Jul 27, 2015

Boboy dalam kenangan...

Bismillah...
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Walaupun hanya sekadar seekor kucing, tapi Boboy telah mengajar kita (terutamanya ayah) rasa belas dan sayang pada haiwan. Boboy adalah antara 3 ekor kucing adik beradik (sekali dengan Bebel dan Putih) yang kita ambil daripada Omeo Farm di Pasar Malam Uptown Danau Kota dalam tahun 2011. Kita ambil Boboy dan adik beradik ni sebab kesian tengok diorang sakit mata masa tu. Kita terus bawa ke Klinik untuk pemeriksaan dan suntikan, lepas tu kita berusaha ubatkan mata diorang. Alhamdulillah dalam masa 2-3 hari je dah baik. Walaupun Bebel dan Putih dah hilang 2 tahun lepas, tapi Boboy masih setia dengan kita dan bertambah gemuk dimanjakan ayah.
 Ini Boboy masa dia kecik dulu. Boboy ni memang jenis kucing yang tak banyak bunyi, tapi manja dan suka menggesel-geselkan badannya dekat kaki. Masa ada Bebel dan Putih, Boboy aktif dan suka main. Tapi sejak adik beradiknya dah takde, Boboy kurang aktif. Lagipun Boboy ada astma. Kerap selsema dan batuk berkahak. Masa kecil, memang kita bagi ubat selsema pada Boboy. Bila dah besar sikit, kita dah stop. Takkanlah nak bagi makan ubat aje kan. Boboy jenis kucing yang tak susah nak makan ubat. Bukan ubat selsema aje, ubat alergy pun pernah bagi sebab Boboy tak boleh makan makanan yang ada campuran ayam. Habis bulunya gugur. Nak dekat botak dah badan Boboy dibuatnya. Tapi ayah rajin jaga Boboy. Selain tukarkan makanannya, ayah juga sapukan krim kat badan Boboy. Jadi bulunya tumbuh semula dengan baik.

Ibu jarang benarkan Boboy masuk dalam rumah sebab Boboy suka bersin kuat-kuat dan hingusnya melantun-lantun entah ke sana sini. Nanti kena kat Ica pulak. Lagipun ibu takut takut berjangkit dengan Noneng yang super-sensitif tu. Sesekali je ibu benarkan Boboy masuk dalam rumah. Itupun ibu tunggu. Kalau bersin je, terus ibu suruh keluar. Memang nampak sangat yang Boboy ni suka duduk dalam rumah. Tiap kali masuk, mesti Boboy lepak atas kusyen macam ni, jilat badan dan buat bunyi manja.
Muka nampak garang, tapi kalau diusap, berdengkur manja yang kuat sangat... Siap kembang kembangkan jari kakinya. Seumur hidup Boboy, cuma pernah mandi sekali saja di Petshop Gombak. Jadi kuku Boboy sangat tajam dan kuat. Dalam kawasan rumah dan sekitarnya, Boboy jadi kucing hero. Kucing-kucing jantan semua kalah dengan Boboy. Boboy boleh memanjat dan tangkas mengelak kereta di jalanraya.

Ibu pernah rasa ralat sangat panggil-panggil Boboy, sebab dia terus je lari kat kita walaupun ada kereta tengah lalu. Boboy bijak, dia akan berhenti di bawah kereta sementara kereta tu bergerak. Jadi selamatlah dia! Oleh kerana pernah tengok depan mata macam mana Boboy mengelak daripada kena gelek kereta, ibu pun takla risaukan sangat keselamatan Boboy dan dia bebas nak ke mana-mana sekalipun.
Antara Boboy, Bebel dan Putih, Boboy lah yang paling manja baik dengan sesiapa pun. Pantang dengar bunyi kereta atau motosikal sampai ke depan pagar, mesti Boboy yang berlari dulu. Dulu, ada waktunya bila ibu buka kereta, Boboy terus nak masuk dalam. Tapi lepas tu ibu marahkan dia. Kalau dia dah masuk dalam, nak suruh keluar tu susah. Lagilah bila dia dah gemuk ni. Tak larat nak dukung keluar. Jadi, bila dah kena marah, terus lah dia tak layan ibu dah..

Siang hari Boboy akan melepak bawah kereta yang parking di luar rumah, malamnya ayah akan masukkan Boboy dalam sangkar. Boboy pernah beberapa kali tak balik. Satu kali tu dia duduk atas pokok mangga depan rumah makcik India yang ada anjing tu. Rasanya Boboy terperanjat dengan anjing tu sebab dia suka menyalak, langsung panjat pokok mangga. Tapi Boboy berjaya turun sendiri selepas semalaman. Semakin Boboy dewasa, dia semakin berani tak balik rumah. Mungkin Boboy nak cari kawan.
Masa ayah meniaga YTF, ayah jumpa seekor kucing yang warna bulunya lebih kurang sama ngan Boboy. Dia terperangkap atas pokok. Ayah bawa balik kucing tu sebab dia nak ikut ayah. Oleh sebab kita tak tahu ia jantan ke betina, ibu namakannya Memey. Mula-mula, kita letak Memey dalam rumah, tapi Noneng pulak tak boleh dengan dia. Jeles.

 Memey ni manja sangat dengan kita macam kucing yang pernah bertuan dan dibuang. Jadi Noneng pun "baring jeles" macam tu.

 Memey tak takut orang dan suka dipegang. Bunyi dengkuran manja dia memang kuat sangat. Dahla dia kecik. Sedang elok dibuat anak kucing angkat.

 Dalam rumah, dia akan pergi merata ceruk dan baring di mana-mana yang dia suka.

Tapi Noneng tak suka dengan Memey sebab Noneng jeles sangat... Tiap kali nampak Memey, mesti Noneng buat "baringan jeles" atau buat muka tension camni.
Memey pulak jenis kucing periang yang suka nak main. Asal nampak Noneng aje, diusiknya budak jeles tu sampai bergaduh..
Dan bergusti macam ini... Walaupun Noneng tu nampak besar, tapi Noneng lembik. Si kecik tu mesti berjaya mencakar Noneng. Ibu cek-cek badan Noneng ada luka kena cakar. Hidung pun ada kesan cakar si kecik tu. Eh tak boleh jadi ni. Maka ibu lepaskan si Memey ke luar supaya berkawan dengan Boboy pula. Boboy yang muka selalu "tak pedulik" tu memang tak layan la di kecik ni.

Bila Memey dah besar sikit, barulah kita dapat tahu yang dia sebenarnya adalah jantan. Jadi kenala tukar nama jadi si Kecik pula. Si Kecik ni suka menyakat Boboy. Kadangkala kita yang dengar ni tak tahu diorang tu bergaduh betul ke gaduh manja. Dalam sangkar, bila Boboy masuk nak makan, Kecik pun nak makan. Jadi berebut makanan. Padahal bila Boboy takde, Si Kecik pun tak nak makan dan minum. Bila Boboy berehat dan juntaikan ekornya ke bawah, Kecik akan sauk ekor Boboy dibuat mainan sampai menjerit Boboy dibuatnya. Kerapkali terdengar suara garang Boboy menjerit dari dalam sangkar sebab si Kecik buli-buli manja dia. Kalau pintu sangkar dibuka, Kecik takkan keluar selagi Boboy tak keluar. Kadangkala Si Kecik dah keluar, tapi Boboy masih di dalam, Si Kecik akan masuk balik dan usik Boboy sampai lah dia keluar. Bila Boboy keluar, Kecik terus panjat badan Boboy dan gigit belakang Boboy. Boboy pun menjerit marah lah. Bunyi dah macam kucing bergaduh dan bergusti.
Tak sangka dah setahun Kecik dengan kita dan dah sama besar dengan Noneng. Sikit lagi nak sama besar dengan Boboy. Dalam pada dia gigih mengacau Boboy tiap hari, rupanya Kecik ada niat nak kawin dengan Noneng. Habis dikencingnya belakang dapur kita tu sebab nak memikat Noneng. Sesekali dia menyanyi panggil Noneng. Noneng yang asalnya tak minat tu, tetiba jadi gatal. Tetiba tergedik nak keluar. Tapi sorry lah ye Kecik, Noneng dah neutered. Bila sesekali ibu benarkan diorang berjumpa, macam ini lah. Entah-entah bergosip pasal kita? Bila Noneng keluar rumah macam ni, Noneng tak nak dekat dengan Boboy sebab Boboy garang. Itu pasal Noneng terpaksa berkawan dengan Kecik.
 Dah 3 tahun lebih Boboy dengan kita dan semakin manja dengan ayah. Bukan takat gesel badan kat kaki je, kalau kita tepuk peha, Boboy mesti berdiri dua kaki dan 2 lagi kaki pegang tangan kita. Boboy suka kita usap kepalanya masa dia pegang peha kita :'-( Kalau ayah balik, Boboy akan naik kat belakang ayah. Membonceng motor ayah. Tak takut jatuh langsung. Bila ayah dah turun motor, Boboy panjant motor seat ayah, minta dibelai. Ibu baru sedar yang Boboy dah obese bila ambil gambar ni!
Bila ibu yang balik kerja, Boboy taklah teruja sangat nak datang dekat, sebab ibu kan garang. Ibu pernah marah Boboy sebab bersin merata. Tapi bukan Boboy sengaja pun. Tu yang Boboy malas datang dekat ibu. Tapi bila ibu panggil, Boboy tetap datang juga. Cuma ibu yang tak nak panggil sebab tak nak Boboy datang, pastu nanti bersin kat kain ibu..
 Close-up muka "Tak kisah" Boboy. Muka memang serius sangat macam Abang Long Kawasan. Tapi manja. Ha cmner tu? Ayah kata, oleh kerana buncit sangat Boboy ni, kalau dia dah baring telentang tu, susah betul dia nak placing bangun semula. Haih Boboy...

Ini adalah gambar terakhir yang ibu ambik sebelum Boboy ditimpa malang. Memang gemuk dan garang, tapi bila ayah yang pegang, dia tak kisah pun nak pegang macam mana, nak gantung ke nak pelangkung ke, redha je Boboy...
Si Kecik pulak bila Boboy dimanjakan macam ni, dia pun nak berebut manja jugakkk... Tak dapat didokong cam Boboy, dapat usap kepala sendiri dengan siku ayah pun jadi ler... Boboy sedar SI Kecik pun nakkan perhatian ayah. Tengoklah telinga Boboy tu. Itu tanda Boboy tak suka. Hehe.

Seperti dalam entry ibu sebelum ini, 3 hari nak Raya haritu, Boboy tak balik rumah. Puas ayah panggil-panggil, tapi Boboy tak balik. Ayah dah tak sedap hati. Tapi ibu cakap, Boboy bukan tak pernah balik. Esok balik lah tu.

Hari Rabu petang, ayah balik dari kerja, terus call ibu yang sedang tersekat dalam jem luar biasa di KL. Ayah tunggu ibu balik sebab nak guna kereta hantar Boboy ke klinik. Boboy kena langgar kereta dan kakinya patah sampai terkeluar tulangnya! Ayah pun tak tahu macam mana Boboy boleh balik ke rumah sebab dia memang tak boleh bergerak langsung. Ayah nampak peha belah kaki yang patah tu sampai takde bulunya, mungkin Boboy mengensot daripada tempat kena langgar untuk sampai ke rumah. :'-(

It was a bad timing, sebab ibu tengah stress dalam jem dan ayah stress nak cepat. Padahal ada satu lagi kereta kat rumah tu kan...? Ayah dah call banyak klinik, semua tak available 24jam. Pukul 6 petang mesti klinik dah tutup. Masa tu dah dekat pukul 7. Bila ibu sampai je, ayah terus angkat Boboy masuk dalam kereta, berlapikkan tuala. Boboy dah tak boleh gerak langsung. Jadi dia diam saja duduk kat seat belakang sementara ayah drive kereta. Ibu dan Ica tunggu kat rumah aje. 

Lepas ayah pergi, dalam 10 minit ayah call ibu, bagitahu klinik yang kat Melawati tu dah tutup. Ayah tak tahu nak bawa ke mana lagi. Ibu kata, cuba bawa ke Hospital Vet Jalan Pekeliling tu, sebab ibu pernah baca ia beroperasi 24jam. Ayah pun terus ke sana. Sementara tu ibu google klinik vet lain yang mungkin beroperasi sebab ibu tahu hospital vet tu mahal kos rawatannya.

Dipendekkan cerita, lepas maghrib, ibu dan Ica pun dah selesai berbuka dan solat, barulah ayah pulang. Boboy kena tahan di wad. Keadaannya serius sebab organ dalaman Boboy terhimpit semasa dilanggar. Kaki patah mungkin boleh dibaiki dengan rawatan. Ada rawatan pilihan selain simen, boleh diapit dengan kayu. Maknanya bab kaki boleh diubati. Tapi pundi kencing Boboy dah terhimpit dan mungkin ada jangkitan. Tapi Vet kata, tak tahu setakat mana kadar lukanya. Mungkin ia boleh baik sendiri dan dibantu dengan antibiotik.

Ayah dimaklumkan, kos rawatan akan mencecah RM2 ribu dan ayah kena bayar 80% daripada kosnya supaya mereka boleh jalankan pembedahan dan rawatan. Ayah bukanlah banyak sangat duit nak bayar beribu-ribu kos rawatan Boboy ni. Tapi kita pun takde pilihan lain. Takkan lah nak biarkan je Boboy mati dalam kesakitan? Vet pula bagitahu, Boboy masih boleh sembuh. Bukan Vet biasa, Vet Pakar pula tu. Pemilik Hospital ni. Jadi ayah pun setuju rawatan diteruskan. Lagipun ayah kata, masa mula-mula Boboy dibawa ke hospital, Boboy meronta-ronta tak mahu dirawat, walaupun dalam keadaan lemah macam tu. Bila ayah datang dekat, Vet minta ayah tolong pegangkan Boboy, terus ayah panggil-panggil Boboy, Boboy terus diam dan simpan kuku. Dia pandang ayah sambil mengiyau kuat. Mungkin dia nak bagitahu betapa sakitnya dia masa tu, dan betapa dia perlukan ayah :'-(

Hospital ni memang hospital pakar veterinar. Setiap pesakit akan di xray dan scan. Dari situlah Vet dapat tahu Boboy ada masalah astma yang sudah ke peringkat serius juga. Rupanya kemalang ni menambah tahap serius sakit Boboy.
Pada hari raya pertama, maknanya selepas 2 hari Boboy di wad, kita datang melawatnya. Masa ini Boboy baru lepas dibedah dan berada dalam keadaan tak berapa sedar. Yang pink tu tempat saluran drip air dan ubat.
Boboi tak makan lagi. Dia hanya minum sepanjang masa. Yang putih berbalut tu lah kaki Boboy yang diapit dengan kayu untuk baiki tulang yang patah.
 Sebak juga ibu tengok keadaan Boboy yang tak bermaya ni. Tapi bila ibu tengok mata Boboy, nampak macam ada sinar untuk Boboy sembuh dan jadi sihat semula. Ibu berfikiran positif.
Masa ini bila kita panggil Boboy, dia dah mamai. Macam nak menjawab, tapi tak berdaya... Boboy cuma minum saja. Sebab tu air tu letak depan muka dia. Senang dia nak menjilat.

Hari Raya ke 4 (Isnin) ayah ambil Boboy dari wad. Sebelum tu ayah dah bersihkan sangkar Boboy dan buat 2 tingkat saja, pisahkan Boboy dengan Kecik sebab taknak Kecik main dengan Boboy. Bila Boboy dah masuk dalam sangkar, ibu tengok mata Boboy dah tenggelam ke dalam dan berair mata. Ayah kata, masa nak ambil Boboy, ayah panggil-panggil dia, tiba-tiba bila Boboy tengok ayah, Boboy terus keluar air mata, macam orang menangis. Vet kata, mungkin dia sedang menangis. Tapi masa kat rumah pun air mata Boboy masih mengalir sampai kena lap dengan tisu. Bukan air mata je, air hidung pun keluar sekali.

Kita ingatkan, itu petanda awal kemurungan kucing selepas terlibat kemalangan, sebab ibu ada baca, kucing kalau tiba-tiba jadi cacat selepas kemalangan, dia akan menghadapi sindrom kemurungan yang dahsyat dan adakalanya boleh sampai mati. Yelah, tak mahu makan, minum, tidur. Asyik sedih aje. Ibu pun tak sure Boboy ni dalam keadaan yang macam mana.

Bermulalah penjagaan Boboy yang sangat rumit sebab nak kena bagi Boboy makan ubat antibiotik dan selsema setiap hari. Boboy jadi susah gila nak bagi makan ubat. Sampai patah alat suntik ubat pil yang ayah selalu guna tu. Ibu pulak terpaksa ngangakan dia besar-besar dan masukkan ubat terus ke kerongkong Boboy. Cara ni agak bahaya sebab boleh tercekik ke paru-paru. Tapi takde pilihan. Bila susah nak bagi makan ubat, ayah perlukan ibu untuk bekerjasama. Tapi ibu dah mula kerja lepas raya, dan ibu keluar rumah pagi-pagi lagi. Jadi, ayah tak dapat nak bagi Boboy ubatnya pada waktu pagi. Hanya dapat bagi sebelah malam saja. Jadi maknanya pengambilan ubat Boboy pun tak konsisten.

Boboy tetap tak mahu makan walaupun ayah belikan wetfood dan ID. Si Kecik pula seolah-olah memahami keadaan Boboy, dia pun tak nak makan juga.

Tiap malam, lepas bagi ubat, ayah akan sikatkan bulu Boboy. Dia akan biarkan ayah sikat dan diam merasai nikmat dibelai. Bila dipanggil, Boboy akan tengok pada kita. Tapi ibu dah rasa semacam je. Ibu rasa macam Boboy dah nak mati, sebab mata Boboy ke dalam. Tapi ayah positif. Mungkin sebab kita dah berbelanja mahal untuk kos pembedahan haritu, jadi kita rasa Boboy boleh sembuh.

Hari Isnin hingga Rabu, keadaan Boboy macam biasa. Cuma ayah akan balik tengahari untuk tengok Boboy. Ayah pasangkan kipas supaya Boboy tak panas sangat. Cuaca terik betul lepas raya ni. Boboy menggeletik kepanasan, jadi ayah letak sangkarnya bawah bumbung batu yang dekat depan pintu masuk dalam rumah. Situ kurang panas berbanding atap zink. Boboy berak macam biasa, kencing pun macam biasa. Tapi menjelang hari Khamis, ayah kata perut Boboy ada darah. Mungkin kencing Boboy masih berdarah, atau berdarah semula, macam dekat wad haritu. Tapi ayah tak sure.

Hari Jumaat, ibu cuti sebab sakit kepala. Petangnya, ibu kemaskan luar rumah dan letakkan sangkar Boboy ke tepi kanan pintu masuk supaya angin daripada kipas angin tu jadi sepoi-sepoi saja pada Boboy. Jadi taklah panas sangat. Boboy gelisah tak senang duduk dalam sangkarnya. Dia minta nak keluar. Dia buat bunyi pendek-pendek macam selalu bila nakkan perhatian. Si Kecik senyap saja sepanjang hari, duduk simpan kuku, macam kucing tahan sejuk atau kucing tengah sedih. Sambil tu dia tengok ibu dan tengok pada Boboy.

Malam tu ayah lapkan badan Boboy dengan tuala hangat. Bila sampai ke perut Boboy, ayah kata perut Boboy ada kesan luka, tapi tak tahu luka kena apa. Mungkin kena masa pembedahan? Patutlah lapik baring Boboy yang dalam sangkar tu ada kesan darah. Ingatkan Boboy kencing berdarah lagi. Rupanya darah daripada perut Boboy yang luka. Seolahnya perut Boboy dah "bocor"?

Hari Sabtu, ayah dan Ica bawa Boboy ke wad, cadangnya untuk dressing saja. Sebelum pergi tu, ayah call dulu hospital dan tanya berapa kos rawatan. Jangkaan yang diberi dalam RM350. Ayah dan ibu dah tarik nafas. Tapi takpelah, kita hantar saja dulu. Ayah cuba call klinik Muezza dulu, minta quotation. Katanya jangkaan dalam seratus saja. Ayah tanya ibu, macam mana? Ibu pun tak tahu nak buat keputusan macam mana. Ibu serahkan saja pada ayah. Ayah call pula satu petshop ni dan minta pendapat dia. Katanya, Hospital Vet ni ada semua kelengkapan untuk rawatan, yang mungkin takde kat tempat lain. Kalau bab tulang patah ni, kenalah xray juga untuk lihat perkembangannya. Kalau tak, macam mana nak tahu keadaan dalamnya. Eh betul jugak tu. Akhirnya, ayah pun pasrah dan bawa Boboy ke Hospital.
Hanta Boboy dressing akan jadi perkara terakhir yang ada kaitan dengan Boboy, yang ibu tulis atas papan ni :'-(

Selepas jumpa dengan Vet Pakar tu, ayah call ibu dulu. Ayah kata, luka kat perut Boboy yang sampai berdarah tu bukan kencing berdarah, tapi kencing Boboy dah berasid sampai membakar kulit perutnya jadi luka macam dihiris. Kesiannya Boboy. Vet kata, Boboy dah takde harapan. Matanya pun dah kena jangkitan dan terperosok ke dalam. Kalau ayah tetap nak jaga Boboy, ia akan memerlukan penjagaan yang sangat rapi dan belanja yang sangat mahal. Sedangkan ayah dan ibu tak cukup masa untuk selalu tengok Boboy, dan takde duit yang banyak untuk bayar kos rawatannya nanti. 

Vet tu kata lagi, "You did the best to him, but situation has gone out of expectation. We advice to put him to sleep forever...". Jadi ayah call ibu untuk bagitahu yang ayah dah buat keputusan untuk setuju dengan Vet tu :'-(

Ibu pun dah takde pilihan lain, terpaksa juga bersetuju. Lepas letak je hp, ibu terus menangis :'-( sorry Boboy... Kita dah cuba sedayanya untuk selamatkan Boboy. Tapi, kita tak mampu terus tengok Boboy sakit lagi.

Ayah kata, ayah ambik gambar Boboy buat kali akhir sebelum Boboy disuntik untuk tidur selamanya. Ayah selfie dengan Boboy, Boboy macam tahu aje, dia tengok kat kamera hp ayah :'-(

Ica dah memang menangis tersedu-sedu sejak Vet bagitahu nak suntik mati Boboy, sampai lah ke rumah. Pihak Hospital akan uruskan mayat Boboy dengan bayaran RM150. Ibu harap Boboy tak marah dengan kita. Semoga Boboy tak tersiksa lagi dengan kesakitan tu. Ibu tak sampai hati nak letak gambar last Boboy kat sini. Sedih sangat :'-(

Selepas Boboy dah takde, SiKecik pun nampak sangat monyok dan tak nak makan. Kita pun faham, SiKecik yang paling rapat dengan Boboy. Mestilah SiKecik yang paling terasa kehilangannya. Bila ibu panggil siKecik, dia akan toleh pada sangkar yang kosong, dan pandang semula ibu dengan pandangan yang sayu :'-(
Lantai parking dah bersih, ayah yang bersihkan. Sangkar Boboy pun ayah dah bersihkan. Kemas dah. Tapi SiKecik tak happy. Mukanya monyok dan tak banyak bunyi. Dia tak sentuh pun makanan yang ayah letak. Minum pun macam tak aje.
 Bila malam, ayah masukkan SiKecik dalam sangkar. Dia senyap aje. Takde bunyi pun bila ternampak ayah dan ibu buka pintu sliding. Kalau tak, asal nampak je muka kita, terus bising nak keluar. Tengok ni, muka sedih aje, tak minta pun nak keluar. Tetap duduk simpan kaki macam tu :'-( Ibu risau je SiKecik tak nak makan sampai mati sebab takde kawan berebut makanan. Mungkin SiKecik tunggu Boboy balik macam selalu tu. Sebabnya, dulu bila Boboy baru masuk ke dalam sangkar, nak mula makan, masa tu lah Si Kecik pun terburu-buru nak makan :'-(

Walaupun ibu tak 'rapat' dengan Boboy, tapi ibu tetap sedih dengan kehilangannya. Ibu faham perasaan ayah dan Ica. Ayah lebih-lebih lagi. Sebab ayah ada memori yang banyak dengan Boboy. Bila ayah balik, Boboy dengan Si Kecik berlari-lari balik rumah, terus berebut naik motor ayah, nak dibelai dan nak mencium muka ayah. Ayah yang tukarkan pasir dan bersihkan sangkar. Ibu cuma tolong tambahkan air dengan makanan aje. Kenangan dengan Boboy yang gemuk dan berat (berat terakhir Boboy 6kg) akan sentiasa dalam ingatan.

Apa yang kita boleh buat ialah meneruskan kebiasaan kita, berkhidmat pada kucing yang seterusnya jika Allah izinkan. Ayah kata nak carikan Si Kecik kawan baru. Ibu ok je. Tapi kena la cari yang jantan dan manja. Sebab ayah suka kucing yang manja, bukan yang macam Noneng yang moody tu.

Rest in peace Boboy. Thank you for the joy and happiness you left for us. You will be missed.
Semoga kita dapat berjumpa kembali.
Wallahua'lam.

No comments: