Apr 11, 2014

Arissa dengan jadual harian dan taekwondo.

Bismillah..
Hari ini Ica kata kat sekolah ada 2 orang kawannya, yang seorang nak jadi pilot dan yang seorang nak jadi doktor orang sakit. Tapi Ica tetap nak jadi doktor haiwan. Sebab Ica nak rawat haiwan yang sakit dan bagi makan ubat supaya haiwan jadi sihat. 

Ibu tanya, habis tu kalau ibu yang sakit, macam mana? Jawab Ica mudah, kalau ibu sakit, pergilah dekat kawan Ica tu. 

Eh betul juga. Apa guna ada kawan yang jadi doktor kalau tak boleh ubatkan ibu kita, kan? Tapi Ica kata nak jadi ustazah? 

Ica kata, kalau jadi doktor haiwan pun boleh jadi ustazah juga. Jadi dua-dua. Alhamdulillah. Nampaknya Ica dah mula ada cita-cita yang Ica faham bentuk tugas dan tanggungjawabnya. Ibu suka. Tapi nak capai cita-cita bukan mudah. Perlu kerja keras, rajin belajar dan jangan mudah putus asa.

Semalam, ibu jumpa kawan-kawan UiTM Melaka masa ibu buat diploma tahun 1998-2000 dulu. Masing-masing dengan kerjaya hebat dan berat, dan anak-anak yang berderet. Bila ibu kata, ibu sedang cuti belajar, dan hanya ada seorang anak saja buat masa ini, masing-masing cemburukan ibu. Apa yang ibu buat di rumah sepanjang hari? Kelas belah petang saja. Anak pula seorang je. Kenapa tak buat bisnes? Bla bla bla...

Lagi 3 bulan ibu bakal kembali bekerja. Terasa singkat pula masa yang sudah berlalu. Dah nak habis setahun setengah yang dihadiahkan oleh JPA untuk ibu. Dalam masa-masa akhir begini, ibu mula mengira semula, apakah yang telah ibu lakukan sepanjang cuti ini. Nasib baik ada blog ini menjadi catatan harian. Sekurang-kurangnya ibu boleh lihat semula rakaman hari-hari yang lepas melalui gambar.

Salah satu yang ibu banggakan dalam cuti ini ialah usaha ibu mendidik Ica. ALhamdulillah Allah s.w.t beri kekuatan untuk mahirkan Ica mengaji dan solat. Kali ini, ibu nak tinggalkan disiplin dalam diri Ica untuk teruskan rutin harian yang tersusun, supaya bila ibu dah sibuk bekerja nanti, Ica akan terbiasa dengan jadual begini. Mudah-mudahan. Sistem jadual adalah yang terbaik untuk membantu Ica mencapai kejayaan dan cita-cita dalam hidup. Bukan apa. Kalau tak ada jadual, kita bakal terlepas pandang apa yang penting. Tambahan pula, kepentingan dalam hidup Ica dah bertambah. Bukan setakat pergi tadika dan tahu membaca, mengaji dan solat, malah sekarang Ica kena tajamkan kemahiran dalam bidang matematik, bahasa arab dan yang terbaru, latihan taekwondo. Heeeyah!!!
Inilah jadual harian Ica tu. Mudah-mudahan boleh diikut. Sebelum ini ibu buatkan jadual mudah dalam bentuk siang dan malam saja. Maknanya, siang, lepas balik sekolah Ica kena buat apa, dan malam selalunya kena tidur awal, dan sebagainya. Sekarang, ibu kena masukkan aktiviti yang lebih rapi supaya Ica tak buang masa termenung sebab nak buat pilihan antara nak buat latihan matematik atau ulangkaji agama.

Tapi, jadual ini sangat bergantung kepada tahap kerajinan ayah dan ibu. Sebab hanya ayah dan ibu yang boleh biasakan Ica dengan rutin. Terutamanya ayah. Sebab Ica lebih dengar cakap ayah daripada ibu. Ayah yang buatkan soalan matematik untuk Ica. Ibu pula pastikan Ica mesti mengaji, makan, solat dan tidur ikut masa yang ditetapkan. 

Akan ada masa-masanya ayah dan ibu terlepas pandang aktiviti wajib Ica ini kalau ibu tertidur awal, sibuk memasak, atau sibuk dengan assignment ibu. Ayah pun mungkin akan terleka dengan tv atau yang bakal berlaku, sibuk dengan perniagaannya. Tapi, ibu harap sangat, Ica boleh buat ini semua tanpa paksaan. Cuba dulu.

Sebenarnya ibu terfikir nak buat jadual begini sebab Ica akan ke kelas taekwondo bermula Jumaat malam, iaitu esok 11 April. Ibu tak nak nanti bila Ica dah sibuk dengan taekwondo, lepas tu letih, Ica akan mengabaikan latihan matematik dan yang lain. Bukan ke kita ada misi untuk nak mahirkan Ica dalam bidang matematik supaya Ica boleh jawab soalan dalam peperiksaan saringan ke Sek Agama Integrasi JAIS pada bulan 6 nanti? Kita hanya ada sebulan lebih saja persediaan. Dan semalam baru ibu sedar, Ica tak pandai juga Bahasa Arab dan tulisan jawi. Alamakkk... Thanx but no thanx to SmartreaderKids! Apa yang korang ajar anak saya bayar mahal tapi hanya pandai baca Melayu dan English????

Ok takpe. Ini bukan masa nak salahkan sesiapa tapi, masa kritikal untuk berusaha keras demi mencapai apa yang diimpikan. Cewah. Sebenarnya, kalau tak dapat ke SRAI tu pun takpelah. Ada banyak lagi sekolah lain. Sekolah swasta pun okey kan. Cuma, kalau ada peluang, kenapa kita tak nak bersaing untuk merebutnya. Berusahalah Ica ayah dan ibu!!!

Kembali kepada taekwondo, Ibu setuju Ica ambil kelas Jumaat malam pukul 8-9 dan Ahad pagi pukul 9.30-10.30 di Sri Rampai. Sekurang-kurangnya, Jumaat malam, lepas letih berlatih, Ica boleh terus rehat, esoknya cuti sekolah. Ahad pagi, lepas balik latihan, kita boleh jalan-jalan pergi mall atau makan diluar macam biasa. Kena sangat dah tu. Petang Ahad, pukul 4 pula ibu ada kelas di UiTM. Jadi Ahad kita dah fully-booked nampaknya!

Ini merupakan perancangan ayah dan ibu untuk biasakan Ica dengan sedikit aktiviti lasak, memandangkan Ica ni nampak tak cergas, dan lembik. Syabas untuk ayah kerana pada malam kedua bawa Ica ke kelas, Ica jadi terpujuk nak menyertainya. Kalau tidak, asyik menangis tak mahu. Malu lah. Apa lah. Sifat malu ini lah yang kita nak atasi.
Malam semalam, kelas untuk murid baru nampak penuh. Ica di belakang sekali. Belum beli baju uniform lagi. Hanya ikuti latihan stretching saja. Selebihnya ayah ambik video. Tak dapat share kat sini.
 Stretching sebelum mulakan latihan. Selepas itu sesi latihan, takde pula gambar untuk letak sini.
Ibu rasa, Ica cepat faham dan boleh buat dengan betul. Cuma, Ica segan kot sebab Ica tak pakai uniform macam yang lain dan kedudukannya yang dikelilingi budak lelaki. Ica ni kan pemalu...
Kelas taekwondo ni sebenarnya adalah kelas latihan muzik dan takwondo yang diusahakan oleh Akademi Seni Tari Sri Rampai.
 Dulu ayah ada cadangkan Ica masuk kelas muzik, sebab mengikut kajian, kanak-kanak yang bermain alat muzik lebih responsif dan berdikari daripada yang tidak. Tapi ibu rasa yuran belajarnya agak mahal dan tak berbaloi. Lagipun, kalau nak belajar main muzik, tengok dalam youtube pun boleh pandai. Hahah. Ok tak relevan sebenarnya. Tapi pada ibu, antara muzik dan seni pertahankan diri, yang kemudian adalah lebih penting. Ini untuk kecergasan Ica juga selain memupuk keyakinan diri. Kena buang sikit sifat malu tak bertempat tu ya.

Jadi, kali pertama pendaftaran, kena bayar RM235 untuk benda-benda di atas ni. Yuran bulanan ialah RM40. Seminggu 2 kali. Sejam setiap sesi. Sesi dimulakan dengan regangan, lari anak, dan pernafasan. Lepas tu mulalah latihan.
 Ini lokasi kelas dan nombor untuk dihubungi. Kelas nampaknya full house. Trainer juga melatih murid-murid yang membuat persediaan untuk pertandingan.
 Kita diminta mengisi borang.
Macam biasalah. Kena baca sikit-sikit juga peraturannya yang ibarat macam kontrak ni. Kemudian serahkan semula kepada guru besarnya dengan pembayaran yuran. Siap. Lepas ni Ica boleh lah mempertahankan diri daripada dibuli Aiman yang ganas tu :-D

Lepas ini, ibu akan masukkan gambar Ica berlatih dalam pakaian uniform taekwondo pula :-)

No comments: