Sep 18, 2012

September bulan doa dimakbulkan, Alhamdulillah...

Syukur Alhamdulillah, masih dipanjangkan usia melalui bulan September 2012.

Ramadhan yang lepas, ada hajat nak post 1 entry, tapi terhenti di tengah jalan sebab susah betul  nak masukkan gambar2 dari dalam Tablet Samsung. Selepas dah beberapa minggu menggunakannya, terasa agak menyesal membeli. Tapi buat tak fikir saja. Alhamdulillah masih menggunakannya lagi. Walau tak dapat meng-update blog di situ, tapi masih boleh digunakan untuk melayari internet. Alhamdulillah.

Ini merupakan gambar pertama diambil dengan Tab 7.7 saya :-) memang sakit hati bila nak update blog kena juga gunakan laptop acer lama yang dah slow sangat ni. Tapi tak apalah, demi untuk catatan kenangan :-)

Raya pun dah habis kelmarin. Sambutan yang sederhana saja., Alhamdulillah. Gambar raya pun belum print-out lagi. Tak macam tahun lepas, bersemangat sepanjang masa. Tahun ini tak begitu semangat sebab ayah sibuk bekerja. Projek di parlimen Insyaallah akan berakhir hujung bulan. Jadi bermula bulan puasa hari tu, ayah dan team nya pulun bekerja sampaikan raya pun tak macam raya. Lepas raya pun masih tak berkesempatan ke rumah terbuka dan kenduri kendara. Musim cuti sekolah kan musim kenduri kahwin. Tak ada rezeki. Nak 'menapak' berdua dengan si kecil, rasa tak selesa pula sebab takut tak jumpa jalan, tak sempat berkejaran dan sebagainya. Maklumlah, si kecil Arissa ni ligat. Budak-budak katakan.

 Ini gambar kenangan raya kami 2012 ini. Alhamdulillah. Tapi tak tema sangat dengan purple pink tu sebab masing-masing susah nak cari saiz di saat akhir. Maka, inilah adanya. Alhamdulillah. Gambar diambil di rumah kakak ipar di UK Perdana. Syawal 1. Esoknya beraya ke Jandabaik di rumah saudara suami. Lepas itu ke Sg. Buloh rumah pakcik suami. Hujung Syawal 2 baru balik ke Sungai Besar dan berlamaan di sana. Alhamdulillah.

September menjadi bulan yang begitu bermakna pada saya sebab permohonan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) iaitu biasiswa melanjutkan pelajaran bagi Pegawai Awam dalam Masters telah tercapai. ALhamdulillah, saya adalah antara 500 pegawai kerajaan yang bertuah kerana layak menerima hadiah tidak ternilai ini. Seramai 2028 orang pegawai mencuba nasib untuk memohon. Saya benar-benar rasa bertuah kerana terpilih, walaupun memohon untuk kali kedua. Ada kawan saya di bahagian PTD, sudah 3 kali memohon masih gagal. Begitulah rezeki Allah. Dengan doa dan usaha, Insyaallah, apabila tiba waktunya, akan dimakbulkan juga. Kali ini rezeki saya. Lain kali mungkin rezeki dia pula. Hanya Allah yang Maha Bijaksana dalah agihan nikmatNya.

 Ini kenangan semasa penyampaian surat tawaran dan sesi taklimat. Gambar saya tak ada pula. Tapi ada satu gambar berdua dengan seorang pegawai Jabatan Pertanian Kedah. Bila-bila boleh upload. Baru beberapa minit kenal dah mesra :-)

Bercerita mengenai HLP ini buatkan saya terimbas kenangan semasa kali pertama memohonnya dahulu. Tak lama pun. Tahun lepas saja. Pada masa tu, ada 12 orang pegawai dari jabatan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia yang menghadiri temuduga saringan di Jabatan. Dalam 12 ini, saya dan 2 lagi teman adalah satu angkatan servis. Hanya 6 yang diluluskan oleh Ketuan Jabatan untuk terus layak ke peringkat seterusnya, ditapis oleh JPA. Saya adalah 6 yang gagal. 2 teman saya tadi, berjaya. Saya sungguh cemburu dengan rezeki mereka dan setiap hari berfikir apakah kekurangan saya yang paling teruk jika dibandingkan dengan mereka berdua.

Dalam yang 6 itu, selain 2 kawan seangkatan servise(satu batch), yang 2 lagi adalah pegawai senior berumur menjangkau 40 tahun. Umur had pagi pemohon Masters, HLP. Jadi saya tak perlu cemburukan mereka sebab saya jauh masih muda. Eh muda ke? 

Seorang lagi pegawai yang lebih muda dari saya setahun. Entah saya tak memikirkan pun siapakah dia dan apakah mungkin kelebihannya,tetapi dia berjaya. Mungkin ada plus point yang kita tak tahu. Dan yang paling junior adalah anak Sultan Kelantan (pada masa sekarang, adik Sultan Kelantan yang bongsu). Saya mungkin cemburukan adik Sultan ini. Pertama, kerana dia masih muda. Terlalu muda berbanding kami, pemohon yang lain ini. Kedua, jika beliau ingin meneruskan pengajian dengan pembiayaan sendiri, beliau memang sangat boleh melakukannya bila-bila masa pun. Tambahan beliau masih bujang dan tiada apa-apa komitmen yang akan menghalang. Ketiga, beliau bertanya tentang HLP kepada saya pada tarikh tutup permohonan dan selepas itu beliau segera membuat permohonan. Saya sangat pasti beliau menghantar borang selepas tarikh tutup iklan, tetapi oleh kerana sebab yang tiada siapa tahu, tarikh tutup menghantar borang terus dipanjangkan bagi membolehkan borangnya diproses masuk. Saya tahu beliau seorang yang besar pengaruhnya. Tapi saya enggan membuat apa-apa spekulasi biarpun semua orang kata, iyalah, beliau kan 'somebody'. walaupun setaraf saja, Pegawai Awam,tapi being a somebody, she ought to be served as one. Benar. Sebenarnya, saya tak perlu mencemburui beliau sebenarnya. Siapalah saya jika nak dibandingkan dengannya. Kini, beliau telah selamat melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Melihat dari sudut lain, sebenarnya saya tak perlu mencemburui sesiapa pun, kerana rezki kita adalah rahsia Allah. Kita disarankan memohon, berusaha dan bertawakkal. Selebihnya kembali kepada kuasa Ilahi Yang Maha Adil. Kalau dah sampai rezeki, insyaallah, adalah.

Selepas HLP yang gagal, saya berusaha lebih gigih lagi. Mulanya saya muhasabah diri. Mungkin saya gagal kerana niat saya terpesong daripada apa yang sepatutnya. Kita memohon cuti untuk sambung belajar. Bukan cuti untuk berehat dari datang ke pejabat dan bonusnya kita dapat Masters. Kalau dah namanya pekerja, kerjalah kita segai terdaya. Kalau nak cuti, pohonlah cuti. Itu baru betul. Jadi, kena betulkan niat dulu. Alhamdulillah kerja di pejabat juga tidak sesibuk dahulu. Masih sibuk, tapi ada masa untuk diri sendiri. ada masa untuk bernafas kata orang. Kemudian, saya betul-betul membuat kajian. Apakah kursus yang saya akan pelajari. Kalau tahun dulu, saya minta membuat LLM(Commercil) tapi Ketua Jabatan kata, dah ramai sangat yang memohon. Apa kata saya buat lain dari yang lain. Contohnya Law of The Sea? Ia memang kedengaran janggal dan tak pernah terlintas di fikiran. Tapi yang pelik itulah mungkin rezekinya, siapa tahu kan.

Saya membuat sedikit kajian mengenai Undang-Undang Laut dan Admiralti. Memang agak menarik. Alhamdulillah. Borang permohonan dan proposal dihantar dalam masa. Tak lama selepas itu, saya diminta menjalani ujian secara online yang diadakan oleh pihak JPA. Selepas itu saya dipanggil temuduga di JPA, Jalan Cenderasari, KL.

Oleh kerana kali kedua, perasaan gusar dan terlalu mengharap untuk berjaya memanglah tak dapat dielakkan. Tapi, mungkin ada juga kelebihannya apabila memohon kali kedua. Kebetulan, sewaktu tiba ke tempat temuduga, bilik penemuduga, saya terserempak dengan Tuan Zamri. Beliau lah antara panel yang menemuduga saya pada tahun lepas. Beliau PTD JPA yang ditempatkan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Saya dengan tak malunya menegur beliau dan memberitahu bahawa itu adalah permohonan kedua saya selepas yang pertama ditolak oleh beliau dahulu. Beliau tentulah tidak ingat saya. tak kisahlah. Saya cuma bercakap bagi menghilangkan gementar dan berbasa basi sementelah dia lebih senior dari saya. Tanpa disangka-sangka, dia juga lah yang menjadi penemuduga bagi saya! Memang kebetulan yang dirancang! 

Saya ditemuduga berdua dengan Puan Rohani Ishak dari Mahkamah Ipoh. Senior juga. Apabila ditemuduga berdua, peluang untuk kelihatan kaku akan berkurangan. Saya pun tak tahu kenapa tahap keyakinan saya terus meningkat apabila menjawab soalan mengenai Rules of Courts 2012 yang baru dilancarkan. Mungkin kerana saya telah menjadi antara pegawai yang diberi penerangan dan menjalankan kuasa di bawah peruntukan di dalamnya, jadi saya merasa sangat selesa berkongsi idea? Mungkin. Walau apa pun, saya tetap takkan lupa bahawa saya dan Puan Rohani gagal menjawab soalan mengenai ICJ, International Court of Justice. Memang tak tahu apa! Teruk betul. Macam mana boleh yakin soalan itu tak akan ditanya? Saya cuma tahu itu adalah Mahkamah Antarabangsa yang menyelesaikan pertikaian negara-negara yang mahu ICJ menghakiminya, Berapa bilangan Hakim dan siapakah mereka, di mana letak duduknya dan apakah kes yang pernah di dengar, memang tak tahu! Rasa nak terjun keluar tingkap pula kerana malu! Hinggakan Tuan Zamri dengan sinikalnya berkata, takkanlah kamu tak ambil tahu pasal perebutan Pulau Batu Puteh dengan Singapura? Kami cuma tergelak saja. Saya memang tak ambil tahu, walaupun ada baca di blog gosip mengenainya. Akhirnya, Tuan Zamri kata, ICJ tak tahu, Pulau Batu Puteh tak tahu, habis tu apa yang kamu tahu? Kami tersenyum sumbing saja. Meskipun sindiran itu, saya keluar dengan tahap keyakinan yang tinggi bahawa saya akan berjaya. Kenapa? Entahlah. Cuma instrict saja.

Alhamdulillah saya telah berjaya akhirnya! Saya telah menghadiri taklimat dan penyerahan surat tawaran. Kini saya hanya menanti hari untuk mengikuti kursus methodologi di INTAN Bukit Kiara, sambil melengkapkan keperluan sebelum mendaftar di Universiti yang sesuai. Dalam minda hanya ada UiTM Shah Alam buat masa ini. Insyaalah. Mohon dipermudahkanNya...


No comments: