Jan 2, 2015

Hari ta'aruf darjah 1 : 1.1.2015

Bismillah..
Hari yang ditunggu pun tiba. 1 Januari 2015, hari taaruf murid darjah 1 SRIAAmin KL.

Nampaknya, ada budak yang gementar hari ini. Ibu gerakkan sekali saja, "Ica sekolah kan hari ini?" Terus je Ica bingkas bangun dan pergi mandi. Eh? Ini sangat pelik. Haha. Selalunya, liat nak bangun. Duduk lama sebelum ke bilik air. Dalam bilik air pun termenung dulu sepam dua. Hari ni, lain sangat.

 Bersiap pun secepat kilat. Tak sempat ibu nak buat apa-apa. Semua Ica buat sendiri. Ambik setokin sendiri. Solat Subuh tanpa disuruh. Siap pakai kasut terus berdiri tepi meja makan.

 Ica dah sedia nak minum air madu dan makan kismis untuk alas perut. Roti krim Ica masukkan dalam beg untuk makan bila lapar nanti. Sempat ayah suapkan nasi goreng semalam, yang ayah nak habiskan, sesuap dua. Kenyang sangatlah tu. Alhamdulillah.

Snap sekeping dulu sebelum keluar rumah. Kan dah kata, baju yang ibu gosok beriya tu, tahan 5 minit je kot. Haha.

Ica tak dapat nak sembunyikan muka gementar tu. Macam takut aje, macam berdebar aje. Haha...

 Pendaftaran pukul 8.30, tapi pukul 8 kita dah tercegat. Parking masih ada yang kosong. Jalan sikit ke depan pintu masuk sekolah.
 Di depan pintu pagar.

 Dah masuk dalam kawasan sekolah, di depan pejabat sekolah.

 Ica rasa weird, segan, berdebar, berpeluh, tak selesa sebab pakai tudung, semuanyalah!

 Ada kucing yang manja. Hai... Nanti awak kawan dengan Ica yer....?
 Kawan dengan Ica? Ok jer... Tapi mana makanan kucing? - katanya sambil menggesek badan kat ibu.

 "Sini ada bau busuklah ibu!" Kata Ica masa ibu nak snap gambarnya di kawasan berhimpun ni.

 Sementara itu, guru-guru yang bertugas sedang menyusun meja-meja pendaftaran yang merupakan pembahagian kelas antara 1 Suhaib, 1 Usamah dan 1 Z... apa ek (ibu tetiba lupa ni, hihihi). Nama-nama kelas kat sini diambil daripada nama-nama para sahabat nabi s.a.w.

 Ayah pergi cek Ica masuk dalam kelas yang mana, sementara tu kita duduk di pangkin ni. Tengok muka cuak Ica tu...

 Selesai pendaftaran, isi borang dan serahkan dokumen salinan surat beranak dan salinan kad rawatan bayi Ica, dapat tanda nama ni. Ica dalam kelas 1 Suhaib. Ha eloklah tu, senang ibu nak ingat. Sebab nama Abg Suhaib. Hehe.

Lepas pakai tanda nama, masuk dalam barisan ikut kelas masing-masing. Ustaz Abdul Jabbar jadi pengacara majlis hari ini.

Ini gambar yang Wak Laila snap. Muka Ica memang malu & cuak. Entah kenapa. Macam lah baru pertama kali nak masuk sekolah. Padahal daripada umur 3 tahun dah sekolah. Haha.

 Tu, Wak Laila tengah tengok Ica sambil Ica berkenalan dengan cikgu Halimah, cikgu kelas 1 Suhaib.

 Aiman pun ada. Muka selamba je. Aiman tak kisah kan... Tapi Aiman tak sama kelas dengan Ica. Alaaa... Aiman kelas 1 Hudzaifah yang ibu tak ingat namanya tadi. Hehe.
 Masa ni semuanya beratur naik ke bilik darjah masing-masing dengan guru kelas masing-masing.

 Kelas darjah 1 di tingkat satu saja. Taklah tinggi sangat. Boleh nampak dari bawah.

 Sementara Ica beraktiviti di dalam kelas dengan cikgu Halimah, ayah dan ibu bersama-sama ibu bapa lain dikehendakki mendengar taklimat oleh Guru Besar, Penolong Kanan HEM (kelas petang), Guru Disiplin dan Pengerusi PIBG di dewan serbaguna yang comel ni.

 Guru besarnya, Cikgu Wardah.

 Ibu cuma ambil kisah waktu masuk sekolah dan waktu habis sekolah bagi sesi petang. Iyelah, kan ibu yang nak kena ambik Ica balik sekolah nanti. Risau juga kalau ibu terlewat sampai. Kan.

Alhamdulillah, Ica masuk sekolah pukul 11 pagi, kelas terapung hingga pukul 12.30 tghari, makan tengahari, lepas tu pukul 1.30 solat zuhur berjemaah, pukul 2 masuk kelas, pukul 3.30 rehat, pukul 4 masuk kelas, pukul 5.30 solat Asar, pukul 6.30 habis kelas. Alhamdulillah sedang elok tu ibu pun akan sampai dalam waktu-waktu tu juga. Kalau ibu kerja dekat, keluar pukul 5, tentu sampai sekolah ni pukul 5.30, dah nak kena tunggu sejam pula kan. Alhamdulillah blessing in disguise lah :-)

 Oh bab yuran ni yang ibu kena pejam mata sikit. Haha... Bukan kedekut. Tak... Ibu redha. Memang macam ini caranya kalau ibu nak Ica lebih sikit ilmu akhirat, supaya Ica jadi anak yang solehah dan musleh. Baik dan boleh menjadi contoh yang baik. Di dunia dan akhirat. Insyaallah. Ibu kena melabur lebih sikitlah. Ala lagipun kalau Allah tanya kemana perginya duit-duit ibu hasil kerja setiap hari tu? Senang aje, tentulah untuk pelajaran Ica. Insyaallah...

Sesuatu yang menarik di sekolah ni ialah adanya benda-benda ni :
1) Menutup aurat penuh seawal umur 7 tahun
2) Kelas terapung - takde meja dan kerusi, boleh kuak lentang telangkup menulis atas lantai
3) Kelas AlQuran 3x seminggu
4) Diutamakan hafazan Quran
5) Di ajar kaifiat solat & bacaan lengkap hingga pandai
6) Kelas akademi KSSR digabungkan dengan kelas agama (syariah) dalam satu bumbung
7) Diutamakan disiplin mengikut sunnah Rasulullah

Selesai sesi taklimat, Ica pun selesai taaruf keliling sekolah, Ica jumpa ibu dan tunjukkan hadiah yang Ica dapat selepas mewarna dalam kelas tadi. Dapat set pensil warna saiz kecil ni. Suka betul Ica dan 4 kawannya yang lain. Alhamdulillah...

Ini hasil Ica mewarna tu. Biasa saja, tapi kemas, tak comot dan Ica memangnya suka mewarna.

 Ica tunjukkan kelasnya dan di mana Ica duduk dalam kelas tu. Ibu dah request dengan Cikgu Halimah supaya Ica diletak bawah kipas sebab Ica ni ekzema. Cikgu kata nanti dia buat adjustment baru.
 Ayah kata, tempat duduk sekarang pun dah ok. Kena kipas juga. Tapi Ica lah, aktif sangat sampai berpeluh-peluh tu kenapa. Haih. Ibu harap Ica tak terganggu dek gatal-gatal ekzema tu.

 Dah tengahari terik. Ica pun dah letih, sampai mencangkung ni. Ayah daftarkan nama Ica dalam kelas taekwando ITF yang dibuat hujung minggu saja.

Sementara tu ada demo taekwando dibuat untuk menarik minat murid-murid baru menyertai. Yurannya RM50 sebulan. Setiap hujung minggu, 2 jam sehari. Boleh tahan lah.
Dah terror murid-murid ni boleh patahkan papan tu... Ica tengok tanpa minat aje kenapa tah.

Ok dah selesai urusan kat sekolah, kita ke taska transit pula. Mulanya ibu rasa tak payahlah Ica bangun pagi sangat. Ayah boleh hantar pukul 10 pagi. Jadi Ica boleh lah bangun pagi lewat sikit. Tapi bila difikirkan, nanti banyak pula masa yang terbuang. Aiman masuk transit tuisyen kat Tadika Diana ni, untuk mahirkan membaca dan belajar AlQuran. 

Ibu pun takde masa dah nak ajar Ica mengaji bila balik rumah dah malam. Takkanlah mengaji seminggu sekali aje? Haih tak boleh jadi ni. Kenalah Ica masuk transit tuisyen ni, daripada pukul 8 pagi sampai 11 pagi. Ada makan pagi pukul 9, lepas tu pukul 11 pagi ada bas yang hantar Ica ke SRIAAKL. Transit tuisyen ni dimiliki bekas anak murid Wak Laila. Dah ramai yang bagi review bagus. Jadi kita pergi tengoklah.
 Sofa dah buruk, tapi selesa kat sini ada aircond. Ica kalau kat sini sampai tengahari pun tak berpeluh. Jadi sampai ke sekolah nanti takde lah busuk masam je kan. Baiklah. Lepas dengar taklimat sikit-sikit, ibu terus sign-up & bayar yuran pendaftaran dan yuran January. Pendaftaran RM50, pakej yang ibu ambil tu nilainya RM235, dan beli buku mengaji yang ada terjemahan untuk kemudahan menghafaz. Sebab Ustaz Azlan tu nak yang sama dengan murid-murid lain.

 Bergambar di depan kelas tuisyen. Rumah kedai biasa aje. Dekat Keramat Permai.

 Ibu tak cucuk duit, jadi bayar je ikut berapa ringgit yang ada. Segan juga... Haha.

Ini pakej yang ibu ambik untuk Ica. Untuk mahirkan baca AlQuran (sebab Ica mula lupa apa yang Ica dah tahu baca tu), B. Arab (sebab Ica memang takde asas), Maths dan Sains (yang berguna untuk tajamkan ingatan kalau nak jadi doktor, haha. Taklah. Memang penting lah kan)..
Selesai transit tuisyen, kita ke mana ni? Dahlah dengan pakaian sekolah, merayau pula?

Ke Wangsa Walk Mall.... Haha...
Dah bertahun kot tak ke sini...

 Ohh tak beli apa pun. Jalan-jalan saja. Ingatkan nak cari iphone6 tapi semuanya mahal sebab takde stok lagi. Sabo je lah. Nak cucuk duit pun mesin rosak. Jadi, kita gi makan kat W.Maju. Dah kenyang, balik rumah, solat Zuhur dan tidur keletihan....

Demikianlah cerita hari pertama Ica darjah 1. 
Cepatnya masa berlalu. Kan.
Rasa macam baru je haritu Ica pertama kali nak pakai baju kurung, hari ni, Ica dah masuk darjah 1... How time flies :'-)

No comments: