Bismillah...
18 hari yang lepas dunia digetarkan dengan kehilangan secara misteri kapal terbang Malaysian Airlines yang dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA pada 8 Mac 2014 jam 12.40am yang sepatutnya tiba ke destinasinya pada jam 6.30am waktu tempatan. Selepas sejam lebih berlepas, MH370 yang membawa 227 penumpang dari 15 warganegara dan 12 anak kapal ini tiba-tiba hilang dari radar, kira-kira 2 minit selepas co-pilotnya mengucapkan "Selamat Malam".
Pada masa berita ini ditayangkan tv, kita sekeluarga sedang bercuti di Cameron Highlands. Semua laporan terkini termasuk spekulasi dan gosip boleh diikuti dalam FB. Semua orang nak jadi yang pertama 'update' status walaupun berita tak sahih. Ada yang kata MH370 buat pendaratan cemas di daerah Nanning di China, dan ada yang kata sudah terhempas tak jauh di Vietnam dalam Laut China Selatan.
Usaha mencari terus dilakukan dengan bantuan negara-negara yang rakyatnya terlibat. Sehingga 18 Mac, sebanyak 26 negara dunia telah terlibat dalam usaha mencari dan cuba menyelamat MH 370 termasuk USA dan UK. Lokasi mencari dilakukan sekitar Teluk Thailand dan Laut China Selatan di mana kebarangkalian lebih tinggi MH370 telah terhempas di situ. Walaubagaimanapun usaha mengesan menggunakan peralatan moden dan paling canggih masih gagal menemui apa-apa petunjuk. Penyiasat mendapati MH370 telah membelok ke kiri menuju Selat Melaka kerana MH370 yang tidak memberikan sebarang amaran kecemasan telah menghantar 'ping' beberapa kali dalam masa beberapa jam kepada satelit.
Pembelokan ini telah membuka ruang kepada lebih banyak spekulasi oleh penyiasat USA yang menyifatkan adanya elemen pengganas dan kapten kapal, Zaharie Mohd Shah, yang menjadi mangsa siasatan. Kesian pada keluarga beliau, umpama jatuh ditimpa tangga. Nasib yang sama menimpa co-pilotnya Kapten Fariq Abdul Hamid yang masih muda, dikatakan seorang yang playboy.
Padahal Chris Goodfellow yang merupakan juruterbang berpengalaman 20 tahun dalam industri, telah menulis teori paling lojik iaitu kapal terbang ini telah menghadapi kesukaran di udara, dan keadaan berlaku begitu pantas. Ia berkemungkinan besar berlaku kebakaran dalam kokpit menyebabkan asap menghalang pandangan mata. Juruterbang yang telah berpengalaman seperti Kapten Zaharie membuat keputusan untuk mendaratkan pesawat ke mana-mana lokasi terdekat, sebab itu telah membelok ke kiri ke arah Langkawi kerana keadaan lapangan yang lebih pendek dan mudah. Walau bagaimanapun, mungkin beliau tidak mencukupi masa, dan sesuatu terjadi padanya menyebabkan MH370 bergerak secara auto-pilot sehingga kehabisan minyak.
Semalam, 24 Mac 2014 jam 10 malam, PM kita telah membuat kenyataan media mengatakan MH370 telah mengakhiri penerbangannya di lautan Hindi sebelah selatan apabila cebisan pesawat sepanjang 24 meter telah dijumpai terapung di situ dan ia telah disahkan adalah milik MH370. Usaha seterusnya ialah untuk mencari bangkai pesawat yang berada dalam lautan yang merupakan ke 3 terbesar di dunia dengan kedalaman sehingga 3.6km.
Perbandingan ketinggian Lautan Hindi dari dasarnya dengan ketinggian bangunan di daratan.
* semua gambar daripada Google.
Serpihan yang ditemui boleh juga dikatakan telah dilambung ombak dan dibawa ke tempat di mana satelit melihatnya. Tetapi lokasi sebenar kapal terbang terhempas masih dalam proses pencarian. Dan Lautan Hindi yang ditunjukkan dalam YouTube, bukanlah setenang air di kolam. Dengan cuaca yang tidak menentu, gelombang ombaknya berkemungkinan berbahaya kepada kapal penyelamat. Patutlah ia dinamakan lokasi paling terpencil di dunia yang tidak dilalui oleh kapal dagang.
Keadaan lautan yang bergelora. Hanya kapal besar yang berat saja boleh melaluinya dengan selamat.
Fokus kali ini ialah bagi mendapatkan kotak hitam pesawat supaya segala tandatanya umum mengenai asbab kejadian bakal terjawab. Kita semua pastinya tertanya-tanya mengapa kapal ini membelok secara tiba-tiba tanpa memberikan signal kecemasan langsung malah mengelakkan radar sepanjang laluannya.
Semenjak kehilangan MH370, masyarakat yang tertanya-tanya telah cuba di 'didik' dengan penerangan demi penerangan oleh pihak tv dengan menjemput pakar-pakar penerbangan yang berpengalaman luas. Maka kita pun menjadi tahu mengenai transponder, getaran ping ke satelit, fungsi radar pesawat dan radar tentera, malah hingga kepada pengetahuan mengenai inmarsat.
Selain itu, kita juga diminta menyedari bahawa kecanggihan teknologi ciptaan manusia tidak mampu mengatasi kuasa Allah dan hanya padaNyalah kita sepatutnya meminta pertolongan disamping usaha yang tidak henti.
Secara lojik akal, bagi orang yang tidak tahu menahu hal penerbangan dan pengendalian kapal terbang macam saya, saya lebih suka membuat andaian (untuk kepuasan hati sendiri) yang pesawat ini telah melalui kegagalan teknikal yang menyebabkan kapten terpaksa membuat tindakan sedemikian, tetapi beliau tidak cukup masa untuk mendaratkan pesawat dengan selamat. Mungkin berlaku kebakaran dan asap telah melemaskannya. Walau apa pun, kita perlu mendoakan kesejahteraan mereka yang terkorban, dan supaya ahli keluarga terus tabah dalam ujian ini. Kita juga perlu doakan supaya kumpulan penyelamat yang dalam usaha mencari kotak hitam dan bangkai pesawat, dapat melakukan tugas dengan baik, selamat pergi dan selamat kembali. Ameen...

No comments:
Post a Comment