Oct 6, 2013

Ica dan solat.

Bismillah...
Tahun ini paling banyak Ica bertanya tentang Allah.

Dia tinggal di mana
Dia pakai baju putih ke
Dia makan apa
Dia tu Besar macam mana
Siapa lagi besar, Dia ke syaiton
Kenapa kita kena takutkan (taqwa) Dia

Subhanallah. Memang bagus banyak bertanya. Ia akan menjernihkan hati yang jahil. Tapi kalau banyak sangat tanya, kadang tak terjawab juga. Masa ibu kecik dulu, rasanya tak banyak tanya macam ini.

Ica : Kalau Allah tu takde rumah, macam mana nak jumpa dia?
Ibu : Rumah Allah tu mesjid la. Kalau nak jumpa Dia, kena la Solat.

Tapi Ica tak puas hati, sebab bila dia Solat, dia tak nampak Allah. 
Ibu selalu kata, kalau nampak Allah, maknanya kita dah mati. 

Ica : masuk kubur?
Ibu : yer.
Ica : Sorang-sorang?
Ibu : Yer.
Ica : kalau macam tu Ica nak mati lah. Nak jumpa Allah.
Ibu : Gulp! (Wa naudzubillahi Min Dzalik)

Kalau bercerita bab Neraka dan Syurga, Ica faham yang masuk ke syurga ialah yang baik-baik saja, dan neraka ialah untuk orang yang jahat.

Ica : Jahat tu macam tak solat, tak mengaji, tak dengar cakap ibu dan ayah dia...
Ibu : Macam siapa?
Ica : Macam Noneng tu.. (kucing kami)
Ibu : Laaa...tak fasal-fasal Noneng pun kena.
Ica : Dalam neraka ada api. Ada ular. Crab. Dinasor. Zirafah. Gajah. Badak yang jahat. (sempat kata binatang jahat). Eee...tak nak lah.

Oleh itu, kita kena rajin solat. Jom ikut ibu solat. Eh susah betul nak ajak Ica solat. Terutamanya ketika Ica tengah syok menonton tv, kartun kegemarannya. Kerap kali kena main tarik tali dengannya.

Ica : Tak payah pakai telekung lah. Laju sikit. 
Ibu : Erm, okeylah.

Ingatkan tak payah pakai telekung sebab nak bagi dia laju bersiap untuk solat sekali. Tapi rupanya dalam solat pun dia skip baca alfatihah sebab kalau baca nanti lambat habis. Laju sangat sampai kadangkala sujud pun dia buat sekali aje. Sekali harung! Aduhai.

Ibu : Kenapa Ica solat main-main?
Ica : nanti Allah marah ke?
Ibu : Yelah. Nak masuk neraka ke?
Ica : Tak nak... Lain kali Ica solat betul-betul
Ibu : (-_-)
 Ibu harap doa lembutkan hati anak ni akan termakbul ke atas Ica. Supaya Ica dengar kata dan jadi anak yang solehah. Amiin...
 Sebut pasal solat, ibu dah menjinakkan Ica dengan telekung dan tikar solat seawal umurnya 2 tahun. Mula dengan telekung yang ibu jahit daripada tudung labuh nenek yang dia tak pakai. Kemudian nenek belikan telekung kecil dan akhirnya hingga sekarang teleking mini sesuai usia Ica. Gambar di atas, Ica ikut ibu solat jamak maghrib-isyak di Masjid Kristal, K. Trg. Pakai telekung masjid yang ibu kecikkan dengan kerongsang.
 Ini kes pakai telekung sendiri, selepas kena marah dan paksa dengan ayah supaya solat sekali. Muka lepas menangis.
 Ini musim bulan puasa haritu, lepas solat Asar dengan ibu terus mengaji. Alhamdulillah sebulan penuh Ica mengaji petang dan habiskan 1 stage Iqra'. Cuma Ica masih merangkak bila masuk bab baru. Takpelah, slowly...
Kalau mengaji tak kena marah, sengih memanjang. Maknanya mood ibu pun tengah baik. Tak nak marah-marah walaupun Ica baca terlalu slow.
Solat main-main, ibu suruh solat lagi sekali. Menangis la tu. Haih, suruh solat pun menangis.

Solat ni adalah cara kita berkomunikasi dan berterima kasih dengan Allah atas segala nikmat-nikmatNya yang banyak kepada kita di dunia ini. Solat ialah perkara pertama yang akan dikira di akhirat nanti sebelum kebaikan yang lain. Sebab itu, dikatakan solat ialah tiang agama, kerana agama Islam bermula dengan mempercayai Allah, dan bagaimana kita menunjukkan kepercayaan kita, ialah dengan bersolat, iaitu menyembahNya dan yakin bahawa Dia lah Tuhan sekalian alam.

Tak semestinya bersolat akan menempatkan kita di syurga. Tetapi tidak ada orang yang tidak bersolat akan dijamin ke syurga. 

Solat ialah tunjang utama akhlak kita. Dengan bersolat kita akan pelajari kewajipan menutup aurat, kepentingan membaca AlQuran dengan betul, dan perlunya bersikap disiplin dan tertib. 

Apabila Ica dewasa, Ica akan mendengar pelbagai pendapat mengenai agama Islam. Ada yang kata, pakaian tidak menggambarkan siapa diri kita. Ada yang menutup aurat tetapi tidak solat. Ada yang bertudung tidak solat. Ada yang make-up tebal tapi hafal Quran. Ada yang bertudung labuh tak pandai mengaji, dan sebagainya.

Ini semua perlukan pentafsiran tersendiri. Kita tidak boleh menyamakan setiap orang dengan sesuatu sifat. Tapi, bagi Mukmin yang menjaga solatnya, dia akan dengan sendirinya menjaga auratnya, menjaga maruahnya, tidak berlebihan dalam perhiasan dunia dan akan mengejar ganjaran AlQuran. 

Ibu tak tahulah nak kata, kalau orang tu membaca AlQuran dan beramal dengannya tapi dia nak pakai make-up tebal-tebal juga. Untuk apa?

Ibu tak percaya kalau orang yang menjaga solatnya dan faham kenapa dia bersolat, tapi tak mahu menutup auratnya.

Solat dan menutup aurat adalah 2 perkara berbeza. Meninggalkan solat ada berdosa. Tak menutup aurat juga berdosa. Tak semestinya kalau tak tutup aurat, maka orang Islam tu tak perlu solat. Kalau dia solat, dia telah menunaikan ksatu kewajipan sebagai Muslim. Tak menutup aurat, dia berdosa kerana tak menutup aurat. Begitu.

Kalau seorang mukmin itu solat, tetapi dia jahat, bermakna, dia tak mendalami solatnya. Maka solatnya tak dapat mencegah dia daripada berbuat jahat. Tapi tak bermakna dia tak perlu solat. Cuma mungkin solatnya tak sempurna.

Jika seseorang itu melakkukan sejuta kebaikan di dunia ini tetapi tidak solat, maka sejuta kebaikan itu tidak akan membawa apa-apa erti kepadanya di akhirat kelak kerana, solat ialah perkara pertama yang dikira. Kalau tak solat, perkara lain, takkan dikira lah.

Ibu harap, Ica akan terus berusaha melengkapkan solat dan cuba menjaganya. Solat sebaiknya dan dalami erti solat. Ibu juga harap dan berdoa, Ica akan menutup aurat yang sempurna apabila telah cukup umur nanti dan menjaga pergaulan dengan kawan-kawan. Ibu berdoa supaya Ica ditemukan dengan kawan-kawan yang baik, yang dapat membimbing Ica kepada yang baik-baik saja.

Masa ibu kecil, tak ada siapa yang suruh ibu solat. Masa ibu 6 tahun, ibu teringin pakai telekung dan berlakon solat. Ibu pakai telekung embah yang dia baru beli. Seronoknya pakai telekung baru yang putih dan wangi. Masa itu embah hanya pakai telekung yang dia jahit sendiri, sudah lusuh dan kekuningan. Ada tampalan lagi. Menandakan telekung itu dah pun koyak. Tapi sayang nak dibuang.

Ibu belajar solat dengan telekung baru. Pada mulanya ibu tak pandai baca apa-apa pun bacaan solat walaupun alfatihah sebab masa itu ibu belum belajar mengaji lagi. Ibu belajar mengaji masa umur 7 tahun, terus masuk muqaddam.

Masa darjah 3, ibu minta masuk sekolah agama petang. Sebab kawan-kawan ibu kebanyakannya sekolah petang. Jadi, embah lanang (atok) hantarkan ibu ke sekolah petang. Kebetulan, ada pertandingan solat subuh. Ibu terus dicalonkan. Masa itulah baru ibu belajar semua bacaan solat. Walaupun pada masa itu ibu dah hafal Al Fatihah dan surah lazim, tapi baru tahun itulah ibu belajar bacaan setiap rukun fi'li/perbuatan dalam solat. Sejak itu, barulah ibu tahu setiap pergerakan solat ada doanya. Alhamdulillah. Kalau tak masuk pertanding solat subuh tu, tentu ibu lambat tahu. 

Pada mula mengenal solat, memang susah nak penuhkan 5 waktu. Tak ada siapa yang suruh ibu solat penuh. Tapi ustaz kata, kalau nak penuh, cuba buat jadual. Bila solat, tandakan dalam jadual. Hujung minggu boleh tengok, solat apa yang selalu tertinggal. Ibu pun amalkannya. 

Bila tengok ruangan yang tidak bertanda, hati ibu jadi sakit pulak. Jadi, ibu sedaya upaya menjaga solat. Mulanya susah. Terutamanya nak bangun solat subuh pada hari cuti sekolah. Tapi lama kelamaan, ia menjadi rutin. Alhamdulillah. Dapat memenuhkan solat.

Ibu harap, Ica pun berusaha. Ibu juga akan selalu beri dorongan untuk mendisiplinkan Ica. Mudah-mudahan usaha ini akan dibantu Allah supaya menjadi lebih senang. Ameen.

No comments: