Apr 20, 2014

Kecil hati.

Bismillah..

Bagi ibu bapa yang ada anak ramai, tentu tak ada masa nak ambil hati dengan perangai anak. Masa dah penuh dengan aktiviti membesarkan anak dan melayan karenah masing-masing. Kalau 2 orang pun dah cukup 'handful' apatahlagi kalau 3 atau 4 atau 5 malah 6 orang! Betul kan. Ini berdasarkan pengalaman ibu dibesarkan dalam adik beradik ramai. Tak ramai mana cuma 6 orang saja. Tapi bila dah ramai-ramai macam ini, kedudukan kita dalam keluarga jadi kurang penting. Perasaan kita lagilah. Tak ada siapa yang hairan.

Ibu teringat, masa ibu berumur sekitar 6 tahun, ibu tak nak solat dan mengaji dengan kakak. Embah senang aje hukumannya kalau taknak mengaji ni, jangan makan. Jadi, ibu pun merajuk sebab kena warning. Ingatkan ada orang nak pujuk. Jangan harap ya. Kelaparanlah sendirian. Kalau nak dipujuk tu, tahun lain la gamaknya. 

Begitu juga masa ibu tingkatan 5, balik bercuti dari asrama, bukannya untuk suka hati bangun lewat dan disediakan makanan sedap-sedap tinggal makan. Ibu lah kena ke dapur, tolong memasak untuk dimakan seisi keluarga. Walaupun masa ibu dewasa, adik beradik yang tinggal di rumah cuma ibu dan paman, kemudian ada embah dua orang, tapi tugas memasak tu, terasa berat betul. Ingatkan nak lah berehat di rumah selepas penat di asrama mengangkut air ke atas dari bawah kan? Heheh. 

Jadi, ibu tak nak turun memasak di dapur, dan pura-pura tidur dalam bilik, menjelang tengahari. Embah pun bising-bising suruh memasak. Ibu buat tak tahu saja. Nak melawan, takut. Jadi diam sajalah. Kebetulan masa ini ada kakak-kakak dari KL yang balik bercuti. Diorang pun nak jadi bos.  Disuruh sajalah adik perempuan yang bongsu ni untuk ke dapur. Lagilah ibu buat tak tahu. Biarlah diorang yang masak. Diorang bukan kena angkut air tiap hari. Getus hati ibu.

Embah bukan main marah sangat dekat ibu. Dia siap warning kalau tak nak turun masak, nanti bila ada orang lain dah masak, jangan harap boleh makan! Amboi. Macam anak tiri layaknya. Memang. Embah memang garang masa dia sihat dulu. Kalau hitam katanya, hitamlah. Putih katanya, putihlah. Okey, ibu pun buat degil keras kepala, diam je dalam bilik. Tiba-tiba tak perasan ibu tertidur sampailah diorang selesai makan. Sedihnya tak ada siapa pun yang kejutkan panggil makan.

Bila ibu bangun saja, kedengaran lantai berkerekot, embah dah bising dari laman, "hah dah bangun pun, tak payah makan! Suruh masak, bantai tidur!" Macam tu kata embah. Haih. Sedih lagi. Dada jadi sebak. Bergenang-genang air mata ni nak tumpah tapi tabahkan saja. Kononnya ke dapur untuk minum saja, padahal sambil jeling-jeling lauk apa ada dalam tudung saji atas meja makan tu. Tapi, dalam pada sedih tu ada juga rasa menyesal sebab tak tolong di dapur. Padanlah muka!

Ibu anak ke 5 dalam keluarga. Bongsu perempuan. Ada sesetengah anak perempuan bongsu yang dimanjakan ibu bapa. Tapi ada juga yang jadi 'punching bag' adik beradik yang lain dan jadi tempat bergantung harap ibu bapa, apabila adik beradik yang lain sudah mendirikan rumahtangga dan ada keluarga sendiri. Inilah yang terjadi pada ibu. Kadangkala ibu ada juga rasa seperti dipergunakan dan tak ada siapa yang memahami perasaan ibu ni. Bukan sekadar memahami, mengambiltahu apa yang ibu rasai pun tak ada. Kehidupan adalah sekadar untuk 'survival'. Perasaan tidak penting. Kemahuan dan kehendak tidak boleh selalu dilayan. Apa yang perlu saja yang bakal tertunai.

Pada pendapat ibu, semua ni berlaku sebab embah terlalu sibuk memikirkan 'survival' anak-anak, sampai tak sempat nak memahami perasaan satu-satu anaknya. Bila yang dewasa dah 'lepas tanggungan', embah dah jadi terlalu tua untuk ada empati pada perasaan anak-anak yang 'belum lepas' ni. Ibu pun sedar, nak besarkan seorang anak sudah sebegini rumit, dengan bermacam dugaan dan kesusahan, apatahlagi nak besarkan 6 anak. Masa embah muda, embah bukan saja ada anak-anak sendiri yang 6 orang ini, embah ada anak saudara yang pelru dibela juga. 2 orang kalau tak silap. Bayangkan mencabarnya nak besarkan anak-anak yang ramai masa itu, tanpa bantuan sesiapa. Tak ada orang tua yang tolong-tolong tengokkan. Tak ada suami yang kaya boleh adakan pembantu rumah. Serba serbi kekurangan. 

Jadi, sebab itulah ibu tak kisah sangat apa yang pernah berlaku pada masa lalu. Apa yang sudah tu, sudahlah. Ibu anggap semuanya termasuk perasaan tak puas hati pada adik beradik dan embah, adalah sebahagian daripada pengalaman ibu dalam proses menjadi dewasa. Alhamdulillah.

Ibu hanya ada Ica saja. Ica lah racun, Icalah penawarnya. Ada sesetengah ibu bapa kata, jangan ibaratkan anak tu 'racun' sebab anak ialah hadiah paling suci daripada Tuhan. Betullah tu. Tapi, ada kalanya, kelakuan anak menjadi racun dalam perasaan ibu bapa. Apatahlagi bila anak tu dah membesar dan ada pendapat tersendiri mengenai kehidupan dan cara melihat dunia.

Ica tidaklah terlalu kecil untuk kena marah dan penangan ibu. Kalau ada ibu bapa yang tak pernah tangankan anak, dan akan sentiasa bersabar dan mengambil pendekatan diplomasi, itu hak mereka. Mungkin mereka dulu di ajar sebegitu. Mungkin mereka tak kisah anak-anak belajar daripada kesilapan sendiri. Tidak bagi ibu. Bagi ibu, ada masanya perlu ditangankan anak kita. Bukan kerana mengikut pendapat sesetengah orang yang mengatakan, "kalau bukan kerana penangan, maka aku tak jadi orang". Tapi lebih kepada hak untuk mengajar. Tak perlu sampai luka-luka berbirat. Tapi meninggalkan kesan di hatinya. Apa-apa saja kesilapan yang ibu pernah lakukan dulu, ibu tak nak kesilapan yang sama berulang pada Ica. Ibu rasa, masanya masih ada untuk melakarkan sejarah yang baik untuk Ica. Mudah-mudahan.

Terus terang, ibu memang akan tangankan Ica dalam aspek belajar agama, mengaji, solat, buat latihan matematik. Kalau ibu sudah ajarkan perkara yang sama hingga 5 kali, kali keenam buat juga salah, itu bukan kesilapan sebab tak faham, tapi lebih kepada leka, malas, sengaja tak nak menggunakan otak fikiran. Ica selalu kena penangan ibu masa mengaji. Sebab Ica asyik mengulang kesilapan yang sama berulang kali.
 Kalau dengan ayah takpelah. Fleksibel sikit.
Kalau dengan ibu, jawabnya tidak. Dari tahun lepas mengaji dengan ibu, kalau salah berulangkali, mesti kena penangan. Ica pulak kalau kena penangan mesti menangis. Lama pula tu. 

Sedih la tengok satu-satunya anak ibu menangis. Tapi, kalau tak macam ini, lambat Ica nak tangkap. Nanti Ica tak serius belajar.

Hal yang sama kalau Ica sengaja tak ikut cakap ibu bab ambil wudhuk. Memang kena penangan. Dan dan tu juga. On the spot. Kemudian bab solat. Segala jenis buku belajar solat dan video panduan solat, semua tak boleh pakai sebab Ica takkan baca atau tontonnya. Nak kena praktikal juga. Ibu lah yang kena luangkan masa mengajar Ica kaifiat solat yang betul. Setakat ini, walaupun tidak pernah belajar secara formal, hanya dengan ibu di rumah, Ica dah boleh membaca bacaan dalam solat dengan betul. Alhamdulillah. Cuma bab rukuk, sujud, duduk antara 2 sujud dan duduk tahiyat akhir yang masih kekok. Itulah yang ibu cuba betulkan.

Ada masanya Ica buat ibu merajuk dengan sikap sambil lewa dan suka mengambil kesempatan. Contohnya bila ibu suruh Ica pergi solat dulu, atau pergi ambil wudhuk dulu. Ica selalunya akan menolak dengan "Taknak" atau buat muka derk sambil menonton tv. Jauh beza kalau ayah yang suruh. Berdesup Ica penuhi. Kalau ibu minta tolong ambilkan air minum misalnya, Ica akan bagi syarat dulu sebelum dibuat, contohnya "kalau Ica ambikkan Ibu air, nanti ibu belikan Ica pencil box baru". Padahal kalau Ica minta belikan apa-apa, ibu tanpa syarat terus bayarkan. Ica hanya pilih saja. Kadangkala ibu yang beri Ica idea untuk memilih. Dengan ayah, Ica tak dapat macam ini. Sebab tu kalau ke mall, Ica serasi dengan ibu, sebab nak pau duit ibu beli apa-apa yang Ica berkenan. Sabar sajalah.

Memang la Ica masih kecil, tapi Ica dah 6 tahun. Sudah cukup mumaiyyiz dan faham bahasa badan ayah dan ibu. Bila ibu dah tegur banyak kali, tapi Ica buat juga, maka terimalah kesannya. Ibu pun boleh kecil hati. Barulah Ica tahu, kalau ibu kecil hati dunia jadi lebih bosan daripada biasa. Hahaha...

Hakikatnya, ibu ada masa untuk kecil hati dengan Ica sebab ibu hanya ada Ica saja, dan ibu mahu Ica menjadi anak yang baik, yang solehah, yang bijak. Malah segala yang ibu lakukan dalam hidup ini, demi Allah, adalah untuk kebaikan Ica juga. 

No comments: