Feb 22, 2014

Ujian dikala susah.

Bismillah..
Hari ini masuk hari kedua rumah kita berkecah dengan habuk dan pasir kesan pekerja binaan memecahkan lantai. Ibu hantar Ica ke rumah nenek sejak semalam. Lepas balik dari tadika. Nampaknya Ica kena menghabiskan hujung minggu ini tanpa erti di rumah nenek. Kalau nenek nak bawa jalan-jalan, baguslah. Ad ajuga aktiviti Ica. Kalau tidak, duduk saja di rumah flat tu sambil melayan nenek. Ibu datang masa nak tidur malam saja. Siang, ibu kena duduk dalam bilik tidur kita ni. Terkepam sorang-sorang, jaga rumah sementara diorang buat kerja. Kat ruang tamu, takde tempat nak jalan. Berpasir satu rumah sebab diorang tebuk semula longkang dalam tanah di bawah rumah kita untuk gantikan paip besar yang mengalirkan air keluar ke longkang utama.

Kisahnya, rumah kita dah pernah banjir berkali-kali bila hujan lebat. Ibu dan ayah dan spent lebih seribu ringgit untuk bersihkan salur paip bawah tanah hari tu. Ingatkan, itulah banjir yang akhir. Tapi Isnin lepas, hujan lebat selebatnya, selepas sebulan tak hujan, tiba-tiba, air naik dan keluar di tempat yang ditebuk haritu. Macam nak pengsan kelam kabut kita dibuatnya. Ayah pun panggil Din Tukang yang buat kerja hari tu. Din tengah sibuk dengan projek di tempat lain. Abangnya yang datang hanya tebukkan lubang di depan pagar depan, lepas tu tak buat apa-apa. Esoknya, pun takde kerja. Rupanya, abang Din ni tak tahu nak buat apa. 

Ayah pula, yang buatkan ibu sakit hati sangat dengan dia ni, dah tahu rumah banjir, dan bakal banjir lagi kalau hujan lebat, tetap teruskan dengan plan percutian naik motor dengan kawan-kawannya. Tak ke itu mementingkan diri namanya? Ibu susah hati nak ditinggalkan. Apalah nak jadi dengan rumah ni. Ica pun sedih sebab ayah nak tinggalkan Ica dengan ibu yang nampak garang aje ni. Ibu dah pujuk ayah, tak payah lah pergi. Bukan urusan penting sangat pun. Tapi, tahu sajalah ayah tu. Degil tak terpujuk. Katanya, takde apa yang serius. Nanti Din datang baiki longkang, lepas tu takyah kemas sangat, ayah balik hari Isnin, ayah kemaskan semuanya. Mudah betul ayah bercakap. Maklumlah. Dah tak sabar nak hirup angin jalanraya.
 Bergambar dengan semua motosikal yang bakal bersaing dalam percutian KL-Thailand.

Haih. Kalau urusan kerja, ibu taklah ralat sangat. Redha sajalah. Dah itu rukunnya. Kalau ada sikit susah hati pun, hanya atas keselamatannya. Berdoa sajalah supaya dia selamat pergi dan balik. Ini pergi bercuti. Tinggalkan kita yang dalam kesusahan pulak tu. Nak rasa risaukan keselamatannya pun tak jadi. Lebih risaukan keadaan kita kat rumah ni. Dia bolehlah, senang hati je pergi. Ini kali kedua ayah berseronok dengan kawan-kawan rempitnya. I dont know if I can take it anymore kalau lepas ni dia nak pergi lagi. Tak bertimbangrasa betul.

Sementara itu, hari Jumaat, Din Tukang pun datang menjenguk keadaan longkang rumah kita. Dari pagi sampai tengahari Din dan kawan-kawannya bertungkus lumus cuba menarik kekotoran dari longkang bawah rumah kita. Daripada tali yang sederhana, hingga tali yang paling besar. Tak berjaya menarik kepingan konkrit di bawah sana. Akhirnya Din pun mengalah. Katanya, salur longkang bawah tanah kita terlalu rendah. Bila salur longkang utama penuh, dan tersumbat dengan pelbagai jenis sampah dan bahan binaan daripada kerja-kerja renovasi tempat lain, ia tersangkut dan tersumbat, lalu mengalir ke saluran kita yang rendah. Akhirnya, saluran kitalah yang tersumbat juga, dan naik ke rumah. Begitu teori Din.

Ibu pun jenguk juga lubang longkang yang dikorek haritu. Tapi ibu tak dapat nak bayangkan macam mana konkrit boleh ada dalam lubang yang kecil tu. Tapi mungkin betullah teori Din. Kalau tidak, macam mana boleh sumbat dan banjir kat rumah kita sedangkan longkang utama tak banjir pun.

Dengan pengalaman 'perlongkangan' yang tak seberapa, ditambah pula stress sebab ayah takde, ibu pun minta pendapat Din terus. Nak buat macam mana. Kalau hujan, gerenti banjir lagi rumah saya. Ibu tak tahu apa yang Din fikirkan tentang ibu ni. Kesian, atau nak pekenakan. Tapi Din mencadangkan supaya buat longkang baru, dan diorang akan masukkan salur longkang yang berdiameter lebih besar supaya kalau air dari longkang utama dapat masuk, akan juga senang keluar. Begitu juga kalau ada sampah konkrit yang besar, senang ditarik keluar untuk dibersihkan. Tapi ini semua melibatkan kerja memecah lantai rumah dari depan hingga belakang/dapur. Dan kosnya juga mahal, kerana perlu bersihkan lantai, gantikan mozek dan angkut sampah pecahan lantai. Dalam RM10,000.00.

Ibu rasa macam nak pengsan dengan penjelasan Din. Maknanya, hujung minggu ini akan menjadi hujung minggu yang kosonglah untuk ibu. Tak dapat menikmatinya dengan baik malah kena keluar duit lagi untuk kos pembaikan luar jangka. Ibu nak consult ayah, tapi ayah dah terlepas ke sempadan. Tiada talian telefon. Ibu tak tahu nak minta pendapat siapa. Walaupun dalam akaun tak sampai RM10,000, tapi ibu terpaksa setuju. Din tengok muka ibu yang sedih tu, tak tahulah dia ikhlas atau apa, hanya Allah yang tahu, dia tawarkan kosnya diskaun hingga jadi RM6000 saja, dan dia minta deposit RM2000.

Selepas ibu bayar deposit, dan hantar Ica ke rumah nenek, barulah Din memulakan kerja-kerjanya. Din Tukang ini, orangnya sentiasa sibuk. Projek di sana sini. Isnin nanti Din kena mula projek di tempat lain pula. Jadi, hendak tak hendak, Din kena siapkan projek rumah kita ni hari Ahad juga. Nasiblah Din pun takde hujung minggu yang bermakna. Kata Din, dia tak sampai hati nak tolak kerja ni sebab dah lama kawan dengan kita. Yelah, banyak dah duit-duit ibu yang masuk ke poket Din. Daripada zaman kena tipu dengan Atan Tukang dulu lagi.

Jadi, melepaklah ibu dan Noneng dalam bilik masing-masing sementara diorang buat kerja-kerja memecah lantai. Memang membingitkan. Tapi, bila ibu dah letih, ibu tidur aje dalam kebingitan tu. Nak buat macam mana. Takkan nak tinggalkan rumah macam tu saja.
Bilik di belakang sekali, dah tak rupa bilik. Dah jadi stor sementara meletak kerusi meja makan sebab nak lapangkan ruang dapur.
 Ini sebelum kerja dimulakan. Semua yang tak boleh simpan dalam bilik, dibungkus dengan kanvas dulu.
Yang dibungkus tu ialah sofa, daybed, almari buku dan almari tv. Supaya tak teruk sangat kena habuk simen.
 Mozek yang putih ialah kesan tebukan sebelum ini. Sekarang kena tebuk lagi. Ini kat bahagian dapur.
 Ini tebukan fasa pertama sepanjang ruang makan table-top di dapur.
Ini ruangnya. Habis yang dibawah fridge pun kena tebuk juga. Lepas ni ayah jangan lupa lah bersihkannya.
Ini ruang depan. Noneng tengah confused kenapa keadaan macam ni? Masa ini, diorang dah habis kerja dalam pukul 6, jadi penutup tv dibuka untuk ibu menonton malam ni. Tapi ibu tak stay kat rumah pun sebab berhabuk dan tak ada ruang nak duduk. Ibu ke rumah nenek. Tidur dengan Ica di bilik bujang ayah dulu. Itupun ibu tak lena sangat sebab teringatkan rumah yang berkecah. Pagi Sabtu, Ica belum bangun lagi ibu dah keluar rumah nenek, dan balik ke rumah kita untuk buka kunci pagar, sebab Din nak datang buat kerja dalam pukul 9 pagi. 

Ibu akur, ini ujian Allah. Tanda Dia sayangkan ibu. Ibu rasa betul-betul terduga emosionally, physically and financially. Secara emosinya, ibu jadi bengang betul dekat ayah sebab mengabaikan kita untuk seronok dia seorang. Secara fizikalnya, ibu letih kena berulang alik ke rumah nenek dan kena tunggu dalam bilik ni sorang diri sambil melayan komputer dan buat-buat tak dengar bunyi drill kat luar bilik tu. Secara kewangannya, ibu pun tak yakin duit dalam simpanan cukup untuk bayar semua kos ni sebelum Isnin. Tak pun, minta tangguh hingga ayah balik, atau tunggu ASB boleh guna. 

Ya Allah. Ibu harap dapat bersabar dengan semua ujian ni. Semoga istiqamahlah ibu. Ameen.

No comments: