Bismillah..
Ibu teringat cerita yang disampaikan oleh Mutawif semasa ziarah luar di Madinah, mengenai keluarga Rasulullah s.a.w yang miskin dan lebih mementingkan umat Islam berbanding keluarga dan diri sendiri.
Pernah pada suatu ketika, di rumah Saidatina Fatimah r.a. tidak ada makanan untuk dimakan. Lalu mereka berpuasa nazar selama 3 hari. Suaminya, Saidina Ali bin Abi Talib k.w.w keluar rumah untuk mendapatkan pekerjaan supaya upahnya boleh dibelikan makanan untuk berbuka. Beliau diberikan pekerjaan membuat tikar oleh peniaga di Madinah. Selesai dengan tugasnya, beliau pun pulang dengan sebuku roti sebagai upah.
Sementara itu di rumahnya, Saidatina Fatimah r.a. dan anak-anak kecil mereka sedang menunggu untuk berbuka puasa. Elok saja mereka mahu menjamah roti tersebut, tiba-tiba pintu rumah diketuk oleh seorang pengembara yang sedang kelaparan dan sudah beberapa hari tidak makan kerana keputusan bekalan. Tanpa berfikir panjang, Saidatina Fatimah r.a. terus memberikan sebuku roti tadi kepadanya. Maka berbukalah mereka sekeluarga dengan hanya air kosong dan esoknya berpuasa lagi. Tanpa diduga, esoknya perkara yang sama berlaku. Hinggalah habis 3 hari puasa nazar ini selesai.
Pengajaran yang boleh diambil ialah, keluarga Nabi dan para Nabi sendiri adalah golongan miskin yang tidak memandang kepada harta kekayaan duniawi termasuklah keperluan makanan. Subhanallah.
Kita, pada hari ini, berlumba-lumba mengejar kekayaan hidup. Mulanya sekadar nak mencukupkan keperluan hidup dan tak perlu menyusahkan sesiapa, malah boleh membantu golongan lain yang susah. Lama-lama nak jadi lebih hebat dan kaya berbanding orang lain untuk menikmati lebih kesenangan. Kemuncaknya, bersaing dengan orang lain supaya diri sentiasa berada di atas. Untuk ini, kita lihat, orang sanggup buat apa saja demi mencapai cita-cita menjadi yang paling kaya.
Dari Anas ra berkata : Rasulullah saw bersabda : "Kalau anak Adam (manusia) telah mempunyai harta sepenuh dua lembah nescaya dia masih mencari lembah yang ketiga. Tiada yang memenuhi perut anak adam selain tanah. Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat" Hadis sahih riwayat Muslim. (Rujuk sini.)
Baru-baru ini, ibu terlihat Instagram seorang bekas artis (yang tak popular) yang juga model pakaian muslimah dan blogger. Asalnya, ibu selalu beli tudung di butik onlinenya, tetapi kini butiknya sudah tidak beroperasi lagi. Rupanya, dia dan suami dah kaya (dan mungkin) tidak lagi mengusahakan butik online itu kerana terlibat dalam perniagaan points syarikat Phytoscience menjual Double Stem Cell.
Apa yang pasti, produk ini adalah sebaris dengan produk kesihatan yang dijual kebanyakan syarikat MLM (MultilevelMarketing) yang mana khasiat produk tidak begitu diwarwarkan tetapi apa yang penting ialah mencari lebih ramai ahli untuk menyertainya.
Setiap penyertaan mempunyai points tertentu dan points ini akan ditukarkan kepada wang bonus yang dibayar oleh syarikat sebagai 'bayaran' untuk pasaran produk. Mungkin harga produk ini tidaklah semahal yang dijual kepada ahlinya. Tapi harga yang tinggi penting untuk dapatkan modal pusingan untuk pengiklanan yang dibuat melalui keahlian ini. Ini bermakna, lebih ramai orang menjadi ahli, lebih banyak points terkumpul, lebih besar nilai bonus yang akan dibayar oleh syarikat.
Setiap penyertaan mempunyai points tertentu dan points ini akan ditukarkan kepada wang bonus yang dibayar oleh syarikat sebagai 'bayaran' untuk pasaran produk. Mungkin harga produk ini tidaklah semahal yang dijual kepada ahlinya. Tapi harga yang tinggi penting untuk dapatkan modal pusingan untuk pengiklanan yang dibuat melalui keahlian ini. Ini bermakna, lebih ramai orang menjadi ahli, lebih banyak points terkumpul, lebih besar nilai bonus yang akan dibayar oleh syarikat.
Inilah bentuk pembayaran bonus oleh syarikat Phyto Science Sdn Bhd.
Ini pula gambaran yang diberikan oleh peserta MLM yang sudah berjaya mendaftarkan ramai orang supaya terlibat dalam perniagaan ini. Nampak menarik dan mengujakan. Betul? Ini adalah salah satu cara peniaga-peniaga MLM menarik peserta dalam program perniagaan mereka. Mereka tak cerita pun pasal keberkesanan produk. Itu tak penting. Yang penting, join dulu!
Yang kiri, adalah antara pelopor kumpulan yang berjaya dengan 6 angka pendapatan dan mendapat kemudahan (hadiah) kereta daripada syarikat. Lumayan. Oh ya, yang dapat 5 angka tu lah model dan bekas artis yang ibu cerita kat atas tadi. Masa ni dia baru dapat 5 angka. Tapi mungkin perniagaan ini lebih berbaloi daripada berniaga tudung online. Yang tu lambat kaya agaknya.
Ini pula gambar beliau yang agak terbaru juga. Berkongsi kejayaan dengan para peminat di mana suaminya (juga seorang blogger dan fotografer) telah mendapat sehingga RM300k pendapatan pada bulan ketiga menyertai perniagaan ini. Manakala dia sendiri dapat RM140k. Hebat. Berapa ramai pendaftaran ahli agaknya yang diperlukan untuk mencapai bonus sebegini besar? Hasilnya digunakan untuk beli kereta Merz baru, membuat jamuan sebelum menunaikan Umrah dan sewaktu di Mekah, duduk di hotel taraf VIP. Memang hebat.
Kaedah MLM begini boleh menjual apa pun jenis barangan, hatta garam dan air mineral asalkan berani mencuba. Lebih banyak produk terjual, lebih tinggi keuntungan syarikat, lebih lagi syarikat akan membayar bonus keuntungan kepada marketing. Kalau kita lihat, peniaga MLM berjaya dalam syarikat-syarikat jualan langsung hanya mengetengahkan satu produk saja, dan itupun bukan produk itu yang penting. Tapi penyertaan ahlinya yang penting.
Macam produk Double Stem Cell ini, telah ada pendedahan demi pendedahan dibuat untuk memberitahu masyarakat tentang produk yang tidak mendapat status halal JAKIM dan status ubat dengan KKM sepertimana yang dilakukan oleh Mazidul Akmal di sini. Malahan ada juga pendedahan oleh penyelidik double stem cell sendiri mengenai apakah yang dimaksudkan dengan DSC ini di sini, dan mengapa produk DSC ini dikatakan menyalahtafsirkan makna dan sifar sebenar double stem cell.
Kat atas ni ialah semua printscreen daripada facebook Mazidul Akmal dan website beritasemasa.com. Walaupun ibu ni bukan peminat Mazidul, tapi pendedahan begini sememangnya kita nantikan. Rasa nak tergelak pun ada bila baca komen-komen golongan anti-MLM dan jawapan peniaga MLM. Ada juga yang nampaknya macam nak menegakkan benang yang basah. Aduhai.
Kita yang jadi pemerhati ni pastinya boleh membuat kesimpulan yang perniagaan Double Stem Cell oleh Phytoscience ini ialah suatu penipuan.
Tapi, rasanya, usahawan dan jutawan MLM Double Stem Cell ni nak berhenti beroperasi ke hanya dengan pendedahan-pendedahan ini? Dari dulu sudah wujud review dan pendedahan oleh golongan yang kita kata anti-scam dan anti-MLM ni mengenai setiap produk yang dipasarkan dalam MLM. Kita boleh "like" FB page mereka. Ada lebih daripada satu dan ada di beberapa tempat selain di Msia. Tapi MLM tetap hidup subur malah melahirkan lebih ramai jutawan segera. Ini membuktikan, ramai ahli masyarakat yang tak buat research terlebih dahulu sebelum menyertainya. Semuanya telah 'dibutakan' dengan gambaran banyaknya bonus yang bakal diterima kalau menyertai. Ibu pun pernah terkena juga dulu, dengan Premium Beautiful dari syarikat Hai-O. Sekarang dah tak dengar sangat khabar berita mengenainya atau dah kurang popular barangkali sebab dah banyak produk-produk lain yang membanjiri pasaran.
MLM ni hidup dengan usaha ahli-ahlinya yang menjual gambaran status dan kekayaan diri demi menarik ahli-ahli baru yang membeli produk dan menjadi kaya dengan points. Ramai yang tidak mengendahkan status halal-haram produk, apatahlagi keberkesanannya sepertimana yang dipopularkan melalui testimoni. Yang lebih menghairankan, tiada pun hasil ujian saintifik untuk menyokong testimoni yang banyak ni, tetapi ada dikalangan bijak pandai profesional yang berpengetahuan luas berbanding kita, macam doktor perubatan dan ahli farmasi, turut menjadi ahli dan telah berjaya menarik lebih ramai orang bawahan dan menjadi kaya. Tak rasa bersalah kot?
Akan datang bagi manusia suatu zaman dimana orang tidak peduli apakah harta yang diperolehnya halal atau haram. (HR. Al Bukhari).
Oleh itu, ibu nak nasihatkan di sini. Jangan mudah terpedaya dengan gambar-gambar yang nampak "too appealing" dan "seems interesting". Elok juga kalau menyimpan sedikit prasangka supaya dengan rasa prasangka tu, kita berusaha untuk buat sedikit research dan bertanya kepada yang sudah berpengalaman.
Janganlah kamu mengagumi orang yang terbentang kedua lengannya menumpahkan darah. Di sisi Allah dia adalah pembunuh yang tidak mati. Jangan pula kamu mengagumi orang yang memperoleh harta dari yang haram. Sesungguhnya bila dia menafkahkannya atau bersedekah maka tidak akan diterima oleh Allah dan bila disimpan hartanya tidak akan berkah. Bila tersisa pun hartanya akan menjadi bekalnya di neraka. (HR. Abu Dawud).
Janganlah bila dah tengok gambar duit banyak, terus lupa diri melompat nak join kumpulan. Padahal tak tahu produk yang dijual tu ada faedah atau sekadar alat untuk menipu orang lain saja.
Sesungguhnya wang dinar dan dirham ini telah membinasakan orang-orang sebelum kamu dan di masa yang akan datang pun akan membinasakan kamu. (HR. Athabrani).
Bila dah buat research dan puas hati dengan produk dan plan perniagaannya, dan hati tetap berkenan nak join jugak, evaluate lah diri sendiri dan orang-orang di sekeliling juga. Mampukah mendapatkan kumpulan yang menyokong jatuh-bangun dalam usaha ini? Ada tak kawan-kawan yang mempunyai keinginan yang sama? Dan paling penting, jujurkah kita kepada mereka untuk berkongsi perniagaan ini atau kita tenggelam dalam 'niat nak menolong orang lain' dengan 'niat nak kaya dulu'?
Barangsiapa mengumpulkan harta dengan tidak sewajarnya (tidak benar) maka Allah akan memusnahkannya dengan air (banjir) dan tanah (longsor). (HR. Al Baihaqi).
Hari ini kebanyakan perkara yang kita lihat tidak melambangkan apa yang paling jujur dan halal di sisi Islam. Andai kita cantik, kita bijak berkata-kata, kita mampu menjadi kaya dengan bakat kurniaan Ilahi. Tapi kita tak boleh lupa, setiap kurniaan mempunyai harga tertentu yang perlu dibayar. Kita tak tahu, hari ini kita senang nak buat apa-apa, kita selalu berjaya, malah apa yang kita usahakan sentiasa membuahkan hasil. Ini mungkin ujian buat kita. Kalau bukan sekarang dirasai, mungkin di masa depan. Mungkin anak kita yang bermasalah. Mungkin ibu bapa kita bercerai berai. Mungkin hidup kita hilang rahmatnya sedikit demi sedikit tanpa kita sedari. Inikah yang kita mahu?
Tak apalah kita tak kaya, asalkan rezeki halal yang sedikit boleh dimanfaatkan sebaiknya. Kita sihat. Anak-anak dan keluarga sihat. Cukup makan-pakai secara sederhana dan boleh membantu orang lain yang lebih memerlukan. Mungkin kita tak mampu 'membeli' perkhidmatan yang terbaik, penginapan paling selesa, pengangkutan paling bermutu, tapi mungkin juga dengan cara ini kita lebih menghargai kehidupan. Ingatlah, syurga itu bukan mudah untuk ditempah. Hanya dengan kesabaran, keyakinan dan istiqamah. Wallahua'lam.
#peringatan untuk diri sendiri dan anak ibu.













No comments:
Post a Comment