Mar 16, 2015

Keputusan paling sukar.

Bismillah..

Lama tak menulis di lembaran ni. Bukan tak ada perkembangan Ica yang ibu nak coretkan. Tapi kesibukan yang terlalu menghambat hati. Asal nak menulis je, ada benda lain yang patut dilangsaikan terlebih dahulu. Kerja memang takkan pernah habis ya. Kadangkala ibu cemburu dengan mereka-mereka yang masih muda tapi ada kerjaya sendiri. Gaji sendiri. Tak perlu bergantung pada penilaian orang lain. Lagi cemburu pada mereka yang tak pernah jatuh. Mereka bertatih untuk berusaha, lepas itu tidak pernah jatuh mahupun tergelincir, terus saja mendaki dan berlari. Lepas beberapa tahun saja meniaga online, dah boleh buka cawangan demi cawangan. Semudah buat goreng pisang. Angkat yang masak dan masukkan pisang bersalut tepung yang baru ke dalam minyak panas!

Haih. Itu rezeki mereka. Rezeki kita ni lain-lain. Ayah pula, tak suka tengok rezeki orang lain. Ayah memang pelik. Dia takde role-model. Takde sesiapa yang dikagumi. Gaya ayah yang tersendiri. Atau sebetulnya takde gaya langsung. Haha. Baru-baru ini ayah mula bekerja dengan orang semula. Kerja makan gaji. Berniaga yong tou foo haritu tak sampai setahun pun bertahan. Banyak sangat cabaran yang ayah hadapi. Dia tak berdaya dan tak tahan. Akhirnya, ayah "back-to-square-one". Mula dari bawah pula tu. Ibu cuba sedaya upaya memahami ayah. Kalau tak faham ,memang boleh melenting dan bergaduh besar. Ayah ni degil dan susah nak keluar dari kepompong "comfort zone" nya tu. Old School punya orang. Lagipun alasan utama ayah tinggalkan bidang niaga sebab nak selamatkan akidahnya. Baiklah. Semoga ayah betul dalam keputusannya kali ini.

Sekolah Ica semuanya yang baik-baik saja. Alhamdulillah. Selang 2 bulan saja kan, Ica dah pandai baca jawi, dan dah mula hafaz kebanyakan surah Lazim. Tapi ibu belum mula ajarkan Ica baca Al-Quran lagi sebab bacaan Surah-surah dalam muqaddam belum lancar dan banyak yang dah lupa. Berterabur tajwidnya sebab Ica ni tahu nak laju saja. Jadi kalau ada kelapangan, kita akan buat revision semula. Takpelah kalau lambat baca Alquran pun. Mengaji ni bukan ikut silibus. Nak habis cepat saja. Nak hafal cepat saja. Nanti bila dah habis baca, dah khatam Quran, terus berhenti mengaji pula?

Kalau ikutkan tajuk entry yang lepas, perkara yang paling buat ibu tak suka ialah trafic jams bila balik ke rumah. Memang menduga kesabaran. Yes, sabar itu cantik. Redha itu pahala. Kepenatan dan keletihan seharian membanting tulang juga ada ganjarannya. Tapi, ibu pun manusia biasa. Ada amarah, ada gundah dan keluh kesah. Ibu memang selalu merungut. Dengan jem yang tak menentu. Dengan kerja yang banyak dan susah. Dengan persekitaran yang melelahkan. Dengan ayah. Ayah pun terkena sekali lah. Wajib.

Kerja di pejabat tu, ada sekali dua, terasa macam nak putus urat dibuatnya. Ibu selalu terbit "puzzle" bila mengingatkan bos ibu yang susah betul diteka. Bos kalau perempuan memang susah nak faham kan? Lepas satu, satu. Susah nak digambarkan di sini.

Jadual harian yang padat, tak sempat langsung nak buat apa-apa yang personal selain berehat makan pada jam 1-2 tengahari, waktu di pejabat ialah waktu bekerja yang sangat singkat! Sibuk! Terhad! Pukul 5 ibu harus segera merebut jalan dengan yang lain-lain untuk balik rumah. Ambil anak sekolah. Dan sebagainya. 

Dalam pada itu, pada suatu hari ibu dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Bahagian Perumahan Kuarters, memaklumkan ibu dapat tawaran kuarters! What??? Ini berita gembiraaaaaaaaa.

Masa itu, ibu sedang sibuk dengan CD untuk dihantar ke Jabatan Peguam Negara mengenai satu kerja yang mustahak. Ada juruteknik IT di tempat ibu sedang memeriksa sama ada laptop ibu bervirus atau tidak. Manakan tidak, CD pertama yang ibu hantar, kata orang sana, takde isinya. Apa? Biar betul? Ini sesuatu yang memalukan ok. Kenapa orang nak kena hantar dengan CD? EMail kan ada? Googledrive? Well, semua tu ibu dah cuba. Tapi tak menjadi dengan baik. Itupun antara cabaran kerja ibu masa tu.

Bayangkan tengah dalam keadaan tertekan, tiba-tiba dapat berita gembira. Apa lagi. Ibu macam monyet dapat pisang lah, terlonjak di depan juruteknik lelaki tu. "Ei saya dapat kurters lah! Saya dapat kuarters! Saya dapat kuarters!!! Yay!!!" kata ibu pada dia yang hanya senyum simpul dan memahami. Tak ingat berapa kali ibu ulangi ayat yang sama. Excited!

Kata kerani yang menelefon tu, ibu ada masa 7 hari untuk ambil surat tawaran daripada JPM, Blok B4, tingkat 4 sana, dan datang bawa fotostat IC, surat pengakuan bekerja di jabatan sekarang dan slip gaji terakhir.  

Gembira sangat.... ibu tak tahu nak kata apa selain syukur Alhamdulillah, rupanya Allah memakbulkan apa yang ibu harapkan. Dapat tahu, ibu ditawarkan rumah Semi D pula tu. Besar. Alhamdulillah.... Kalau nak beli sendiri, entah bila ya? Ini memang rezeki terpijak.

Hari Isnin ibu diberitahu berita gembira ni, tapi esok dan esoknya ibu sangat sibuk. Hanya pada hari Khamis ibu sempat ke JPM Blok B4 untuk mengambil surat tawaran dan terus menandatangani persetujuan. Ibu dikehendakki mengisi semua dokumen, membuat akaun syabas di Sepang dan akauan TNB di Galeria, selepas itu boleh ambil kunci. Mudahnya!
 Inilah surat tawarannya! Rumah yang ditawarkan ialah SemiD terletak di Presinct 11. Jalan P11A5/2.  Seelok saja ambil surat, terus ibu ajak staff temankan ibu ke kawasan ini. Siap gunakan waze. Ibu terjumpa dengan kejiranan ini. Rumah No. 2. Dah betul tu.

 Tapi kenapa belum dibersihkan. Aih? Takkanlah kena bersihkan sendiri pula? Ini sudah jadi pelik. Ibu pun terus wassap kawan ibu, Kak H yang dah duduk di kuarters semi D lebih setahun yang lepas. Katanya, kalau kita dapat kuarters, mesti dalam keadaan bersih dan macam baru. Jadi ini mesti bukan rumah yang betul! Laaa... dah salah rumah rupanya...

 Bila scrol lagi cerita pasal rumah kuarters di Presinct 11 ni, ada pula gambar-gambar keluarga ini di depan rumahnya yang kebetulan adalah rumah yang ibu jumpa tu. Tak pula dia kata dah pindah dari sini. Jadi, sah-sah lah ibu dah tersalah rumah... Hahahaha gila lah. Kelam kabut sangat ni kenapa? Ibu ni kan jenis tak tahu jalan dan tempat. Pakai belasah saja, kan dah salah......

Hari Sabtu tu, dengan penuh semangatnya, ayah bawa kita ke sini. Kali ini gunakan papa-go gps. Memang betullah, rumah yang mula ibu jumpa tu salah. Ini lah yang betulnya.
 Besar kan.... Takde pagar. Kawasannya sunyi dan pokok-pokok merimbun di kiri dan kanan jalan. Sebelah rumah ni No. 2A pun masih kosong lagi. Di sebelah kanan yang ada tembok tu tempat penyidai baju yang bersambung dengan dapur. Memang selesa.
 Halaman memang besar. Kalau nak buat kenduri kendara memang sesuai sangatlah. Eh.
Siap ada pokok noni depan rumah. Subur. Boleh buat teduhan. Kalau adik beradik ibu nak berkumpul, memang lapang sangat untuk parking.
 Laman di sebelah tepi rumah pun dah bersih. Luas. Ayah mula berkira-kira nak tanam apa, nak beli peralatan berkebun yang mana...
 Nenek pun ada ikut sekali. Nenek kutip buah-buah noni yang pahit maung busuk tu untuk dibuat jus. Ala-ala jus noni kat pasaran. Tapi baunya memang busuk sangat.
 Belah tepi rumah ni.

 Tingkat atasnya ada balkoni kecil.


 Gambaran dari belakang.

 Gambaran tingkap belakang.

Selesai tengok rumah, kita jalan-jalan cari kawasan sekolah berdekatan. Nak juga cari Kawasan Kejiranan Presinct 11 tapi papa-go tak jumpa. Takpelah lain kali saja. Cuaca pun panas terik. Tak sedar dah pun tengahari. Solat Zuhur tu kita solat di Masjid Besi yang dekat dengan ofis ibu sebab ibu tak sedap perut nak pergi buang air kat ofis.

 Nenek ambil gambar kenangan di Masjid Besi Sultan Zainal Abidin. Kenapa besi? Sebab binaannya memang daripada besi n takde aircond kat sini.
 Tapi keliling masjid ni ada mini kolam yang besar, ala-ala swimming pool. Bila angin bertiup, sejuk segar macam kat tepi pantai. Nak singgah makan tengahari kat sini tapi kedai makan di bawah masjid tutup pulak. Memang buka pada hari kerja saja agaknya. Kalau tak, siapa yang nak makan kat sini?

Jalan-jalan di Parkson, jumpa katil macam ini, terus ibu berangan nak buatkan satu bilik tu tema Hello Kitty untuk Ica.

Bila kita balik rumah, ayah ajak ibu bincang semula niat nak berpindah. Ibu bagitahu pada wassap grup family. Wak Laila dan Wak Husna kesiankan Ica sebab nanti kena bangun awal pagi pukul 5 sebab nak bersiap dan tumpang Wak Husna daripada Dengkil. Nanti sampai Transit pukul 6.30-7 pagi. Petang, ikut Wak Husna balik rumah dia, ibu kena tunggu kat highway. Banyak kerja lah. Lebih teruk lagi, kesian Ica nanti penat. Wak Laila kata, tinggal je Ica kat rumah Wak. Dia boleh jaga. So, Ica balik Putrajaya setiap hujung minggu aje. Eh, boleh ke camtu?

Pada ibu, tinggal di Putrajaya ni jadi suatu impian yang bakal jadi kenyataan. Ibu nak jadi normal macam kerja di KL dulu. Bangun pukul 6.30, sempat minum pagi. Bersiap tak payah terkocoh-kocoh. Kalau pergi pukul 7 pun mash sempat punch in sebelum kul 8. Tapi KL lain. 10km di KL akan makan masa 30 minit -1 jam kereta sebab jem. Kalau cuti sekolah lainlah. Keluar pukul 7.30 pun masih sempat. Betul..... Di Putrajaya yang tenang ni, kalau bangun pukul 7.30, keluar 7.50 pun masih sempat. Eh tak, kena kul 7.15 sebab jalan daripada Presinct 11 ke Presinct 3 memerlukan 15 minit. Haha.

Jadi, kalau petang tu, ibu boleh pergi pasaraya Presinct 9 beli bahan memasak, lepas tu masak untuk keluarga kita yang 3 ketul ni. Lepas tu ibu boleh cuci pakaian sambil tengok drama petang-petang tu sementara tunggu Ica balik. Mungkin kalau rajin, ibu boleh jalan-jalan round-round kejiranan sambil keluarkan peluh. Takpun, cross trainer dan treadmill kita yang berhabuk tu tentu boleh digunakan untuk bersenam. Haih.... impian...

Putrajaya ni tenang...nyaman.... tak perlu bersesak-sesak berebut-rebut berasak-asak sedut habuk hanya untuk pendekkan masa nak balik ke rumah. Semuanya tenang-tenang.

Kalau nak outstation ibu boleh minta driver datang ambil di rumah. Tak perlu susah-susah drive sendiri. Hujung minggu kalau jemu boleh la ke Alamanda atau ke IOI Mall yang besar tu. Tentu tak cukup sehari saja nak habiskan jalan-jalan kat situ.

Pada mulanya ibu hanya melihat semua yang best mengenai impian ibu ni. lebih-lebih lagi ramai kawan-kawan di pejabat yang kata ibu dapat tawran ni terlalu cepat sedangkan ada ramai yang menunggu giliran selepas memohon atau membuat permohonan menukar gred. Paman Azam siap kata, ada orang dalam ke? Cepat sangat dapat? Sumpah tidak. Orang dalam belah mana pula.

Kebetulan ibu dah mula kenal mana-mana kawan-kawan yang tinggal di Presinct 11. Wah... berjiran lah kita ya... Kebanyakan mereka memang menganjurkan ibu ambil tawaran yang precious ini.

Tapi ayah banyak suruh ibu fikir tentang Ica. Kalau Ica kena travel jauh, kesian Ica sebab Ica masih kecil. Kalau penat atas jalan, nanti Ica dah tak fokus belajar. Kalau asyik penat, nanti Ica lekas sakit, lekas lelah, demam, etc. Kalau demam di KL, kita sibuk, kita boleh panggil Nenek minta tolong jagakan. Kalau di Putrajaya, kita nak panggil siapa?

Rumah kita di Danau Kota ni dekat dengan segala macam kemudahan makan. Kemudahan hidup lah pendek kata. Kedai mamak saja 5-10 kedai yang dekat-dekat. Gerai makan yang sedap pun banyak. Walking distance saja. Nak makan char kue tiaw Mali yang sedap dan glamer tu? Sinilah tempatnya! Nak tengok MBO movie yang kerusi duduknya selesa sebab besar, sinilah dia. Nak bertukang/berkebun, kita dah tahu kedainya. Nak jahit tepi, jahit lencana, jahit alter, jahit segala macam? Ada tempatnya. Kalau kecemasan demam atau apa-apa saja, Columbia Hosp dekat sebelah saja. Kalau nak yang Islamic, Pusrawi pun tak jauh. HKL lagilah dekat. Pilih saja. Semua full house? Mesti ada yang available...

Tapi kita bukan sakit setiap hari, atau nak makan lewat malam setiap hari atau nak tengok movie tiap hari kan? Nak jalan ke Mall pun bukan tiap hari.

Tiap hari kita perlu nak keluar bekerja. Sebab itu ibu perlu rumah ni! - itulah jawapan ibu... Tamak.

Suatu pagi, ibu tak sihat, jadi ibu tak pergi kerja. Ibu bangun lambat sikit dan tengok Ica tengah makan kismis dan minum air madu dengan ayah kat depan tv. Jam dinding masa tu baru pukul 7.30. Amboi, memang menikmati waktu yang ada. Selalunya ayah akan gerak keluar ke transit Ica pukul 7.45pagi. Tiba di sana pukul 8.20 pagi. Lepas tu ayah terus ke tempat kerjanya di Selayang, tiba sana pukul 8.45 pagi. Sedang-sedang saja sebab punch-in ayah pukul 9 pagi.

Kalau duduk di Putrajaya, hanya ibu yang boleh berlengah-lengah. Ayah dan Ica kena bergegas, semacam yang ibu selalu buat ni. Kesian Ica. Bila pula nak minum madu dan makan kismis sambil tengok tv pagi-pagi? Memang jangan haraplah!

Ibu pun call embah. Tanya pendapat yang terakhir. Ibu jarang-jarang minta pendapat embah sebab embah ni kalau bagi idea, selalunya berat pada maslahat dia seorang saja. Haha.

Macam yang ibu agaklah. Embah kata. "Aku takutlah duduk rumah tu sorang-sorang. Kawasan sunyi macam tu, kalau jadi apa-apa macam mana? Lepas tu korang duduk bilik atas, aku sorang je kat bawah. Sekarang ni jang bilik depan-belakang pun susah nak panggil, kena telefon. Apatah lagi kalau bilik atas-bawah! Aku taknak lah pergi rumah korang kalau pindah sana!" Kata embah. Aduhh.

Masa ibu bersembang dengan embah ni, ibu sedang tunggu Ica di depan sekolah Al-Amin. Bila nak balik, semua murid tahap 1 akan berbaris di depan kelas masing-masing membaca tasbih kaffarah dan surah wal'asr, diikuti dengan doa naik kenderaan. Suara-suara kecil bersemangat mengalunkan zikir dan doa. Hati ibu jadi tersentuh lagi. Ada sesuatu yang berharga di situ untuk ditinggalkan bila kita ke Putrajaya nanti.

Ibu tak boleh nak fikir. Di pejabat banyak kerja. Di rumah, semua orang tak menyebelahi ibu. Nenek pun kata, tak mahu ke Putrajaya. Sebab ada 1 je kedai yang dekat dengan rumah. Petronas. Kawasan rumah sunyi. Ada tukang potong rumput dan sapu jalan saja. Takde orang. Takde apa yang nak dilihat!

Di pejabat, semua yang ibu beritahu tentang kuarters nampaknya menyokong ibu. Pendek kata, Putrajaya is the best place to live. Walaupun harga makanan dan barang mentah agak mahal, tapi masih ada kedai yang menjual dengan harga murah!

Hakikatnya, kat Putrajaya ni, kalau lapar malam-malam, tak payah keluarlah. Masak aje meggi. Unless suka nak drive ke kawasan kejiranan, cari kedai mamak 24jam. Tak rasa ada KFC atau McD 24jam. Kedai char kuay teow lewat malam? Kedai makan Kelantan 24jam? Kedai kopi 24jam yang kita boleh pergi dengan jalan kaki je? Hei come-on.... Boleh kurus lah. Kurangkan gula dalam darah. Bagus tu....

Putrajaya ni Bandaraya terancang. Jadi, rasanya aktiviti mingguan kat sini pun bolehlah dirancang. Nak tengok wayang, nak jalan-jalan, nak main air, nak shopping barang dapur... Yang ibu rasa sikit kekurangan ialah takde hospital swasta dekat-dekat. Ibu dengar Hospital Putrajaya tu, kalau tak sakit teruk disuruhnya balik. Iye ke? Lepas tu takde sekolah integrasi swasta mcm sekolah Ica. Kenapa ek? Semua orang kena sekolah kat sekolah kerajaan. Memang takde yang tak eloknya. Semuanya bagus. Cuma, sekolah sekarang ni, cara didikannya bukan hanya melalui cikgu dan silibus. Tapi melalui persekitaran gaya hidup Islam. Itu yang mahal.

Eleh, macam poyo aje. Cara hidup Islam macam mana? Bukan semua yang keluar dari situ terus jadi orang alim. Baik-baik. Berakhlaq tinggi.

Haih nama pun budak. Memang lah ada potensi berubah-ubah sikap. Tapi kalau dari kecil persekitarannya baik, kalau tak banyak, sikit mesti ada kebaikannya. Ini yang sayang sangat... Nak masuk kat Al-Amin Bangi, kena apply baru. Itupun kena ikut rezeki. Kalau ada kekosongan, boleh lah. Kalau tidak, tak dapatlah. Haih... Serba salah jadinya.

Hari ini, bila bangun dari tidur, ibu terus rasa nak buat keputusan ini. Walau apa pun yang orang kata, yang melaluinya ialah ibu, ica dan ayah. Kita saja yang tahu susah senang rutin kita. Bila ibu monyok saja, Ica kata, "Kalau pindah kat Putrajaya, sunyi, takut, tapi Ica suka. Ica boleh ada bilik sendiri. Kalau tak jadi pindah pun Ica suka, takpe takde bilik sendiri, boleh Ica tidur dengan ibu dan ayah sampai besar. Ica boleh sekolah kat Al-Amin. Ica suka sekolah Al-Amin. Kat sini ada rumah nenek. Ada KLFC..." Jawapan Ica ni, kadangkala buat ibu lagi sebak. Sebab Ica masih kecil pun dah faham perasaan ibu yang susah sangat nak buat keputusan ni.

 

Panjang lebar ibu menulis kepada kakitangan dan pegawai terlibat. Ibu mohon maaf dengan diorang. Ibu terpaksa tolak tawaran kali ini. Inilah keputusan paling berat ibu rasa pernah buat. Seikhlasnya, ibu buat untuk kebaikan Ica. Mudah-mudahan Allah gantikan rezeki ibu dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Insyaallah. Lepas tekan butang "send" saja, dan ibu cek email sudah selamat dihantar, ibu rasa lega sangat. Terasa seperti ada batu besar yang sudah diangkat pergi daripada kepala ibu.

No comments: