Sep 20, 2014

Perginya Tok Wak Jahurak.

Bismillah..

Ada kalanya bila diarahkan menghadiri seminar itu mesyuarat ini program itu sambutan ini, yang berada di luar pejabat, hati memang rasa berat, tapi bila pergi, ada seronoknya sebab di situlah kita boleh berehat, kecuali aktiviti Bengkel. Terutamanya seminar, memang santai. Boleh fikirkan benda lain selain kerja pejabat, dengar perbincangan dan dapat ilmu baru. Makan sedap. Waktu rehat boleh betul-betul berehat dan baring-baring. Semua ni tak sempat kalau di pejabat kan.

Semalam, ibu pergi seminar International Transfer of Prison (ITOP) di Maktab Penjara Kajang. Kebetulan hari pertama tu, Khamis, ayah ada exam untuk latihan menunggang motosikal kuasa tinggi pukul 8.30 pagi, sedangkan ibu kena ada di Kajang pukul 7.45 pagi waktu pendaftaran. Lagi best, kita tak biasa area Kajang. Ibu pun tak buat semakan, Maktab Penjara tu dalam Penjara Kajang ke kat luarnya. Tak sempat pun. Balik rumah dah penat dan nak rehat saja. Di pejabat sibuk ke hulu ke hilir jumpa bos.

Akhirnya, kluar rumah seawal jam 6.30, nenek datang temankan Ica di rumah. Tiba di Kajang dalam 7 lebih. Masih pagi. Jalan tak jem sebab musim cuti sekolah kan. Sempat singgah di Balai Polis Kajang bertanyakan arah tuju sebab Google ayah tak dapat detect tempat sepatutnya :( akhirnya syukur...pukul 7.30 sampai di destinasi. Lepas itu ayah pun menderu terus ke KL semula. Alhamdulillah ayah tiba sebelum sesi ujian bermula.

 Menjadi yang paling awal, lebih awal daripada urusetia seminar ni sendiri, jadi ibu ambil masa tengok-tengok sekeliling. Ini dewan seminar. Meja-meja sudah bertanda dengan pihak jemputan. 4 kerusi istimewa yang di susun di depan tu untuk tetamu vip bila mereka datang merasmikan seminar nanti.
 Di luar dewan, kawasan perumahan baru yang cantik kelihatan terbentang mewah. Teres 3 tingkat ni harganya RM1.2 juta. Ohh tak mampu!
 Seminar bermula dan berakhir pada hari pertama mengikut perancangannya. Masa ini sesi pengenalan ahli vip yang hadir.
 VIP sedang beri ucapan perasmian. DG penjara Dato Alwi namanya.
 Tengah tahan mengantuk, jadi style orang sekarang, selfie lah, apa lagi. Hahaha.. Sengaja nak cek, ada tak bulu hidung terkeluar tak sengaja. Kahkah
 Ini waktu selesai makan, sebab ayah hantar gambar lauk lunch Ica, ibu pun hantar lauk lunch kat sini, ayam masak lemak cili api dan lauk-lauk lain yang sedap sangat. Makan kat penjara ni memang sedap selalu...
 Sesi petang pula ialah perbincangan antara pakar-pakar dalam bidang ini dan moderatornya pegawai dari KDN. Dua yang kiri tu pegawai dari Thailand, berlongsi pengalaman tentang undang-undang yang sama, manakala orang puteh tu pula prof Dirk pakar comparative law. Semuanya hebat-hebat belaka. Tajuk seminar ni memang menarik sebab perkara masih baru. Cuma apa yang bermain difikiran ibu ialah kenapa bila akta dah siap, masa nak laksanakan baru nak bincang caranya, kenapa tak bincang sekali harung masa gubal dulu? Wallahua'lam. Yang kawan ibu pula, asyik dok kata, apa faedahnya membincangkan hal prisoners, apa kaitannya dengan peningkatan ekonomi negara, kalau inilah yang kerajaan nak suruh kita tengok dalam NKRAnya. Wallahua'lam. Mungkin tak sesuai nak tanyakan soalan tu sebab kita pun tak arif tentang benda ni. Kang macam tak tahu usul periksa, terus terjah saja, kan memalukan diri sendiri namanya...haha
Hari kedua, ibu lebih bersemangat sebab sesi perbincangan lebih mendalam oleh para pakar. Hari ini nenek sibuk buat persediaan nak ke Mekah minggu depan, jadi Ica ikut ayah hantar ibu. Seeloknya tiba dipintu masuk ke kompleks penjara, nenek call ayah maklumkan yang Tok Wak Jahurak dah meninggal pagi ini... Inna lillahi wainna ilaihi rojiun...

Ibu pun buat keputusan nak jengok jenazah untuk kali akhir, sebab ibu dengan Tok Wak ni boleh tahan rapat lah juga, macam dengan nenek. Raya haritu, ibu ajak ayah ke Kajang melawat Tok Wak, tapi diorang balik kampung ke Simpang Renggam, kampung asal Tok Wak dan anak-anaknya. Terus tak dapat jumpa. Ingatkan nak melawat bila dimaklumkan yang TokWak dah tak larat nak bangun haritu, tapi Masyaallah sibuk sangat dengan kerja dan ayah takde, sebab ikut rombongan riding motosikal ke Thailand. Itulah, suka sangat ambil mudah. Ambil kesempatan. Ingatkan nak pergi menjenguk dalam masa terdekat ni, tapi rupanya tak sempat. Allah dah panggil Tok Wak dulu...

Ibu nak maklumkan urusetia, diorang pun belum sampai lagi sebab masih awal. Jadi ibu tinggal pesan saja dengan kawan ibu. Lepas tu ibu inform urusetia dengan Wassap saja. Lepas itu kita keluar dari kompleks penjara, sarapan dulu.

 Lepas sarapan nak teruskan perjalanan ke hospital Kajang, sebab nenek beritahu, TokWak meninggal di sana. Tapi ayah tersalah masuk lorong. Memanglah macam dekat aje Penjara ke Hospital, dalam 5km, tapi kalu dah salah lorong, yang dekat jadi jauh sebab kena cari jalan u-turn dalam highway. Jadinya, kita tak ke hospital, kita terus ke rumah Pak Arip, anak Tok Wak.
Sampai sini pukul 9.30 pagi, masih awal. Orang pun belum ramai yang datang menziarah, dan anak cucu arwah sedang sibuk mengemas rumah untuk menyambut jenazah dan orang yang melawat. Kerusi meja disusun diluar rumah untuk beri ruang pada tilam tempat jenazah diletakkan.
 Dalam 10.30 pagi, jenazah tiba dengan van hospital. Suasana jadi hening sekejap. Sayu.
 Ayah antara orang lelaki yang menunggu di depan pagar untuk mengangkat stretcher jenazah dan dibawa masuk ke dalam rumah.
Bila penutup dibuka, jenazah arwah berbungkus kain putih terlihat. Perasaan sayu tadi mengasak sebak, air mata pun bertakung tak dapat dikawal.

Ica menyorok dibelakang ibu sambil berbisik tapi masih kedengaran, sempat buat statement takde insurans "Ibu...Ica takutlah... jom balik... Nanti dia bangun jadi hantu pocong..!" Chessss...

Anak cucu dan saudara rapat lantas mendekati arwah untuk melihat keadaannya. Kebetulan nenek dan paklong pun baru sampai. Jadi ibu dan Ica ke belakang dulu. Beri ruang pada yang lebih rapat dengan arwah untuk mengabadikan momen sayu tu. Nenek terus masuk dan merapati katil arwah. Bila lihat wajah arwah, nenek menangis sebak. Kakak sulung dia kan. Kemudian, masing-masing ambil surah yasin yang tersedia, dan mula sedekahkan bacaan yasin bapa arwah. Ibu pun ikut sekali.
Bila ibu selesai, Ica pula take over. Tapi Ica tak pandai baca yasin. Ica baca surah-surah lazim yang ada dalam buku yasin ni. Tudung pun tak pakai sebab tak ada tudung spare dalam kereta. Nampaknya selepas ini, ibu kenalah bawa tudung spare selalu. Nampak macam tak proper aje.
Nenek beberapa kali juga menjenguk arwah. Entah apa yang difikirkannya. Mungkin nenek kata, dah pergi kau kak.... Tinggallah aku nanti tak tahu lagi macam mana nasibku... :'-(
 Memang penantian itu suatu penyiksaan. Cuaca di luar panas. Dalam rumah juga panas. Tambahan ramai pelawat yang datang. Saudara mara, jiran tetangga, kawan-kawan cucu-cucunya juga datang menziarah. Muka ibu dah merah padam. Ica dah cuci muka 2kali, bagi sejuk sikit.

Nampaknya, sengaja penantian ni dipanjangkan (dengan izin Allah) sebab nak tunggu semua yang berkenaan hadir melihat arwah kali akhir. Nak tunggu Tok Wak Amut dari Simpang Renggam dulu. Orang tu pagi-pagi dah dalam perjalanan nak ke Kajang. Jadi kena la tunggu. Cuma apa yang ibu ralatkan (selain masa yang terbuang menunggu ni) ialah jenazah yang masih belum dimandikan. Tentu 'dia' pun tak selesa sebab baru terpisah ruh dari jasad, dengan jasad yang kotor, selain naturenya jasad mahu segera disempurnakan mandi, kafan dan solat jenazah.

Dalam keadaan macam ni, ibu memang tak boleh kalau tak mengimbau kenangan masa arwah bapak ibu meninggal dulu, 30 Jun 2003. Arwah bapak pun meninggal di hospital. Tapi kalau ikutkan arwah, dia tak nak ke hospital pun. Dah saat-saat akhir barulah dibawa ke hospital. Ini pun silap kitorang jugalah. Ambil kesempatan sangat! :'-(

Masa tu arwah disahkan meninggal pukul 6.20 petang Isnin. Masa dia 'pergi' ibu ada kat situ dengan Paman Azam dan Wak Hajar, sebab masa tu cuti sekolah, ibu pulak dari Shah Alam merempit ke HKL sebab Azam bagitahu arwah dah nazak. Doktor yang suruh bagitahu semua orang. Lepas meninggal, proses nak keluarkan arwah tak lama pun. Rasa sekejap aje. Ibu balik ke rumah Wak Laila, mandi dan solat, sementara tunggu Wak Husna datang ambil ibu dengan kereta kancilnya. Sementara tu Azam di hospital, dengan Wak Hamid uruskan isi borang dan dapatkan permit mengubur. Kebetulan ada van jenazah yang kosong. Pukul 8.30 mlm semuanya selesai. Jenazah dah dalam perjalanan balik kampung. Sebab arwah dah pesan selalu, dia nak dikuburkan di kampung, dalam keranda. Jadi itulah yang kita buat untuk dia.

Perjalanan balik kampung pun lancar, paman Azam dalam van jenazah temankan arwah, ibu dalam kereta kancil mengekori dibelakang van. Pukul 11 malam, jenazah tiba ke rumah. Di rumah, Wak Laila yang kebetulan cuti sekolah ada di kampung, dengan Wak Haji, yang kebetulan juga balik kampung, dengan keluarganya, dengan saudara mara semua sedang menunggu. Suasana hening. Sayu. Kucing dan ayam pun takde bunyi. Eh jap. Masa tu ada kucing dengan ayam ke? Tak ingat.

Semalaman arwah bapak 'tidur' di rumah buat kali terakhir. Ibu dan beradik perempuan tidur di bilik belakang, embah tak boleh tidur, berganti-ganti dengan paman Azam dan Wak Haji, menemankan arwah, baca yasin sepanjang malam.  Malam tu suasana memang sunyi dan hening. Cengkerik dan katak pun tak berbunyi.

Walaupun ibu taklah rapat sangat dengan arwah bapak semacam rapatnya Ica dengan ayah, tapi kematiannya memang menyedihkan. Yelah, ayah kita kan. Sepanjang arwah sakit yang sebulan akhir tu, dia takde selera makan dan selalu sakit perut. Tapi ada satu kali tu ibu goreng ikan keli kecik-kecik dan tumiskan kangkung agak pedas, tak sangka dia berselera makan nak mintak tambah kangkung lagi. Tapi ibu tak bagi sebab kangkungnya sikit je, nanti embah nak makan, dah habis pulak. :'-( ibu memang selalu lebihkan embah daripada arwah sebab ibu rapat dengan embah :'-(. Bila teringat ni, ibu sebak juga. Tak tahu, itulah makanan terakhir yang dia suka. Sebab lepas daripada tu dia tak mahu makan. Sampailah dia meninggal.

Esok paginya, pukul 8 pagi, arwah dimandikan. Ibu tengok dari jauh, arwah macam sejuk aje bila kena siram air sabun. Paman Azam yang mandi dan gosokkan badannya (dengan team dari surau). Lepas mandi, dikafankan, dan sebelum diikat kepalanya, semua orang datang tengok dan cium dahi arwah buat kali akhir. Arwah sejuk, tapi wangi. Bau wangi tu kadang-kadang terbau-bau juga. Bukan bau wangi daripada minyak wangi yang diorang letak kat mayat tu, wangi lain. Wallahua'lam.

Pukul 10 pagi, arwah dah dihantar ke kubur. Ibu tak ikut sekali sebab takde kenderaan. Boleh? Daku tertinggal!!! Hish geram betul. Macam mana boleh tak perasan tertinggal? Mesti sebab menangis melampau :-D hahah. Masa tu ibu kan ada motor dan ke sana ke sini dengan motor. Jadi bila balik kampung tumpang orang, macam tu lah jadinya. Orang pun terlupa kat ibu. Tapi embah tak kasi ibu ke kubur pun. Kat rumah banyak kerja. Nak masak, buat air untuk orang-orang yang datang menziarah. Sebab kebetulan ramai pulak yang datang, kalah kenduri kawin ibu. Heeee...

 Sambung kisah Tok Wak ni. Nampak jenazah macam 'sunyi' aje. Sendirian. Masa ini menghampiri tengahari, dah tinggal sorang dua je yang baca yasin.
 Kat luar tu, ayah bersembang sampai ternaik-naik ketiak basah tu kenapa? :'-D
 Yang berdiri tu menantu arwah, yang melutut tu cucunya. Diorang jenguh keadaan tubuh arwah dan buka tali-tali yang mengikat kaki dan tangannya sebab jenazah dah kaku. Tak perlu ikat lagi. Yang si Ica pulak? Macam biasa la keluar-masuk lima puluh kali sebab nak hilangkan bosan menunggu. Masa ni Ica dah tak takut dengan jenazah, sebab dah tengok mukanya. Ica kata, mukanya macam tidur.
Masa ini, jenazah diletakkan di atas lantai sebab macam tak proper bila orang baca yasin (AlQuran) lebih rendah daripada jenazah. Sedangkan yang patut dimuliakan ialah bacaan AlQuran tu, bukan jenazah. Masa ini, Tok Wak Amut yang dari Johor tu dah pun sampai. Dah cukup korum. Tapi team yang menguruskan jenazah di kariah tu pulak takde, balik kampung katanya. Jadi kena pinjam team dari kampung sebelah. Kebetulan team yang itu ada jenazah yang sedang diuruskan. Itu yang melarat kena tunggu sampai lepas solat Jumaat baru nak uruskan jenazah.

Masa semua lelaki pergi solat Jumaat, ibu, Ica dan nenek di rumah pun solat Zuhur dulu, lepas tu makan mihun goreng yang disediakan tuan rumah. Dah kenyang-kenyang, Alhamdulillah, orang solat Jumaat pun balik. Tak lama lepas tu, van jenazah pun tiba nak bawa jenazah ke masjid untuk diuruskan. Masa itu dah pukul 3 lebih.
Pak Long dan ayah adalah antara orang kuat yang rajin mengangkat stretcher jenazah. Ica pula? Jadi supervisor lah...
Jenazah dibawa masuk ke bilik pengurusan jenazah di mesjid tu, dan imamnya suruh tutup pintu. Hanya muhrim saja yang boleh masuk, bersama-sama dengan team yang menguruskan jenazah.
 Nenek pun masuk ke dalam untuk ikut sama memandikan kakaknya buat kali akhir. Ica nak ikut masuk jugak. Nak tengok. Haih. Sibuk betul.
 "Kenapa Ica tak boleh masuk, ayah?" - nak pujuk ayah supaya kasi Ica masuk dalam.
Alamak... ibu dah naik jerawat!!!  Ni mesti sebab panas sangat sepanjang menunggu hari ni :-(
Ibu sebok selfie dalam masjid, duduk betul-betul bawah aircond. Ayah tengah solat sunat tahiyyatulmasjid, Ica pulak, main... (-_-)
Tapi tak bolehlah nak main lama sangat... Kena la mengaji. Walaupun takde tudung (-_-) tak terfikir pulak nak ambik telekung masjid kan? Haih. Elok je Ica habis mengaji satu muka surah AlBaqarah, jenazah pun siap mandi dan kafan. Kemudian jenazah disolatkan di depan.
 Selesai semuanya dalam pukul 4 lebih. Alhamdulillah... Jenazah dibawa dengan van ke tanah perkuburan Sg Kantan, Kajang untuk disemadikan. Inipun satu juga. Van jenazah bukan main laju, lalu jalan short-cut pula. Yang lain ni tak biasa dengan Kajang, ada yang tertinggal di belakang.
Ini kain batik arwah, nenek bagi untuk jadi kenangan. Arwah suka kumpul kain batik. Tak kira yang orang beri atau beli sendiri. Dia jahit kemas, gosok, lipat elok-elok dan simpan dalam begnya. Sekarang semua kain batik diagihkan jadi sedekah pada yang menziarah. Mudah-mudahan jadi pahala yang berpanjangan. Nenek suruh Ica pakai tutup kepala di tanah kuburan. Pada ibu, masjid lagi mulia dan perlu tutup aurat ketika beribadah di dalamnya. Kubur ni bukan tempat mulia pun. Tapi, untuk tak dikatakan lawan cakap nenek, ibu pun suruh Ica tutup kepala sebab cuaca terik, nanti demam pulak kan.
 Terakhir Tok Wak di atas tanah.
 Dan lepas tu, Tok Wak selamat disemadikan di dalam tanah :'-(
 Paklong tolong kemaskan kambusan tanah kubur sebelum dicucukkan pokok hijau merah ni.
 Ica pun dah macam 'pengarah projek' tengok hasil kerja buruh binaan. Siap tangan bersilang ke belakang macam guru besar pun ada :-)
 Masa bacaan talqin pun Ica nak join duduk sekali. Padahal takut dengan semut hitam yang banyak kat sekitar ni.
 Tapi Ica agak baik jugalah. Mendengar kata. Orang suruh diam dan dengar talqin, dia diam.
 Malah Ica menadah tangan macam berdoa aje sepanjang talqin dibacakan.
 Alhamdulillah selesai. Mudah-mudahan Tok Wak bersemadi dengan aman, bersama-sama Muslimin Muslimat yang dikasihi Allah. Amiin... Ica sempat mengusik pokok semalu.
 Ayah sembang apa tu?
 Nasib baik Ica tak takut dengan perkuburan. Ibu masa kecil tak pernah ke kawasan kubur. Jadi, dapat tengok dari jauh aje. Dari tepi jalan. Tak pernah betul-betul jejak atas kawasannya, sehinggalah arwah bapak meninggal. Jadi, masa kecil, selalu ditakut-takutkan dengan hantu kubur. Padahal, kubur ni tempat yang sunyi dan sedih. Tempat kita bakal ditinggalkan keseorangan menghadapi apa juga yang disediakan oleh Allah untuk kita, hasil amalan kita di dunia. Bukan tempat hantu membiak... :-)
Tanah kubur ni sama saja. Tapi ada yang subur dengan pokok dan rumput, ada juga yang kontang, takde rumput yang nak hidup. Sebagaimana kita lihat secara kasarnya dari atas, begitukah yang sama nasibnya di bawah? Wallahua'lam.
Tok Wak Jahurak, walaupun dalam ICnya Jahara Hashim, tapi sebab Tok Wak orang banjar, namanya jadi Jahurak dikalangan kita semua. Kita pasti merinduinya nanti. Masa ibu lepas lahirkan Ica dan berpantang di rumah nenek, Tok Wak pun ada di rumah nenek. Tok Wak dah tak larat nak angkat-angkat Ica, bimbang jatuh. Jadi ibu atau nenek akan letakkan Ica dalam ribaan Tok Wak untuk diagah.  Bolehlah jadi pengubat rindunya pada cucu-cicit Tok Wak. Sungguh sekarang hanya tinggal kenangan saja.

Tok Wak meninggal dalam usianya melebihi 90 tahun. Tentu dia dah puas dengan duniawi ni. Dah tak ada apa yang dia harapkan lagi dengan kehidupan fana ni. Sekarang tugas dunianya dah selesai. Leganya. Kesakitannya semua hilang. Ruhnya kembali muda. Dia dah selamat bertemu Tuhannya dalam keadaan sempurna fizikal, diiringi doa anak dan cucu. Subhanallah. Bagaimana agaknya nasib kita nanti?

Wallahua'lam bissawab...

No comments: