Feb 17, 2014

Umrah dengan Ejensi Hj Rauf

Bismillah..

Hari ini saya nak share tentang agency pelancongan untuk Umrah saya haritu. Saya dan suami bersetuju untuk ambil pakej daripada Hj Rauf yang menyediakan pakej ini :

- Umrah 12 hari termasuk perjalanan.
- Penerbangan SAUDIA direct KLIA ke Madinah, transit sejam di Riyadh.
- Hotel 5 bintang Anwar-el Medina Movenpick di Madinah, 50 m ke Masjid Nabawi. Bilik family 3 katil.
- Hotel Nada Deafah di Mekah, 1.8 m ke MasjidilHaram. Bilik family 3 katil.
- Harga pakej selepas diskaunRM6300+RM6300+RM5600 (2 dewasa 1 kanak-kanak).
- Sebotol air zamzam 5kg sebagai pelengkap pakej.

Bagi sesiapa yang berniat nak menunaikan ibadah umrah (atau dengan ziarah), saya sangat mencadangkan agency Hj Rauf ni. Iaitu MinHakim. Bolehlah call dia untuk dapatkan temujanji. 0162967589. Kalau tak silap, Hj Raof ni beroperasi daripada pejabatnya di Klang. Tapi ada satu lagi pejabatnya di Cyberjaya. Entah yang mana satu yang selalu digunakannya, saya pun tak sure. Tapi bolehlah hubungi nombor hpnya tu.

Apa kelebihan kalau memilih Hj Rauf ni sebagai ejen umrah kita? Banyak kelebihannya.

Perkhidmatan sebelum Umrah.

(1) Beliau datang sendiri ke rumah kita untuk beri khidmat nasihat dan penerangan mengenai ibadah umrah secara amnya, dan prosidur perjalanan umrah yang beliau akan pimpin secara khasnya.

(2) Kita boleh pilih tarikh-tarikh yang beliau dah sediakan sepanjang tahun.

(3) Kita hanya bayar RM1000/seorang sebagai deposit, dan menyerahkan dokumen yang beliau minta untuk permohonan visa dari SA. Sesetengah dokumen perlu di cop oleh Wisma Putra dan JPN. Ini kita boleh buat sendiri atau beliau pun boleh tolong buatkan.

(4) Harga pakej boleh dirunding dan kalau kena dengan tempatnya, ada diskaun lagi. Kalau ambil dengan syarikat biasanya lebih mahal. Dengan Hj Rauf ni, boleh dipertimbangkan untuk diskaun, jadi lebih murahlah. Contohnya, untuk pakej macam yang saya ambil ni kalau dengan syarikat, kami kena bayar sekepala RM6800 dan untuk Ica RM6100 (kurang RM700 saja bagi kanak-kanak).

(5) Tak tahu nak pakai ihram (lelaki)? Hj Rauf akan ajarkan. Jangan risau. Kalau beli kain ihram di Madinah misalnya, ada jenis yang dijual, kain ihramnya ada butang. Senang nak lekatkan. Yang pakai pin besar pun ada. Boleh digunakan asalkan tidak berjahit dan membentuk kain sarong.

(6) Tak tahu baca doa dalam arab? Tak apa. Hj Rauf akan bantu kita berdoa dalam dwi bahasa. Boleh saja kalau nak berdoa dengan bahasa yang kita faham. Kerana doa kita lebih dekat dengan Tuhan apabila diperkatakan dalam bahasa yang kita faham.
Kebetulan tak jumpa gambar personal Hj Rauf ni, sebab masa Umrah haritu asyik gambar beramai-ramai saja yang kita ambil.
Ini kumpulan kami, Jemaah pada 22-1-2014 hingga 2-2-2014 semasa di Masjid Nabawi, di belah hadapannya, tak jauh daripada Rawdah yang berkubah hijau. Hj Rauf yang di tengah-tengah tu, sebelah isterinya Hjh Umi Kalthum.

Hj Rauf pada asalnya ialah mutawif dengan Wira Saujana Travel and Tours yang telah lebih 20 tahun terlibat dalam perniagaan pelancongan. Oleh sebab itu, walaupun kita melantik Hj Rauf dan MinHakim sebagai pengurus umrah kita, tapi segala pakej umrah dan perkhidmatan yang disediakan adalah beradasarkan apa yang Wira Saujana sediakan. Kiranya macam kita pergi dengan Wira Saujana, tapi Hj Rauf jadi Mutawif kita. Yang specialnya, Mutawif ni bukan ada pada masa Umrah pertama je. Setiap masa ada dengan kita :-) very convenient and safe.
Ini gambar dalam buku yang dibekalkan pada jemaah umrah. Selain pakej umrah, Wira Saujana juga ada menyediakan  pakej haji dan ziarah (pakej muslim). Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai pakej-pakej yang disediakan termasuk negara-negara yang ada dalam pakej tu, bolehlah lawati ke blognya wirasaujana.com. Tapi tak sure pula penglibatan Hj Rauf dalam pakej-pakej selain umrah di sini.
Ini bunting Wira Saujana di Hotel Nada Deafah di Mekah.
 Ini profil Owner Wira Saujana dan Pekerja-pekerjanya.
Kalau di Madinah, ini ialah senarai tempat-tempat untuk ziarah luarnya iaitu Masjid Quba, Jabal Uhud, Masjid 7, Masjid Qiblatain dan Ladang Kurma. Tapi tak lah semua tempat ni kita pergi. Tertakluk kepada masa yang ada dan keselesaan Jemaah juga. Macam mana tu? Contoh kalau nak pergi semua tempat, kenalah jemaah keluar awal, berkumpul awal, punctual. Kalau jemaah pun lenggang kangkung, gerak pun lambat, sampai di tempat yang dijangka pun lambat, jadi tak sempat nak pergi ke semua tempat, mungkin hanya lalu saja di beberapa tempat. Kalau bernasib baik pula, katakan dapat drebar bas yang terrer boleh menyelit parking, boleh singgah di Pasar Kurma. Kalau tak pun, boleh shopping di Ladang Kurma saja.
Di Mekah pula, tempat-tempat ziarah luar ialah Jabal Nur, Thur, Jabal Rahmah, Arafah, Muzdalifah, Jamrah dan Mina. Akan bermiqat di Jaaranah untuk niat ihram bagi umrah yang seterusnya. Tapi semua ni tertakluk pada masa yang ada. Selalunya Padang Arafah, Jamraat dan Mina tu, kita lalu saja. Tengok dari atas bas.
Kita sendiri kena tahu tempat-tempat yang mustajab berdoa dan masanya, semasa umrah ni. Kalau tak tahu, ejen akan bekalkan buku ni untuk panduan. Boleh rujuk bila-bila masa pun.

Perkhidmatan semasa Umrah.

(1) Sehari atau dua, sebelum terbang, Hj Rauf akan sms jemaah supaya jangan lupa untuk berkumpul di KLIA, Kaunter sekian sekian, waktu sekian, dan berpakaian sekian, sekian. Beliau juga akan mengingatkan kita supaya jangan lupa untuk mandi sunat Musafir, solat sunat taubat dan solat sunat musafir di samping banyak berdoa pada Allah supaya diberi kemudahan dalam perjalanan.

(2) Di KLIA, beliau sendiri yang akan mengedarkan name tag dan memastikan semua jemaah hadir. Ada wakil Wira Saujana di Kaunter yang akan beri penerangan tentang barang-barang kita dan prosidur penerbangan secara khusus.

(3) Bila tiba di Madinah, Hj Raof sendiri yang akan memastikan beg-beg kita diangkat pekerja ke dalam bas, dan memastikan semua orang selamat dah naik bas, barulah kita gerak ke hotel.

(4) Di hotel, beliau sendiri yang akan agihkan kunci bilik dan makanan (kalau dah lewat) sebelum masing-masing beransur ke bilik. Lepas tu, pukul 3 pagi, beliau sendiri yang call setiap ahli jemaah untuk bangun malam dan bersama-samanya ke Masjid Nabawi untuk qiamullail. Tapi malam berikutnya, dah takdelah. Sekali aje :-)

(5) Setiap kali ada ziarah luar, beliau sendiri atau ada mutawif lain yang khas, akan memastikan semua jemaah berkumpul dan mengikuti rombongan.

(6) Semasa dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah, beliau dan mutawif khas akan memastikan jemaah selesa dalam bas, bagasi semua selamat masuk ke dalam bonet bas, dan akan mengetuai bacaan talbiah sepanjang perjalanan.

(7) Oleh kerana mutawif ni ada dengan jemaah sepanjang masa, kita pun tak rasa was-was nak tanya apa-apa soalan mengenai ibadah umrah ni. Tak payah nak susah-susah buat carian di Google atau nak kena selak buku. Kalau ada pertanyaa, ha tanya je terus kat Mutawif. Senang dan sangat praktikal.

(8) Bila tiba di Mekah, Hj Rauf tahu kita semua letih selepas melalui perjalanan yang panjang, kita akan diberi ruang untuk berehat, mandi dan makan dulu. Beliau akan terus mengingatkan kita tentang larangan dalam ihram. Bila dah recharge tenaga, barulah kita mulakan ibadah tawaf bersama-samanya.

(9) Semasa Tawaf, Hj Rauf akan nasihatkan kita supaya jangan tergesa-gesa. Ambil masa untuk menikmati pemandangan melihat Ka'bah sambil berzikir. Jalan perlahan dan rileks supaya tak penat sangat nanti. Kalau ada orang nak lalu lalang semasa kita Tawaf tu, bagi je. Tak perlu berebut atau berlawan-lawan siapa habis dulu. Beliau akan berusaha sedaya upaya supaya pada pusing akhir tawaf tu, kita dapat ke depan Ka'bah di Multazam untuk solat sunat 2 rakaat selepas tawaf dan berdoa. 

(10) Selepas tawaf, beliau akan memastikan semua ahli jemaah dapat solat sunat 2 rakaat dulu. Bila dah, barulah beliau pula solat. Selepas tu, beliau akan bacakan doa sambil mengeluarkan suara syahdu supaya kita yang mengaminkan doa ni ikut sama menangis. Sunat menangis ketika berdoa di depan Ka'bah. Lagipun kalau menangis tu, rasa diri begitu kerdil di depan Allah, dan keikhlasan tu sangat terserlah. Kan? Kalau tak larat jalan kaki untuk umrah, Hj Rauf boleh tolong dapatkan perkhidmatan wheelchair kat tingkat atas. Tapi kita lah yang bayar.

(11) Selepas tawaf, kita semua akan ambil masa untuk berehat sekejap sebelum ke bukit Marwa untuk Saie. Kita akan disuruh minum dulu air zamzam yang mudah di dapati di sekitar Masjid, supaya dapat tenaga. Beliau sendiri yang akan ajarkan doa semasa nak minum air zamzam supaya Allah beri kekuatan untuk menghabiskan ibadah. Tawaf dan saie adalah ibadat yang berkaitan. Kalau tak dapat laksanakan saie selepas tawaf, jangan dihabiskan tawaf ke pusingan ke 7. Buat hingga 6 dan boleh berehat. Bila-bila rasa boleh buat lagi, baru sambung yang ke 7 dan diikuti dengan saie. Kalau buat 7 pusingan, lepas tu tak dapat buat saie, tawaf tu dikira batal dan next time, kena repeat semula pusingan pertama. Ini kata Hj Rauf lah.

(12) Saie ni adalah ibadah yang memerlukan tenaga yang banyak sebab nak jalan kaki tanpa kasut sepanjang 3.5km lebih kurang. Jadi, tak boleh nak terkejar-kejar sangat, nanti cepat letih. Kalau tak larat, bolehlah upah wheelchair. Laju sikit. Tapi kalau kita masih muda dan ada tenaga, kenapa taknak alami apa yang Siti Hajar rasai dulu. Kan? Siti Hajar dulu lagilah dalam cuaca panas terik lembah yang tandus jalan kaki ke Safa dan Marwa untuk cari air. Sampai tinggalkan anaknya sorang-sorang. Kita ni, dahlah tak bawa anak, jalan pun lenggang kangkung boleh rileks, siap boleh rehat banyak kali, minum-minum dulu, ada bumbung, tak rasa terik langsung siap ada kipas angin kat atas kiri kanan bukit. So, apa lagi? Jalan kakilah... sambil berzikir dalam kumpulan. Kalau nak upah wheelchair pun, Hj Rauf akan tolong dapatkan.

(13) Lepas siap saie, kita tahallul beramai-ramai, dalam kumpulan. Share gunting kecil. Ikut Hj Rauf berdoa. Lepas tu kalau nak solat sunat lepas saie pun boleh. Balik dari umrah, boleh singgah minum jus mangga atau aiskrim kat tepi jalan. Nyamannnn.... :-)

(14) Walaupun dah siap 1 umrah, tapi dengan Hj Rauf, kita boleh request banyak kali umrah lagi dengan beliau. Kalau nak dapat sampai 7 kali umrah pun boleh sebab memang Hj Rauf akan sentiasa temankan kita ber-umrah sepanjang tempoh di Mekah. Cuma, untuk keselesaan kita, sehari buat sekali umrah tu adalah yang terbaik dan paling sesuai. Kalau yang request nak buat umrah tu hanya 2-3 orang pun beliau layanan juga.

(15) Hj Rauf ni fleksible. Kalau ada jemaah request buat tawaf kat atas, beliau akan turutkan. Tapi selalunya ikut kehendak majoriti lah. Dari sudut masa pula, beliau akan make sure kita selesa. Kalau ramai sangat kat Ka'bah masa tu, beliau akan cadangkan kita rehat dulu, jangan berebut dengan jemaah lain. Kita datang nak buat ibadah, bukan nak bergelut dengan jemaah yang ramai.

(16) Oleh kerana Hj Rauf ni akan selalu ada dengan jemaahnya, jadi kalau nak tanya apa-apa mengenai Mekah, contohnya kat mana nak bercukur rambut kasi botak, atau kat kedai mana berbaloi nak shopping jubah, kurma, etc, beliau boleh bagitahu dan kalau diajak dan beliau lapang, siap boleh temankan kita sekali tawaf mall. Betul. Sebab Hj Rauf ni orangnya sempoi dan accessible. Nak ajak makan roti canai dengan teh tarik pun boleh.

(17) Kalau ada jemaah yang memang tak larat langsung nak jalan, Hj Rauf akan uruskan pembantu yang boleh tolak wheelchair untuk semua ibadah tawaf dah saie ni. Siap pembantu ni tadi akan jemput jemaah tu kat biliknya, tolak ke Masjidilharam untuk buat Umrah, dan lepas tu hantar semula jemaah ni ke biliknya. Memang selesa!

Perkhidmatan selepas Umrah.

(1) Bila dah sampai ke KLIA, Hj Rauf akan pastikan semua orang dapat bekalan air zamzam masing-masing.

(2) Kalau tak dapat bagasi? Hj Rauf akan temankan jemaah sampai la dapat bagasinya. Betul. Memang komited Hj Rauf ni.

(3) Dah habis umrah pun beliau berpesan supaya sebelum masuk ke dalam rumah, jangan lupa berdoa supaya Allah beri keizinan untuk datang lagi ke Mekah dan Madinah, untuk menunaikan ibadah umrah.

Insyaallah. Kalau ada niatnya, pasti ada jalannya.

Cuma, keburukan menunaikan Umrah di musim sejuk pada bulan Rabiul Awwal, bulan kelahiran Nabi ni ialah :
- Orang terlalu ramai. Baik di Madinah mahupun di Mekah. Orang terlalu ramai, nak masuk ke Masjid pun susah. Kena bersiap terlalu awal supaya dapat duduk dalam Masjid Nabawi. Kalau bawa anak kecil, ada bahagian tertentu dalam Masjid Nabawi yang tak dibenarkan bawa anak. Tapi boleh juga solat dibahagian luar masjid, di ruang legar yang luas. Cuma kurang privasi.
- Di Mekah, muslimat tak dibenarkan solat di depan Ka'bah yang di ruang tawaf. Kena naik tangga sikit, belah atas daripada ruang legar. Kalau lelaki agak mudah. Ruang pilihan untuk solat tu banyak. Rooftop ada. Depan Ka'bah boleh. Atas jalan tar pun boleh :-D
- Bila orang terlalu ramai, nak shopping pun agak terhad, sebab nak belek tengok barang pun susah. Nak tawar menawar lagi lah susah. Jadi, saya memang tak shopping. Tak apalah. 






No comments: