Nov 16, 2012

Pelajari semangat hijrah

Alhamdulillah, berlalu sudah Maal Hijrah dengan sesuatu yang berkesan di hati. Apa yang dilalui hari ini seharusnya menjadi pengajaran buat masa depan. Insyaallah.

Hari ini walaupun ayah seharian berkursus di luar, ibu dan Arissa menghabiskan masa berdua dengan aktiviti yang pelbagai. Memanglah pagi tadi ibu tertekan dek kehilangan si Bebel dan kematian si Kecik yang mendadak lantas menghabiskan semua air mata yang ada hingga terlupa untuk berfikir bahawa semua yang ada di bumi ini adalah milik Allah dan Dia berhak mengambilnya bila-bila masa. Kita sebagai hamba hanya mampu belajar untuk redha dan menerima takdir meskipun ianya berat dan kita tak bersedia.

Ibu isikan hari ini dengan mengemaskini blog dan melayan karenah Arissa yang keletah. Kami memakai ina Mekah pemberian kak Laila semalam. Kami tidur tengahari bersama. Mandi dan makan spageti berisi sosej dan keju bersama. Malan menonton tv juga bersama. Mujurnya apa yang Arissa suka tonton, sama macam yang Ibu suka tonton, begitu juga sebaliknya.

Sesekali bila termenung, Ibu teringatkan si kecil kucing-kucing ibu yang telah pergi. Si Tompok, Si Bebel, dan si kecik yang manja. Ibu terbayang-bayang renungan mata mereka. Si Noneng yang kecil dan berbulu tebal macam carpet. Si Oyen yang suka meletakkan tangannya di peha atau betis kita. Semua mereka meninggalkan kenangan yang terkesan di hati. Memnuatkan air mata ini begitu senang menitis lagi.

"Kenapa ibu menangis? Ica kan ada. Dah dah. Kucing kan kotor, ada kuman. Dah jangan kawan dengan kucing lagi. Ibu kawan dengan ica aja ya?" Pujuk Arissa, membuatkan ibu terpana dengan kebijaksanaannya.

Lewat petang, ibu dan Arissa mandi bersama dan makan bersama sekali lagi sebelum ibu solat dan mengajar Arissa mengaji dan siapkan homework Bahasa Arabnya. Alhamdulillah, Allah kurniakan ibu anak yang cerdas otaknya. Bijak dan cepat tangkap walaupun sekolah tadika itu bukan smart school yang mempunyai kaedah pembelajaran dan pengajaran berpakej mahal.

Bila ayah pulang lepas maghrib, kita keluar makan malam bersama di warung Aisyah yang menyajikan makanan Thai yang murah tapi sedap, kena dengan selera kita. Alhamdulillah. 

Selepas itu barulah kita ke pasar malam Danau Kota, mencari kucing sebagai pengganti kehilangan anak-anak kucing yang lalu.

Hakikatnya, walau apa pun yang kita ada, kurnia dari Tuhan, hanyalah bersifat sementara. Ibu berdoa semoga kucing-kucing yang pernah ibu bela, yang meninggalkan kita hingga mengundang tangisan ibu sampai bengkak mata, akan meninggalkan shafaat buat ibu dan kita semua di akhirat kelak. Semoga ada pahalanya untuk jadi bekalan ibu di kuburan nanti. Insyaallah.

Ibu bukan cari kucing yang cantik saja untuk dijadikan binatang kesayangan. Matlamat ibu jelas. Bukan untuk jadikan peluk cium, tapi untuk menolong. Disamping itu dapat memenuhi hobi terhadap kucing. Alhamdulillah Allah bukakan hati ibu untuk mengambil Si Tina dan Si Atan. Kedua-duanya comel dan sudah agak besar. Mungkin 6-8 bulan usianya. Banyak yang harus dibuat untuk memastikan mereka sihat. Ibu rasa biarlah kita lakukan perlahan-lahan. Terpulang pada Allah untuk memberi kita jodoh setakat mana kali ini. Tina dan Atan memang kucing yang manja. Ibu harap tiada masalah kali ini.

Kenapa namanya Tina dan Atan? Seekor betina, seekor jantan. Tapi mereka berkawan baik. Nanti bila dah bersih, kita akan ambil gambar banyak2 dan masukkan di sini sebagai kenangan.

Arissa tiba-tiba menegur ibu yang masih dengan laptop sedangkan jam sudah menginjak ke pukul 12 malam.

"Ibu, are u not sleep? Ica tanya bahasa melayu la, cepat kata yes."
Tergelak ibu dibuatnya. Si comel Arissa ni suka bercakap dan bersembang tapi belum faham maksud apa yang dikatakannya.

Apa yang ibu boleh jadikan pengajaran ialah untuk tidak berputus asa dan meletakkan harapan menggunung kepada Allah. Hanya Allah lah yang layak menilai hati kita. Hanya Dia lah yang berkuasa menentukan segalanya. Kita hanya mampu merancang, tapi Dialah yang Maha Penentu.

Kita sambung lagi nanti. Insyaallah.

No comments: