Feb 9, 2014

Mekah Day 2, free times.

Bismillah..
Hari kedua di Mekah, jadual kita tak terlalu padat. Alhamdulillah dapat berehat secukupnya. Selepas umrah pertama, kita tidur lepas subuh sampailah tengahari, bangun pukul 1 petang, dah terlepas solat Zuhur di Masjid. Tapi belum terlepas masa lunch lagi. Hehe. Bangun, mandi, dan bersiap, terus turun ke FoodCourt. 

Sepanjang hari, ayah ikut Hj Raof dengan kaum lelaki, manakala ibu dan Ica memerap di bilik dengan aktiviti orang perempuan.
 ...iaitu makan... segala jenis kacang-kacang, pisang dan epal yang dibawa dari Madinah haritu...
Lepas tu ibu menyusun pakaian kemas-kemas dalam almari, sebab ada 6 hari lagi kat sini. Semak dan serabut tengok pakaian bercampur aduk yang dah kotor dengan yang bersih, dan pakaian kita semua tercampur. Padahal bila bersiap tu nak cepat saja. Terus tak jumpa apa pun. Kalau dah disusun elok begini, tentu lebih senang hidup ni kan... Pakaian kotor terus hantar dobi.
Almari kecik ni pun dah berkemas, jadi nampaklah apa barang yang kita bawa. Kalau tak, hanya nampak mesin nebulizer Ica aje. Yang lain tu bersepah sangat.
Kabinet kecik yang kat singki ni pun ibu kemaskan sekali. Letak semua yang tak nak pakai selalu, dan letak bekalan makanan ringan kita di sini, dan satu bekas ubat Ica. Ubat Ica saja memang dah penuh. Manakan tidak, ada antibiotik belum bancuh, ubat demam, ubat sakit perut, ubat lelah, cegah lelah, ubat paru-paru, ventolin & atroven, ubat batuk... Subhanallah...
Simple je pantrinya. Ada kabinet dan singki. Buah-buahan tu baki bekal dari Madinah semalam. Cawan kertas tu rembat dari FoodCourt. Hehe. Pinggan pun sama. Pinjam mana yang boleh.

Memang bagus bawa hanger dan penyepit lebih sikit sebab boleh cuci mana-mana yang senang dicuci macam pakaian dalam dan seluar dalam, terus hanger dalam toilet, semalaman kering. Ibu bawa juga dawai untuk menyidai, tapi kat dalam hotel ni takde sudut yang boleh buat sangkut dawai. Lagipun kalau nak menyidai yang besar-besar, boleh ke level 8, tempat penyidai. Tapi ibu malas nak naik lif ke atas tu. Sidai saja dalam toilet. Cepat juga keringnya.
Toilet sini hanya sediakan sabun dan syampu dalam peket saja. Ibu ada bawa toiletries untuk kita, macam kebiasaannya kita travel. Macam pencuci muka, syampu, mandian Ica, berus dan ubat gigi, tu dah jadi keperluan bagi kita. Cuma ibu lupa bawa sabun badan. Terpaksa gunakan sabun hotel. Tapi, mandi tanpa sabun pun badan tetap tak berbau peluh. Subhanallah. Memang ajaib. Ica hanya gunakan mandian tu untuk kepala saja, dan selalunya Ica mandi tanpa sabun, tapi badan Ica tetap wangi segar.
 Tab tempat mandi yang kecil saja. Kat atasnya ada shower.
 Oleh kerana Ica kata dia tak boleh tidur sendirian, dan asyik nampak hantu ada di mana-mana (kalau dah penakut...) jadi ayah pun ubah suai kedudukan katil jadi macam ini. Ayah boleh tidur dengan Ica. jadi takdelah orang yang takut sangat sampai tak boleh tidur malam dan susah nak bangun subuh.
Ibu pula, ambil katil Ica yang asal ni. Ibu memang takde masalah langsung tidur malam kat sini. Letak je kepala, mesti terus tidur. Alhamdulillah.
 Tingkap hotel tak boleh dibuka. Malah dipasang dengan lapisan halus macam kelambu, sebab ada construction di belakang ni. Kalau angin bertiup kencang, memang habuk banyak sangat yang masuk dalam bilik air melalui kipas udara.
Asalnya bangunan hotel yang lama, sekarang diubahsuai dan digantikan dengan bangunan hotel yang lebih besar dan lebih jauh dari masjidilharam.
Dalam bilik kalau takde apa-apa aktiviti, kita akan layan tv yang mempertontonkan siaran langsung keadaan di Masjidilharam.
Selalunya kita akan lihat betapa ramainya orang disekitar ka'bah dan rasa macam tak larat nak berebut dengan ramai-ramai nih. Apatahlagi bila memikirkan keselamatan Ica. Tapi on the second thought, best juga kalau berebut-rebut macam ni. Barulah thrill sikit pengalaman tu. Hah.
Ica kalau dah sudah mandi, makan dan letih mewarna, dia akan tidur dengan nyenyak sekali. Walaupun siang hari.

Oleh kerana ayah tak nak geng ke Masjid dengan kita, dia memilik nak geng dengan lelaki-lelaki saja, ibu yang kecil hati ini pun kata, baiklah. Padahal ada je pasangan suami isteri yang tak pernah berenggang, berdua je ke sana ke mari. Tapi ayah asyik suruh ibu ni mingle-mingle dengan jemaah wanita lain. Takpelah... (sambil merajuk dan kata kat ayah pergilah...)
Ayah selfie dalam perjalanan nak ke Masjid.
Ayah join Hj Raof makan roti canai dan minum teh tarik di Restoran Malaysia dalam Menara Zamzam.

Eleh. Setakat teh tarik dnegan roti canai. Setahun tak jumpa pun kita tak leleh air liur. Inikan pula baru berapa hari. Heheh.

Ica dan Ibu ikut makcik-makcik yang diketuai Kak Umi Kalthum, isteri Hj Raof untuk ke Masjid, solat Maghrib-Isyak. Masa solat Maghrib, sebab kita dah lambat, sampai-sampai saja di Masjid, dah azan, memanglah takde laluan nak masuk ke dalam masjid. Orang dah ramai kat dataran masjid dan kalau ke dalam juga, mungkin pintu dah ditutup. Ibu tak nak lah ambil risiko jalan sorang-sorang, sesat sendiri. Kak Umi kata, kita solat saja di dataran. Ditepi laluan jalan kaki. Nyaman ditiup angin senja, kita pun solat pertama kali di dataran MasjidilHaram. 

Masyaallah umat manusia memang ramai. Dataran pun penuh, melimpah hingga ke jalanraya. Macam solat Fardhu Jumaat di sesetengah masjid di Malaysia. Tapi kat sini setiap solat fardhu macam tu. Semua orangg berlumba-lumba nak solat berjemaah di sini.

Mungkin kerana semua orang mengejar kelebihan solat fardhu berjamaah di masjidilharam sebanyak 100,000 pahala digandakan 27. Kalau solat dalam tanah haram saja cuma 1000 pahala. Kalau berada di masjidilharam, tak buat apa-apa pun dah dijanjikan 20,000 pahala. Kalau menunaikan tawaf dan saie dapat 60,000 pahala. Dek kerana besarnya ganjaran yang dijanjikan, semua orang berebut-rebut ke sini. Subhanallah.
Lepas saja solat maghrib, semua yang di dataran akan bergerak ke tujuan masing-masing sebelum datang semula untuk solat seterusnya. Jadi, kita pun ikut Kak Umi untuk ke pintu masuk dewan solat wanita di dalam masjid. Kita masuk melalui pintu 93. Ibu memang ingat-ingat pintu ni sebab balik nanti nak jalan laju-laju. Tak nak slow motion dengan makcik-makcik tu lagi. Heheh. Bila dah ramai yang beredar, jadi adalah tempat kosong untuk kita. Dapatlah solat di atas carpet hijau yang tebal, sama macam kat Rawdah haritu.
Nak menunggu dari Maghrib ke Isyak memang sangat lama. Maghrib pukul 6, isyak 7.30. Terasa lama sangat. Ibu nak terkucil sebab sejuk. Toilet sangat jauh dan selalu penuh. Tawakkal sangat dengan doa pada Allah mudah-mudahan bertahan lah sampai balik hotel. Ica pulak memang tak betah sangat menunggu. Tak bawa tablet. Takde mainan apa pun. Hanya kita saja. Balik-balik Ica nakkan ayah. Nak ikut ayah. Sampai Ica kata, kalau Ica ni lelaki, mesti boleh ikut ayah. Sedih ibu dengar.
 Bila baring begini, Ica terpegun dengan hiasan bumbung masjid yang cantik.
 Lampu pun cantik. Dahlah sejuk. Tak tahu sejuk cuaca, atau sejuk ada aircond. Tapi tak nampak pun aircond tu dari mana.

Usai saja solat Isyak, dan solat ba'diyyah, Ica dan Ibu pun berkejaranlah balik ke hotel. Kebetulan sampai saja dihotel, ayah pun dah balik dari solat. Ayah pun solat di dataran rupanya. Sebab dia tak masuk ke dalam masjid, dah tak ada laluan. Semua laluan penuh sesak. Ha, sapa suruh buang masa minum teh tarik dengan canai tadi. Dahlah tak ajak kita. 
 Berkepitlah dengan ayah. Macam dia je yang ada ayah.
Usai dinner, naik ke bilik untuk berehat. Ayah baru perasan, hari ini harijadi ayah. Subhanallah. Kita lupa hari dan tarikh sampai lupa birthday ayah. Itupun ayah dapat tahu bila dia log-in FB, ada banyak ucapan HB. Ayah kena lepak di lobi kalau nak gunakan wifi. Kalau nak harapkan kredit hp, memang mahal dan cepat habis nanti. Jadi, beginilah cara 2 beranak ni mengabadikan kenangan harijadi ayah. Selamat harijadi ayah... Seronok kan sambut harijadi dengan insan tersayang di tempat paling suci di dunia? Priceless...

No comments: