Mar 25, 2015

APC yang tak pernah dapat, perasaan ITU datang semula

Bismillah...

Ibu masih bergelut dengan kerja-kerja di pejabat yang memang takkan selesai. Lepas pejabat, bergelut dengan jem jalanraya. Selsema ni dah 2 bulan tak baik-baik. Habis sudah ubat klinik, vitamin malahan natural remedies dengan lemon dan madu, masih tiada surutnya. Ibu macam dah pasrah. Kalau nak baik, baiklah dia. Mungkin belum masanya lagi. Macam mana nak baik kalau 2-3jam sehari terpaksa menyedut aircond kereta masa jem. Stress kerja pula lagi. Haih.

Tak ada siapa yang sukakan kerja ibu ni. Serius. Pegawai lelaki yang menaggung kerja pegawai perempuan yang cuti bersalin tu, yang sepejabat dengan ibu tu, pun tak larat dah. Saban hari ibu dengar dia mengira detik bilakah hari akhir dia akan bebas daripada menanggung kerja. Kadangkala terdengar dia mengeluh, tak berbaloi menanggung kerja ni dibandingkan dengan upah yang diberi. Ah kesian dia.

Tapi kesian lagi kat ibu. Kan. Ibu bukan menanggung kerja sesiapa pun. Jadi, ibu tiada tarikh akhir di sini. Apa yang disuruh, kena hadapi. Ibu pun bukannya suka sangat kerja-kerja di Mahkamah tu. Bosan kot. Tapi kerja-kerja di sini pun macam tak seronok sangat. Ibu buat ni semata-mata demi kelangsungan hidup. Untuk Ica dan keluarga kita.

Tiba-tiba ada pegawai perempuan tu datang menjenguk ibu semalam. Dia baru juga kat sini. Sebelum ini dia di AGC, lepas tu di Shah Alam. Sekarang baru beberapa bulan ni, di sinilah. Ibu sebenarnya nak minta tukar tarikh duty parlimen dengan dia. Tarikh ibu tu tak sesuai sebab ibu nak bawa Ica appoinment dengan pakar di HKL. Jadi ibu kena tukar tarikh duty dengan dia. 

Mulanya dia ok je. Tapi semalam, dia datang maklumkan pada ibu, tiba-tiba dia tak boleh, sebab tiba-tiba dia dapat jemputan ke majlis anugerah khidmat cemerlang yang dianjurkan di luar pejabat ini. Dia dicalonkan oleh majikan di tempat lama dia bertugas. Wah, untungnya... Tentu besar jasanya di sana hingga dah keluar pun masih diberi penghargaan. 

"Kali ke berapa dapat apc ni?" tanya ibu, saja berbasa basi. Ingatkan kali kedua. "Ini kali ketiga, puan". Rasa nak tersedak air liur ibu dibuatnya. Ohh. Dah 3 kali dapat pengiktirafan. Tentu cemerlang betul tu. Ibu belum pernah sekali pun dapat. Rendahkah martabat ibu? "Dulu sekali masa di AGC, ingat kan tak dapat. Rupa-rupanya dapat juga..." Dia menyambung cerita. Yang pertama, yang kedua. Ibu tak berapa nak dengar sangat.Cuma mampu memberi respon pendek "Wah... untunglah...".

Tahap kerja ibu sekarang  ni, memang takkan dapat APC lah. Ibu balik awal, selalu mc atau EL sebab asyik tak sihat, kerja ibu tak boleh diukur dengan nilaian tertentu. Kalau buat write-up pun, bos selalu betulkan. Memang tak pernah jumpa lagi yang perfect. Kalau isi kandungannya baik sekalipun, tentu ada salah ejaan atau perenggan yang tak betul. Untuk ini, ibu tak mengharap APC pun. Dahlah baru kerja tak sampai 6 bulan. Kita tentulah tahu setakat mana usaha kita. Layak atau tidak kita. 

Tapi kalau dengan usaha seciput pun ada orang nak bagi APC, itu namanya kuasa Allah yang memberi rezeki terpijak. Ibu, setakat ini, belum pernah dapat rezeki terpijak ini. Walaupun jauh di sudut hati, wujud juga rasa menggedik nak tahu....Apa rasanya dapat APC? Adakah seronoknya sama macam dapat gred A untuk subjek yang susah, tapi bila kita pulun beriya, kita dapat juga? Lebih mengujakan bila pensyarah tu bukan jenis yang suka bagi A, tapi kita dapat A? Memang wow lah!

Perasaan menggedik tu menjadi agak over pula bila mengenangkan yang ibu pernah melalui musim-musim" bekerja macam nak mati" tu, tapi tak dapat apa-apa balasan daripada manusia. 

Dan juga hakikat ibu dah pun kerja lebih daripada 10 tahun. Mula lapor diri untuk diikat contract pada 16 Feb 2004, tapi dapat tetap pada 11 Mei 2005. Kira 10 tahun la kan. Dan tak pernah dapat pun APC. Orang kerja setahun lebih pun dah dapat APC. Ibu teringat staf ibu di KL dulu, 10 tahun dapat 3 kali APC. Ibu? Nan hado!

Kecewa, mestilah ada. Sedih, mestilah iya. Rasa rendah diri, ada lah sikit-sikit... Tapi, takpelah. Ibu pun jenis pemalas solat pagi (dhuha), jadi agaknya rezeki susah nak dekat. Asyik terlantun menjauh. Tapi, Allah Maha Mendengar dan Mengetahui. Takpelah kali ini kecewa. Mudah-mudahan ada sesuatu yang lebih baik Allah sediakan untuk Ibu. Mudah-mudahan. Ameen....

No comments: