Bismillah.
Hari ini hari yang sibuk untuk ibu. Sejak semalam susah nak tidur memikirkan assignment yang belum siap. Tidur lewat jam 4 pagi dengan harapan lepas solat subuh boleh sambung semula. Tapi selalunya yang dirancang lain, yang jadi pun lain. Lepas solat subuh kepala pening sangat. Langsung sambung tidur dulu dan bangun pukul 10 pagi. Ayah dah keluar. Banyak urusan yang perlu dibereskan berkenaan dengan kebenaran ke Saudi Arabia bulan depan. Ayah kena pergi 3 tempat yang bakal penuh dengan manusia. Jadi, tinggallah ibu di rumah dengan si cantik manis Ica.
Ibu dah rancang nak terus duduk di meja belajar dan buat assignment. Tapi kesian pula kalau Ica lapar. Jadi, ibu laju-laju masakkan nasi dan goreng telur scramble yang diletak sikit garam dan lada sulah. Sambil sapu lantai dan kemas dapur ala kadar. Siap mandi, nasi pun masak.
Terus ibu letakkan di pinggan dengan telur dan kicap. Sama seperti biasanya yang Ica suka. Ica yang baru lepas ibu mandikan, siap pakai baju, sambil tengok Hi-5 sambil menyenduk nasi ke mulut sendiri. Fuh. Harapnya Ica terus dengan tv dan habiskan makanan tanpa mengganggu ibu.
Tapi jangan harap lah...
Setiap 5 minit atau kurang, Ica akan datang kepada ibu.
"Ibu, Ica dah tak nak makan. Ica dah kenyang. Kalau makan banyak, nanti perut buncit. Gemuk. Ica nak kurus."
Baiklah. Ibu pun bangun untuk tengok nasi Ica. Memang hanya luak di tengah saja. Baiklah. Ibu angkat pinggan dan gelas ke dapur. Kemudian ibu kembali ke meja belajar.
"Ica dah tahu nak main tali 'jump rope' ni lah ibu. Cuba tengok nih!!"
Ica mengacah-lompat di depan ibu. Dalam kawasan bilik tidur yang sempit tu. Ibu layankan saja sambil sengih. Noneng pun pelik. Dalam banyak-banyak tempat, kenapa Ica nak buat kat sini jugak, yang sempit nih?
Usai membuat demo, Ica keluar dari bilik ibu. Tapi datang semula.
"Ica nak baring atas katil la ibu... nak main hp ibu..." katanya sambil berbaring di katil yang tilamnya tidak bercadar sebab ibu baru tanggalkan dan sembur dengan penyegar febreeze. Ibu pun minta Ica keluar kejap sementara ibu pasang cadar.
"nak tolong ibu! nak tolong ibu!" dan Ica pun tolong lagi melambatkan kerja ibu mengenakan cadar, sarung bantal dan sarung bantal peluk. Kemudian, usai semuanya, Ica baring sambil menonton youtube dalam hp ibu.
Ibu duduk semula. Tapi tak lama.
"Ica nak aiskrim boleh? Yang ada bintik-bintik tu."
Kita ke dapur.
"Ica nak yang durian! durian!..."
Aiskrim potong perisa durian ibu letak di dalam pinggan melamin princess. Ica menatangnya ke depan tv. Sementara ibu ke bilik semula.
"Ibu...." tak sampai 5 minit Ica datang semula pada ibu.
"Tengok ni. Tumpah...!" setitis dua aiskrim mencair dan jatuh di atas dada bajunya. Cepat-cepat ibu lap dengan tisu.
"Ibu la tolong suapkan Ica... nanti tumpah lagi...."
Baiklah. Ibu pun suapkan aiskrim dan kemudian Ica keluar bilik untuk ke dapur, minum air kosong dan basuh tangan.
Tak sampai 5 minit, Ica datang lagi.
"Ica nak kertas... sebab Ica nak tulis-tulis macam ibu..."
Ibu pun ambil kertas daripada printer, kertas recycle untuk guna Ica menconteng.
"Terima kasih..." Katanya sambil berlalu.
Tak sampai 5 minit, Ica datang lagi bersama majalah Hello Kitty yang semua aktiviti di dalamnya sudah diisi.
"Cuba ibu tengok gambar ni.." kata Ica sambil menunjuk kepada gambar gunung bersalut salji dan gambar Tokong Cina yang besar. Ibu kata, ini mungkin di Negara China. Tapi Hello Kitty ada di Korea juga.
"Mahal ke nak pergi sana?" Hmmm, mungkin mahal. Kena naik kapal terbang.
"Jomlah kita pergi sana... Ica nak sangat tengok majalah yang ada Frozen tu..." Kata Ica lagi. Sejak lepas menonton Frozen, apa juga video mengenai Frozen dalam youtube tu sudah ditontonnya. Salah satunya ada video mengenai penjualan majalah yang bercerita tentang karektor Frozen.
Ibu kata, sabarlah Ica. Lambat sikit nanti, mesti majalah tu sampai kat KLCC. Kita belilah. Tak payah pergi jauh-jauh...
"Oh yeke.... Ok lah..." Katanya lambat-lambat sambil berlalu keluar bilik.
Tak sampai 5 minit, Ica datang lagi. "Tolong sharp ni ibu. Dah takde kalernya..." Sambil berikan pada ibu pensel warna tumpul dan penajamnya (sharpener). Selesai, dia keluar semula. Tapi tak sampai 2 minit datang semula membawakan hasil lukisannya.
"Ibu kena belikan Ica color pencil yang baru, 2. Satu princess satu kapal. Sebab yang ada ni dah teruk. Tengok ni. Kaler dia jadi kering. Tak cantik....huuuuuuuuh!!!" Kata Ica. Sebenarnya pensil warna semua dah tumpul sebab asyik digunakan dan tak ditajamkan semula. Jadi warnanya jadi tak rata. Ibu beritahu Ica, kalau semua pensil ni ditajamkan, tak payah beli baru. Boleh pakai yang ini semula.
Ingatkan dengan penjelasan tu, Ica dah tak minta apa-apa lagi untuk dibeli. Tapi, rupanya, dia terus keluar dan masuk jumpa ibu semula dengan 2 set pensil warna yang setiap satunya ada 24 batang pensil.
"Nah ibu. Tolong sharpkan semua ni. Ica nak guna sekarang!"
Ibu pun apa lagi. Tumbuh tanduk le. Whattt????
Tahu tak Ica. Hari ini sepatutnya hari 'teachers meet parents' di tadika Ica untuk ambil report kad dan gambar-gambar kelas, tapi ibu tak pergi sebab nak buat assignment. Tapi walaupun ibu tak pergi, ibu tetap tak dapat nak istiqamah buat assignment sebab Ica banyak sangat kacau ibu :-(
"Ibu...jomla dengan Ica kat depan tv...."
Kata Ica dengan selamba.
:-(
Ini lah cabaran membesarkan anak. Nasib baik cuma seorang.


No comments:
Post a Comment