Bismillah..
Kelmarin, seorang kawan lama ibu datang ziarah. Alhamdulillah. Kali terakhir jumpa ialah pada 2 bulan lepas. Tapi itu berlaku selepas tak jumpa 4 tahun lamanya.
Seorang kawan baik, selepas 4 tahun tak bersua muka, hanya dapat berjumpa untuk 30 minit. Tak adil kan... Itu pun tergesa-gesa sebab dia nak cepat balik ke Parit Buntar, Perak, manakala ibu pula nak ke kelas. Kadangkala komitmen hidup memang menjadi kayu penghalang untuk silaturrahim. Tapi, kita kena usaha sikit ya. Kena uruskan masa!
Kami berjumpa di Restoran Chinese Moslem Shahrin Low di Seksyen 7. Itupun berkali-kali call-in semata-mata beri arahan jalan untuk dia ke situ. Maklumlah terakhir dia ke Shah Alam ialah masa konvo LLB(Hons) 10 tahun lepas! Masa tu Jln Plumbum masih kosong lapang dengan tanah merah saja. Satu-satunya seksyen 7 yang biasa pada kami ialah seksyen 7 lama.
Hari itu, ibu tunggu dia sejak pukul 5pm, sebab katanya, dia keluar dari ILKAP, Bangi, tempat kursusnya, dalam pukul 4pm. Ibu anggarkan perjalanan dalam sejam lebih. Ibu dah tiba ke Shah Alam dalam pukul 4pm sebab tak nak terlewat kerana jem, siap ke perpustakaan buat ulangkaji, pinjam buku, dan solat asar. Pukul 5.30pm ibu sudah terpacak di depan restoran. Tapi ibu terpaksa pula menunggu hingga pukul 6.45pm dan terpaksa bermesej dengan pensyarah minta izin masuk kelas lambat sikit sebab ada hal. Padahal nak jumpa kawan yang dah 4 tahun tak jumpa :-) kalau lah pensyarah tu tahu....
Dari pukul 6.45pm dia tiba di restoran, kami hanya sempat berborak hingga pukul 7.20pm saja sebab ibu tergesa-gesa nak ke kelas. Sebabnya, kelas dah separuh jalan, takkanlah nak ponteng pula. Bukannya dekat nak datang Shah Alam ni. Pula tu, sedang asyik bersembang, ada pula kawan satu batch masa DPA UiTM Melaka dulu melangkah masuk ke restoran. Suaminya satu kelas dengan BFF ibu, isterinya pula satu dorm dengan ibu. Nak tak hendak, kenalah masuk geng sembang sekali. Ini tak bagus sebab perbualan dah kurang personal sebab terpaksa bercakap pasal kawan-kawan lain yang se-batch. Buang masa saja sebab rata-rata kawan sudah disconnected. Tidak aktif FB. Jadi, lost contact. Faham-faham sajalah kalau kawan lama terjumpa ni. Mesti macam jejak kasih kan. Bila tak banyak maklumat yang dikumpul, ia jadi JEJAK KASIHAN :-(
Terasa pendek sangat pertemuan tu, jadi kali ni BFF ibu ni datang berkursus lagi di ILKAP Bangi, ibu minta dia datang juga bermalam di rumah kita. Ingatkan dia tak mahu. Sebabnya, dari ILKAP ke KL pun makan masa sejam juga. Tak kira jem dan tol yang mahal. Tapi rupanya dia setuju. Alhamdulillah... Jarang-jarang kawan ibu ni nak buat sesuatu untuk kawannya. Selalunya dia jenis yang pasrah. Kalau ada rezeki, dapatlah jumpa. Kalau tidak, takde jodoh lah namanya. Takde lah berusaha sangat :-)
Kawan ibu ni sedang mengandung anak ke 3. Syukur Alhamdulillah. Murah rezekinya. Mungkin dapat baby boy, adalah kawan anak yang sulung tu. Anak sulungnya lelaki, 4 tahun. Masa lahir dulu tak cukup bulan. Ada masalah jantung dan paru-paru. Kesian juga dengar ceritanya. Tapi dia tabah. Dulu ignorance, sekarang dah tua-tua ni nampak tabah sangat. Bersabar sangat. Mungkin ignorance tu ada kena mengena dengan sabar. hahah...
Anak keduanya perempuan, umur setahun lebih, lahir cukup masa, tapi overweight sebab ibunya diebetic. Berat sampai 4.5kg. Amboi besarnya baby! Katanya lepas lahir, babynya montel sangat sampai pipinya menutupi matanya. Kalau nak tengok matanya, kena selak pipi dulu. Hahaha. Lucu. Tapi tabahnya dia! Bersalin bedah dengan anak terlebih berat mesti jadi satu cabaran. Nak baik luka, nak angkat letak baby tu bagi susu, nak uruskan diri sendiri. Emaknya pula baru meninggal dunia dan adik-adiknya yang 4 orang tu masing-masing dengan tanggungjawab tersendiri. Ibu harap suaminya boleh jaga dia dengan baik.
Aisya dan Aliff. Sikit hari lagi bakal lahir adik kecil. Dua-dua nampak sihat dan comel. Alhamdulillah. Tumpang bahagia untuk BFF ibu ni. Gambar ibu ambil daripada gambar profile whatsapp dia.
Tak sangka dapat luangkan masa lebih lama dengannya selepas bertahun-tahun tak jumpa. Ada masanya lambat nak recall sejarah silam tapi kita pass kepada cerita sekarang. Macam-macam yang disembangkan. Rasa macam nak korek semua cerita lama, tapi tapis yang menarik saja. Lagipun kita ni dua-dua dah meningkat usia. Walaupun melalui kehidupan dan jalan cerita yang berbeza, tapi titik persamaan tu tetap ada. Kita sama-sama isteri dan ibu berkerjaya. Cuma bezanya dia ke Mahamah sebagai TPR dan ibu sebagai Mahkamah tu sendiri. Ibu ada anak seorang dan dia nak masuk 3. Ibu ada cuti sambung belajar dan dia terus menggilap kemahiran dalam kerjayanya. Kesudahan perbezaannya ialah titik persamaan wanita berkarier!
Kalau mendengar cerita wanita berkerjaya yang lain mengenai liku kehidupan seorang ibu dan isteri bekerja yang terpaksa berhempas pulas melayani suami dan anak-anak sebaik balik ke rumah, tak habis tugas hanya di pejabat, tetapi di rumah kena pula ke dapur, memasak, membasuh pakaian dan menyediakan keperluan anak dan suami, ibu rasa syukur sangat kerana buat masa ini, ibu sudah melepasi tempoh itu.
Sebelum cuti belajar pun, bila ibu balik dari pejabat, ibu tak perlu kelam kabut ke dapur, mengemas itu ini, bersilat bagaikan di medan tempur hanya untuk menepati kehendak suami dan anak. Ibu boleh saja relaks di depan tv, mengadap Ica balik dari tadika sambil berbaring di sofa, dan makan malam boleh saja dibeli ayah bila dia pulang dari mana-mana. Senang. Alhamdulillah. Tiada paksaan untuk jadi ibu/isteri mithali.
Tapi BFF ibu lain ceritanya. Dia memandu berpuluh kilometer daripada rumah di Parit Buntar ke Pejabat TPR Pulau Pinang di Butterworth. Pulang lewat petang, terus ke dapur dengan urusan memasak makan malam dan menguruskan anak-anak. Suaminya tak makan makanan beli siap. Hairan kan. Tapi dah itu caranya. Malam pula melayan suami. Esok paginya bangun awal dan rutin bermula lagi. Mendengar ceritanya, ibu jadi kesian pada dia. Ia kedengaran sangat memenatkan. Tapi dia macam itulah. Nak kata bahagia, mungkin bahagia.
Cuma terkeluar juga soalan ibu padanya, "Seronok ke anak ramai? Penat tak?" bukan apa. Bertahun-tahun ibu kenali personalitinya, memahami gaya hidupnya dulu, memang jauh beza dengan keadaan sekarang, tentulah ibu nak tahu apa perasaannya. Lelahkah dia? Gembirakah dia?
Dia termenung sebelum menjawab dengan helaan nafas yang panjang. "Hmmm... kalau ikutkan memang penat sangat... Suami... Anak-anak... kerja tak habis-habis..." Katanya. "Tapi.. bila balik kerja, tengok karenah anak-anak, perangai sorang-sorang tu... rasa terhibur jugak...." Sambungnya sambil mengusap perut yang memboyot ketika baring. Bila kursus berhari-hari begini, suaminya menyerahkan hal jagaan anak-anak kepada pengasuh. Tahan betul 2-3 hari tak nampak muka anak-anak. Ah, lelaki memang macam tu kan. Empathy tu kurang.
Tempoh bertahun-tahun tak bertemunya banyak mengubah sifat kawan baik ibu ni. Dari segi pakaian dan penampilan, kalau dulu nampak terlalu sempoi, pakaian murah tidak begitu menarik tak kisah. Kali ini, hanya yang berkualiti saja dikenakan di tubuh badannya yang tidak gemuk-gemuk sejak berkahwin. Jubah longgar kain satin dibeli online, dengan harga mencecah RM200 dan selendang berkilauan sesuai dengan tas tangan dan sandal bermutu, menjadikan gayanya nampak matang dan elegant. Lain sangat dari dulu.
Penampilan dah lain. Sikap dan sifat juga sudah berubah. Tutur katanya kalau dulu kosong. Apa yang kita cakapkan, dia sering tak faham. Selalu ketinggalan. Tapi sekarang semuanya terkini. Borak kosong kami kini berisi. Baik aspek politik, ekonomi, pendidikan, kerjaya, semuanya dihujung jari! Wow. Mungkin dia dikelilingi pendiskusi atau terjebak perbualan suaminya yang tak pernah tak berisi tu? Mungkinlah.
Satu yang lebih utama, dia dah jadi lebih perihatin daripada dulu. Lebih mengambil berat. Mungkin ciri ini hadir selepas seseorang mencapai tahap kematangan tertentu. Mungkin dia baru saja mencecah kematangan itu selepas ada 2 anak dan selepas 5 tahun melayari alam rumahtangga dengan lelaki yang 4 tahun lebih muda daripadanya. Haih. Dulu, ibu tak suka pasangannya kerana perbezaan usia. Tapi sekarang ibu dah nampak kelebihannya memilih pasangan muda. Mungkin dia lebih kerap mengalah dan lebih bersabar. Atau mungkin lebih mendengar dan mematuhi keputusan. Sebab itu hatinya lebih tenang dan wajar dalam pemikiran. Subhanallah. Benarlah, pasangan kita adalah anugerah Allah yang tak ternilai. Alhamdulillah.
Bangun pagi-pagi untuk ke ILKAP Bangi semula, ibu sarankan dia keluar jam 7am supaya tak tersekat di jem Jalan Genting-Klang, kemudian di Sg. Besi menghala ke lebuhraya. "Dah lama tak terperangkap dalam jem, bila lalu jem petang semalam masa masuk ke KL, rasa terkejut pun ada..." katanya separuh mengeluh. Untunglah tinggal di negeri yang tak perlu berebut jalan. Hati senang dan lapang selapang laluan yang digunakan setiap pagi.
Bersiap pagi-pagi dia masih sempat mengaji sebelum mengenakan jubah satin yang cantik beli online di Rana Aswad.
Seri ibu mengandung 8 bulan jelas terpancar pada wajah cengkung dan tubuh yang kurus kering jenuh dengan urusan rumahtangga dan kerjaya. Mudah-mudahan Allah meringankan segala tugasmu dan mengurniakanmu kebaikan di dunia dan akhirat. Ameen...
Ibu taklah nak bergambar awal pagi dengan tak bersiap. Nanti jauh beza pula standard ibu dengan dia. Harapnya dia tak serik berkunjung lagi ke teratak kecil ibu ini yang jauh berbeza dengan kuartersnya menginap sekarang banglo berkembar di Parit Buntar, mahupun rumah sendiri teres dua tingkat corner lotnya di Kuala Kangsar. Rezeki masing-masing, kehidupan mengikut kesesuaian masing-masing. Semoga Allah memberi keizinan supaya persahabatan ini terus kekal selamanya. Insyaallah.
Tersentuh juga hati ibu ni bila melihat dia mengemaskini status FBnya tentang menemui ibu. Terasa dihargai pula :'-) Tak pernah-pernah. Ini antara yang menjadi bukti sikap menghargai dan mengambil berat tentang orang lain dalam dirinya telah bertambah. No doubt she has changed and she is now a better friend. Alhamdulillah.


No comments:
Post a Comment