Feb 15, 2014

Gembira dan Risau.

Bismillah..

Bila hati risau, mulalah tak lena tidur. Ini penyakit yang diwarisi daripada embah. Macam Ica mewarisi penyakit lelah ibu dan hidung kerap berdarah ayah. Kebelakangan ini, ibu nampak Ica mula mewarisi mata sensitif ibu yang cepat membengkak kalau digosok kuat. Orang puteh kata, it's in the blood.

Tapi kalau penyakit tu, mungkin boleh diubati dengan pola pemakanan yang dijaga elok. Kalau emosi macam mana pulak?

Embah dulu, masa dia muda-muda, kalau dia risau tak boleh tidur malam, dia akan buat aktiviti yang menghilangkan risaunya tu. Ada sekali, ibu nak pergi rombongan sambil belajar ke KL. Nak melawat muzium, zoo negara, stadium merdeka, taman burung, etc. Rombongan sehari saja, bertolak awal pagi lepas solat subuh, dan balik lepas Maghrib. Ibu tahu embah risau sebab ibu tak pernah ke KL sendiri. Yelah, kalau naik bas dengan kawan-kawan tanpa ahli keluarga menemani tu, kira pergi sendirilah.

Macam mana ibu tahu embah risau. Sebab masa ibu nak masuk tidur malam tu, embah masih belum tidur. Makan sirihlah, lipat kainlah, baring tengok tv lah. Ada saja yang dibuatnya. Bila ibu bangun awal pagi dalam pukul 5 pagi, embah dah siap masak nasi himpit dengan ayam masak kicap untuk sarapan dan bekalan ibu dalam perjalanan nanti. Eh bila masa embah bangun masak nasi lembik, petik daun pisang, buat nasi himpit dan siapkan ayam masak kicap? Sempat goreng ubi kayu lagi untuk sarapan arwah embah lanang (atuk) yang tak suka makan nasi pagi-pagi.

Ibu dibawakan bekal makan sebab embah hanya mampu bawakan belanja RM5 je (kalau tak silaplah) untuk beli makanan jalanan. Padahal budak-budak, kalau jalan-jalan tu mesti nak beli aiskrimlah, gula-gula lah, cokelat lah, keropok lah. Mesti punya. Walaupun dah makan nasi kenyang-kenyang. Memang pun. Ibu beli aiskrim dalam kon yang motosikal jual tu. Sedapnya MasyaAllah. Sampai duit tinggal 50 sen saja. Haih. Tapi nasib baik embah tak banyak tanya bila balik tu. Agaknya bila anak yang tak pernah pergi jauh-jauh dah selamat balik, dah cukup melegakan bagi dia.

Ada sekali lagi keadaan risau embah yang ketara sangat ialah masa dia nak pergi haji. Tak boleh tidur semalaman juga. Jadi embah masak kat dapur. Untuk bekalan yang tahan lama, embah masak nasi himpit dan ayam kampung masak kicap juga. Katanya, lauk tu tahan sehingga sampai di Mekah. 

Bila dah tua, tahap kerisauan embah telah mempengaruhi tubuh badannya yang uzur. Embah senang risau. Esok hari nak jalan-jalan pun, malam ini sudah risau, boleh ke dia jalan? Langsung tak boleh tidur. Jadi, esoknya memang betullah dia demam dan tak larat nak jalan.

Berbalik pada ibu. Mungkin ibu masih muda kalau dibandingkan dengan embah. Tapi tahap kerisauan sampai tak boleh tidur tu sudah pun 'menjangkiti' minda dan fizikal ibu. Kerapkali ibu menulis di sini yang ibu sukar tidur malam dengan macam-macam sebab. Kali ini, ibu risaukan posting kerja selepas tamat Masters nanti.

Hari ini, yang jatuh Valentine's Day 14.2.2014, yang mana ayah dan ibu yan blur ni sampai lupa kenapa orang asyik sebut-sebut Valentine's Day, ialah hari yang sangat menggembirakan ibu bila keputusan peperiksaan dikeluarkan. 3 subjek yang ibu ambil sem lepas, ibu dapat A untuk kesemuanya! Masya Allah...
Subhanallah ibu mulanya macam tak percaya saja. Sebelum ibu dapat buka result exam ni, kawan ibu terlebih dahulu bagitahu ibu tentang keputusan peperiksaannya yang kurang memberangsangkan. Dalm 4 subjek yang dia bawa full time, hanya 1 yang dapat A, yang lain semua B+ dan B saja. Dia cukup risau tak dapat grad dengan specilization kami ni. Tapi ibu kata, selagi masih 3 pointer, tak de masalah, Insyaallah bakal grad dalam program ini. Ibu yakin sangat sebab pensyarah takkan biarkan kita gagal. Inikan peringkat Masters. Kita bukan diberikan markah untuk menghafal semata, tapi untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam konteks yang lebih luas dan dalam masa yang sama tidak takut memberikan pendapat tentang ilmu tu.

Jadi, bila kawan baik dapat keputusan biasa saja, ibu pun rasa mungkin akan dapat yang macam dia jugalah. Takkanlah ibu ni hebat sangat. Tentu tidak. Kami study sama-sama. Pergi dan balik kelas sama-sama. Satu kumpulan assignment dan discussion. Tapi kalau dapat macam dia pun, ibu dah gembira. Lulus lah tu. Apa lagi yang tak puas hatinya. Syukur pada Ilahi.

Sekali bila turn ibu, Subhanallah. Ia macam sesuatu yang ajaib dan menggembirakan. Alhamdulillah... Terima kasih Allah. Untuk subjek yang ibu rasa sangat sukar kerana ia perkara baru, kalau dapat B pun ibu rasa dah cukup beruntung. Tambahan pula pensyarah yang memang ibu tahu, susah nak bagi B+ pun. Tapi Allah Maha Mengetahui dan Maha Pemurah. Syukur Alhamdulillah.

Jadi apa yang nak dirisaukan? Ya Allah. Banyak lagi. Sungguhpun tempoh masa belajar masih ada 6 bulan, tapi selepas 6 bulan, iaitu selepas tamat peperiksaan akan datang, ibu bakal tiada posting buat beberapa ketika. Perlu ke risau?

Perlu.
Semester baru sudah bermula dan kelas bakal dimulakan pada 3 Mac ini. Peperiksaan akhir akan berlangsung pada bulan Julai. Habis saja kertas terakhir, ibu terpaksa melapor diri untuk bertugas semula di Putrajaya.

Putrajaya? Jauhnya. Nak kena cari rumah kat sana ke?

Kalau nak kena cari rumah sewa kat sana, masalahnya situ cuma pusat melapor diri. Tempat posting yang sebenarnya masih belum diketahui kerana kat situ pun dengarnya takde kekosongan pegawai lagi.

Ada seorang kawan ibu yang dah sebulan stationed kat situ. Ditempatkan di bahagian registri dan sesekali jadi 'cover' pegawai yang bercuti. Itupun bukan jawatan sebenar dan hanya jadi tempat sementara saja. Katanya, "feeling unwanted but watched" bila ibu tanya, kalau takde kerja boleh jalan-jalan ke? Eh apa punya soalan lah. 

Tahun depan Ica dah masuk darjah satu. Ibu berangan nak masakkan makanan untuk bekalan Ica ke sekolah nanti. Amboi tinggi cita-cita ya. Jadi kalau kena berulang KL-Putrajaya, pukul berapa pula ibu kena bangun pagi? Pukul berapa nak gerak keluar rumah? Duhh.

Tapi ada kawan yang mengesyorkan, sekarang bukan masa untuk risau. Rezeki Allah tu luas. Dia Maha Mengasihani dan Memahami kita. Dan Dia takkan memberi ujian pada kita, sesuatu yang kita tak mampu memikulnya. 

Oh Yaa Allah yang Maha Mengetahui setiap sesuatu, permudahkanlah bagiku. Permudahkanlah urusan duniaku agar tidak terganggu pekerjaan akhiratku. Ameen...

No comments: