Bismillah...
Semalam Ramadhan pertama seperti biasa, disambut dengan solat sunat terawikh secara berjamaah di Masjid depan rumah. Tapi ayah saja yang pergi sebab ibu sedang 'bendera merah'.
Bagi Ica pula, 3 hari sebelum puasa, Ica ikut ibu shopping baju raya di AEON Wangsa Maju sempena members' day sale.
Tu tengah cari saiz legging yang sesuai. Bukan main pro macam orang dewasa :-)
Pemilihan yang sukar untuk gaun tutu yang semua warnanya Ica suka. Tapi hanya boleh pilih satu saja. "Ica boleh ambik satu saja????" Tanya Ica banyak kali. Amboi.
Paling Ica suka, ialah proses mencuba pakaian sebelum memilih. Kena ambil gambar untuk share dengan ayah. Sebab keputusan akhir di tangan ayah. Haha.
Yang ini nampak lebih kemas sebab warnanya terang, jadi banyak kelebihannya. Seperti tak cepat nampak lusuh, tak nampak kotor, nampak lebih labuh, dan tak nampak bentuk dada Ica yang montel tu :-D
Ibu sebenarnya lebih berkenan dengan yang ini. Tapi tengoklah dada Ica tu. Feeewit! Hehe...
Ini hasil shopping tadi. Bukan main gembira lagi Ica dapat beli pakaian baru macam ni...
Juga sepersalinan blouse yang matching dengan skirt ungu yang ibu beli di kedai murah haritu. Bolehlah jadi baju raya tema purple sama dengan ayah dan ibu. Haha..
Kemudian, sehari nak puasa pula, Ica ikut ayah dan ibu shopping barang dapur di AEON Big yang sesak macam diserbu orang ramai sebab bagi beras percuma. Hakikatnya kebanyakan barang sudah semakin mahal dan kita hanya beli barangan yang wajib saja macam beras, minyak masak, gula, garam, tepung, milo, susu, dan beli lauk basah sikit macam ikan dan sayur. Itupun dah habis beratus-ratus ringgit (-_-)
Ica ambil kesempatan untuk main dan jalan-jalan saja.
Juga beli anak patung Frozen made-in-China yang dijual di depan pasaraya. Melayang lagi RM40. Ini yang tak ori, kalau yang ori mesti lagi mahal kot? Ibu memang nak belikan Ica patung mainan ni. Tapi kalau yang di Parkson tu terlalu mahal sampai seratus lebih, macam tak berbaloi nak beli. Maklumlah, ibu ni bukan banyak sangat duit.. Baik ibu beli AlQuran baru untuk Ica belajar mengaji..
Balik dari shopping di AEON Bug, ibu terus mengemas barang-barang dan masak lauk ini, untuk lunch, dinner dan sahur sekali. Alhamdulillah. Udang masak lemak dengan kacang buncis (sebab kacang panjang kena timbang dan orang beratur panjang sangat kat mesin timbang tu), kangkung goreng ikan bilis, ikan tilapia merah dan telur kicap. Keropok. Boleh la. Dalam pada takde mood nak masak sebab sibuk dengan assignment, jadi juga makanan ni. Alhamdulillah.
Pertama Ramadhan Ica tak bangun sahur. Sebab ayah tak kejutkannya. Jadi, pagi Ahad bila Ica bangun, ayah kata, Ica kena puasa sebab malam sebelum tidur tu Ica dah baca niat puasa macam Upin Ipin. Kalau tak puasa, nanti berdosa...
Jadi, Ica pun ikutkan kata ayah, tak makan dan tak minum hingga tengahari. Padahal paginya Ica ada latihan taekwando. Selalunya lepas latihan, Ica mesti minum air yang banyak sebab berpeluh-peluh dan kering tekak. Kali ni dia tak boleh minumlah. Kesian juga bila ibu fikirkan. Tapi ayah kata, takpe. Bagi peluang Ica belajar puasa dan tahu bagaimana suasana berpuasa tu dengan kita berasa lapar dan dahaga, tapi seronok masa berbuka nanti. Baiklah.
Dalam pukul 12.30pm tu ibu tanya Ica. Sakit perut masuk angin ke... Lapar sangat ke... Risaulah jugak sebab Ica tak sahur, malamnya Ica tak makan nasi sebab katanya nak sahur baru makan nasi. Tapi tengok-tengok tak bangun sahur. Takut nanti gastrik ke, perut masuk angin ke. Tengok perutnya kempis semacam.
Ibu : Ica lapar tak?
Ica : Lapar.... (buat muka sedih) tapi Ica puasa...
Ibu : Ica nak makan?
Ica : Nakkkkkk!!! (muka gembira) Tapi Ica puasa....(muka sedih balik)
Ibu : Ica nak makan tak? Ibu ambikkan?
Ica : Nakkkkkk!!! Nasi ngan kicap dengan telur mata yer....hihihi...
Ibu : Takde telur mata, nasi dengan kicap dengan ikan goreng boleh...?
Ica : Boleh boleh boleh!!! Yay!!!
Ibu letakkan secawan air atas meja, sementara ibu siapkan nasi. Air suam kosong saja. Ica datang ke dapur dan terus minum air suam tu sampai separuh.
Ica : Hmmmm.... sedapnya air ni.......
Sebagai ibu, tentulah tak lepas daripada perasaan belas pada anak yang masih kecil tapi dipaksa berpuasa. Kalau ayah, tak tahulah apa perasaan dia. Jadi, lepas minum air suam setengah gelas, ibu suapkan Ica makan nasi dengan kicap dan ikan goreng semalam. Lepas makan dan minum, ibu suruh Ica sambung latihan puasa.
Ica : Eh? tadi tu Ica sahur ke?
Ibu : Iyelah...
Ica : Ooo kalau macam tu ok lah. Ica puasa sampai petang..
Daripada pukul 1pm sampai ke waktu Maghrib, Ica tak makan dan minum. Nampak tak letih je. Main basikal, main anak patung, kacau Noneng. Akhir sekali, mengaji dan buat latihan matematik. Macam biasalah. Siap kena marah dengan ayah lagi sebab dah lupa latihan yang lepas.
Bila berbuka, Ica duduk sekali dengan ayah, ibu dan nenek. Punyalah seronok Ica dapat berbuka sama. Tahun lepas, masa orang berbuka, Ica sebok tengok tv.
Ica : Hmmm... sedapnya makan bila buka puasa ni...
Ayah : mestilah sedap sebab lapar. Esok Ica puasa betul-betul ya...?
Ica : Oklah. Ica nak sahur malam nanti..
Pukul 1 pagi Ica dah bangun buang air dan tanya kat ibu "dah masuk waktu sahur ke?" :-D
Pukul 3 pagi Ica bangun lagi buang air, tanya lagi sekali kat ibu "dah masuk waktu sahur ke?" :-D
Bila ayah dan ibu betul-betul bangun sahur pukul 4.50 pagi, Ica tak nak bangun pula. Ibu kejutkan tak bergerak langsung Ica. Ibu dah siapkan nasi dengan ayam masak kicap kegemaran Ica. Dah siap letak kat pinggan. Ayah malas nak kejutkan. Nenek lagi best, cakap takyah dikejutkan budak tu. Kecil lagi, tak payah lah disuruh puasa. Aduhai. Nenek ni suka la ikut style orang tua dulu-dulu. Tak payah disuruh budak kecil. Kesian. Solat pun sama. Ala budak kecil je, tak wajib solat lagi... Tapi kalau tak dibiasakan sejak kecil, nanti sampai ke tua jadi malas pula...
Akhirnya, ibu berjaya kejutkan Ica dengan cara menampar peha gebunya kuat sikit. Tapi bangun dan menangis lah Ica... Ibu tarik ke bilik air cuci muka, lepas tu terus ke dapur, ibu suapkan nasi dan minum air suam. Habislah dalam 5-6 suap. Jadilah... Lepas tu makan kismis dan minum air madu. Dah azan Subuh, sempat lagi Ica makan keropok jejari ikan tu 5-6 jari. Tak kisahlah. Asalkan ada niat untuk puasa dan bangun sahur. Ibu cuma nak Ica merasai pengalaman bangun sahur. Ibu sendiri belajar berpuasa bila dah darjah 1. dapat 2 hari saja pun. Tapi darjah 2 terus penuh puasa.
Hns...hns...(bangga dengan diri sendiri)...
Tapi ibu taklah puasa saja tanpa solat. Kena buat dua-dua sebab dua-duanya wajib. Ada sesetengah ibu bapa yang suruh anaknya puasa, tapi tak suruh solat. Sama juga, ada orang dewasa yang boleh puasa susah payah tak makan, tapi tak solat. Padahal solat lagi mudah. Sebab tu kalau kita tengok event berbuka puasa di tempat-tempat mahal, macam buffet hotel/restoran dan sebagainya, ramai yang berbuka sampai tersandar dan tak bangun-bangun untuk solat sampailah habis waktu maghrib. Dan diorang tak hairan pun nak solat maghrib atau tidak. Masya Allah...
Oleh kerana Ica dah biasa dengan waktu solat, dah boleh baca surah dalam solat, dan akhirnya dah boleh baca doa dalam solat, sampai masanya ibu nak Ica belajar puasa pula. Mudah-mudahan Ica boleh ikut lah.
Ica menangis lepas kena lecture dengan ibu. Kalau iye pun puasa, takkan la nak lepak depan tv 24 jam tengok kartun. Ada masanya kena lah buat latihan maths, mengaji, dan jangan lupa solat. Balik tadika mesti mandi, tukar pakaian dan rehat...bla bla bla etc etc... Macam tu.
Lepas menangis barulah nak gerak pergi solat zuhur dan tidur petang. Ica kata bila bangun nanti lepas solat asar nak tengok tv. Tak nak buka puasa lagi.
Alih-alih bila bangun tidur terus ke depan tv, melepak tengok kartun dengan muka monyok. Lapar... Ibu pun kesian jugalah tengok Ica dengan muka kuyu layu kering je nampaknya. Ibu pun benarkan Ica berbuka pukul 4.15 petang... Jadilah, lebih 3/4 hari latihan berpuasa :-)
Lepas minum air ribena sejuk segelas dan sesenduk penuh nasi lauk ayam kicap semalam, barulah ada tenaga nak bersembang, nak bergurau, lepas tu solat, mengaji dan buat latihan. Kalau tak, lesu layu, nak sengih pun takde tenaga!
Something yang ibu sangat peduli sejak 2 hari berlatih berpuasa ni, kulit Ica jadi kering dan kusam. Mungkin kesan tak cukup air. Haih. Nama pun berpuasa, tentulah letih lesu, kulit kering semua. Ini baru sikit. Sekurang-kurangnya kita boleh tumpang merasai kesusahan yang dialami orang-orang yang tidak berkemampuan dan tidak makan dan minum kerana kesusahan hidup. Subhanallah. Mudah-mudahan dengan latihan lapar dan dahaga ini akan mendidik akhlaq Ica supaya menjadi anak yang solehah nanti. Amiin..










No comments:
Post a Comment