. Alhamdulillah. Dengan ulam tu, barulah tambah selera saya pagi-pagi. Hiks. Dah tua la katakan...
*pinjam gambar bawal dari Google. Bawal kami besar sikit lagi sebab potong 2 pun masih penuh pinggan. Beli saiz XL sebab kebetulan AEON Big tu nak habiskan stok, jual murah2. Kalau tak, memang tak beli kot. Mahal kan (-_-)
Lauk berbuka hari Selasa tak snap pulak. Saya masak bawal masak kicap, ayam goreng, dengan sup bayam campur cendawan. Bawal tu macam hanyir sikit bila dimasak kicap tak pedas. Konon nak bagi Ica makan, so tak boleh pedas-pedas. Nasib baik mak kata ok aje. Mak yang habiskan baki bawal tu masa sahur. Terkejut juga. Tapi syukur lah tak membazir. Alhamdulillah.
Lauk berbuka dan sahur hari Rabu.
Masak lemak bayam + carrot slices.
Peha ayam goreng. All-time-fav mak.
Ikan kembung sambal merah.
Ulam petai dan pegaga yang delicious...
Kuih-kuih manis untuk pencuci mulut, beli saja di pasar malam. Ini wajib ada untuk mak, sebab dia kena ada manisan. Tak larat lah nak buat pengat pisang hari-hari macam masa kat kampung. Beli few slices macam ni, dia dah hepi sangat.
Menu berbuka dah sahur hari Khamis. Masa ini memang badan tengah sangat tak sihat. Tapi, gagahkan juga masuk ke dapur untuk memasak, sebab teringatkan sayur nanti layu. Sayang aje.
Peha ayam goreng + Ikan bawal goreng. Baki bawal haritu. Beli 2 ekor, so kena lah goreng sekarang. Bila goreng garing, ikan ni tak hanyir pulak. Sedap aje suami dan mak makan.
Sayur sawi pendek goreng dengan bawang. Ini sayur kegemaran mak. Kalau di celur saja dengan air garam, siram kicap manis, pun dah sedap. Yang ni sebab nakkan rasa bawang tu, tumis sekejap, letak garam dan gula sikit.
Kari peha ayam + kentang + carrot.
Asyik peha ayam saja? Memang saya purposely beli peha saja, sebab kalau campur part lain, nanti hanya peha yang orang rebutkan. Mak saya tu suka peha saja. Part lain dia tak berapa nak makan. Suami saya pun suka peha. Ica pun nak peha. Saya, mestilah suka peha jugak. So, kari pun peha lah ya :-)
Tapi standard kari kalau ikut suami saya, memang sangat tinggi. Kari saya ni, hanya so-so saja bagi dia. (-_-) kalau kari daging yang selalu beli kat kedai makan kat Gombak tu, tinggal sikit pun sayang nak dibuangnya. Simpan lagi untuk repeat esok hari. Kalau kari saya ni, masa sahur pun dah tak nak repeat (-_-) mak saya memang bukan penggemar kari ayam. Dia cuma ambik carrot + kentangnya saja. Jadi, the rest, saya la yang kena makan. Adoi. Yang ni terpaksa ada balance yang disimpan dalam peti. Sayang nak buang. Tapi tak rasa nak makan lagi. Ala...
Menu berbuka dan sahur Jumaat.
Sup ayam + kentang + carrot. Takde daun saderi pun.
Sambal telur rebus.
Sambal kicap orang jawa style. Pedas tapi manis.
Ikan masin tenggiri.
Ulam raja untuk makan dengan sambal telur tadi.
Air cincau. Dah berhari-hari asyik minum air pasar, kalau tak tebu, soya, fresh orange. Kali ni cincau buat sendiri, harap boleh redakan panas badan ni.
Mak kata, makan kat rumah ni (rumah saya) sedap-sedap. Tak macam masa kat rumah abang sulung, makan dengan 1 lauk saja sebab kakak ipar asyik outstation dan abang malas nak masak beriya. Biasalah bujang sementara. Jadi takde pilihan lauk lain. Kuranglah selera makannya. Ni baru makan 3 hari kat sini, bertambah-tambah nasi masa sahur, makan kuih manis lagi, sekejap saja punggung mak dah terasa berisi. Dia ketawa. Saya pun senang hati kalau mak suka dengan apa yang saya masak. Sebab saya ni memang tak selalu masak dan tak tahu sangat memasak kecuali yang asas saja. Sekarang, walaupun baru 3 hari konsisten memasak, terasa macam dah lama memasak sampai dah tak tahu nak masak apa lagi. hahaha. Dulu, masa kat kampung, masak aje lauk yang sama, hari-hari kuah lemak, gulai (kari), goreng-goreng, arwah bapak dah cukup. Tak komplen pun. Senang aje dia. Ni, kena pula belek-belek resepi dan gambar-gambar yang orang share untuk dapat idea menu esok. Takkanlah nak repeat yang sama aje kan.
Rasa macam nak masak asam pedas, atau tomyam, tapi bersahur dengan kuah yang masam-masam ni macam tak masyuk sangatlah. Padprik, ok kot? Tapi berminyak dan agak pedas. Mak tak suka kuah tomatonya. Ayam masak merah lah... Jap jap jenguk gambar apa yang menarik untuk ditiru.
1) Masak sotong macam ni pun sedap juga.
Sotong goreng kunyit
Sotong tumis
Sotong kunyit berkuah
2) Masakan udang.
Sambal udang petai
Udang masak lemak
Udang black pepper
3) Ayam masak...
Merah
Kicap
Kurma
Kunyit
Alhamdulillah, banyak lagi menu yang boleh saya masak tanpa perlu tiru dan salin resepinya satu persatu :-D Insyaallah untuk beberapa minggu ni masih cukup untuk bergilir menu. Heh, tengok makanan sedap-sedap macam ni, lapar pulak. Sekarang dah pagi. Kejap lagi nak bangun sahur. Okeylah.
Till then.





1 comment:
tengok gambar pun dah berselera
Post a Comment