Oct 26, 2011

Aduhai emak II

Emak dah dibawa balik ke rumah abang sulung di kampung. Bukan balik ke rumah kampung. Tapi ke rumah abang di Politeknik Sabak Bernam. Emak bertolak dengan kereta anak saudaraku petang semalam. Emak menunggu semenjak pagi lagi. Tapi biasalah budak bujang ini kalau cuti mesti nak bangun lewat. Jadi emak menunggu dengan rasa tak sabarnya hingga petang. Sambil2 menunggu, emak tidur dulu.

Emak kata, lepas raya haji nanti emak nak datang semula. Sebahagian pakaiannya dalam beg besar yang sering dibawa ke mana2 tu ditinggalkannya di rumahku. Emak nak datang semula nanti, ambil beg dan terus pergi umah adik. Adik nak outstation selama seminggu. Isterinya takut tinggal seorang di rumah, jadi mak nak tolong temankan. 

Minggu lepas, 23/11/2011, kami sekeluarga bawa emak tengok rumah teres 2 tingkat adik di Puchong Equinn. Jauh juga di Pasar Borong Selangor kat Seri Kembangan sana. Keluarga kakakku no.3 juga ke sana. Emak lah yang beriya2 nak tengok kehidupan adik selepas berumahtangga sejak 1 Mei hari itu. Rumah teres itu telah dibeli adik sejak beberapa tahun lepas. Disewakan kepada kawan2nya dan dia pun tinggal di situ sekali. Faham2 sajalah rumah budak bujang. Memang tak berjaga. Lumut sana sini di dinding bilik dan bilik air. Pokok 'secoet' jadi sepemeluk sebab tak pernah dicantas. Rumput meninggi tak pernah dipotong. Memang lebih kurang macam taman permainan binatang liar :-)

Bila adik dah kahwin dan bawa isteri tinggal bersama sejak 2 bulan lepas, barulah ada perubahan sikit. Lumut dah tak berapa melumut (eh ada ke?), lantai dah bersih, rumput dah trim down, pokok jambu belakang rumah dah dipotong pendek, bilik2 di tingkat atas sudah berkemas. Jadi, rumah menjadi sangat lapang dan terang.

Bila lapang, warna putih dinding menjadikan rumah nampak lebih besar walaupun saiznya cuma 16x65, jadi mak rasa suasananya sangat nyaman dan selesa. Bila mak berehat di bilik tingkat bawah bersebelahan dapur, mak rasa sejuk. Tingkapnya boleh nampak keadaan luar. Mak pun terus teruja nak tinggal dengan adik.

Mak memang susah nak suka sesuatu. Terutamanya rumah kami adik beradik. Ada saja yang tak kena. Rumah abang sulungku walaupun besar, banyak sangat barang, katanya. Barang2 yang tak dipakai tak pernah dibuang, semuanya simpan. Barang2 anak2nya yang 4 orang itu tak berkemas elok. Semua main campak2 saja. Nasib baik mak diberikan bilik sendiri, berkongsi dengan anak dara abang yang sedang melanjutkan pelajaran di UniKL, dia jarang2 balik. Jadi mak tak rimas sangat. Bila anak2 abang berkumpul, mak menjadi sangat rimas. Mulalah nak melarikan diri ke rumah anak2 yang lain.

Rumah kakak no.2 di Kondo Jalan Dato Senu, Sentul letaknya jauh dari lif. Memang rumahnya tinggi, di tingkat 6. Berangin sebab banyak tingkap, ada balkoni dan emak diberikan satu bilik selesa dengan air cond dan bilik air dalam bilik. Tapi mak tak selesa sebab bangunan kondo bersebelahan lebuhraya DUKE yang sibuk. Siang malam bunyi kenderaan membingitkan suasana. Mak juga tak selesa di situ sebab katanya dia ditakutkan dengan bayangan hantu. Mak tak boleh tidur sebab ada hantu kacau dia. :-D kelakarlah mak ni. Suami kakak kuat beribadah. Setiap habis solat mesti mengaji. Solat maghrib dan isyak mesti berjemaah. Malam pun solat sunat lagi. Takkanlah hantu tu sangat 'kuat' boleh tinggal lagi di situ? Ironinya hanya mak yang diganggu hantu. Yang lain tak pernah pula. Hairan juga.

Rumah kakak no.3 hanyalah rumah tumpangan dibelakang rumah pemunyanya. Kira menyewa dan tinggal dengan tuan rumah. Rumahnya kecil saja. Kakak no.3 bercita2 membeli rumah di kampung suaminya di Banting. Jadi rumah sewa ini bertahan hingga pencen lah. Jadi dia tak kisah pun rumah kecil atau besar, asalkan ada tempat berlindung. Mak kata rumah kakak no.3 macam sarang tikus :-D sebab ruang tamunya kecil. Bilik tidurnya banyak barang. Tak ada air cond. Panas siang dan malam.

Rumah kakak no.4 adalah di kuarters perguruan di Sg Pusu, Gombak. Rumah kuarters memang agak selesa luasnya. Anak2 pun dah besar2, pandai jaga diri dan kemas rumah seadanya. Tapi rumahnya di tingkat 3. Mak tak boleh naik tangga nak naik atas. Kalau dah naik atas susah pula nak turun balik. Jadi dah bertahun2 mak tak ke rumah kakak no.4.

Rumah kakak no. 5. Eh rumah aku lah tu. Hanyalah teres setingkat. Rumah ini aku beli pada 2008 tapi siap tukar nama pada 2009 dan siap renovasi pembaikan dan pindah masuk pada 2010. 

Memanglah aku pun tak puas hati dengan kondisi rumah ini. Rumah lama. Bangunannya tak berjaga. Semasa mula melihat2 pada awal 2008, ia masih elok. Tapi harga pasarannya menjunam kerana bumbung bahagian dapur tidak dibaiki dan dibiarkan air hujan mengalir membasahi ruang dapur. Jadi dinding dapur bahagian belakang berlumut teruk. Tapi dengan harga jual RM200,000.00 untuk lokasi yang rumah kiri dan kanannya mencecah RM300,000.00 pada waktu itu, aku setuju membelinya. 

Banyak juga berhabis untuk kos membaiki. Tukar cat, tiles, extend dapur, ubah kedudukan bilik air, plaster siling, tukar lampu, naikkan table top dan tukar toilet bowl saja sudah habis RM45,000.00. Kemudian pasang kabinet dapur dan perkakasan elektrik lain, 'gedebak gedebuk' semua sekali adalah lebih daripada RM50,000.00. 

Memang habis duit tabungan dan kwsp. Tapi nampaklah hasilnya, alhamdulillah rumah boleh diduduki dengan selesa. Cuma baru2 ini terpaksa tukar bumbung sebab banyak tempat dah bocor. Kena lagi kos membaiki RM6500.00. Korek tabung lagi :-( tapi kami positif sebab ini soal hartanah. Nilai rumah kami naik lagi :-) jadi kalau dijual semula, tidaklah rugi. 

Buat masa ini kami masih selesa. Tak perlu turun naik tangga. Lokasi pun sudah tepat. Dekat dengan kedai, sekolah, klinik, tadika, pasar malam, pusat rekreasi, etc. Kini sudah ada Mydin. KL Festival City ada Econsave, ada panggung wayang. Bila malam ada uptown. Kedai tayar, kedai servis kereta, kedai berkenaan aksesori kereta ada 2-3 yang sering dikunjungi, kedai perabot saja ada 6 yang berhampiran.Untuk ke Mahkamah hanya 30 minit. Kalau jem teruk sekalipun tak sampailah sejam. Boleh lalu DUKE. Ke rumah nenek hanya 15 minit. Jadi, lokasi sudah serasi dengan kami. Eh, kami serasi dengan lokasinya. Jadi tak ralat sangat mengeluarkan belanja yang banyak untuk kos membaiki rumah lama.

Tapi kata mak, rumah kami ni gelap. Sebab siling depan rendah. Tempat parking hanya berbumbungkan zink saja, bukan polycarbonate. Jadi cahaya tak begitu masuk ke ruang dalam rumah. Rumah pula memanjang jauh ke belakang. Tingkap belakang cuma sampai ke meja dapur. Meja makan pun tak sampai. Jadi kalau nak makan kena buka lampu. Ruang tengah mesti berlampu sebab gelap. Bilik belakang kalau pintu belakang tak buka, memang gelap. Jadi mak susah nak tidur siang sebab gelap. Nak buka pintu belakang, takut kucing masuk. Nak buka lampu saja, silau. Bilik depan pun gelap. Dapat cahaya sikit saja dari tingkap daun yang sering ditutup. Tak masuk udara, katanya. Sesak nafas. Kalau buka tingkap, habuk kereta yang lalu lalang pula masuk dalam bilik nanti, kataku. Pada mak, yang seronok cuma biliknya ada air cond. Jadi, bila nak tidur tak rasa panas. Boleh tengok tv sesuka hati tak perlu berebut dengan sesiapa sebab kami jarang tengok tv. Selain itu, tak ada yang seronoknya.

Kini mak ada pilihan ke 6, iaitu rumah adikku yang dia suka. Cuma, bilik yang mak dah 'chop' nak jadikan tempat 'parking'nya tu belum ada set bilik tidur. Adik pun belum beli apa2. Yang ada hanyalah set tv yang siap dengan speaker 'gedabak', dvd player dan radio. Tilam pun tilam spring lama. Tak ada katil. Peti ais dan dapur di bawa dari rumah kampung. Nasib baik ada carpet lama, bawa dari kampung juga. Bolehlah kami melepak atas karpet. Kalau tak, duduk di tanggalah ya.

Jadi mak fikir2, nak minta semua anaknya 'chip in' RM200 seorang untuk beli set bilik tidurnya. Mesti ada katil, tilam spring, almari pakaian, almari cermin dan kerusi stool. Bila survey harga, dalam RM1000 dapatlah yang sebegitu. RM200 saja, tentu bisa di atur. Tapi, mak kata, siapa nak sponsor air cond?

Adikku bukan pegawai. Memang dia kerja kerajaan dan dah 7 tahun dalam servis. Macam aku. Kami sama2 masuk kerja tahun 2004. Cuma aku pegawai, dia kumpulan sokongan. Jadi, gajinya taklah banyak mana. Tahun lepas dia ada sambung belajar. Tapi sekarang sudah berhenti sebab tak dapat nak komited dan belanjanya besar. Dah ada isteri ni, tentulah fikir nak ada anak pula. Isterinya walaupun ada Diploma, susah nak dapat kerja yang bersesuaian. Baru2 ini saja dapat kerja jadi kerani di kedai berhampiran rumahnya. Itupun dah syukur sangat. Dapatlah menampung mana2 yang berlubang. Adikku kena bayar pinjaman rumah RM700, kereta RM600, makan minum lagi, petrol lagi, bulanan motosikal lagi. Fuhh banyak juga tu. Mak pula nak cepat ada semuanya, sebab nak temankan isteri adik lepas raya haji nanti. Itu yang beriya nak dapatkan sumbangan beramai2.

Adik pun tak sedaplah kalau sampai nak meminta2 untuk keperluan dalam rumahnya. Yelah, masa orang lain susah dulu, dia bukan jenis ambil tahu. Tapi kalau dah anak bongsu mak, dah jadi suami orang pun mak tetap nak ambik tahu juga. Mak tetap sayang juga. Kita tengoklah nanti macam mana ya mak.

No comments: