Feb 26, 2014

Yang buruk pada anak.

Bismillah..
Anak kita adalah cerminan kita. Betul atau tidak, hanya yang ada pengalaman jadi ayah ibu saja yang tahu kebenarannya. Masa anak tu kecil, kita pasti terdetik, nanti besar, macam manalah perangainya. Ikut siapalah sikapnya nanti. Soleh ke, nakal ke. Masa ini kita langsung tak terfikir pun tentang perangai kita yang lalu mungkin akan mempengaruhi perangai anak kita. Kita pun dah lupa kenakalan kita masa kecil dulu. Kan. Jadi, bila anak dah besar sedikit dan mula menampakkan ciri budak nak matang, dan dia berperangai di luar jangkaan, tak banyak, sikit, kita mesti akan rasa hairan. Dari mana dia copy perangai pelik ni??

Kalau ibu nak senaraikan perangai Ica yang ibu tak berkenan, eh tak muat pula entry ni sebab banyak sangat :-) tapi ibu cuba berlapang dada dan berbesar hati dengan setiap ujian yang Allah beri dalam bentuk perubahan perangai Ica. Yelah, Ica berkawan dengan orang lain. Ibu tak boleh nak hadkan perkembangan Ica dalam berkawan. Sikit-sikit mesti Ica ada nak terikut-ikut perangai kawan-kawan yang tak soleh/solehah. Mana-mana yang ibu boleh pantau, dan ibu sedari, maka ibu cubalah ubahnya supaya tak melampau. Setakat ini, perangai Ica yang tak best ialah berikut.

(1) Tantrum tak terkawal.
Ada masa-masanya Ica suka ikutkan perasaan. Bila disuruh/diminta buat sesuatu, Ica tak mahu ikut. Jawapan "Tak nak" Ica tu kadang buat ibu sebal sangat. Padahal ibu suruh untuk benda-benda yang baik. Bukan suruh terjun tingkap ke, makan batu ke koyakkan kulit sendiri ke. Ibu suruh Ica "pergi sikat rambut" atau "sebelum tidur, kencing dulu.." atau lepas pakai baju sekolah, minum air madu dulu dan kemudian makan kismis". Tak ada yang pelik pun. Tapi itulah. Bila datang tantrumnya, tak semena-mena nak melawan. Tak kena tempat pula tu. Kalau ibu tengah mood baik, memang ibu layankan saja. Kalau tidak, ha siaplah. Ica sendiri yang cakap, ibu ni garang.

(2) Cepat copy ayat yang tak baik.
Kadangkala ayah dan ibu lupa yang Ica ni dah besar dan dah faham hampir 100% kata-kata orang dewasa. Ibu dan ayah kalau berbual tu, kadang terlepas perkataan-perkataan sensitif yang orang dewasa selalu kata, tapi tak elok maknanya. Contohnya, ketika memandu, ada pemandu kereta yang memotong secara agresif, dan ayah akan kata "Hoi bodoh ke apa?". Nanti bila-bila Ica nampak situasi yang sama, Ica akan kata "Bodohkan kereta tu ibu, dia potong kita macma tu?".

Sebenarnya semua orang tak elok pun mengatakannya, tapi orang dewasa ni emosinya cepat terganggu. Jadi selalu tercakap perkataan tak elok tu tanpa maksud. Maknanya macam tak sengaja. Bila Ica repeat ayat yang sama, barulah ayah dan ibu terpukul dan menyesal. Persoalannya, kenapa kalau ayat yang baik-baik tu, Ica susah betul nak lekat, tapi kalau ayat yang tak baik, cepat saja terikut? Contoh ayat yang baik ialah, bila kita baca perkataan Rasulullah SAW, SAW ialah singkatan bagi Sallallahu Alaihi Wasallam. Hal ini ibu dah ulangkan lebih daripada 20 kali rasanya. Tapi susah betul nak lekat. Haih.

(3) Overly attached dengan ayah.
Memang anak ayah. Walaupun Ica pernah kena tampar paling kuat dengan ayah, dan kalau dengan ibu tu hanya tampar & cubit manja saja tapi kalau diberi pilihan, tamparan siapa yang Ica tak suka, tentu-tentu tamparan ibu juga. Haih. Tak apalah. Masa ibu mengandungkan Ica dulu, ibu cinta sangat dengan ayah. Itu pasal Ica tu sayang sangat dengan ayah. Kalau dengan ibu tu, laju je nak merajuk, nak marah tak tentu pasal. Tapi kalau dengan ayah, macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong pula.

(4) Cepat menangis.
Mungkin masa ibu mengandung dulu ibu suka sangat menangis dan cepat rasa takut/suspense, Ica pun jadi macam tu. Lagi best, Ica kalau suruh menangis, tak sedih pun boleh buat-buat sedih. Drama queen...

(5) Susah nak dilentur untuk makan yang berkhasiat.
Ibu cuba untuk berikan Ica makanan yang baik. Kismis dan madu dah sepatutnya jadi rutin sebab dah masuk 2 tahun ibu biasakan Ica mengambilnya setiap pagi. Tapi setiap kali itulah Ica perlu dipaksa. Kalau ibu lupa, memang seronok sangat Ica. Kenapa?

Hal yang sama kalau ibu suruh Ica makan sayur. Susah sangat macam nak kena makan cacing ke apa? Ada secubit sayur hijau pun dah menggeletik tak nak makan. Padaal masa Ica baby dalam umur setahun lebih dulu, Ica tak kisah pun makan sayur. Terutamanya taugeh. Sangat suka! Tapi sekarang (-_-)

(6) Suka show off. Ikut siapa ni?
Kalau shopping, Ica suka nak beli benda-benda yang boleh ditayangkan pada kawan-kawan di sekolah. Terutamanya barangan berjenama Hello Kitty atau Princesses. Pantang kalau kawan ada yang Ica takde. Serupa meroyan nak juga dapatkan yang sama atau yang paling terbaru. Haih. Sikap suka menunjuk-nunjuk ini ialah perangai utama syaitan. Naudzubillah. Jangan ditiru perangan ini hingga besar ye.

(7) Malas mengaji dan buat latihan matematik.
Kelemahan utama Ica dalam pelajaran ialah mengira. Subjek matematik tu macam subjek alien. Ini saling tak tumpah macam ayah dan ibu. Jadi, bila ada kerja rumah matematik, Ica mesti malas nak siapkan. Kalau ibu suruh buat latihan matematik, mesti Ica macam ulat gonggok kepanasan. Tak boleh buat. Begitu juga halnya dengan mengaji. Walaupun ibu dah biasakan Ica mesti belajar mengaji paling pendek pun 5 minit setiap selepas solat maghrib, tapi kalau tak mengaji tu Ica lagi suka. Macam kenduri pulak..

Orang kata, sikap dan sifat anak-anak ni dipengaruhi oleh pola pemakanannya. Kalau suka makan daging, nanti budaknya nakal. Suka melawan. Sukar dinasihati. Lebih elok diberikan sayuran dan buah-buahan selalu supaya hatinya tak sekeras batu. Tapi pada ibu, Ica bukan penggemar daging sangat. Kalau makan nasi, lauk kegemaran Ica, kalau tak sup ayam, ayam kurma dan telur goreng letak kicap. Itupun sup dan kurma tu, hanya kuah yang dimakan. Isi ayamnya tak makan pun. Daging lembu, kambing, rusa, etc lagilah Ica tak makan. Jadi, dari mana datangnya sikap suka tantrum tak kira masa tu? Musykil. Dari keturunan yang suka mengamuk ke? *sambil jeling pada ayah*

Tapi, dalam pada kekurangan Ica ni, ibu tetap bersyukur sebab Ica masih kategori anak yang sopan dan jaga adab. Masa berkurung di hujung minggu di rumah nenek minggu lepas, 3 petang berturut-turut Ica turun padang, main di taman permainan dalam kawasan flet nenek tu.
 Hari pertama turun malam hari sebab ibu tak sempat bawa Ica waktu petang. Tapi bila malam tak boleh lama sangat. Ibu risau macam-macam. Angin malam. Nyamuk. Lipan tanah. Risau tak nampak, tahu-tahu dah kena. Jadi esoknya main belah petang. Amboi suka sangat. Kejap-kejap ibu buaikan. Lepas tu buai sendiri. Lepas tu main pula gelongsor dan jongkang jongkit.
 Ada banyak padang permainan sekitar flet PPR Ayer Panas ni. Tapi ini yang paling dekat dengan blok rumah nenek. Petang-petang memang ramai sangat yang ambil angin kat sini sebab tak panas. Kawasan padang ni terlindung dengan bangunan flet yang tinggi. Bukan budak kecik saja, yang dah besar, yang tua-tua pun ikut sama.
 Ini blok flet rumah nenek. 
Kalau diperhati, ada beberapa kumpulan orang yang sama akan datang ke padang ni setiap petang berdasarkan pemerhatian ibu untuk 2 hari berturut-turut ni. Mengikut kelumpuk susunan dari kiri ke kanan dalam gambar ini. Satu kumpulan budak sekolah rendah yang saja-saja borak atas batu, mengenai diri masing-masing yang kebosanan di rumah, jadi terpaksa turun padang, lepas tu main kejar-kejar untuk hilangkan bosan. Kedua. Satu kumpulan budak sekolah menengah perempuan yang dah besar sikit, bersembang bergosip ditapak buaian secara santai-santai sambil mata menjeling-jeling pada remaja lelaki yang turut melepak di tempat gelongsor. Pada masa ini, remaja lelaki sibuk buat video dalam ipad, cara-cara bergimnastik yang lasak dengan palang besi. Remaja lelaki biasanya tak hairan sangat dengan remaja perempuan. Diorang lebih herankan peralatan canggih dan suka upllod video. Nak glamer cepat la tu?

Ica kebetulannya tak termasuk dalam mana-mana kumpulan sebab sikit-sikit panggil ibu suruh temankan. Ica malu la tu.

Apa yang ibu tak suka dengan budak-budak yang melepak di padang ni dari segi sosialnya, ialah kata-kata yang keluar dari mulut diorang. Asyik mencarut saja. Takde perkataan yang baik-baik langsung. Sambil berlari pun sempat lagi memanggil "Hoi Bod*h!" pada kawan yang dikejar. Kalau berbual tu, tak sah kalau tak sebut "Puk*m*k kau!" "Bab*!" "S*al!" "Cilaka!" dan yang paling kerap "Bodoh." Bodoh situ sana sini. Macam bersahut-sahutan pulak. Mungkin itulah perkataan yang kerap digunakan di sekolah? (ei takutnya nak masukkan Ica ke sekolah betul) atau yang dijaja ibu bapa diorang di rumah?

Ia sesuatu yang tak sihat dan melambangkan betapa rendahnya taraf sosial budak-budak kat sini hinggakan nak cakap perkataan yang elok pun menjadi sesuatu yang susah. Naudzubillah... Terfikir juga ibu, adakah penduduk flet ni semuanya stress-stress saja orangnya, sampaikan asyik cakap kata-kata kesat lalu ditiru anak-anak kecil? Atau ayat-ayat tidak baik ini menjadi "viral" sebab diorang ni terlalu rapat antara satu sama lain, jadi kalau jiran sebelah suka gunakan "Hoi Bodoh!" lalu jiran yang lain tak gunakan ayat yang sama, maka diorang tak cocok berjiran? Takde geng?

Lepak lama sikit, dapatlah ibu berkenalan dengan baby 7 bulan yang comel ni, Maryam. Pengasuh yang bawanya ke padang ni bukan neneknya atau saudaranya. Maryam dan 2 lagi kanak-kanak berumur 2 dan 3 tahun ialah kanak-kanak tiada bapa sah yang diserahkan oleh ibunya ke pusat jagaan di Jab Kebajikan Masyarakat. Makcik yang bela Maryam ni, anaknya kerja di JKM. Jadi, dia bawa balik beberapa budak kecil untuk dibela sendiri memandanglan terlalu ramai anak kecil di nursery JKM. Comel Maryam ni. Mukanya serius tapi bila diagah terus senyum. 
Hari ketiga Ica turun lagi. Pakai lawa sebab siangnya kita jalan-jalan di shopping mall. Konon nak tengok wayang tapi takde cerita yang best. Langsung beli barang saja, dan lepas tu balik ke rumah nenek semula. Bila dah petang sikit, lepas solat Asar, kita turun lagi. Harapan ibu dapatlah jumpa dengan Maryam, tapi dia tak turun pula petang ni.
Agak lama main buaian, akhirnya ibu kenalkan Ica dengan Yana. Budak yang main buaian sebelah Ica. Kalau harapkan Ica yang tanya Yana dulu, memang takde kawan la sampai bila-bila anak ibu yang pemalu tiba-tiba ni. Yana sebaya Ica tapi Yana ada adik kecil dan kakak yang dah besar panjang, yang sama-sama lepak kat padang ni. 
Yana ni kurus je budaknya. Siap bawa bola, jadi ibu suruh Yana dan Ica main bola sebab macam bosan je main buaian. Mula-mula lontar bola dekat-dekat saja. Ica yang takde skill main bola, dah tentu jadi tukang kutip bola jatuh saja. Yana pula rileks dapat sambut bola dengan elok. Nampak sangat bezanya budak berdua ni. Lama-lama main, jadi baling jauh-jauh pula. Masa ini baru ibu nampak perangai Yana pun sama juga dengan budak-budak lain. Ica memanggil Yana dengan panggilan "Yana", tapi Yana panggil Ica dengan "Hoi!" saja walaupun puas ibu membahasakan nama Ica pada dia. "Hoi, janganlah jauh sangat".. "Hoi jangan lari!" "Hoi, sinilah!". Katanya ketika Ica membawa lari bola. Nasib baiklah "Hoi" yang digunakannya tetap dijawab "Yana" oleh Ica. Tak nak lah nanti Ica pun ber hoi-hoi dengan dia. Pengsan lah ibu. Kemudian diorang main kejar-kejar pula. Yana tu ringan sebab kurus je badannya Lari pun berdesup. Tak terkejar dek Ica yang berat nak melangkah ni. Akhirnya, Ica pun dah tercungap-cungap. Nasib baik ibu perasan. Terus ajak Ica balik.
Malamnya, Ica demam. Tentu penat sangat berlari. Siap lelah pula. Nasib baik ayah dah balik dari percutian bermotornya. Terus bawa ke rumah nenek ubat-ubat Ica dan mesin nebulizer. Isnin, Ica ponteng sebab demamnya tak kebah. Kesian. Baru nak jadi "real" bermain di padang, terus jadi begini. Tak padan dengan gembiranya Ica bermain buaian, gelungsur dan jongkang jongkit. 

Bila cerita pada nenek tentang Yana, komen nenek, "Oh budak hitam kurus tu? Hei budak tu lasak. Budak-budak kat flet ni semuanya lasak-lasak. Janganlah kawan dengan diorang...". Pulak...

Ibu baru nak biasakan Ica dengan dunia sebenar bila dah masuk sekolah rendah. Dunia berpenat lelah bermain dengan kawan-kawan diluar bilik berhawa dingin. Dunia "playground" yang besar dan ada buaian. Tak macam yang di tadika, hanya "playground tipu-tipu" saja. Dunia kanak-kanak yang selalunya asyik nak berlumba lari, dan lumba siapa paling cepat, siapa paling hebat. Sebab dunia tadika sekarang ni semua kanak-kanaknya berada di fasa "selamba" sebab selesa. Selesa dalam bilik yang sejuk, tak berebut mainan, cikgu yang peramah, waktu kelas yang pendek, dan hampir tak jumpa dengan matahari sebab turun saja dari kelas, dah masuk dalam kereta sampai rumah.

Kesimpulannya, walaupun Ica tantrum, suka show-off, kadangkala nakal, tapi bila dah tengok perbandingan dari kawanan kanak-kanak kat sini, barulah ibu boleh nampak kebaikan Ica yang jauh lebih elok daripada mereka daripada banyak aspek. Harapan ibu agar suatu hari nanti, Ica bijaklah memilih kawan yang baik-baik, yang boleh bawa Ica ke arah kebaikan dan menjadi anak yang solehah, remaja yang berwawasan dan berakhlak, dan bakal pemimpin ummah yang boleh diharapkan, Insyaallah Ameen...

Mungkin Ica bukan jenis lasak macam budak biasa. Baru satu weekend main lasak macam ni, dah demam tak kebah-kebah. Pelan-pelan kayuh lah ibu.



No comments: