Feb 19, 2014

AJK Surau Jumaat.

Bismillah..
Hari Isnin tu ayah beriya mengajak kita ke Surau Jumaat tak jauh dari rumah untuk solat Maghrib berjemaah dan mendengar kuliah Maghrib oleh seorang bekas paderi dari Sarawak. Tepat jam 7.20 petang kita bertiga dah pun tiba di surau berkenaan yang kini sedang dalam proses renovation besar-besaran untuk dijadikan masjid. Surau ini terletak di Jalan Ibukota, Setapak, bersebelahan Sek Ren. Agama Tmn Ibukota, berdepan Tadika Comelku, dan gerai tepi jalan yang sangat ramai pelanggannya. Oh ya, ada Red Chair kat sebelah gerai tu. 

Surau ini sepatutnya kecil saja, tapi ia dah menjadi Surau Solat Jumaat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ianya sentiasa penuh padat ketika Ramadhan dan setiap kali solat raya. Pada musim raya korban, penyembelihan dilakukan diladang haiwan ternakan dan hanya seekor dua saja yang disembelih di sini bagi mencukupkan syarat. Kita pun kalau solat berjemaah terawih akan sesekali datang ke sini, dan Alhamdulillah dah 2 kali dapat join ibadah korban yang dianjurkannya. 

Ayah kalau time rajin akan solat berjemaah di sini juga sebab dekat dengan rumah. Jaraknya lebih kurang macam hotel Nada Deafah di Mekah ke MasjidilHaram je. Heheh teringat kenangan di Mekah pulak.
Ustaz bekas paderi yang dijemput berceramah ini sudah beberapa kali singgah solat berjemaah di surau ini. Jadi, dah alang-alang selalu datang, dijemput terus untuk berkongsi pengalamannya memeluk Islam dan bercakap mengenai tajuk "Sayangi Islam". Ustaz ni, sudah memeluk Islam sejak dia berumur 18 tahun ketika melanjutkan pelajaran di USA. Kini, dia dah agak berumur dan bergerak aktif sebagai pendakwah bebas. 

Ustaz ni bagus. Ceritanya ringkas dan padat. Tidak berat sebelah ke mana-mana pihak. Yang penting, dia cuba membuka mata dan minda 'orang kampung' kita tentang update terkini beberapa isu yang selalu dimainkan di tv. Antara yang ditekankan ialah kisah air 'holy water' yang dikatakan air kotor yang dijadikan daripada fetus yang digugurkan hasil hubungan sulit paderi dan sister. Ini tidak benar sama sekali. 

Air tersebut adalah air suci yang diambil dari Baitullaham, dicampurkan dengan beberapa jenis minyak wangi dan dibacakan doa oleh seorang paderi selama sejam. Baunya agak tidak menyenangkan dan kalau dirasa dengan lidah, ianya sedikit kelat. Air 'holy water' ini lazim ada di gereja, sebagai air 'wudhuk' penganut kristian ketika hadir di gereja, atau digunakan sebagai renjisan untuk pembaptisan. Cerita-cerita mengenai air ini jika diminum umat Islam boleh menyebabkan umat Islam lupa diri dan agama, lantas memeluk Kristian, juga tidak betul.

Air tersebut tidak diminum oleh penganut Kristian. Ia haram diminum bagi umat Islam kerana ia merupakan air yang telah dijampi oleh agama lain. Tapi kalau dah mudharat, takde air sangat nak minum, diharuskan meminumnya. Tapi takkan berlaku apa-apa kepada diri peminumnya. Ustaz ini pernah menyelesaikan satu kes yang diserahkan oleh pihak Jabatan Agama kepada beliau tentang seorang lelaki Islam yang katanya telah murtad dan memeluk Kristian selepas meminum 'holy water'. Selepas ustaz ini membuat siasatan ke atas pemuda tersebut, didapati bahawa dia bukan menjadi penganut Kristian pun, malah dia tak tahu apa-apa mengenai ajaran Kristian. Sebaliknya dia mungkin sakit mental kerana telah dipengaruhi dadah atau dirasuk syaitan.

Ustaz juga berkongsi pendapatnya tentang isu nama Allah yang digunakan Kristian. Isu ini masih panas lagi dan sangat sensitif, malah turut dipolitikkan beberapa pihak. Menjawab pertanyaan jemaah surau, katanya, sedangkan Nabi Muhammad pun tidak pernah melarang mana-mana non-Muslim menggunakan nama Allah, mengapa kita umatnya berbalah kerana ini. Jawapannya panjang lebar, tapi ibu ingat satu point saja. Haha. Tapi ibu setuju dengan Ustaz ni, dalam hal ni, tiada jawapan yang betul-betul sempurna, mahupun yang salah sebab perbezaan pemahaman dan pendirian. Jadi, tak perlu terlalu serius membincangkan hal yang bukan perkara pokok sedangkan perkara yang lebih besar berkaitan Iman masih terawang-awangan tidak diberi tekanan.

Ceramah begini bagus didengar dan elok kalau selalu dibuat. Ibu pun sebenarnya suka juga selalu datang ke surau. Tapi ada beberapa perkara yang buat ibu jengkel nak datang selalu. Pertamanya, perangai gedik Ica, sangat menjadi-jadi bila datang surau.
 Masuk-masuk je surau duduk sekejap, lepas tu bangun dan tawaf satu surau. Selak langsir. Jalan  mundar-mandir langkah semua orang yang duduk-duduk ni.
Bila kena marah, duduklah sekejap. Duduk pun tak sopan macam ni. terkangkang. Padahal dalam telekung. Lepas tu bangun, tawaf surau semula. Lepas tu cari ayah kat saf lelaki. Bila usai solat dan langsir dibuka untuk dengar ceramah, Ica berdiri kat sebelah ayah, menghadap ke jemaah wanita. Macam nak buat konsert lagaknya. Haih. Rasa macam nak cubit kuat-kuat, tapi segan dengan Allah sebab ini dalam rumahNya. Tapi geram sangat. Ica ni bukan budak kecil lagi. Tapi makin ditegur makin menjadi. Subhanallah...
Memanglah ibu bawakan air masak untuk minum kalau Ica haus, bawa buku cerita untuk dibaca kalau bosan, dan bawa muqaddam juga untuk Ica ulangkaji mengajinya, tapi bila semua ni dah bosan tak mampu menghiburkan lagi hatinya, Ica buat hal sendiri.

Keduanya, yang buat ibu macam tawar hati nak datang selalu ke surau ni, ialah perangai makcik AJK surau nan seorang ni. Mulalah nak mengutuk ya? Sebenarnya, ibu pun tak tahu dia ni AJK surau ke tak. Tapi selalunya dialah yang buat-buat sibuk dengan keperluan surau. Sikap kepoci-macamla-surau-ni-dia-yang-punya ni, ada bagusnya. Contohnya dalam situasi kalau surau bahagian wanita penuh, panas dan sesak. Dia akan pastikan aircond dipasang. Kalau nak sejuk lagi ke, nak slowkan kipasnya ke, dia yang akan uruskan. Kalau saf wanita tu panjang sangat sampai ke pintu, dia akan susunkan jemaah dan suruh yang menyempit kat pintu tu ke saf belakang sebab nak bagi laluan orang keluar masuk. Kalau yang dalam tempat beraircond tak muat untuk semua jemaah wanita, dia yang akan suruh sesiapa buka tikar kat ruang sebelah surau berdekatan dapur. Ini sangat bagus. Takdelah kita yang jarang-jarang dapat datang surau ni tercengang-cengang nak biasakan diri. Kadang tu bab parking kereta pun dia tolong usahakan. Parking memang limited kat surau ni sebab lokasinya kat tepi jalan besar yang sibuk. 

Tapi tak perlu cakap kuat-kuat dalam surau tu macam kat rumah sendiri. Hal duniawi pula tu makcik. Haih. Kita baru je masuk nak duduk dalam saf tetiba dengar dia cakap dengan kuatnya kat kawan-kawannya, "Hah, boleh tak parking kereta awak tu? Boleh? Haritu Harrier boleh muat, ni kereta apa tadi? Ohh kereta XXXX tu mestilah lagi muat...". 

Bila ada jemaah wanita baru masuk, pasti ada saja ulasannya. "Oh dia ni yang anaknya baru kawin hari tu... ha tu menantunya la tu..." lepas tu diikuti dengan cerita-cerita mengenai anak-cucunya dan kisah rumahtangganya. Subhanallah. Makcik ni lupa kot dia kat dalam surau. Nak tegur, nanti dia jadi malu sebab kawan berceritanya tu mestilah "geng suraunya". Yang ibu perasan, setiap kali solat, termasuk solat terawih dibulan puasa, makcik ni dan 2 lagi kawannya akan "booking" tempat di saf depan sekali, dengan 3 mini sejadah dan beg-beg cantik disusun depan sejadah tu. Tapi diorang duduk ke saf paling belakang sekali untuk berbual sampailah azan berkumandang. Mungkin surau ni jadi tempat dia mengeratkan silaturrahim dengan kawan-kawan dan jirannya. Bagus begitu. Tapi. Sayang sekali.

Tiba-tiba, tahap kurang senang ibu pada makcik ni, jadi maxima ketika nak angkat takbir untuk solat Isyak. Seperti biasa dia akan sibuk sangat susun saf depan dan arahkan semua orang pijak "garisan coklat" atas permaidani surau tu untuk bagi lurus saf. Kami dibelakang ni ikut saja. Tiba-tiba, dia menoleh kebelakang dan nampak Ica tengah baca niat solat, dan ibu hampir nak angkat takbir. Sambil menunjuk pada Ica, dia kata "Eh adik ni tak boleh solat kat sini ni. Nanti putus solat. Pergi solat kat belakang". Ibu tak jadi angkat takbir terus pandang padanya yang tak pandang pulak pada ibu. Baiklah. Nak tegur dia yang tak faham hukum, dah tak sempat. Paling laju tindakan yang boleh ibu ambil untuk elakkan jemaah kiri kanan kita yang mungkin berpendirian sama macam dia jadi waswas nak solat sebelah kita, lalu ibu pun minta Ica ke belakang. 

Yang Ica ni, bila kebelakang, dia bukannya solat. Pergi duduk termenung pulak... (-_-) adeh.

Penting untuk ibu kongsikan di sini, walaupun ibu ni bukan Ustazah, tapi setakat perkara basic macam ni, tentulah kena tahu. Pertamanya, Ica dah jadi budak mumaiyyiz yang dah tahu membezakan yang baik dan buruk. Solat Ica, kalau ikut rukun dan syarat sahnya, dah jadi sama taraf dengan solat orang dewasa. Silap-silap, solat Ica lebih diterima daripada solat orang dewasa yang lalai. Kedua, tiada nas yang mengatakan bahawa anak kecil boleh membuatkan saf putus dan semua orang tak dapat pahala jemaah. Yang ini, ibu jadi lebih yakin selepas baca penjelasan Dr. Zaharudin kat sini.

Secara logiknya, kalau semua ibu tak boleh bawa anak kecilnya solat berjemaah sebab takut putus saf, jadi takdelah ruang atau peluang untuk ibu tu solat berjemaah dan anaknya belajar solat berjemaah dalam komuniti yang lebih besar? Susahlah kalau macam tu makcik. Nak tunggu anak kita dah besar-besar baru boleh ajak ke surau/masjid, kalau lepas tu ada lagi anak kecil, bertambah lagi dan lagi dan lagi, bila mananya ada peluang sebegitu? Lagipun, kat Masjidilharam dan Masjid Nabawi tu, ada ramai jemaah wanita yang solat sambil jaga anak. Waktu solat ibunya solat, anaknya menangis meraung merayau, tak dihiraukan. Asalkan anaknya berhampiran. Tak salah pun?

Inilah dia, bak kata Ustaz tadi. Umat Islam di Malaysia ni suka mengambil berat perkara kecil-kecil hingga lupa yang lebih besar. Perkara kecil, isu saf. Sedangkan perkara besar, kepentingan solat jemaah tidak diambil berat. Perkara kecil, penggunaan nama Allah. Perkara besar, ilmu mengenal Allah dan Tauhid tu sendiri tidak berkembang dalam pemikiran orang Islam. Perkara kecil, orang Kristian dikatakan menyebarkan ajaran kepada orang Islam, perkara besar, apabila orang Kristian nak memeluk Islam, prosedur diperketatkan. Apabila orang Islam nak belajar agama agak lebih mendalam dengan golongan ulamak pilihan, ada saja kekangan yang dibuat supaya golongan ini diperlekehkan. Sebab itu Ustaz kata, orang Islam di Malaysia tak sayang dengan Islam.
Kalau ada satu yang best sangat pasal datang surau ni, ialah bab makannya. Tak pernah menghampakan. Kali ni, nasi lemak bungkus daun pisang. Memang sedap sangat. Perut lapar. Nasi lemak berkrim sedap. Kita makan 2 bungkus sorang. Haha. Alhamdulillah...

No comments: