Dec 28, 2013

Rindukan Ica.

Bismillah..

Dah semalaman tak jumpa Ica. Rindunya ibu kat Ica. Rindu nak bebel Ica bangun lambat... Rindu nak suruh Ica buat rutin itu ini. Macam, suruh buang air, jangan tahan kencing, pergi mandi, jangan main sabun, cepat minum madu, makan kismis, jangan main tablet saja, jangan tengok tv saja....

Dan yang lebih rindu daripada semua tu, ialah nak cium bau masam Ica bila bangun tidur...

Selama 5 tahun Ica membesar depan mata ibu ni, kita tak pernah berjauhan sampai semalaman. Kalau ayah tu memang dah biasa tinggalkan kita bila dia kena kerja luar. Tentu ayah tak terkesan sangat bila tak tengok Ica semalaman. Ibu ni. Macam ternampak-nampak Ica kat sebelah atas katil. Selalunya, walau tak jumpa seharian dari pagi sampai petang, kadangkala sampai malam, tapi lewat malamnya tetap tidur sekatil dengan Ica.

Ica sebenarnya bercuti kat rumah nenek.
Nenek tengah pakaikan Ica gelang.
Bila embah dah takde kat rumah kita, Ica nampak macam kehilangan sangat. Kalau embah ada, Ica asyik nak buli embah tu. Suruh embah tepuk Ica masa nak tidur petang, suruh garu belakang lah, suruh usap-usap belakang lah, suruh temankan buang air lah, suruh ambilkan air minum lah... Embah tu tak larat tapi bila Ica yang suruh, dia gagahkan juga. Bila malam pun lepas salam-salam dengan ibu, Ica tidur dengan embah. Nanti pagi bila bangun baru cari ibu. Itupun sebab lapar.
Ica tidur dengan embah.
Kita hantar embah balik kampung ke rumah Wak Haji sebab embah pun dah jemu kat rumah kita. Rumah yang kecil ni, embah kata, kadang buat dia sesak nafas sebab tak nampak dunia luar. Terkepung dengan dinding batu dan gelap. Lagipun, ibu nak buat persediaan untuk peperiksaan, jadi selalunya ibu tak ambil tahu pasal keadaan rumah. Ada makanan ke tidak, pakaian bercuci ke tidak, apatah lagi makan minum Ica, embah dan ayah. 

Sebenarnya taklah teruk sangat ibu ni. Tapi biasanya kalau musim peperiksaan, ibu memang tak ambil 'port' pasal hal lain. Jadi, ibu risau kalau terlepas pandang keadaan embah. Sebab embah lapar 'on time'. Tiap hari tepat jam 12 tengahari, mesti nasi dah siap. Kalau tak nanti perutnya masuk angin. Sesekali kena sapu & kemas biliknya. Kena cek pelapik kaki kat biliknya, dan kain baju yang dia pakai. Sebab embah dah tak bau sangat kalau ada terkencing tak sempat ke tandas, kena kat kain baju dan kadang cadar. Nak kena ganti. Kalau tak nanti merata kena kat tempat lain. Kalau ibu sibuk dengan buku, nanti embah terabai pulak.

Bila takde embah, Ica nampak bosan. Takde siapa yang Ica nak buli. So hari tu ayah bawa Ica jalan-jalan ke rumah nenek. Nenek bagi Ica gelang manik berkilat.
Bukan main suka Ica kat gelang ni. Siap padankan dengan eksesori cincin yang Ica memang ada. Masa ni, mulut Ica penuh sebab tengah makan nasi.

Lepas balik dari rumah nenek pun Ica masih minta nak ke sana, nak tidur dengan nenek. Akhirnya, ayah pun benarkan Ica ke sana. Ibu pack kan 2 pasang baju, berus gigi, tudung ibu untuk dijadikan telekung solat, buku untuk dibaca masa lapang dan paling penting, buku Iqra' untuk ulangkaji mengaji. Ica bukan main suka sangat. Siap bawa patung bantal kucing putihnya untuk peluk masa tidur. Ibu pula yang tersentuh hati :'-(

Sebelum pergi, Ica cium tangan ibu dan berpesan "Ica nak pergi dah ni. Duduk rumah baik-baik ya." Ewah ewah dia. Pandai sangat bagi nasihat.

Semalam, kata ayah, tiba je kat rumah nenek, Ica nampak seronok sangat. Bila ayah tak beredar balik rumah, Ica siap halau lagi "Eh ayah, kenapa tak balik lagi ni?? Balik lah cepatttt....!" - Amboi dia...

Ica beritahu ayah yang Ica nak duduk rumah nenek 2 hari. Maknanya, malam Sabtu dan Ahad. Ayah ok kan aje. Tapi ibu la yang tak senang hati. Nanti Ica solat ke tak? Mengaji ke tak? Apa yang Ica makan? Ibu memang tak kasi Ica makan cokelat dan keropok. 

Pagi ini, ayah call nenek. Ica yang jawab. Ica kata, seronok tidur dengan nenek. Ica minta dengan ayah nak duduk rumah nenek bukan 2 hari. Tapi 4 hari. Ayah cuma sempat kata "Okey la..." sebab lepas tu Ica terus letak telefon "Ok ayah, bye!"

Ibu pun tanya ayah, Ica tengah buat apa? Katanya tengah tunggu nenek masak. 
Ica solat tak? Mengaji tak? Ayah kata, nanti cek balik, sebab awal lagi.
Ibu yang tak senang duduk. Selalunya, rutin Ica bermula dengan minum madu dengan perut kosong. Ica memang liat minum madu. Tak sedap lah. Manis sangatlah. Ada pedas-pedas sikit lah. Macam-macam alasan, tapi ibu tetap paksa Ica habiskan setengah gelas madu yang dibancuh dengan air suam. Kalau hari sekolah, Ica kena makan kismis pulak. Lepas tu baru mandi. Rutin gosok gigi dan mandi jangan man sabun pun Ibu tengok betul-betul. Kalau tak, nanti Ica main sabun berjam-jam, tapi sabun kat bahagian perut saja (-_-)

Tadi, ibu terfikir, apa yang best sangat duduk dengan nenek tu. Tapi lepas tulis entry ni, baru ibu sedar, ibu ni terlalu mengongkong Ica dengan rutin dan jadual hidup. Kalau kat rumah nenek, Ica bebas buat apa pun. Nenek takkan marah, dan takkan suruh Ica buat apa yang Ica tak suka.

Bila Ica dah dewasa nanti, Ica bakal tahu, jadual dan rutin yang ibu paksa Ica buat tu, sebenarnya, bukan untuk kebaikan ibu. Tapi untuk kebaikan Ica sendiri. Hidup ni perlu ada disiplin dan pembahagian masa yang sesuai. Ada masa untuk makan, main, tengok tv, dan belajar. Barulah ada makna hidup kita ni.

Masa ibu kecil dulu, embah bukan jenis yang suka menetapkan jadual untuk ibu dan kakak-kakak lain. Tapi, bila sampai waktunya, embah akan suruh buat rutin tu, dan akan terus membebel kalau kami tak ikut. Biasanya, waktu makan, solat, dan mandi. Selain daripada tu, ibu sendiri yang tentukan jadual harian. Oleh kerana ibu membesar di asrama bermula tingkatan 1 sampai tingkatan 5, ibu dah biasa mengikut jadual yang sekolah tetapkan.

Di asrama, bangun pagi kena awal, kalau tidak, air di kolah akan habis. Tak mandi lah jawabnya. Atau penuhlah toilet sampai pukul 7. Pukul 6.30 nak kena ada di dewan makan, untuk sarapan. Kalau lambat, makanan tinggal sisa, atau yang dah tak sempurna. Walaupun asrama dan bilik kelas tak sampai 500 meter, tapi bila sarapan awal, sampai ke sekolah pun tentulah awal.

Lepas sekolah, berebut ke dewan makan untuk makan tengahari. Kalau lambat sikit, kena beratur lama. Buang masa kat beratur saja. Makan pun kena laju-laju, sebab lepas tu nak kena solat zuhur berjemaah di musolla, atau dalam dorm. Lepas solat, turun semula untuk "prep", atau study belah petang. Pukul 4.30 baru selesai waktu prep, kena berebut ke tepi kolah, sebab nak basuh baju sekolah dan baju-baju harian lain. Kalau lambat, nanti air habis. Lepas tu terus mandi dan makan malam. Pukul 7 dah kena ada di musolla atau dorm untuk solat maghrib. Pukul 8 prep malam pula. Sampai pukul 10.30. Lepas tu ada makan lewat malam, tapi jarang ibu turun sebab masa ni mata dah mengantuk. Pukul 11 selalunya kena tidur.

Ibu melalui rutin yang sama untuk 5 tahun, dan rutin ini terbawa-bawa sehingga ke Universiti. Jadi, bila ada Ica, ibu tak dapat elakkan daripada mengenakan rutin pada Ica. Ibu harap, suatu hari nanti Ica akan nampak manfaatnya. Insyaallah.

Petang tadi, waktu ayah beraktiviti kat luar, nenek call ayah. Katanya Ica nak cakap dengan ayah kejap. Kenapa?
"Hello ayah. Ica cuma nak tanya ni. Boleh tak Ica duduk rumah nenek bukan 4 hari. Tapi 10 hari??". Ayah yang tak fikir panjang pun kata, hmmm okeylah. Jawab Ica "Yay!!!! ok bye ayah..." klik! Terus letak. Eh eh. Seronok sangat ke kat rumah nenek tu? Mushkil sangat ibu ni. Lewat petang, ibu pula call Ica. Sengaja tanya Ica solat dan mengaji tak siang tadi. "Ica solat. Dengan mengaji. 3 buku surat (3 muka surat). Dengan nenek.." Ok lah kalau macam tu. Ibu tanya lagi, kenapa Ica nak duduk rumah nenek sampai 10 hari? Tak nak sekolah? Ica lambat-lambat jawab, "Tak nak sekolah..."

Ibu pun kata, kalau tak nak sekolah, nak jadi apa. Ica terdiam. Selalunya kalau ibu tanya macam ini, Ica tahu, ibu dah mula nak marah. Ibu pun kata, nanti ibu ambik Ica dari rumah nenek. Balik rumah. Ica cuma jawab "Ok..." saja. Tak lama lepas tu ibu kata, ibu datang ambik Ica esok. Sebenarnya ibu sengaja nak uji sama ada Ica tu beriya nak tinggal rumah nenek 10 hari. Ingatkan dia nak kata tak mahu. Sebaliknya dia kata "Ok...." saja. Selepas ibu kata, ok bye, tapi line telefon masih belum diletak, kedengaran suara Ica bercakap dengan nenek "Lain kali Ica tak nak makan cokelat ni lagi!!! huuuuu...". Hah. Kantoi makan cokelat la tu. Ibu dah pesan. Jangan sekali-kali makan keropok dan cokelat selain yang ibu letak dalam beg. Tentu Ica ingat, ibu tak bagi Ica duduk lama di rumah nenek sebab Ica dah termakan cokelat. 

No comments: