Oct 12, 2013

Kifarah Banjir.

Bismillah..
Dear Ica...

Minggu ini merupakan minggu penuh kifarah bagi ayah dan ibu. Terutama bagi ibu lah. Perasaan malas nak ke kelas menjadi berkali ganda. Akhirnya mendapat peringatan Allah. Orang kata Cash-On-Delivery. Haha.

Ibu ponteng kelas hari Isnin kerana terlalu penat yang entah apa-apa. Tidur malam lewat, bangun awal pagi kerana pukul 7.30pagi sudah terpacak di depan Imigresen di Seri Rampai sebab nak buat paspot baru ibu dan Ica. 

Katanya siap setengah jam. Memang betul. 3 tahun dulu, memang kita siap tak sampai sejam bila kita antara yang terawal ambil nombor giliran. Tapi kali ni, siap ambil gambar ukuran paspot dan fotostat ic, sudah dekat pukul 8 pagi, jadi bila dapat nombor giliran, dah kebelakang sangat. Tunggulah hingga lepas 30 orang di depan kita baru nombor dipanggil. Pukul 8 pagi mula menunggu hingga pukul 9.30pg baru siap bayaran. 

Sementara processing, kita keluar dulu breakfast di Wangsa Maju. Datang semula pukul 10.30pg, siap sempat balik rumah dulu ambil surat beranak ori Ica untuk kutipan paspot di kaunter. Tertinggal mulanya. Nanti banyak pula masalah masa nak buat kutipan. Jadi gigih balik rumah ambil dan datang semula bawa ke kaunter. Ingatkan dah lama sangat kat luar, bajet-bajet, sesampai kat Imigresen nanti mesti terus ambik paspot baru. 

Sekali tu, lamunanku terhenti bila tengok, alahai kena menunggu lagi 10 orang tengah buat kutipan. Setengah jam lagi berdiri. Semua tempat duduk penuh. Lenguh jugalah ya. Akhirnya siap segalanya dah pukul 11pagi. Penat betul menunggu dan berdiri. Nasib baik Ica ni bukan jenis kanak-kanak over-active yang suka buat aksi. Dia dok bergayut je dengan ayahnya sementara ibu melayan perasaan sambil berangan. 

Pukul 11 pagi. Nenek call, ajak kita melawat Kak Nadya di Gleneagles Ampang sebab anaknya Nufa yang baru masuk umur setahun tu dah sehari warded sebab muntah-muntah. Mulanya ibu malas nak ikut. Rasa nak balik rumah, dah rehat. Lagipun masa Ica warded dulu sebab muntah-muntah, Kak Nadya tak ada datang pun. Tapi ayah nak bawa nenek. Tentulah jadi tanggungjawab dia kan. Okeylah, ikutkan saja.

Dari Seri Rampai ke rumah nenek di Ayer Panas tak jauh. Dalam 5 minit saja. Tapi masalahnya, lepas menunggu 10 minit, barulah sedar yang nenek tu bukan ada di rumahnya, tapi di rumah Mak Ngah Intan di UK Perdana. Ala macam mana boleh lupa pulak, padahal hari Ahad tu kita melepak kat sana berjam-jam sebab dengar brifing umrah Ustaz Raof, bakal mutawif kita, Insyaallah. Haih. Yang kita ni menunggu di rumah kosong. Yang nenek tu menunggu kosong di tepi pagar rumah Mak Ngah Intan. Adoyai.

Kena pulak ambil nenek dari UK Perdana. Dari Ayer Panas ke UK Perdana dah 20 minit. Dari UKP ke Ampang dalam 20-30 minit pulak lagi termasuk jem waktu tengahari. Tiba di Hospital pukul 12.15tgh. Ibu dah asyik tengok jam saja sebab kejap lagi Ica nak sekolah. Nufa pun elok nyenyak tidur. Kak Nadya pun okey saja. Ada maid yang tolong temankan dia dan anaknya sorang lagi, Numa. Pelawatnya pun ramai. Non-stop. Okeylah tu.
 Melawat yang sakit tak sampai setengah jam. Melawat yang tak penting lagi lama. Ica lah yang suka sangat 'melawat kawasan' kalau kat hospital. Semua nak ditelitinya. Sampai kepala paip pun jadi bahan jakun dia.
Sempat pose.

Bila Mak Ngah Intan datang, kita pun diajaknya makan western food di Dome. Makan saja dah 40 minit. Sudahnya dah pukul 1 ptg baru beransur balik rumah. Apa lagi, jadi Charlie Chaplin lah ibu, kartun ligat nak siapkan Ica yang slow-motion tu. Sampai saja rumah, terus terkejar-kejar mandikan Ica semula sebab Ica dah mula mengantuk. Letih dan kenyang. Pukul 2ptg baru Ica masuk kelas. Tak sempat assembly lah tu.

Yang ibu ni, balik rumah terus lembik penat dan mengantuk tapi tidur lena tak lena. Sampai pukul 4.30ptg lepas solat Asar, sakit perut memulas-mulas macam ada duri dalam perut. Ayah tolong sapukan minyak angin, tekan-tekan sikit. Lama lepas tu baru kurang sikit sakitnya. Angin lah tu. Pertama kali makan muscles dalam seafood carbonara tadi. Haih menyesal pulak. Tengok jam, alamak dah lambat nak ke kelas. Nanti dengan jem. Dengan sakit perut. Loya-loya pening kepala lagi. Terus decide ponteng. Haih. Tak pernah-pernah ponteng di awal sem.

Hari Selasa macam biasa ibu ke kelas dan telah diduga, beberapa kawan sekelas bertanya kenapa tak datang semalam. Segan juga. Dah tua-tua ponteng kelas. Nak kata sakit perut? Alasan cliche orang malas ke kelas. Diam sajalah. 

Kifarah Banjir.

Hari Rabu ibu memang tak ada kelas. Berehat saja di rumah. Kebetulan hari Selasa tu Wak Haji dengan Wak Hajjah datang rumah sebab Wak Haji nak ke Pusat Perubatan Kpg Baru untuk dapatkan rawatan batu karangnya. Diorang singgah hantar embah letak di rumah kita sebab embah tak nak tinggal sorang di kampung tu. Jadi, hari Rabu lewat petang tu, Ica dan embah tengah sakan bersembang atas katil dalam bilik belakang.

Hujan memang lebat betul. Dengan angin kuat dan kilat berdentum-dentum sejak lepas Asar. Tiba-tiba tak terduga air dari saluran paip longkang belakang, dekat dengan mesin basuh, melimpah keluar yang banyak dan akhirnya masuk dalam rumah. Ini merupakan kali kedua melimpah air macam ni. Kali pertama dulu ada dalam entry kifarah sebelum ini.

Ayah yang panik, habis semua tuala dijadikan benteng. Dengan baju sekolah Ica pun dijadikan kain buruk. Mulanya air tak begitu banyak. Tapi hujan terlalu lebat di luar. Semakin banyak yang melimpah naik. Ica mula menangis. Embah pun panik. Ibu risau aje embah tu heart attack ke apa. Rasanya ibu saja yang buat-buat tenang. Ibu suruh Ica dan embah duduk diam dalam bilik. Ibu bentengkan pintu bilik dari toilet belakang dengan carpet yang ibu gulung supaya getahnya dapat menjadi sendal air daripada terlalu banyak yang terlepas masuk. Pintu depan pula ibu tutup dan sendalkan dengan tuala.

Di bahagian dapur air sudah memenuhi semua ruang hingga ke buku lali. Benteng tuala dah tak dapat menampung air yang banyak. Ia terlepas juga ke depan. Jadi, kami pasrah, buka benteng dan lepaskan air mengalir ke pintu depan dengan perasaan sedih sebab tak dapat berbuat apa-apa. Itupun ayah masih cuba kurangkan air dengan menimba air dari lantai dapur curahkan ke singki. Tapi air keluar di bahagian bawah dapur pula. Memang longkang kita tersumbat tapi tak tahu di mana dan kenapa. Ibu suruh ayah buang air ke belakang rumah jiran belakang kita sebab longkangnya okey saja walaupun banyak air yang mengalir dari bumbung, tapi ayah tak nak. Dan ayah pun dah penat menimba. Air tetap banyak yang masuk. Akhirnya kami berhenti berusaha dan hanya berdoa supaya hujan berhenti segera.
 Air yang melepasi benteng perlahan-lahan turun ke pintu depan melalui meja makan, pintu pembahagi ruang depan dan belakang, sofa dan terus ke depan :-( sementara kami hanya mampu tengok saja.
 Masa ni air kecil saja alirannya sebab banyak tuala yang jadi benteng kat dapur tu.
 Melepasi depan meja tv dan sofa.
Tengok alirannya masih boleh dikawal supaya tak masuk bilik tidur dan bilik solat.

Tapi bila kita takungkan air di dapur, air yang di dapur tu semakin tinggi. Ibu risau dia cecah ke peti ais dan mesin basuh, jadi ibu bukakan benteng tuala, dan air mencurah terus ke depan. Takpelah. Beri je peluang dia cari laluannya. Daripada terperangkap dan menyusahkan.

Bila hujan berhenti, barulah air pun berhenti melimpah. Bekerja keraslah kami mengemaskan rumah. Macam yang pertama kali hari tu. Mula-mula kena keringkan air yang berbau longkang ni. Lepas tu mop dengan sabun, lepas tu baru bilas dan keringkan pula. Lepas tu kerja mencuci semua tuala. Bila nak mandi baru sedar semua tuala dah habis digunakan. Dengan tuala kucing pun jadi mangsa :-(

Siang bersihkan bilik embah, bersihkan dapur, ruang tengah dan ruang depan, kena bersihkan yang di porch pula. Memang penat sangat. Berehat sekejap untuk makan saja. Ibu masak nasi dan goreng telur, letak kicap. Panaskan kuah sup. Pukul 9.30mlm pula Aiman dan sekeluarga datang menziarah embah. Habis tak sempat kita nak makan. Ibu buatkan teh panas dan goreng keropok. Sambil borak, tengok tv, sambil makan. Kerja-kerja mengemas tergendala sampaila diorang balik pukul 10.30 malam.

Lepas tu kita sambung buat kerja pembersihan sampai pukul 12 malam. Letihnya badan tak boleh nak gambarkan. Tak larat nak bangun rasanya.

Esoknya ayah terus minta tolong Din Tukang tengokkan punca banjir. Berkecah lagi rumah sebab Din tebuk tempat yang ada saluran paip bawah dapur. Tapi masih belum jumpa penyelesaiannya. Yang dijumpakan hanya ini.
Gumpalan plastik dengan pasir dan hanger patah dalam longkang. Ayah dah lega, ingatkan inilah puncanya. Harap-harap bila hujan nanti takdelah banjir lagi. Alhamdulillah... Bahagian yang dibuka di dapur tu Din kata nak buat hari Sabtu nanti, sebab tak urgent lagi.

Petang Khamis hujan lebat lagi. Ibu dah berdebar-debar. Sempat bersms dengan kawan kelas ibu. Rasa macam nak ponteng sebab tak sempat baca buku untuk kelas ini. Sibuk dengan hal rumah yang banjir semalam. Dalam pada ber sms, rupanya air naik lagi macam semalam. Kali ini, ayah pun dah pasrah. Tak buat benteng tuala lagi dah. Ibu suruh embah tidur dalam bilik. Ibu bentengkan pintu bilik embah dengan plastik dan kain. Sekurang-kurangnya lambat air nak serap masuk. Pintu bilik yang lain letak kain dari baju kotor yang belum dicuci. Lepas tu kami duduk saja depan tv, melihat 'sungai dalam rumah' mengalir laju dari longkang ke depan :-( Dah tak panik. Tapi sedih sangat lah, sebab usaha mencuci rumah semalam terbarai begitu saja. Subhanallah... Kalau Allah nak menguji, dengan air pun boleh. Mujur air ni tak berwarna. Hanya baunya saja yang agak tidak menyenangkan. Mudah-mudahan Allah jauhkan segala virus yang mungkin ada dalam air tu daripada kita semua. Ameen.

Sempat ambil video sebab dah tak panik kan. Tapi tak pandai pulak nak uplod di sini. Jadi print-screen kan saja.
 Ini lantai dapur yang ditebuk Din paginya. Air paling laju keluar dari sini. Masa ini air dah berhenti melimpah tapi dia bertakung.
 Ayah cuba masukkan kekotoran ke dalam lubang tapi tak berhasil sebab air penuh.
 Air yang bertakung di depan peti ais lama. Di pintu luar ialah tempat masin basuh. Lubang keluar di situ juga sudah dipenuhi air dan melimpah. 
Sungai petang ini lebih 'dalam' dan banyak airnya daripada semalam. Mengalir deras dan laju terus ke depan. Sementara kami menonton tv di atas sofa. Pasrah.

Jadi, kami ulangi kerja yang sama macam semalamnya. Bila hujan berhenti dan air dah habis mengalir, kami membersih semula. Ibu ponteng lagi kelas. Hmmm.

Hari Jumaat, Din Tukang dan gengnya datang juga atas paksaan ayah. Tak laratlah nak mencuci setiap hari. Sakit belakang dibuatnya. Din Tukang minta RM1000 sebagai upahnya sebab kerja mengorek ini akan melibatkan lubang yang sedalam 6 meter kalau tak silap ibu. Ibu pun tak fahamlah macam mana simpang siurnya longkang dan paip bawah rumah ni. Tapi yang pasti lubang longkang yang di bawah dapur kita yang tersumbat. 

Din Tukang dan gengnya ambil masa setengah hari memeriksa keadaan longkang dan akhirnya menjelang petang, seelok waktu solat Jumaat, hujan turun lebat dan lama, seolah-olah nak 'test' betulkah penemuan Din tadi. Alhamdulillah betul. 

Di lubang longkang yang tersumbat tu, yang Din dah cucuk-cucukkan yang menyebabkan sumbat tu, Din masukkan paip dan bukakan air. Air dari paip bercampur air hujan dari bumbung yang banyak, tidak kelihatan langsung airnya dari atas. Menunjukkan betapa dalamnya lubang longkang tu dari atas dan benda yang menyumbatnya sudah pun berjaya dilalukan ke longkang besar. Dalam debar, ibu bersyukur pada Allah kerana akhirnya bantuanNya tiba juga.

Din dan gengnya betul-betul tunggu lepas hujan berhenti baru diorang teruskan kerja sebab nak pastikan di situlah tempat yang dicari. Alhamdulillah. Bagus juga Din Tukang ni. Buat kerja sehabis baik. Mungkin sebab dah biasa ayah chartered dia kalau ada hal rumah. Dulu, masa rumah tak siap terbengkalai sebab Tukang yang asal, Atan lari dnegan duit baki kita, Din lah yang tolong siapkan, tolong kemas dan sedut batu-batu kesan renovate. Lepas tu Din juga yang tolong buatkan bumbung baru sebab bumbung dah lama dan asyik bocor di sana sini hingga kembang pintu kabinet almari. Lepas tu masa nak tebuk table top letak dapur baru dan buat wall-fan pun Din yang buatkan. Baiki atap yang terlubang pun Din. Bila toilet bowl pecah dan nak gantikan yang baru, Din juga yang tolong pasangkan. Kali ni, paip longkang tersumbat pun Din juga heronya. Syukur Alhamdulillah...

Sumbat tu disebabkan batu dan pasir kesan kerja-kerja renovate rumah ini yang tidak dibersihkan betul-betul. Bukan daripada renovate masa kita nak pindah, malahan renovate sejak dulu-dulu lagi. Manakan tidak. Paip longkang yang sumbat ini besar diameternya, dan terletak paling dalam. Kalau setakat sekali dua sampah renovate takkan sesenang itu dia jadi sumbat. 

Tak apalah. Kita redha sajalah Allah menguji kita dengan air, pasir dan batu. Kalau bukan untuk mengurangkan berat dosa-dosa kita, mungkin juga Allah nak naikkan lagi martabat kita di sisiNya, Insyaallah...

Lagipun rumah ni memang rumah lama. Dah berpuluh tahun. Masa penghuni lama dulu pun dia dah renovate beberapa kali. Masa kita pun renovate lagi. Allah dah tuliskan takdirnya paip longkang tu tersumbat masa ini. Alhamdulillah sekarang semua dah selesai.

Lepas Din dan gengnya balik, ayah dan ibu pun mengemas lagi rumah. Kali ke3 dalam minggu ini. Lantai pun terasa licin saja, tak perlu digilap sebab hari-hari dah kena air. Mop lagi. Sabun lagi. Dan boleh baring guling-guling atasnya. Tak payah letak carpet ke tikar ke. Cuma sedih perabot kayu macam meja tv dan meja solek yang ibu letak di ruang tengah, bahagian kakinya ada kembang sikit. Sebab dia bukan kayu padu. Nasib baik daybed, kaki sofa, dan kaki almari buku dibuat dari kayu padu. Ada juga hikmahnya beli barangan kayu padu. Taklah terus kembang kena air. Nasib baik hanya guna satu carpet saja di ruang tamu. Taklah susah nak kemas dan alihkan.

Bahagian dapur dah elok semula. Lopong yang dibuka untuk memeriksa longkang tadi sudah kemas ditutup. Cuma, tadi ayah nak beli tiles warna sama, ibu kata, tak payah buang duit lagi, gunakan tiles yang tak guna di ruang letak kereta tu, daripada tak terpakai. Membazir saja. Jadilah bertompok macam ini.
Memang tak cantik tapi takpelah. Tak perlu membazir. Duit nak pakai banyak hingga awal tahun depan. Jadi guna apa yang ada. Nampak tak cantik la macam ini. Tapi, ala kat dapur aje pun. Siapa yang nak telek. Nanti beli alas kaki getah yang berbulu tu di AEON, letak situ, jadi tak nampaklah yang bertompok ni. Insyaallah.

Yang penting lepas ini Insyaallah dah takde lagi air melimpah. Din kata, boleh tahan 10 tahun lagi! Mudah-mudahan betul lah tu. Dia kan Tukangnya.

Uniknya lepas kejadian mencuci rumah 3 hari berturut-turut ni, ayah dan ibu jadi lebih close pula. Solat sama-sama. Duduk bersembang bincang masalah. Keluar pun sama-sama. Sebab nak sama-sama cari penyelesaian masalah. Alhamdulillah. Takdelah yang sorang ke hulu sorang ke hilir buat hal sendiri. 

Minggu depan Hari Raya Korban. Insyaallah kita ada bahagian tersendiri. Lepas tu nak ke Singapura pula. Cuti-cuti bajet. Insyaallah. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkanNya. Ameen.

No comments: