Hari itu ibu temankan Ica ke klinik paedtrik HKL untuk temujanji Ica dengan pakar pernafasan untuk kanak-kanak. Ini sebab Ica tidur berdengkur dan kerap selsema. Jadi Dokter Salmi sarankan kita dirujuk kepada pakar. Ibu tak mahu ke Hospital Swasta sebab tak nak masuk wad sementara tunggu laporan ujian. Siapa pula yang nak temankan Ica nanti kalau bukan ibu.
Kalau dah namanya ke Hospital Kerajaan ni, memang kita kena ikut cara diorang lah. Kena datang awal pagi. Pukul 6 Ica dah bangun bersiap. Pukul 7 dah terpacak depan kaunter pendaftaran yang hanya dibuka pukul 8. Nasib baik kedai makanan ada kat tepi tu je.
Dipendekkan cerita, pukul 9 lebih baru dapat jumpa doktor Asiah yang nampaknya berpengalaman luas dalam bidang ni, dan nampak baik saja. Alhamdulillah. Ica dapat ubat dan next date. Ibu pun tak semena-mena dapat tarikh appoinment sekali sebab doktor kata, kalau ibu nak anak cepat baik, ibu sendiri kena lah sihat...
Selesai urusan dalam pukul 12. Dah lewat untuk Ica nak ke sekolah. Itupun, ibu gagahkan juga hantar Ica sebelum pukul 12.30, waktu makan tengahari. Alhamdulillah sampai je dah nak dekat 12.30pm dan ibu nampak kawan-kawan Ica masih ada yang meniarap sambil menulis (kelas terapung). Ok lega.
Ica pun laju-laju minta duit RM10 kat ibu sebab nak beli susu botol kecil yang dijual kat sekolah. Ada macam-macam perisa, iaitu coklat, jagung, strawberri. Ica nak beli 10 botol sebab suka sangat dengan susu ni. Sedap katanya. Lgipun nak beri 4 botol pada ayah dan ibu. Baiklah. Ibu nak cepat. Jadi tak fikir panjang pasal susu tu. Ibu masukkan duit dalam poket seluar Ica. Lagi RM2 untuk belanja tengahari sebab ibu suruh Ica beli air soya.
Balik dari sekolah petang tu, Ica belum beli susu botol tu lagi sebab penjualnya tak datang. Jadi ibu suruh Ica masukkan duit dan borang order ke dalam sampul putih yang Ica buat sendiri. Ha jangan tak caya, Ica pandai buat sampul sendiri...
Esoknya, masa ibu kat pejabat, ibu dapat mesej daripada wak Laila, katanya duit RM10 Ica tercicir. Ica sedih sangat. Jadi, Wak Laila bagi Ica beli 5 botol. Sebotol kecil RM1. Tapi lepas tu Ica kata nak belikan untuk ayah dan ibu sekali. So Wak Laila pun tambah lagi jadi 10 botol. Macam tulah. Petang tu bila ibu ambil Ica, Ica takde pula nak cerita pasal duit hilang dan sebagainya. Ica buat macam biasa je.
Bila ibu soal siasat, betul ke duit RM10 tu hilang? Barulah Ica tarik muka. Tapi Ica tak pula nak minta maaf pada ibu. Ica diam aje, tunduk. Ibu cek buku Ica basah sebab beg Ica basah dengan wap air daripada botol susu yang sejuk tadi. Ibu pun naik hangin lah. Ibu tanya Ica lagi, kenapa duit hilang? Ica kata sebab dia tergesa-gesa nak beli susu. Kalau lambat nanti habis. Pastu Ica sibuk nak cari kertas order sampai tak perasan duit jatuh sekali.
Argh! Ibu jadi geram sangat dengan Ica ni. Apa pun tak boleh. Haritu Ica kata makcik kantin tu pekak sebab Ica order makanan selalu tak dapat.
Macam mana nak dapat? Orang bertolak-tolak kat kantin, berebut-rebut nak beli makanan masa rehat. Ica pun baru ini je nak join berebut. Ibu faham sangat perangai pengecut Ica tu. Lepas tu suara slow sangat macam terkepit kat anak tekak. Memanglah makcik kantin tak dengar. MInta mi goreng, dikasi bihun. Minta maggi goreng, dikasi bihun lagi. Dahlah bihunnya tak sedap. Kata Ica.
Ibu dah ajar Ica. Kalau beratur dan orang main tolak-tolak, himpit-himpit, sound balik. "HEI, TOLONG JANGAN TOLAK-TOLAK LAH...! NI MONYET KE MANUSIA?" Tak pun, pergi cakap dengan Guru Besar. Atau cakap dengan Cikgu Halimah. Atau cakap dengan Ustaz Jabar. Atau sesiapa sajalah. Ibu pun tak tahan kalau tengok budak-budak main tolak-tolak ni. Kalau tak join berebut, nanti tak dapat makanan pula. Haih. Kalau makanan tu percuma takpelah juga. Ini makanan dahlah mahal. Saiznya kecil. Naget pasar malam yang secucuk 3 ketul tu pun RM1. Ini diorang jual naget yang sama, sebiji 50sen. Ha...
Ibu tahu Ica memang suka sangat dengan susu berperisa. Baik coklat, jagung mahupun strawberi. Jadi, ibu boleh fahamlah kalau gelabah beruknya Ica semata-mata nak cepat beli susu tu. Jadi, kalau duit jatuh memang takkan perasan. Apatah lagi kawasan yang ramai orang berdiri berlari melompat bersimpang siur tu. Memang ke longkanglah jawabnya....
Ibu pun taklah ralat sangat dengan RM10 yang dah hilang tu. Memang bukan rezeki Ica dan ibu. Lagipun Ica dah memang dapat susu yang diidam-idamkan tu bila Wak Laila belanja. Siap beli lebih lagi. Tapi yang buat ibu marah sangat sampai tahap didih kepala tu sebab Ica tak tunjuk langsung muka menyesal. Langsung tak ada!
Ibu pun membebel dan membebel dan membebel sepanjang perjalanan yang sejam nak balik rumah tu. Ica pun dengar sambil tertidur berdengkur dan terjaga dan sambung dengar lagi. Menunjukkan betapa intense nya keadaan masa tu. Hahaha. Ibu dahlah stress balik dari pejabat, jalan jem. Tambah pulak lagi dengan Ica buat hal. Haih.
Malam itu, ayah denda Ica tidur di luar sorang diri. Dengan Noneng lah. Sampai pukul 11 malam Ica tak lena. Asyik panggil ayah dan ibu. "Ibu... ibu...tolong la Ica.... Ica minta maaf...." Sedih tak? Sedih tak? Sesiapa pun yang jadi ibu, mesti sedih. Kalau takde anak lagi pun mesti sebak punya. Kesian kat Ica. Tapi, kesian lagi kalau Ica tak belajar daripada kesilapan tu.
Dah pukul 11 malam Ica tak tidur-tidur, mata pun dah nampak lebam menagis, ibu pun ajak je Ica masuk dalam bilik walaupun ayah tak bagi. Kalau tak, dengan ibu sekali tak boleh tidur. Nak jadi apa. Tapi sebagai gantinya, hukuman tu, Ica tak boleh dapat buit belanja RM1 sehari tu sampai lah cukup RM10 untuk ganti duit yang hilang tu. Ica setuju je. Maklumlah orang tengah tersepit. Takkanlah sanggup tidur kat luar bilik sorang-sorang. Dahlah penakut gila.
Setakat minggu lepas, baru 3 hari Ica tak dapat duit belanja. Malam tadi Ica tanya ibu "Ibu...esok boleh tak kalau Ica nak bawak seringgit? Ica teringin nak beli air soya masa rehat....".
Memang kesian lah bila minta elok-elok camtu, tapi ibu tetap kena bagi jawapan "Tidak" pada Ica sebab tempoh hukuman masih belum habis. Pula tu, untuk mengelakkan perut cepat lapar masa rehat, Ica kenalah makan nasi banyak sikit masa lunch tengahari. Ica kena berebut lagi. Tak habis-habis dengan berebut lah. Sebab ada kala Ica dapat kumpulan budak-budak yang kuat makan, tengah baca doa berjemaah, member sebelah dah curi nasi Ica.
Ayah pesan, cakap dengan budak tu "Hei, Jangan la curik nasi kita, nanti kita lapar". Tapi budak tu buat tak dengar aje. Ibu pula pesan, cakap macam ni "HOI! JANGAN AMBIL NASI SAYA!!" dan buat muka garang. Takyah sengih-sengih lagi. Boleh ke tak? Ica geleng aje...
Sebenarnya susah juga nak mengajar anak jadi ganas ni. Apatahlagi kalau kita sendiri bukan dari jenis yang ganas. Jadi, kesian juga memikirkan kalau Ica makan tak kenyang pukul 12.30 tengahari tu, dan takde makanan masa rehat pukul 3.30 tu, maknanya 6 jam Ica akan terpaksa ikat perut. Hanya minum air saja. Macam mana rasanya ek?
Tapi kalau ada duit belanja pun, Ica cuma beli air soya atau air manis dalam bungkusan ikat tepi tu, atau keropok-keropok aje. Bukan lah kategori makanan yang mengenyangkan. Pukul 6.30 tu Ica dah mengadu kelaparan. Ibu sedapkan hati sendiri.
Wak Laila kata, kalau teruk layanan ibu pada Ica, lebih teruk balasan Ica pada ibu bila ibu tua nanti. Ibu tak setuju langsung dengan dia. Mungkin itu yang dia sedang alami, bila Abg Suhaib dah berumur 21 dan Wak Laila berumur 50an, Abg Suhaib layan umi dia macam mana umi dia layan dia dulu. Mungkinlah. Tapi pada ibu, ikut nasib masing-masing.
Cara kita didik dan besarkan anak-anak tentulah tak sama. Ibu dan ayah nak ajar Ica menghargai rezeki yang kita ada. Dalam dunia ni, ada banyak lagi perkara yang lebih penting daripada makan di kantin atau minum susu botol yang mahal. Lagipun, susu yang Wak Laila belanja Ica tu, tak sedap langsung. Jauh beza dengan susu yang jual kat kedai. Yang biasa-biasa tu. Lagi sedap. Hmm
Kalau ditakdirkan bila ibu tua nanti Ica nak beri layanan yang buruk pada ibu, terpulanglah. Itu mungkin takdir ibu. Allah tu Maha Kaya dan Maha Adil. Ibu hanya cuba menjadi yang terbaik untuk mendidik amanah Allah ni. Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment