Dec 24, 2013

Banyak mulut.

Bismillah..
Muka bangun tidur, belum mandi, tapi tak berbaju.
Kebelakangan ini, sejak dah pandai membaca, Ica yang memang banyak mulut, menjadi lebih banyak cakap dan bijak mencari alasan. Semua benda perlu ada penerangan yang bukan sempoi-sempoi. Jadi, mahu ke tidak, ibu dah ayah mesti menjadi contoh yang baik kepada Ica. Fuhh. Memang mencabar ya. Baru Ica seorang, dah macam ini. Kalau ada adik nanti, ibu dan ayah harap, Ica akan menjadi kakak yang memberi panduan. Bukan membuli.
Pakai cekak yang sedondon dengan baju Rabbit, dan gelang nenek bagi. Sepit biru kat cekak tu pun nak jugak letak di situ.
Kalau disuruh makan sayur, ini katanya.
Ica : Takpe. Ibu makanlah. Ica nak nasi dengan kicap dan ikan saja.

Kalau berebut tengok tv.
Ica : Asyik ayaaaaaah aje tengok tv dari pagi tadi. Ica belum pun tengok kartun.

Kalau disuruh pakai tudung.
Ica : Taknaklah. Panas. Takpe nanti kat Mekah, Ica pakai la tudung. Tapi kat sini, taknak lah. 
Berjaya pakai tudung masa pergi makan kat warung Iqbal di Taman Melati.
Kalau disuruh mandi.
Ica : Ica nak mandi dengan sabun boleh? Kalau tak. Tak nak lah.
Alkisahnya, sejak mandi sendiri ni, mandian Ica kerap habis cepat. Ada tu, seminggu dah habis. Padahal beli botol 1 liter. Rupanya, dia buat mandian tu mainan. Diletak banyak-banyak kat bahagian perut, lepas tu dirapatkan kedua-dua lengan di perut, dinaikkan perlahan-lahan untuk buat buih sabun yang besar. Lepas tu ditiup perlahan. Patutlah berjam-jam dalam bilik mandi tu. Ibu pun beli mandian yang murah saja. Rupanya, mandian murah mengeringkan kulit Ica. Jadi Ica gatal-gatal disekitar perut dan belakang badan. tempat sabun disapukan. Ekzemanya menjadi-jadi. Akhirnya, ibu warning, Ica tak boleh mandi dengan sabun. Beberapa hari Ica tak gunakan sabun. Sampailah gatal-gatalnya hilang. Selepas itu, kalau mandi nak guna sabun, ibu yang akan sabunkan. Itu yang Ica jadi malas nak mandi sendiri. Takde buih.

Kalau minta dibelikan sesuatu.
Ica : Ica nak jalan dengan ibu. Taknak jalan dengan ayah. Sebab kalau mintak apa-apa dengan ayah, ayah selalu taknak beli.
Selalunya, bila dengan ibu, Ica merengek sikit-sikit je, dah dapat apa yang dia nak. Malahan ibu banyak bagi pilihan pada Ica, nak beli apa, yang macam mana, apa yang sesuai dengan Ica. Itu yang dia suka sangat.
Koleksi cekak Ica. Tak termasuk yang dia pakai kat gambar atas tadi, ada 11. Still. Bila nampak cekak, nak beli lagi.
Kalau minta majalah luar negara (princess/movie).
Ica : Betul ke nak belikan Ica majalah ni?
Ibu : Eh ini majalah luar negara. Takde kat sini. Ada di Amerika aje.
Ica : Alaaaaaaaaa, kalau macam tu pegilah ke Amerika, beli untuk Icaaaaaaa.

Kalau disuruh makan kismis.
Ica : Ala. Taknaklah semalam kan dah makan.

Kalau disuruh minum air madu.
Ica : Taknak. Semalam pagi dah minum. Malam nak tidur pun dah minum.
Ibu nak biasakan Ica minum madu sampai bila-bila sebab sejak minum madu, tahap imuniti badan Ica bertambah baik. Jadi kalau Ica skip makan sayur pun, ibu masih lega lagi sebab Ica dah ada supplemen vitamin daripada madu dan kismis. Tapi walaupun dah makan madu sejak bayi, Ica tetap tak sukakan rasanya. Setiap kali perlu dipaksa (-_-)

Kalau ibu dan ayah taknak belikan apa yang Ica nak, Ica akan merajuk masa tu jugak. Tak kisahlah kalau tempat tu bukan kat rumah.
Tengah merajuk sebab ayah tak nak belikan bekas air fancy yang jual kat kaunter popcorn. Mahal sangat. Bekas air yang nilainya RM2-RM5 tu dijual dengan harga RM22 dalam set kombo. Tak berbaloi.
 Kalau bab berangan, nombor satu.

"Bila besar nanti Ica nak jadi princess..."

"Ibu, jom kita pergi tempat yang ada Frozen tu nak? Ada ais cantik-cantik..." Sambil menunjukkan video youtube orang mengukir patung daripada ais.

"Lepas balik dari Mekah nanti, Ica dengan ayah dengan ibu nak ke Legoland!" Habis dicanangnya kat semua. Embah. Nenek. Aiman. (-_-)

"Kalau ayah tu kerja kuat kan, banyak duit kan, bolehlah dia beli kereta yang takde bumbung tu. Lepas tu Ica boleh tengok kat atas tu. Tak payah lah tengok kat tingkap saja. Ha..."
Tapi kalau hujan, basah, jadi banjir, macam mana?
"Takpelah. Kalau banjir, nanti ayah bersihkanlah. Lepas tu boleh guna balik. Haaa...."
Habis tu kalau asyik je hujan, banjir, ayah asyik kena bersihkan kereta tu, bila pulak ayah nak bawak Ica jalan-jalan?
"....." (Speechless la tu)

"Ica nak pandai main gitar macam kawan Ica Alisha tu. Pastu nyanyi macam Najwa Latek". 
Sebelum-sebelum ni memang dia sebut Najwa Latek. Bila dah baca nama artis tu betul-betul, barulah Ica sedar, rupanya selama ni Ica salah sebut. Sebab namanya bukan Latek, tapi Latiff. Haha kelakar jugak.

"Kita nak pergi main kat Estival City ke?"
Walaupun dah boleh baca "Festival City" tapi Ica sengaja teruskan sebutan Estival tu sebab taknak ibu ejek... Heheh.

Kalau mengata orang, memang pandai sangat. 
Tak kira tempat dan jarak dengan yang dikutuk tu. Selalunya, ayah dan ibu la yang akan tersipu-sipu malu. Haih tentulah malu. Anak kita mengutuk orang depan-depan. Mesti orang ingat, ayah dan ibu ni kuat mengutuk, sebab tu anaknya begitu (-_-) padahal, tidak...

"Apalah orang tu botak!"
"Hish ibu ni, macam budak-budak!"
"Ayah kalau tidur, bunyi kuat macam monster!" Actually, ibu pun kena kondem jugak (-_-)
"Hish ayah ni, asyik tengok handphone aje!"
"Kenapa orang tu badannya gemuk sangat?"
"Kenapa budak tu pakai baju tak cantik macam tu?"

Sepanjang cuti sekolah yang 2 minggu ni, Ica dah semakin pandai solat dan mengaji. Alhamdulillah. Ini tak boleh berhenti sampai bila-bila. Tapi siang hari, aktivitinya tak lain hanyalah mengadap tablet dan menontov tv.
Sampai muak main puzzle.
Dan asyik dengan youtube. Nasib baik bila jeling-jeling tu, Ica tengok Najwa dan seangkatannya.
Menonton tv dengan Noneng.
Heloo...? Enjoy nampak?
Noneng yang pasrah.
Mungkin sebab ibu jaga pemakanan Ica, mesti makan nasi walau sekali sehari, jadi Ica makin montel. Takpelah kalau orang nak kutuk Ica budak gemuk ke apa. Sebab ibu yang jaga Ica, ibu yang rasa puas hati. Anak orang susah nak makan nasi. Anak ibu, asalkan ada kuah sup, atau kicap, pun boleh berselera. Cuma, ibu kena cepat bertindak. Kalau Ica lapar, jangan tunggu lama. Kena suap nasi. Kalau tidak, nanti Ica makan makanan ringan. Keropok dan cokelat. Makanan ringan yang ibu tak benarkan Ica makan. Itu pun, Ica ada makan sembunyi-sembunyi juga. Especiallay kalau ibu sibuk kat kelas.

Ica si montel Michelin.
Tengok perut Ica Michelin.
Michelin conquere besen.
Michelin pakai tudung. Tengok tu perut Ica Michelin.
Mulanya Ica tak tahu, Michelin tu apa. Dulu ayah panggil ibu ni Michelin. Padahal, dia pun Michelin jugak.
Inilah dia Michelin. Maskot tayar kenderaan besar.
Comel baby Michelin ni.
Ibu tak nak buat picture comparison Michelin dengan Ica kat sini, tapi pandai-pandailah Ica bayangkan sendiri. Haha.

Ibu tahu, kadangkala ibu garang yang melampau pada Ica. Tapi ibu rasa, ibu dah banyak tone-down sejak Ica semakin membesar. Waktu ibu bekerja dulu, ibu selalu stress sebab penat. Tapi sekarang, ibu takde alasan untuk stress lagi. Stress belajar tu biasalah. 

Dulu ibu selalu cakap kuat-kuat, menjerit-jerit, pukul Ica dan cakap garang-garang, sebab Ica nakal dan tak dengar kata. Tapi semakin ibu buat begitu, semakin Ica tiru apa yang ibu buat. Baru ibu sedar, bukan begitu cara mendidik. Ica pula suka dipujuk dan dimanjakan. Jadi, ibu ikut rentak Ica. Cuma sesekali tu, kalau melampau sangat tahap nakalnya, ibu kena juga jadi garang. Ibu tak nak Ica jadi budak yang membesar ikut acuannya sendiri. Biarlah Ica rasa terkongkong sekarang, asalkan Ica tak melampau di masa akan datang. Insyaallah. Mudah-mudahan. Ameen...

No comments: