Jun 7, 2014

Pengalaman ibu tentang impian hidup dan tips untuk Ica.

Bismillah..

Hari tu, kawan sekelas yang selalu tumpang ke kampus dengan ibu tu bercerita pasal perancangan hari depannya. Bukan main panjang lebar lagi. Pendek kata, impian hidupnya ialah mencapai kepuasan diri, jadi dia merancang ke arah itu. Bila teringat semula, ibu jadi teringin pula membuat satu catatan untuk Ica kat sini mengenai betapa pentingnya ada impian hidup supaya kita boleh membuat perancangan untuk mencapainya dan terus tabah dalam mengejar cita-cita.

Alhamdulillah kalau kita ada perancangan hidup. Sekurang-kurangnya kalau kita tak bekerja pun, esok pagi kita bangun tidur, kita tahu nak buat apa. Bukannya lepas solat Subuh tidur semula dan tak tahu pukul berapa nak bangun. Kalau sesekali sebab nak ambik masa lapang dengan tidur sebab esok lusa dah nak kerja/sekolah balik tu takpelah juga walaupun katanya tak elok tidur semula lepas Subuh, mewarisi kepapaan, tapi biasa je orang yang tidur bangun lambat ni, takdelah semuanya miskin papa kedana kan. Hahah. Tapi kalau dah setiap hari buat begini hingga tak tahu bilakah ianya akan berakhir, ini namanya macam dah mati. Orang yang mati tak perlukan perancangan hidup!

Kawan ibu tu peguam muda. Dulu dia bekerja dengan satu firma guaman yang agak banyak job juga, sebab asyik je datang jumpa ibu di pejabat. Siapa sangka dulu dia selalu 'mengadap' ibu untuk dapatkan arahan/perintah, sekali sekarang ni dia pulak tumpang kereta ibu pergi kelas. Kecil betul dunia ni.

Bila dia sambung belajar, kebetulan sama program dan sama tempoh dengan ibu, dia berhenti kerja dengan orang dan buka firma sendiri di Sentul. Ibu nampak, bagi peguam muda yang belum ada kabel dalam perniagaan, nak survive berseorangan memang bukan kerja mudah. Jadi, ada banyak masa yang ibu tengok dia takde kerja. Takde kerja maknanya takde duit kan. Nasib baiknya dia ni takde tanggungan apa-apa. Takde rumah dan kereta untuk dibayar, takde anak sekolah, takde suami pun lagi. 

Ibu suka dengar pengalamannya mengisi masa lapang (tak kerja, takde kuliah) dengan aktiviti lasak, macam menyertai marathon, panjat gunung, jogging, percutian pantai, malah percutian secara berkumpulan sampai ke luar negara ke tempat-tempat pedalaman yang mencabar. Pada hari yang ada kuliah pun sempat lagi dia ikuti kelas berenang di universiti. Kalau ibu masih muda macam dia, belum tentu ibu nak ikut aktiviti-aktiviti lasak tu. Sekarang dah tua, lagilah. 

Katanya, lepas habis LLM ni, dia merancang untuk sambung PhD. Dalam masa yang sama nak ambil lesen memandu. Dia nak cuba menangani fear factor takut memandu. Lepas tu dia nak menyusun suatu percutian berkumpulan lagi dengan kawan-kawannya ke luar negara. Wahhh... Macam seronok je hidup solo. Dia ni, umurnya baru 29. Masa ibu berumur 29 dulu, dah terasa tua sangat untuk semua aktiviti lain selain berkahwin dan mengembangkan keturunan. Hahaha...

Ibu kata, kenapa tak buat planning untuk berkahwin? Atau sekurang-kurangnya cari jodoh? Bukan apa, secara biologinya, perempuan jadi banyak risiko hamil dan bersalin selepas 30an. Memang tak terlibat semua perempuan. Tapi manalah tahu, kita termasuk dalam kalangan tu?

Tapi dia tak nak cari jodoh. Macam perigi cari timba. Malu dan memalukan. Adeh. Dia dan kawan-kawannya sama pendapat, kalau jodoh tu ada, ia akan datang sendiri suatu hari nanti. Perlu tunggu aje. Lihat bagaimana kawan memberi pengaruh.

Pada ibu, jodoh ni macam rezeki juga. Kalau tak cari, ia takkan datang bergolek. Mungkin ada orang yang jodohnya datang sendiri. Tak dirancang dan tak diduga. Tapi ini tak berlaku pada semua orang. Sama macam menang loteri tidak terjadi pada semua yang menikam nombornya.

Bercakap pasal impian, bila ditanya apa lagi impian ibu yang belum terlaksana, jawapannya satu. Untuk melihat Ica berjaya menjadi anak solehah dan insan cemerlang dalam hidup. 

Bunyi macam poyo, tapi memang itulah hakikatnya. Ibu takde impian lain lagi dalam hidup ni. Selepas berkahwin dengan ayah dan mengandungkan Ica, impian terbesar ibu cuma Ica. Dan kalau ada rezeki, adik-adik Ica.
Memanglah ibu ada impian untuk ada rumah yang lebih besar, kereta yang lebih canggih, kewangan yang lebih baik supaya kita boleh jalan-jalan ke Switzerland, Australia, Eropah dan menunaikan Haji, tapi semua ini tak lain dan tak bukan hanyalah untuk Ica.

Ibu rasa bertuah dikurniakan kehidupan ini yang rasanya dah cukup sempurna, ada ayah dan Ica. Walaupun Ica takde adik lagi, tapi kekosongan tu terisi dengan si gemuk Noneng yang suka menyibuk dekat Ica.
Dan si Boboi juga lah...

Kalau masa muda-muda dulu ibu mungkin ada sikit impian nak buat rumah baru kat kampung, senang kita satu keluarga berkumpul dengan embah dan adik beradik ibu dalam suasana kampung, di tengah-tengah sawah. Rumah kampung yang ada pagar tinggi supaya pencuri tak boleh masuk dan curi isi rumah macam yang selalu terjadi. Rumah persinggahan yang lengkap ada semua keperluannya macam dapur, pinggan mangkuk, periuk belanga, sudu garfu, kole cawan, peti ais, mesin basuh, tv, astro dan lain-lain lagi. Tapi sekang ibu dah takde impian tu lagi. Mungkin sebab susah sangat kot..

Impian yang dirancang dan sudah tercapai kebanyakannya dalam bentuk material. Takde pun kepada aktiviti lasak atau mencabar kemampuan diri. Sebab terus terang ibu takut mati. Apatahlagi kalau mati masa buat aktiviti. Ibu tak suka aktiviti yang memerlukan berpeluh dan busuk. Lagi tak suka kalau kotor, berlumpur, berpasir, panas terik, berjam-jam dan takde kipas. Perkhemahan, masuk hutan, panjat gunung, redah sungai, berkayak, dan seumpamanya --->Tidak sama sekali :-D 

Dalam 36 tahun hidup, kebanyakan keinginan dalam hidup ibu dah tercapai walaupun taklah cemerlang. Tamat universiti, ada kerjaya, ada rumah, ada kereta, ada suami, ada anak, ada sedikit simpanan, ada barang kemas (macam orang tua-tua pulak), ada pakaian yang elok, boleh beri sedikit duit kat embah tiap bulan, boleh jaga embah kalau dia datang rumah kita, boleh menunaikan umrah, boleh melancong, boleh bersedekah sikit sebanyak.... hah banyaknya nikmat Allah. Yang paling atas sekali, ialah di saat tercapainya semua impian material ini, ibu masih ada embah... Alhamdulillahirobbil 'alamin...

Kadang-kadang kita melihat kejayaan orang untuk mencipta impian hidup. Itu bagus kerana menjadikannya inspirasi. Kalau jadi tarzan, hanya monyet yang jadi inspirasi, sebab itu dia jadi macam monyet. Jadi, pilihlah inspirasi yang baik supaya impian kita pun Insyaallah jadi baik juga.

Tapi, kalau kita membandingkan nikmat yang Allah beri pada kita dengan kejayaan lebih besar yang orang capai, kita akan jadi tak pernah merasa puas dan asyik meminta-minta. Naudzubillahi min dzalik. Dalam hidup serba canggih ni, menyebarkan ajaran Allah pun dah jadi suatu pekerjaan yang dikenakan bayaran yang kadangkala mahal dan hanya golongan tertentu saja yang mampu membayarnya. Kalau nak murah atau percuma, dapat yang tak berkualiti pula. Silap-silap, penipuan. 

Ya Allah, semoga Kau lapangkanlah rezeki kami dalam mengejar redhaMu. Mudah-mudahan dengan murahnya nikmatMu ini tidak menjadikan kami lalai dan lupa pada akhirat. Ameen... 

Jadi, Ica kenalah mula membuat senarai impian hidup. Ia harus bermula dengan boleh membaca AlQuran dengan tajwid dan makhraj yang betul, dan solat 5 waktu sehari semalam dengan sempurna.

No comments: