May 28, 2014

Arissa & Tadika's problemo..

Bismillah..

Semalam ialah hari mesyuarat ibu bapa dengan guru tadika di Smartreader Setapak Indah berkenaan pencapaian anak dalam peperiksaan pertengahan tahun hari itu dan mesyuarat ringkas membincangkan perkembangan terkini tadika.
Mesyuarat ni dipanggil dengan pesanan sms saja oleh Guru Besarnya. Tahun lepas, pada tarikh mesyuarat ni, kita tak ada di KL, sedang bercuti di mana, tak ingat pula. Jadi, lepas habis cuti, barulah ayah dan ibu datang ke tadika untuk semak rekod persekolahan dan prestasi Ica.

Tahun ini, ibu tak banyak komplen tentang persekolahan Ica. Semua yang ibu nak Ica capai, sudah pun Ica capai. Alhamdulillah. Ica dah boleh membaca Melayu dan English, Ica boleh mengira tambah dan tolak, Ica boleh mengaji dan ingat sikit-sikit pelajaran B. Arab. Cuma, teacher Yati kata, Ica ni kuat main. Suka berebut barang dengan murid lain. Sampai menangis-nangis tak puas hati. Tapi tabiat buat kerja laju-laju sebab nak siap cepat dan lepas tu boleh berborak dengan kawan tu dah tak ada. Alhamdulillah.

Dalam Matematik, Ica memang susah nak mengingat. Kalau disuruh buat latihan di papan putih, depan semua orang, Ica boleh membuatnya. Tapi bila buat latihan sendiri, Ica lupa. Ala... macam tu pulak. Sebab tu ayah dan ibu suruh Ica buat latihan banyak sikit kat rumah. Terutamanya matematik.

Dalam peperiksaan kali ini, Ica dapat no. 4 untuk seluruh murid 6 tahun yang tak sampai pun 30 orang tu. Alhamdulillah Ica dapat semua A dalam markah 92%-100%. Matematik dapat 100%. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada peningkatan daripada akhir tahun lepas. Kedudukan dalam kelas pun lebih baik.

Teacher Yati tanya sama ada Ica ada belajar Iqra' di rumah. Ayah dengan bangganya bagitahu, Ica dah masuk AlQuran. Dah tak Iqra' lagi. Alhamdulillah. Tak perlu hantar ke kelas Iqra' atau panggil ustazah datang rumah. Ibu sendiri yang mengajarnya. Sikit-sikit, ada gak la kembang dada ibu ni. Teacher Yati kata, jarang nak jumpa budak 6 tahun dah masuk Quran. Selalunya Iqra' saja. Eh. Teacher ni macam tak caya pulak. Ica dah mengaji sampai surah Al-Fajr. Masih merangkak dan mengenal ayat. Tapi Insyaallah kalau rajin dan disiplin, Ica boleh baca dengan elok selepas 2 minggu.

Mengaji AlQuran ni tak perlukan genius untuk cepat pandai. Macam latihan matematik juga lah. Kena rajin ulang dan ada disiplin. Ibu sedaya upaya disiplinkan Ica untuk luangkan 15 hingga 20 minit belajar mengaji. Pada mulanya memang susah. Sebab Ica suka nak main, nak tengok tv, nak main tablet, nak melukis, nak ajak jalan-jalan. Tapi, ibu bertegas. Mengaji bukan hal main-main. Sama macam solat. Tiba masanya kena tahu.

Kalau ibu ada kelas malam, Ica kena mengaji Quran lepas balik dari tadika. Mandi, makan, mengaji dan tidur. Lemau sikit mengaji belah petang sebab Ica dah letih di tadika. Tapi kena juga. Walaupun hanya 10 minit dan hanya baca ulangan satu surah. Kalau ibu takde kelas malam, lepas solat maghrib tu Ica mengaji. Biasanya mengaji malam lebih mood. Jadi lebih muka surat lah. Lepas mengaji baru makan, dan buat latihan matematik. Tapi disiplin latihan matematik ni kadang ada, kadang tidak. Ibu selalu pastikan Ica mesti ada masa untuk semua aktiviti. Ada rehat, main, tv dan belajar. Tak senang juga nak kekalkan begini. Ibu sendiri kena disiplin, baru lah rutin yang sama menjadi pada Ica. Itu lah kelebihannya ada cuti kerja dan ada anak seorang. Semua tumpuan diberikan pada Ica dan rumahtangga. Alhamdulillah :-)

Selesai dengan prestasi Ica, teacher Mummy, Guru Besar tadika pula beri taklimat mengenai perkembangan tadika. Beberapa hari lepas, ayah dan ibu ada dapat panggilan telefon daripada Smart reader Worldwide, tapi kami tak angkat talian tu. Tak sempat. Takde pula diorang call semula. Tapi kita dapat sepucuk surat daripada diorang untuk maklumkan yang tadika Smart reader Taman Setapak Indah akan berhenti daripada menjadi franchise Smartreader Worldwide bermula 26 April lepas. Jadi, diorang maklumkan tadika tu akan dibatalkan/ditutup dan kita dinasihatkan mendaftar baru di cawangan Smartreader lain. Ada 2 cawangan yang dicadangkan, yang dekat dengan rumah kita, iaitu yang di Gombak dan Taman Melati. 

Sebelum mesyuarat ni, ayah dan ibu tak baca sangat isi surat ni, ingatkan tak serius. Bila dah datang mesyuarat, barulah tercengang-cengang, sebab kita pun tak berbincang nak buat apa lepas ni sebab Ica hanya ada 6 bulan saja lagi sebelum habis tadikanya. Sebenarnya kalau tolak cuti sekolah dah tak sampai 6 bulan, dalam 4 bulan saja lagi.

Dari sudut undang-undang, perjanjian franchise antara pemilik dan operator mungkin ditamatkan/dibatalkan disebabkan operator telah tidak melaksanakan apa-apa syarat yang dikenakan kepadanya. Ketidakpatuhan syarat ini menjadi alasan pemilik franchise untuk membatalkan perjanjian. Apabila perjanjian franchise dibatalkan, operator franchise tak boleh meneruskan perniagaan lagi dengan menggunakan apa-apa bahan daripada pemilik franchise. Kalau tidak, operator boleh disaman dan dikenakan denda.

Tapi dari sudut sosial pula, memang tak patutlah Smartreader Worldwide tamatkan franchise tadika ni di pertengahan tahun, walau apa pun alasannya tentang pecah perjanjian franchise diorang tu. Sebabnya, perniagaan ni melibatkan pendidikan anak-anak. Bila sebut pasal anak-anak, kita tak boleh lari daripada kaitan emosi kanak-kanak dengan persekitaran, kawan-kawan dan guru-guru. Apa yang ibu tengok, walapun Ica ni mudah bergaul dan boleh buat kawan dalam tempoh yang pendek, tapi Ica ambil masalah untuk rapat dengan guru-guru. Lambat sikit. Kalau tak rapat, nanti Ica lambat pula nak tangkap pelajaran. 

Ada lah sikit risaunya kalau nak pindahkan sekolah Ica. Kalau daftar baru ke tadika lain pula, masalah membazir yuran sekolah, buku-buku dan baju sekolah. Ibu dah bayar yuran sampai hujung penggal nanti, termasuk yuran sukan, konsert dan graduation day. Kalau masuk tadika baru, nanti kena bayar lain lagi.

Tapi kalau terpaksa, kita tak boleh buat apa. Kena jugalah.

Ada seorang parent (ayah) ni nak kekalkan anaknya di tadika ini. Alasannya sebab susah nak jumpa operator franchise yang muslim dan ada subjek agama dalam tadika. Smartreader Islamic pula susah nak jumpa cawangan. Kalau ada pun, ceruk-ceruk pekan atau bandar baru. Kebanyakan operator franchise Smartreader ialah cina, atau non muslim. Jadi subjek agama langsung tak ada pendedahan. Subjek Moral memang ada, tapi mana ada simple iqra' dan arab. Nanti masuk darjah satu, tercengang-cengang tengok murid lain semua tahu solat dan iqra'.

Parent ni kata, dia risau sebab anaknya dulu nak jadi ustazah, sekarang nak jadi model pula sebab ada murid yang pergi kelas ballet. Aduhai. Budak-budak sekarang, memang 'peer-pressure' tu kuat betul. Sempat bergosip pasal murid dari sekolah lain. Heh baru 6 tahun ni...

Tambahnya, "saya ni sibuk kerja, tak macam encik ni (sambil menuding pada ayah dan ibu disebelahnya) yang ada masa nak ajar anak mengaji semua. Saya takde masa. Sebab tu kalau tadika ada (subjek agama & iqra') itulah yang bagus..."

Ayah dan ibu berpandangan sesama sendiri. Dia ni perli kita ni takde kerja ke apa? Eh. Mengajar anak mengaji sampai pandai, bukan tanggungjawab sosial saja, itu tanggungjawab sebagai ibu bapa. Sibuk sangat dengan hal dunia, nanti mati tinggal juga kan. Haih. Lantak kamulah wahai encik boss yang sangat sibuk. Semoga anak kamu tu jadi lah manusia yang baik. Fikir ibu.

Tadika Smartreader ni takde ajar basic agama macam solat, mengaji, akhlak, tauhid, fiqah semua. Dulu, ibu memang rasa ralat juga, sebab pemantapan pendidikan kat sini hanya kepandaian membaca saja. Tapi bila fikir semula, kalau pandai membaca, banyak yang Ica boleh treasure. Lagipun, agama dan AlQuran tu sepatutnya tanggungjawab ibu bapa. Sebab tu, ibu teruskan saja Ica di sini. Disamping ibu sendiri berdisiplin untuk disiplinkan Ica dalam bab agama.

Berbalik pada isu tadi, ada parent yang cadangkan kita buat petisyen kepada Smartreader Worldwide supaya tangguhkan 'cessation' tu hingga hujung tahun. Kira habiskan murid 6 tahun yang ada. Lepas itu tadika boleh beroperasi dengan brand lain. Tapi mungkin parents bagi anak-anak yang 4-5 tahun tak kisah bertukar cawangan lain lepas cuti sekolah ini. Jadi, berapa kerat lah yang nak sign petisyen tu?

Kita juga dimaklumkan sebab-sebab franchise ditamatkan ialah kerana tadika tidak mampu buat 'refurbish work' yang baru. Teacher Mummy kata, dia baru take over tadika ni 2 tahun lepas. Masa take over, dia dah renovate baru tadika ni, cat dinding dan lantai baru, equipment dan bahan semuanya baru. Bila nak apply untuk penyambungan perjanjian, Smartreader Worldwide minta supaya dibuat painting semula yang baru. Pendek kata, re-start all over again, menggunakan contractor yang akan dibekalkan Smartreader Worldwide dengan kos dalam RM40k. Gila lah!

Ayah dan ibu tak lama dalam mesyuarat ni sebab ayah ada hal lain. Ibu pula ada kelas belah petang. Jadi kami minta diri lebih awal daripada yang lain. Cuma pesan ayah, dalam tempoh cuti sekolah ni harapnya pihak tadika boleh fikirkan sesuatu dan maklumkan kita supaya kita boleh buat keputusan sama ada nak pindah cawangan atau kekal di sini.

Kalau ibu jadi teacher Mummy, pening kepala jugalah nak menyelesaikan masalah. Hakikat orang berniaga. Kalau tak terhimpit dan menghimpit, tak jadi agaknya. Kesian kerana pendidikan berkualiti kita diperdagangkan. Kalaulah method franchise smartreader ni dibeli oleh kerajaan dan diterapkan dalam pra-sekolah kerajaan, semua anak-anak akan terjamin pendidikannya. Dalam masa yang sama, tak ada pihak-pihak tertentu yang mengaut untung berlebihan daripadanya. Sekadar pendapat seorang ibu.




No comments: